Home Novel Komedi/Romantik Komedi kurang asam punya bos!
kurang asam punya bos!
nuroll shazlinda hairul
22/1/2013 14:55:25
398,323
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 9

9

Erry Edrian cuba fokus dalam pemanduannya. Ingatannya menerewang kepada peristiwa yang berlaku tadi. Matanya berbulu melihat betapa mesra isterinya melayan lelaki itu. Hatinya sakit! Dia sedar kini, inilah dugaan yang harus diterimanya apabila dia memilih artis sebagai teman hidup.

Dahulu hidup mereka bahagia. Amylea, itulah wanita yang dicintainya sejak wanita itu berusia 18 tahun lagi. Selepas lima tahun menjalinkan ikatan cinta akhirnya mereka bersatu. Setahun selepas itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata. Betapa bahagianya dia saat itu. Tetapi segalanya berubah sejak isterinya memenangi anugerah pelakon wanita terbaik. Sejak itu tawaran berlakon isterinya melimpah ruah sehinggakan tiada lagi masa untuk dirinya dan anak mereka. Namun dia tidak kisah asalkan isterinya tahu menjaga maruah.

Harap panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengahhari. Selama ini dia memberikan kepercayaan penuh kepada isterinya dan segala gosip yang menampar telinganya dipekakkan sahaja. Hari ini dia terpaksa menerima hakikat bahawa semua gosip yang tersebar selama ini benar belaka. Di mana harus dia meletakkan wajahnya? Apa kata orang luar? Isteri seorang peguam syariah menduakan suaminya! Betapa hancur dan retak hatinya saat ini.

“Arghh!” Erry Edrian menghentak tangannya ke stereng. Dia memberhentikan keretanya di bahu jalan. Dia menundukkan wajahnya ke stereng. Dadanya turun naik. Perlahan-lahan air mata lelakinya gugur ke pipi. Dia menangis bukan kerana dia lemah tetapi luka di hatinya terlalu dalam. Dia merasakan dia gagal menjadi seorang suami yang baik. Dia gagal untuk mendidik isterinya ke jalan yang diredai ALLAH.

“Astaghfirullah al adzim,” ucap Erry Edrian perlahan. Dia menyeka air matanya.

Erry Edrian meneruskan perjalanannya. Sebaik tiba di rumah, dia masuk ke bilik anaknya. Dilihatnya betapa lena anaknya itu tidur. Erry Edrian menghala ke biliknya. Dia lantas ke bilik air lalu mengambil wudhuk. Dia menunaikan solat isyak.

“Ya ALLAH, ampunilah dosa kedua ibu bapaku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku semenjak dari kecil. Ampunilah dosaku, dosa isteriku, atas segala perbuatanku, lisanku secara sedar atau tidak sedar. Berikanlah aku hidayah agar aku tetap dalam imanmu. Rabb, berikanlah kekuatan kepada hambamu ini untuk menempuh dugaan ini. Seandainya jalan yang ku pilih ini adalah yang terbaik untukku maka permudahkanlah urusanku. Sekiranya jalan yang ku pilih ini bukan yang terbaik untukku maka kau berikanlah petunjuk kepadaku. Hanya kepadaMu aku meminta pertolongan. Amin.”

Seusai itu, Erry Edrian membaca Al-quran. Tenang. Suasana kian sunyi. Dadanya semakin lapang.

***

Jam berdenting sebanyak satu kali menandakan jam sudah pukul 1 pagi. Erry Edrian masih setia menanti kepulangan isterinya. Dia duduk dalam gelap. Tidak lama kemudian, dia terdengar bunyi enjin kereta milik isterinya. Erry Edrian menghela nafasnya perlahan. Hatinya yang panas membara sedari tadi cuba disabarkan. Dia cuba untuk berlagak tenang. Kedengaran daun pintu ditolak perlahan.

Amylea membuka kasutnya lalu memetik suis lampu. Alangkah terkejutnya dia apabila terpandangkan Erry Edrian yang menantinya di ruang tamu. Melihatkan wajah suaminya yang keruh, Amylea cuba berlagak tenang sedangkan hatinya saat ini dilanda keresahan yang tidak bertepi.

