Home Novel Komedi/Romantik Komedi kurang asam punya bos!
kurang asam punya bos!
nuroll shazlinda hairul
22/1/2013 14:55:25
398,807
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 15

15

Elfira sedang menolak pintu wad Vip. Dia melihat papanya yang sedang lena. Dilihatnya Puan Sri Karmila yang sedang duduk di kerusi di sisi katil papanya. Wajah Puan Sri Karmila kelihatan sayu. Sisa air jernih masih berlinangan ditubir mata.

“Mama,” Elfira mendapatkan Puan Sri Karmila. Tubuh wanita itu didakapnya erat. Puan Sri Karmila menggosok perlahan tubuh Elfira.

“L, angah mana?” soal Puan Sri Karmila sayu. Elfira melepaskan pelukannya. Dia memandang ke muka pintu. Begitu juga dengan Puan Sri Karmila. Tiada sesiapa di situ. Wajah Elfira ditatapnya. Mohon jawapan.

“Mama,” Erry Edrian memanggil perlahan. Puan Sri Karmila berpaling. Kelegaan jelas terpamer diwajah Puan Sri Karmila. Erry Edrian masuk ke dalam bilik tersebut. Dia mendapatkan Puan Sri Karmila. Tubuh Puan Sri Karmila dipeluk erat.

“Mama, maafkan angah,” pintanya sayu.

“Mama dah lama maafkan angah. Papa sakit. Angah pergi mana? Kami semua risaukan angah.”

“Angah tak ke mana ma. Angah cuma ke satu tempat untuk mendapatkan ketenangan. Bagaimana dengan keadaan papa, ma?”

“Papa dah stabil. Dia cuma terkejut apabila membaca berita perceraian angah. Biasalah dengan usia papa sekarang ni dan dengan penyakit jantungnya mudahlah dia diserang sakit bila terkejut.”

“Ni semua salah angah. Sepatutnya angah beritahu mama dan papa dulu. Jadi papa taklah tahu dari surat khabar. Kalau tak pasti papa tak kena serangan jantung.”

“Jangan menyesali dengan apa yang telah berlaku. Papa pun tak salahkan angah,” pujuk Puan Sri Karmila.

Erry Edrian mendapatkan papanya. Dahi Tan Sri Lukman Hakim dicium lembut.

“Papa bangunlah, angah dah datang. Angah nak minta maaf dengan papa sebab angah, papa jadi begini,” rintihnya.

Kaca-kaca jernih mulai pecah. Hatinya sayu dan pilu. Dia sendiri tidak menduga yang keadaan akan menjadi sebegini teruk.

“Angah,” sapa suatu suara. Erry Edrian memalingkan wajahnya ke arah suara yang menegurnya.

“Along.” Erry Edrian mendapatkan Zamrin Edril. Mereka saling berdakapan.

“Mana angah pergi? Puas along cari. Nasib baik L jumpa angah.”

“Maafkan angah, along. Angah tak sangka yang...”

“Sudahlah itu. Papa tak teruk pun. Tak perlulah angah nak salahkan diri sendiri,” ujar Zamrin Edril.

“Hem tengoklah itu ma. Kalau dua beradik itu dah jumpa L yang bongsu ni dilupa.”

“Tak apa. Mamakan ada untuk L,” pujuk Puan Sri Karmila.

“Sayang mama,” Elfira memeluk mamanya erat.

“Mengada,” tutur Zamrin Edril.

Elfira memasamkan wajahnya sebaik mendengar bicara Zamrin Edril.

Tan Sri Lukman Hakim terbatuk kecil. Mereka memandang ke arah Tan Sri Lukman Hakim. Tan Sri Lukman Hakim membuka matanya. Dia cuba mengukir senyum tatkala memandang ke arah anak-anaknya dan isterinya. Lapang dadanya melihat mereka.

“Papa dah sedar.”

Elfira mendapatkan Tan Sri Lukman Hakim. Dia memeluk papanya. Pipi papanya dicium penuh kasih.

“Sakit dada papa, L,” adu Tan Sri Lukman Hakim.

“Ops maaf. L rindu kat papa,” beritahu Elfira manja.

“Papa pun rindu kat anak perempuan papa ni.”

“Pa, maafkan angah. Sebab angah, papa sakit.”

Erry Edrian mencium tangan papanya. Dia rasa bersalah.

“Angah, papa tak salahkan angah. Papa cuma terkejut. Itu saja.”

