Home Novel Komedi/Romantik Komedi kurang asam punya bos!
kurang asam punya bos!
nuroll shazlinda hairul
22/1/2013 14:55:25
398,314
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
bab 34

34

Hari ini hari terakhir aku di sini. Selepas ni selamat tinggal mat singa. Selamat tinggal kenangan. Berakhir hari ini makanya berakhirnya tugas aku sebagai pemandu. Kali ini aku berhenti sebagai seorang pemandu yang terhormat. Memang gila apabila aku bersetuju mengikut kehendaknya selama seminggu ini. Tapi aku bahagia walau seketika. Cukup sudah aku melayan kerenah si mat singa.

Firuz Eidil...ah lelaki itu permintaannya bagai melayan anak kecil. Semuanya nak kena ikut arahan dan kehendak dia. Walau sering berbalah pendapat dan bertegang urat namun adakalanya ia menimbulkan detik-detik lucu. Firuz Eidil! Lelaki itu memang pelik.

Kata-kata Sofea malam tadi terngiang-ngiang ditelinganya. Firuz Eidil sanggup ketepikan tunang dan hal kerja hanya kerana dia. Tapi kenapa ya dia lakukan semua itu? Walhal antara dia dan Firuz Eidil bukannya ada sebarang ikatan. Susah betul nak memahami hati seorang lelaki.

Elfira mengunci keretanya. Sewaktu Elfira memulas tombol pintu ruang tamu kelihatan terang benderang. Dia berasa hairan. Selalunya pada waktu –waktu begini Firuz Eidil belum bangun lagi kerana sudah menjadi kebiasaan Firuz Eidil akan tidur semula selepas bersolat subuh tetapi hari ini berlainan pula suasananya.

Bahkan ruang tamu juga kelihatan begitu kemas. Sedangkan sebelum ini ruang tamu akan berselerak macam reban ayam. Dia tahu Firuz Eidil sengaja menyemakkannya sebab Firuz Eidil pernah membuat pengakuan jujur tentang itu.

“Hai selamat pagi, dah lama sampai. Tak sedar pulak awak dah sampai. Apa lagi tercegat tu. Marilah tolong saya bawakan sarapan ke meja.”

Elfira berpaling ke arah suara yang menegurnya. Matanya tertancap pada gerak geri Firuz Eidil yang tekun mengatur pinggan. Dia rasa bagai mahu pitam melihat Firuz Eidil saat ini.

“L kenapa wajah awak pucat?” soal Firuz Eidil cemas.

“Saya okey. Cuma terkejut.”

“Awak terkejut sebab apa?” Firuz Eidil menyoal. Dia kurang mengerti.

“Betul ke ni mat singa yang saya kenal?”

“Betullah.”

Firuz Eidil mencubit pipi Elfira.

“Adoi, sakitlah! Apa main cubit-cubit ni? Awak ingat pipi saya ni pipi teddy bear?”

Elfira terus sahaja melenting. Hilang sudah rasa terkejutnya. Tangannya mengusap lembut pipinya. Tak pernah pipinya dicubit sekuat itu. Tak guna punya mat singa!

Kali ini Firuz Eidil pula yang ternganga. Tetapi dia terus ketawa. Lucu melihat gelagat Elfira.

“Ha, ini barulah L yang saya kenal. Kalau begitu berbisa juga cubitan saya pada awak tu.”

Tawa Firuz Eidil masih bersisa. Elfira menjeling tajam kepada Firuz Eidil.

“Gila!”

“Gila pun gilalah asalkan awak sayang saya.”

Firuz Eidil semakin galak mengusik.

“Heee...perasan! Siapa sayang dia entah. Muka tembok!”

Elfira mencebikkan bibirnya. Meluat dia melihat senyuman Firuz Eidil yang tidak lekang dari bibir.

Mengejek akulah tu. Hish biol aku dapat majikan macam ni. Nasib baiklah hari ini hari terakhir. Kalau tak boleh mati sakit jantung aku dibuatnya. Selisih malaikat 44, minta dijauhkan.

“Sudahlah, jom tolong saya hidangkan sarapan pagi. Hari ini saya masakkan untuk awak.”

“Awak mimpi apa malam tadi?” tanya Elfira.

“Tak ada mimpi apa,” jawab Firuz Eidil selamba.

“Kalau begitu sah awak mamai.”

“L apa yang awak mengarut ni?”

“Selalunya awak yang merengek pagi-pagi buta nak makan itulah, inilah. Hari ini terbalik pula awak yang masak sarapan. Itu yang saya tanya mimpi apa malam tadi?”

“Saya mimpikan awak. Dalam mimpi itu awak merayu-rayu pada saya agar buatkan nasi goreng untuk awak. Awak siap cakap lagi, tolonglah masak ya Firuz, sayang.” Firuz Eidil berkata romantik. Dia semakin galak mengusik Elfira.

Elfira menjelirkan lidahnya. Menyampah dia mendengar kata-kata Firuz Eidil. Terasa mual tekaknya.

“Sejak bila awak jadi kuat perasan ni? Saya tak ingin nak merayu kat awaklah!”

“Eh, jangan cakap L. Mana tahu suatu hari nanti awak datang merayu pada saya. Ha! masa tu nanti saya akan gelakkan awak puas-puas.”

“Jangan haraplah saya nak merayu pada awak. Apa kelas!”

Elfira mengatur langkah kakinya menuju ke dapur. Dia memasukkan nasi goreng ke dalam mangkuk. Dia mengambil senduk lalu diletakkan di dalamnya. Lalu dibawa ke meja makan. Firuz Eidil tersenyum. Bahagia. Tangannya ligat membancuh air kopi buat minuman mereka pada pagi itu. Elfira sudah sedia menunggu diruang makan.