“Abang tak tidur lagi?” soal Amylea lembut.

Erry Edrian sekadar diam seribu bahasa. Wajahnya isterinya direnung tajam. Gelodak jiwanya semakin menyesakkan dada.

“Ke mana awak pergi dah lewat begini baru balik?” tanya Erry Edrian.

Amylea cuba tersenyum namun senyumannya nampak sumbang di mata Erry Edrian. Amylea duduk bertentangan dengan Erry Edrian.

“Abang ni, tentulah pergi shooting. Shooting habis lewat jadi lewatlah Lea balik. Bukannya abang tak tahu kerja Lea bagaimana,” beritahunya tenang. Tanpa rasa bersalah.

“Shooting?” sinis pertanyaan Erry Edrian. Amylea kurang senang dengan lenggok pertanyaan suaminya.

“Saya tahulah awak itu pelakon wanita terbaik. Tapi takkan dengan suami sendiri pun awak nak tunjukkan kehebatan lakonan itu.”

Erry Edrian masih mengawal intonasinya. Namun tetap sinis dipendengaran Amylea.

“Eh abang ni, Lea dah kata yang Lea pergi shooting maknanya Lea pergi shootinglah. Apa kena mengena Lea nak berlakon dengan abang.”

Amylea sudah meninggikan sedikit suaranya. Tidak puas hati!

“Berdosa seorang isteri meninggikan suara kepada suaminya,” beritahu Erry Edrian tenang. Matanya tajam merenung Amylea.

“Abang yang sengaja naikkan darah Lea. Lea baru sampai rumah, rehat pun tak lagi, abang dah soal Lea macam Lea ni pesalah. Lea ni penat tau bang! Lea nak rehat.”

“Lea bohong!” Suaranya sedikit dikeraskan.

“Abang ni kenapa? Malam-malam macam ni abang soal Lea bukan-bukan. Penat Lea nak jelaskan kat abang. Suka hati abanglah sama ada nak percaya atau tak! Lea malas nak layan abang! Lea nak naik atas.”

Amylea terus bingkas bangun dari sofa. Rimas!

Namun langkahnya dimatikan oleh Erry Edrian. Tangan Amylea dipegangnya kejap. Mereka saling berbalas pandang. Lalu Erry Edrian menarik tangan isterinya dan didudukkan kembali wanita itu ke sofa dengan kasar. Amylea terpempan dengan tindakan Erry Edrian. Seingatnya sepanjang perkahwinan dengan lelaki itu, tidak pernah sekali pun suaminya itu bertindak kasar dengannya. Dada Amylea berombak. Dia dapat melihat api kemarahan disebalik pandangan lembut Erry Edrian.

“Tell me the truth please. Where you go?” Erry Edrian bertanya dalam tegas.

Amylea terdiam kaku. Jiwanya haru biru. Pelbagai andaian muncul dibenaknya. Dia cuba berlagak selamba.

“Kenapa diam? Takut? Takut kebenaran akan terbongkar?” Erry Edrian semakin menggasak.

Sesungguhnya asakan itu melemaskan Amylea. Walau dalam hati wanitanya berdetik rasa kurang senang, dia cuba berlagak seolah tiada perkara yang bergolak di hatinya.

“Apa yang abang merepek ni? Kebenaran apa yang abang cuba cakapkan ni? Lea langsung tak faham apa yang abang cakapkan.” Amylea masih berdolak-dalik. Dia memandang Erry Edrian dengan wajah gusar.

“Tak faham atau buat-buat tak faham? Baik Lea berterus-terang dengan abang.”

“Terus terang mengenai apa?” Amylea semakin rimas. Tahulah suaminya itu seorang peguam.

“Lea tak pergi shooting kan?”

Amylea terkasima mendengar pertanyaan Erry Edrian. Riak wajahnya berubah.