“Tapi...”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Papa sayangkan anak-anak papa. Walau apa pun yang terjadi papa akan tetap sokong anak-anak papa.”

“Terima kasih pa.”

“Papa pun dah sedar, along ingat nak ke pejabat sekejap. Boleh ya pa? Nanti along datang semula.”

“Pergilah along. Papa tak ada apa-apa.”

“Sekarang papa rehat ya. Angah, L, tolong jaga papa.” Zamrin Edril menyampuk.

“Baik along,” jawab Elfira.

Elfira memberi tabik hormat kepada Zamrin Edril. Segarang-garang alongnya itu dia masih boleh bergurau.

“Angah nak pergi kafeteria. L nak ikut tak?” pelawa Erry Edrian.

“Okey juga. L pun tengah lapar ni.”

“Mama nak ikut kami?” tanya Erry Edrian.

“Tak apalah. Angah dan L sajalah yang pergi. Tapi belikan mama roti. Mama nak temankan papa di sini.”

“Okey, kami pergi makan sekejap. Nanti kami datang semula,” beritahu Erry Edrian.

Puan Sri Karmila dan Tan Sri Lukman Hakim sekadar mengangguk.

“Along pergi dulu, pa, ma.” Zamrin Edril menyalam tangan Tan Sri Lukman Hakim dan Puan Sri Karmila.

Erry Edrian dan Elfira mengekori langkah Zamrin Edril. Mereka bertiga menuju ke lif. Tiba di tingkat G, Zamrin Edril membawa haluannya.

“Baiklah angah, L, ingat pesan along jaga papa tu.”

“Baik along,” jawab Erry Edrian.

Erry Edrian dan Elfira bersalaman dengan Zamrin Edril. Zamrin Edril terus menuju ke keretanya. Manakala Erry Edrian dan Elfira menuju ke kafeteria. Semasa di dalam perjalanan ke kafeteria, Elfira membuka semula telefon bimbitnya. Dia terkejut apabila terdapat 45 panggilan tidak dijawab dan kesemua panggilan itu dibuat oleh Firuz Eidil. Elfira mendengus kasar. Meluat dia rasakan. Erry Edrian yang sedari tadi memerhati tingkah adiknya hanya tersenyum.

“Siapa?”

“Apa yang siapa?” tanya Elfira bingung.

“Tu yang kat telefon. Siapa dia yang membuatkan adik angah tension? Buah hati ya?”

“Hish ada la pulak buah hati. L ni masih single tau.”

Erry Edrian mencebikkan bibirnya. Tidak yakin dengan bicara adiknya.

“Tak percayalah tu. Tak nak percaya sudah! Lagi pun mana ada orang nak perempuan tak serupa perempuan.”

“Siapa yang berani cakap adik angah ni tak macam perempuan. Biar angah cili-cilikan mulut orang itu. Suka hati dia sahaja mengutuk adik angah yang comel.”

Elfira ketawa besar. Suka dia melihat gaya Erry Edrian yang berperwatakan lembut.

“Sepatutnya angah kena jadi pelakon macam Kak Lea, bukan jadi peguam.”

Berubah air muka Erry Edrian apabila adiknya menyebut nama bekas isterinya. Elfira yang baru tersedar riak wajah angahya segera meminta maaf.

“Maaf, L tak sengaja.”

Raut wajah Erry Edrian ditatapnya dengan rasa bersalah.

“Jangan risau angah okey.”

“Kalau begitu, angah duduk dulu, biar L belikan makanan. Angah nak apa?”

“Apa-apa jelah.”

“Apa-apa jelah mana ada jual di sini.” Elfira mengusik Erry Edrian.

“Beli jelah apa-apa yang L rasa sedap untuk dimakan.”

“Janganlah marah. L gurau je.” Dia mengenyitkan matanya. Nakal!

Elfira berlalu meninggalkan Erry Edrian. Erry Edrian sekadar menghantar adiknya dengan ekor matanya. Erry Edrian mengambil telefon bimbit Elfira yang terletak di atas meja. Dia menekan butang games dan bermain slice it twice. Baru sahaja hendak tekan play, telefon bimbit itu berbunyi. Tertera nama Mat Singa. Erry Edrian serba salah saat ini. Kalau dijawab panggilan itu nanti rasa macam tak hormatkan adiknya. Tapi nama Mat Singa itu membuatkan Erry Edrian teruja. Akhirnya Erry Edrian menekan butang jawab.