Dia sengaja berbuat demikian. Dia mahu Firuz Eidil melayannya sebagaimana dia melayan Firuz Eidil sebelum ini. Firuz Eidil yang bagai mengerti tingkah Elfira, menyendukkan nasi goreng ke dalam pinggan lalu diletakkan di hadapan Elfira begitu juga dengan air kopi yang telah dituangkannya ke dalam cawan. Elfira tersenyum. Seronok juga apabila sekali sekala dilayan bagaikan puteri oleh orang yang kita ‘kurang suka’. Firuz Eidil kemudiannya mengambil tempat di hadapan Elfira.

“Makanlah. Kenapa tenung nasi goreng tu?”

“Doa.”

“Ops maaf. Lupa pulak.”

Firuz Eidil membaca doa makan.

“La, kenapa awak tak makan lagi nasi goreng itu?”

“Entah, rasa macam malas nak suap pulak.” Elfira sengaja menguji.

“Pulak dah!”

Firuz Eidil bingkas bangun lalu duduk di sebelah Elfira. Dia mengambil pinggan di atas meja lalu dia mengambil sudu dan disuakan nasi goreng itu ke mulut Elfira.

“Nah, nganga luas-luas,” arah Firuz Eidil.

“Awak buat apa ni?”

“Buat apa lagi, suap awaklah.”

“Ha?”

“Cepatlah.”

“Tak naklah. Saya boleh suap sendiri,” ujarnya mengelak.

“Tadi kata malas nak suap nasi ke mulut. Jadi biarlah saya yang tolong. Cepatlah nasi goreng ni dah minta dimakan segera.”

“Tak apalah saya boleh suap sendiri. Gurau je tadi tu.”

“Jangan nak mengada-ada, cepat. Kalau tidak saya cubit lagi pipi awak,” ugut Firuz Eidil.

Elfira mencuka. Tanpa banyak bicara dia mengikut saja kehendak Firuz Eidil. Tapi dalam hatinya hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa sakit hatinya saat itu. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia begitu manja dengan Firuz Eidil sedangkan dia amat membenci lelaki itu. Apa sahaja Firuz Eidil buat semua menyakitkan hatinya. Tetapi tidak untuk hari ini. Semuanya tampak indah.

Akhirnya mereka berkongsi makanan. Sesuatau yang tidak pernah mereka lakukan terhadap orang lain! Usai sahaja sarapan pagi, Firuz Eidil meminta Elfira untuk mengemas bilik sementara lelaki itu mandi. Elfira melaksanakan tugasnya. Dia mengutip pakaian-pakaian kotor lalu dibawanya ke mesin basuh.

Dia membiarkan mesin itu melakukan tugasan membasuh. Entah mengapa hari ini dia begitu senang hati melaksanakan tugas-tugas yang diarahkan oleh Firuz Eidil. Manakala Firuz Eidil hari ini sungguh berlainan sekali dengan Firuz Eidil yang dikenalinya. Jika sebelum ini Firuz Eidil, lebih suka mencari kesalahan dan kelemahannya.Bahkan lelaki itu juga suka menyakitkan hatinya dengan bicara-bicara pedas dan arahan-arahan yang sering membuatkan hidupnya kacau bilau. Masanya huru hara dan kelam kabut.

Namun hari ini tiada jerit pekik daripada lelaki itu. Melainkan usikan nakal yang tidak pernah berubah. Sedikit demi sedikit kebaikan Firuz Eidil terbentang di hadapannya. Ada getar dihatinya. Apakah makna semua ini? Dia keliru, dia buntu.

Jam berdenting sepuluh kali. Rumah Firuz Eidil sudah selesai dikemasnya. Dia berpuas hati dengan hasil kerja. Hari terakhir ini, dia dan Firuz Eidil bertungkus-lumus mengemas rumah.

“Dah siap!” laung Firuz Eidil gembira.

“Hari ini kita makan di luar ajelah ya,” usul Elfira.

“Awak boleh tak awak masakkan untuk saya. Yelah, awak nanti saya dah tak dapat nak rasa masakan awak.” Firuz Eidil membuat muka kasihan. Sengaja menarik simpati Elfira.

Alahai mamat ni buat muka kasihan pulak. Setakat satu dua lauk okey kot, bisik Elfira.

“Okeylah. Saya akan masak makan tengah hari. Tapi lepas itu saya nak balik tau. Ni kalau pencegah maksiat datang confirm kena tangkap siang-siang hari.”

“Okey apa. Kalau kita kena tangkap kita kahwin jelah.”

“Amboi senangnya awak cakap. Habis tunang awak itu bagaimana? Ingat-ingat sikit awak itu dah bertunang.”

“Janganlah marah cik L saya pun tak ingin nak kena tangkap dengan awak. Tangkap gambar tak apa,” seloroh Firuz Eidil. Elfira mencebikkan bibir.

“Kalau begitu, saya nak keluar dulu. Awak masak sedap-sedap ya,” arah Firuz Eidil sambil matanya mengerling manja.

“Awak nak ke mana?”

“Adalah, saya pun tak nak kena tangkap khalwat dengan awak. Kecewa tunang saya nanti,” selorohnya lagi. Matanya dikenyitkan nakal.

“Ingat pun kat tunang itu,” sinis bicara Elfira. Dia sekadar menghantar pemergian Firuz Eidil dengan ekor matanya.

Previous: bab 33
Next: bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.