“Apa yang abang merepek ni? Lea memang pergi shooting hari ini. Kalau abang tak percaya abang boleh tanya Mila, Adrina. Dari pagi Lea dekat set pengambaran sampai malam, abang tahu tak?” Amylea mempertahankan dirinya.

“Oh... dari pagi sampai malam?” sinis bicara Erry Edrian.

“Sampai bila Lea nak tipu abang? Cukuplah Lea. Abang dah penat dengar penipuan Lea. Baik Lea mengaku ke mana Lea pergi tadi?” tanya Erry Edrian masih tidak puas hati.

Sudah berulangkali dia tanyakan soalan yang sama kepada isterinya dan sebanyak itulah isterinya membohongi dirinya.

“Lea dah penat, abang faham tak! Kalau setakat abang nak tanya ke mana Lea pergi, Lea dah tak larat nak jawab soalan bodoh abang tu. Lea dah mengantuk dan Lea nak tidur. Lagi lama Lea layan abang, makin gila Lea dibuat abang!” bentak Amylea kasar.

Amylea sudah berdiri dan ingin berlalu pergi dari situ. Tidak betah untuk dia berlama-lama dengan Erry Edrian. Dia bimbang jika berlama-lamaan dengan Erry Edrian tembelangnya akan pecah.

“Kau berdiri situ!” herdik Erry Edrian.

Amylea terkejut. Langkahnya terhenti.

“Baik. Nampaknya Lea sengaja nak main api dengan abang. Kalau Lea tak nak berterus terang, biar abang yang beritahu ke mana Lea pergi tadi.”

Amylea masih tidak berganjak dari tempatnya berdiri. Wajah Erry Edrian direnungnya tajam. Mereka saling berbalas renungan. Jauh di sudut hati Amylea ada keresahan yang menghambat dirinya. Dia bimbang jika Erry Edrian tahu kecurangannya. Dia harus bersedia dan bijak untuk menepis segala hujah Erry Edrian. Jika tidak dia akan terperangkap.

“Okey. Kalau abang tahu sangat beritahu mana Lea pergi tadi?” Amylea mencabar Erry Edrian. Dia cuba berlagak tenang.

“Kau cabar aku?”

Hilang sudah panggilan abang dan Lea. Hati Erry Edrian semakin panas. Susah sangat ke isterinya itu untuk berterus terang dengannya?

“Memang Lea cabar abang.”

“Baik. Abang tahu Lea keluar makan dengan Tan Sri Ismail kan?”

Amylea terkejut. Dia cuba berlagak tenang.

“Huh, abang ada bukti ke? Abang tahukan menuduh orang tanpa bukti itu adalah fitnah. Takkan seorang peguam tak tahu akan hal itu.”

“Bukti? Depan mata abang sendiri perkara itu berlaku. Abang nampak Lea sedang enak makan dengan Tan Sri Ismail. Bukan abang aje yang nampak tapi L dan kawan dia pun nampak. Nak bukti kukuh lagi, ni tengok...”

Erry Edrian menghulurkan telefon bimbitnya yang telah merakam gambar Amylea bersama Tan Sri Ismail.

Kali ini Amylea benar-benar terperangkap. Dia tahu dia sudah tidak boleh lari lagi. Kecurangannya selama ini telah terbongkar. Apa lagi yang boleh dikatakannya.

“Ya, memang Lea ada hubungan dengan Tan Sri Ismail. Kami saling mencintai. Untuk pengetahuan abang juga Lea dah terlanjur beberapa kali dengan Tan Sri Ismail,” beritahunya jujur.

Tiada lagi rahsia. Alang-alang rahsianya sudah pecah biarlah suaminya itu tahu segala-galanya.

Erry Edrian terkasima. Dia tidak menduga bahawa dia akan menerima pengakuan ikhlas itu. Hati yang retak telah hancur berkecai. Dia beristighfar di dalam hati. Dia langsung tidak menduga yang isterinya akan terjebak sejauh itu. Dia kecewa. Dia terluka. Isteri yang disanjungi, disayangi dan dicintai sepenuh hatinya akhirnya mengaku menduakan dirinya.