Firuz Eidil berasa lega apabila Elfira sudi menjawab panggilannya. Belum sempat Erry Edrian memberi salam, Firuz Eidil terlebih dahulu berbicara.

“L, tolong jangan letakkan telefon. Saya tahu awak tak akan bercakap dengan saya. Tolong maafkan saya. Saya tak ada niat nak sakitkan hati awak. Janganlah berhenti kerja. Kalau awak berhenti kerja siapa yang nak jadi driver saya? Awaklah pemandu saya yang paling berhemah. Tolong L, jangan berhenti kerja. Saya bagi awak cuti. Berapa lama awak nak sekali pun. Gaji awak tetap berjalan seperti biasa. Tapi janganlah berhenti kerja. Saya rayu pada awak. L, please say something. Okey, nampaknya awak masih tak nak cakap dengan saya. Saya faham. Apa pun saya tetap nak minta maaf kerana hal pagi tadi. Saya tahu saya salah. Maafkan saya. Assalamualaikum.” Firuz Eidil terus meletakkan telefon bimbitnya.

Erry Edrian terkedu. Dia meletakkan kembali telefon bimbit Elfira di atas meja. Elfira berjalan menuju ke arah Erry Edrian.

“Ini je yang ada. L ambil nasi lemak dan nasi goreng. Angah tak kisahkan?”

Erry Edrian masih diam membisu. Wajah adiknya ditenung penuh makna.

“Kenapa angah pandang L macam itu? Kalau lapar pun janganlah tenung L begitu. Seram bulu roma L.”

Erry Edrian masih tidak mengalihkan pandangannya. Dia cuba mencari kebenaran disebalik wajah adiknya.

“Angah, angah!” Elfira melambai-lambaikan tangannya di hadapan Erry Edrian.

“L ada sembunyikan sesuatu daripada angah?” soal Erry Edrian serius.

“Sembunyikan apa?” Elfira pula mahukan pengertian.

“Selama ini kita sering berkongsi suka dan duka waima perkara yang peribadi pun L kongsi dengan angah. Tapi kenapa sekarang L seolah-olah berahsia dengan angah?” Erry Edrian bertanya lagi.

“L tak faham apa yang angah cuba sampaikan sekarang ni?”

“Tak faham atau buat-buat tak faham?” Erry Edrian menduga lagi.

“Angah, kalau L ada buat salah L minta maaf. Tapi boleh tak angah beritahu apa salah L?”

“Okey, tetap tak nak beritahu angah ya. Tapi sebelum itu, angah nak minta maaf dengan L sebab angah tolong jawabkan panggilan telefon untuk L.”

Elfira terkasima. Wajah Erry Edrian direnung. Raut terkejut jelas terpamer diwajahnya.

“Siapa yang telefon?” Elfira bertanya lembut. Dia cuba menutup keresahan hatinya.

“Mat Singa.”

Elfira menundukkan wajahnya. Dia yakin, Firuz Eidil pasti sudah menceritakan segalanya pada Erry Edrian. Jika tidak masakan Erry Edrian tampak serius.

“Apa yang dia cakap dengan angah?” Elfira masih mahu mendapatkan kepastian. Dia tidak mahu membuat serkap jarang.

“Tak perlu untuk angah jawab. Tapi angah perlukan pengakuan jujur daripada L.”

“Jujur yang bagaimana?”

“Beritahu angah hal yang sebenar.”

Elfira terkulat-kulat. Dia yakin pasti Erry Edrian sudah tahu rahsiaya. Elfira mengalihkan pandangan. Tidak sanggup untuk dia menatap wajah Erry Edrian. Erry Edrian mengusap lembut tangan adiknya.

“L, angah bukan nak marah. Cuma angah perlukan kejujuran daripada L. Angah sebagai abang berhak tahu. Angah tak nak dengar daripada mulut orang lain, angah nak dengar sendiri daripada mulut adik angah ini. Ceritalah dik,” pinta Erry Edrian memujuk.

Adoi, ini yang aku malas ni. Angah bab pujuk memujuk ini memang hebat. Masalahnya sekarang aku yakin Firuz Eidil pasti dah ceritakan sesuatu kepada angah. Habislah aku!

“L?” sapa Erry Edrian apabila melihat Elfira seperti berkhayal.

“L minta maaf. L bukan sengaja nak rahsiakan daripada angah. Tapi L takut kalau angah terlepas cakap dengan mama dan papa. L takut kalau angah tahu hal sebenar angah akan marahkan L.”