“Sampai hati Lea buat abang begini. Apa salah abang hingga Lea sanggup menduakan abang? Tak cukup ke dengan didikan agama yang telah abang berikan? Lea tahukan betapa abang sayang dan cintakan Lea. Abang dah jalankan tanggungjawab abang sebaik mungkin. Abang berikan segalanya untuk Lea. Kemewahan dan kebebasan, apa lagi yang kurang? Lea nak terus berlakon abang izinkan. Apa yang abang tak buat untuk Lea selama ini? Tak cukup ke semua itu?” soal Erry Edrian bertalu-talu sambil menggoncang tubuh isterinya.

Untuk kesekian kalinya, air mata lelakinya gugur lagi. Betapa hatinya retak seribu. Amylea kaku. Hatinya terusik dengan perlakuan Erry Edrian. Dia sedar dia telah menghancurkan hati suaminya. Air matanya turut gugur.

“Lea minta maaf abang. Lea tahu abang dah berikan segala-galanya untuk Lea. Tidak ada satu pun yang kurang. Ini salah Lea, bang. Lea akui Lea sayangkan abang tapi...” Amylea mengesat air matanya.

“Tapi Lea cintakan Tan Sri Ismail. Lea sendiri tak tahu bagaimana Lea boleh jatuh cinta pada dia. Setiap kali Lea bersama dia Lea gembira. Lagipun dia boleh berikan kemewahan kepada Lea lebih daripada abang. Hidup bersama dengan abang bagaikan protokol di mahkamah. Semuanya Lea kena jaga, adab, tutur bicara tapi dengan Tan Sri Ismail Lea bebas jadi diri Lea. Itu yang abang tak ada.”

Erry Edrian meraup wajahnya sambil dia beristighfar di dalam hati. Baru dia sedar rupanya selama ini banyak hal yang dia terlepas pandang.

“Kebebasan seperti itu ke yang Lea mahukan? Salah ke abang tegur cara Lea selama ini. Lea, tanggungjawab abang untuk tegur isteri abang jika dia melakukan kesilapan. Insaflah Lea. Hidup ini cuma sementara. Entah esok, entah lusa kita akan pergi menyahut panggilan Ilahi. Taubat Lea sebelum terlambat.”

“Sudahlah abang. Lea tahu abang tu peguam syariah. Tak perlu abang nak jelaskan hukum hakam islam pada Lea. Abang nak Lea mengaku, Lea dah pun mengaku. Lea dah penat bang. Lea nak naik atas tidur.”

“Tunggu dulu.”

“Apa lagi ni abang? Tak cukup ke abang ceramah Lea pagi-pagi ini?”

“Ikut abang.”

Erry Edrian menarik tangan Amylea. Dia mencapai kunci kereta yang terletak di atas meja.

“Apa ni? Lepaslah bang, sakitlah!”

Amylea meronta minta dilepaskan. Erry Edrian tidak peduli dengan rontaan dari isterinya. Dia terus menarik Amylea ke kereta. Dia membuka pintu kereta lalu ditolak isterinya ke dalam kereta. Lalu dia menutup pintu kereta. Amylea membuka pintu kereta kembali dan ingin keluar dari kereta tersebut. Namun Erry Edrian lebih pantas. Dia menolak Amylea agar kembali masuk ke dalam kereta.

“Duduk diam-diam di situ. Jangan nak buat perkara bodoh!”

Erry Edrian menghempas pintu kereta. Dia bukan sengaja mahu buat isterinya begitu. Namun untuk kali ini dia terpaksa bertegas dengan isterinya itu. Erry Edrian menghidupkan enjin kereta.

“Abang minta maaf. Abang tak ada niat nak buat Lea begitu.”

Amylea tidak menjawab. Wajahnya masam mencuka. Tangannya disilangkan ke dada. Sedikit pun dia tidak memandang ke arah Erry Edrian.

Erry Edrian tahu Amylea sedang marah.

“Pakai seatbelt.”

Amylea tetap buat tidak tahu. Akhirnya Erry Edrian memakaikan seat belt untuk Amylea.

“Abang nak bawa Lea pergi mana?” tanya Amylea. Kini suaranya dikendurkan.

“Lea mengantuk tadi kan? Lebih baik Lea tidur dulu. Dah sampai nanti abang kejutkan.”

Amylea melepaskan keluhan.

“Suka hati abanglah. Malas Lea nak layan.”

Amylea terus memejamkan matanya. Walaupun matanya terpejam rapat tapi hatinya bergelojak hebat. Dia tidak pasti ke mana hala tuju Erry Edrian. Untuk membuka mata dia tak berani. Dia bimbang jika Erry Edrian akan bersoal jawab yang tidak-tidak. Namun akibat kepenatan dia terlelap juga akhirnya.

Erry Edrian mengerling ke arah isterinya. Sepanjang perjalanan, air mata lelakinya tumpah ke pipi. Dia sudah tidak sanggup untuk menanggung dosa. Biarlah malam ini akan menjadi penentu segalanya. Dia sudah penat. Jika inilah ketentuannya dia reda. Tempat yang dituju akhirnya tiba. Sisa air jernih itu dilapnya lembut. Dia menarik nafasnya dalam-dalam lalu dilepaskan perlahan.

“Lea bangun. Kita dah sampai.”

Erry Edrian mengejut lembut isterinya. Amylea menggeliat malas. Matanya digosokkan perlahan.

“Kenapa kita balik rumah papa? Kita nak buat kat sini?” soal Amylea resah.

“Kita masuk dalam dulu. Nanti Lea akan faham juga.”

Banglo yang tadinya gelap kini terang-benderang. Pintu pagar automatik terbuka. Dia memasukkan kereta ke halaman rumah. Dia memakirkan keretanya. Pintu kereta di sebelah Amylea dibukanya. Kelihatan Amylea termangu-mangu. Tidak mengerti akan situasi itu. Hati Amylea tertanya sendiri. Mengapa dia dibawa ke sini? Atas urusan apa mereka ke sini?”

“Lea, Erry, kenapa datang malam-malam begini? Ada hal apa ni?” soal Haji Ariffin.

“Maafkan kami papa sebab ganggu papa dan mama malam-malam begini. Erry ada hal yang nak dibincangkan dengan mama dan papa,” ujarnya sambil menyalami tangan kedua orang tuanya.

“Masuklah dulu. Kita bincang di dalam,” arah Haji Ariffin.

Mereka membontoti langkah Haji Ariffin. Amylea melabuhkan punggungnya di sisi Hajah Rubiah. Erry Edrian duduk di sebelah Haji Ariffin. Erry Edrian memandang ke arah Amylea yang duduk di sisi ibu mertuanya.

“Ada hal penting apa ni Erry sampai tak boleh nak tunggu esok?” soal Haji Ariffin. Wajah menantunya ditatap hairan.

“Sebenarnya...”

“Along, abang long. Kenapa datang lewat malam begini?” Zufri adik kepada Amylea menegur. Dia menuruni anak tangga sambil diikuti oleh Rahman, anak bongsu Haji Ariffin dan Hajah Rubiah. Mereka menyalami tangan Erry Edrian dan Amylea.

“Maaf sebab abang long ganggu tidur Zuf dengan Man.”

“Tak apa abang long. Tapi hairan juga tak pernah-pernah abang long dan along datang waktu begini. Mesti ada hal pentingkan?” tanya Rahman.

“Terlebih dahulu Erry nak minta maaf pada papa dan mama. Erry datang sini sebenarnya nak pulangkan Lea pada keluarga dia semula.”

“Apa?” soal mereka berlima serentak.

“Apa maksud Erry? Mama tak faham?” soal Hajah Rubiah terkejut. Muka menantunya dipandang.

“Erry nak semua jadi saksi pada malam ni,” beritahu Erry Edrian.

“Saksi apa Erry? Cuba jelaskan pada kami. Jangan buat kami tertanya-tanya,” sampuk Haji Ariffin.