“L tak cerita lagi pada angah, mana L tahu angah akan marah.”

“Okey, kalau angah nak tahu juga L akan cakap. L sebenarnya kerja sebagai pemandu peribadi,” beritahu Elfira ragu-ragu.

“Oh...” Erry Edrian menggarukan dagunya. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu.

Elfira kian resah dengan gerak laku Erry Edrian. Lalu dia mencuit tangan angahnya.

“Angah, janganlah buat L nervous begini cakaplah sesuatu.”

Erry Edrian tergelak kecil. Dia memandang tepat ke arah adiknya.

“Angah tak kisah yang penting L bahagia dengan apa yang L buat dan yang penting ianya halal.”

“L ada lagi satu perkara yang nak kongsi dengan angah.”

“Apa lagi?”

“L pun jadi pembantu rumah dia.”

“Apa? Biar betul?”

Erry Edrian buat muka tak percaya. Memang dia tak percaya pun. Lalu dia tergelak besar.

“Angah, malulah. Jangan gelak begitu. Orang semua tengok kita.”

“Mana angah tak gelak. Adik angah buat lawak.”

“Mana ada L buat lawak. L seriuslah.”

“Jadi betullah ya. Setahu angahlah L kemas bilik pun tak pernah, macam mana L nak kemas rumah orang. Tak ke lawak namanya itu.”

“Tak nak percaya sudah!” Elfira memuncung. Merajuk!

“La, merajuk pulak adik angah ni. Mar sini angah pujuk. Ala bucuk-bucuk sayang,” usik Erry Edrian.

“Angah!”

Erry Edrian tersengih.

“L kemas rumah masa dia ada di rumah ke? L jangan buat hal. Nanti kena tangkap siang-siang hari niaya.”

“Hish angah ni, adik perempuan dia adalah. Kalau adik perempuan dia tak ada, selepas L hantar dia pergi pejabat, L datang semula ke rumah dia.”

“Angah ingatkan sahaja.”

“L tahu batasnya.”

“Hem, jangan-jangan dia nak latih L jadi suri dalam hidup dia agaknya. Kacak tak orangnya?”

“Angah ni tak ada soalan lain ke? Dia dengan L itu sekadar antara pekerja dengan majikan sahaja.”

“Ya ke? Tapi kenapa angah rasa dia macam suka kat L aje.”

“Angah jangan nak mengarut boleh tak? Dia itu tunang orang tau.”

“Ya ke? Tapi kenapa tadi dia cakap i love you, L.”

Elfira buat muka hairan. Erry Edrian yang tidak tahan melihat wajah Elfira terus sahaja ketawa.

Sah, aku kena main dengan angah.

“Amboi sukanya angah gelakkan L ya.”

“Tak adalah, L tu yang tangkap serius.”

“Bukan tangkap serius okey. L terkejutlah sebab L tahu sangat perangai mat singa itu. Tak ada maknanya dia nak cakap macam tu.”

“Kenapa nama dia Mat Singa? Tak ada nama lain ke mak ayah dia nak letak?”

“Angah, nama betul dia Firuz Eidil.”

“Aik yang jadi Mat singa tu kenapa?”

“Mana taknya, gila kuasa. Kata dia je yang betul. Semua kena ikut arahan dia. Diktator sangat! Lepas itu suka buli L. Muka dia macam singa. Garang je!”

“Oh, tapi kalau betul dia gila kuasa takkanlah dia telefon minta maaf. Siap bagi L cuti sampai bila L mahu lagi. Dia baiklah L. L ni je yang salah sangka.”

“Angah tu mulalah puji orang tak kena dengan tempat. Angah tak kenal dia lagi. Kalau angah dah kenal tahulah angah macam mana perangai dia,” terang Elfira. Tak nak mengaku kalah.

“Macam-macam hal adik angah ni. Biasalah tu hari ini gaduh-gaduh manja esok lusa tersangkut pula hatinya.” Erry Edrian berasa seronok mengusik.

Elfira mencebikkan bibirnya. Menyampah. Baki nasi goreng disuapkan ke mulutnya.

“Tolonglah tak sesuai. Dia dah bertunanglah. Kan tadi L dah beritahu.”

“Lah dah bertunang ke? Melepaslah adik angah.”

“Angah!”

Erry Edrian ketawa. Wajah Elfira masam mencuka.

Previous: Bab 14
Next: Bab16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.