“Papa, mama, saya akan lepaskan Lea,” beritahu Erry Edrian sebak.

“Ha?” Hajah Rubiah benar-benar terkejut. Haji Ariffin menggelengkan kepalanya. Zufri dan Rahman tidak berkelip memandang Erry Edrian.

“Apa yang Lea dah buat pada Erry sehingga mengambil keputusan untuk berpisah dengan Lea?”

“Pa, kami dah tak sehaluan.”

“Papa tak yakin itu puncanya pasti ada sebab lain. Papa kenal Erry. Kalau ada masalah tak boleh ke dibawa berbincang dulu?”

“Maaf pa, ma. Ini soal maruah saya sebagai seorang suami. Apa yang berlaku antara Erry dan Lea biarlah menjadi rahsia kami. Saya nekad untuk lepaskan Lea.”

“Nampaknya Erry benar-benar nekad untuk lepaskan Lea. Kalau itu dah keputusan Erry, kami tak boleh nak buat apa. Kami akan terima keputusan itu dengan hati yang terbuka.”

“Terima kasih pa.”

Haji Ariffin sekadar mengangguk.

“Lea, abang mohon ampun dan maaf seandainya sepanjang perkahwinan kita abang ada terkasar bahasa, abang tahu abang gagal jadi seorang suami yang baik pada Lea. Seandainya abang ada terguna harta benda Lea, makan dan minum abang sepanjang perkahwinan kita abang minta dihalalkan. Abang juga dah ampunkan segala kesalahan Lea pada abang.”

Amylea diam membisu. Hatinya kosong saat ini. Dia tidak menduga Erry Edrian akan bertindak sejauh ini. Berdosakah dia kerana membuat suaminya itu berdukacita dengannya? Bahagiakah dia dengan perpisahan ini? Entah, dia sendiri tidak mampu untuk merungkaikan isi hatinya saat ini. Benarkah jodoh mereka setakat ini sahaja? Amylea benar-benar buntu. Hatinya bercelaru. Pedih rasa hatinya bagai terhiris sembilu. Masih tersisakah sayang dan cintanya untuk Erry Edrian?

“Bersaksikan semua, Saya Erry Edrian bin Lukman Hakim menceraikan isteri saya, Amylea binti Ariffin dengan talak satu,” tutur Erry Edrian tenang.

Air matanya gugur buat sekian kalinya. Mahligai yang dibina atas dasar cinta berkecai di tengah jalan. Cinta yang dibina musnah.

Wajah Amylea ditenungnya sayu. Erry Edrian melihat Amylea menitiskan air mata. Entah kenapa dia berasa amat sedih dan pilu. Seolah-olah dia kehilangan sesuatu yang amat berharga dalam hidupnya. Walau hatinya masih bersisa rasa sayang dan cinta kepada isterinya, namun hatinya tekad untuk meninggalkan isterinya.

“Erry minta maaf mama, papa. Halalkan makan minum Erry, ampunkan semua kesalahan Erry sepanjang menjadi menantu mama dan papa,” ucapnya sayu sambil menyalami tangan kedua bekas mentuanya. Dia memeluk erat Haji Ariffin, diikuti Zufri dan Rahman.

“Sabarlah bang long. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” Rahman memujuk lembut.

“Terima kasih Man. Abang balik dulu. Mama, papa, soal penjagaan anak buat sementara waktu ini biarlah Lea yang jaga dulu kerana Alaisya masih memerlukan mamanya.”

“Lea, jagalah Alaisya baik-baik. Papa, mama esok Erry akan hantar Alaisya ke sini. Erry minta diri dulu. Assalamualaikum.”

Mereka menjawab salam serentak. Erry Edrian berlalu meninggalkan banglo Haji Ariffin. Tanpa berlengah lagi Amylea terus masuk ke bilik. Dia menangis teresak-esak. Hatinya terasa sakit. Namun segalanya telah terjadi. Dia harus menerima hakikat bahawa dia telah bergelar janda.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.