Home Novel Komedi/Romantik Komedi kurang asam punya bos!
kurang asam punya bos!
nuroll shazlinda hairul
22/1/2013 14:55:25
398,861
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
bab 36

36

Firuz Eidil masih bermalas-malasan. Peristiwa semalam masih berlegar-legar diingatannya.

Dia terpandangkan cincin pertunangannya dengan Julia yang diletakkan di atas meja. Cincin tersebut diambilnya lalu dibeleknya. Ingatannya menerewang ke masa lalu. Pada hari dia melamar Julia untuk menjadi permaisuri hidupnya.

Tepat jam 8 malam, Firuz Eidil sudah sedia menanti di luar rumah Julia. Dia cukup kacak dengan baju kemeja berwarna ungu. Warna kegemaran Julia. Setelah beberapa minit menunggu Julia pun muncul dengan gaun malam yang sedondon warnanya dengan Firuz Eidil. Mereka umpama merpati dua sejoli.

“You suruh I pakai lawa-lawa ni, kita nak ke mana sebenarnya?” soal Julia manja.

“Mana I boleh beritahu you. I ada sesuatu yang istimewa untuk you.”

“Istimewa?”

Firuz Eidil tidak menjawab sebaliknya dia hanya mengangguk.

“You ni sengaja nak buat I berdebar. Berilah tahu apa yang istimewa itu?”

“Kalau beritahu sekarang dah istimewa lagilah. Sekarang, you kena pakai ini.” Firuz Eidil menunjukkan sehelai tuala.

“Nak buat apa pula ni?”

“I nak tutup mata you. Nanti kalau kita dah sampai ke destinasi yang dituju baru I akan buka ikatan ni.”

“Tapi...”

“Tak ada tapi-tapi lagi. You sayang I tak?”

“Tentulah I sayang you.”

“Jadi you kena dengar cakap I.”

“Okey.” Julia telah memuncungkan bibirnya.

Firuz Eidil tersenyum kecil melihat telatah Julia. Lalu dia menutup mata Julia dengan tuala yang dipegangnya tadi. Lalu dibawa Julia masuk ke dalam kereta. Pemanduannya penuh berhati-hati. Julia yang berasa rimas matanya diikat tidak berhenti bercakap sejak Firuz Eidil memulakan pemanduannya. Sekali sekala Firuz Eidil akan mentertawakan gelagat Julia. Julia pula akan menarik muka masam apabila diketawakan. Tanda tidak puas hati. Apabila sampai ke tempat yang dituju, Firuz Eidil memakirkan keretanya.

“Okey, kita dah sampai sang puteri becok.”

Firuz Eidil mematikan enjin kereta. Dia membawa Julia keluar dari kereta.

“Kita dah sampai mana ni?”

“Syurga kot,” Firuz Eidil mengusik nakal.

“Youuu...janganlah main-main. Entah-entah you bawa I ke tempat yang tak elok. I lapor polis nanti,” ugut Julia. Firuz Eidil ketawa mendengar kata-kata Julia. Macamlah dia tu jahat sangat nak berbuat sesuatu yang tidak elok pada kekasih hati sendiri. Dia masih belum hilang akal lagi ya!

“You ni mengarutlah. Takkan I nak buat sesuatu yang tak elok pada buah hati pengarang jantung I.”

“Manalah tahu. Lelaki zaman sekarang ni bukan semuanya betul.”

“You ni banyak cakaplah. Ikut sahaja I.”

“Hish dah rasa macam dalam cerita Ali Baba Bujang Lapuk pulak. You tak nak nyanyi lagu ke?” Julia berseloroh nakal.

“Macam-macamlah you ni. Okey kita dah sampai. Sekarang I nak buka ikatan mata you.”

“Cepatlah I dah tak sabar ni.”

“Sabarlah sayang.”

Sebaik sahaja ikatan dibuka, kedengaran lagu happy birthday dinyanyikan. Dalam kesuraman, muncul satu cahaya. Dia melihat Firuz Eidil sedang membawa kek hari jadi untuknya. Julia tidak dapat menahan sebak di dada. Dia berasa terharu dengan kejutan yang dibuat oleh Firuz Eidil.

“Selamat ulangtahun yang ke 26 sayang.”

“Terima kasih, sayang. I tak tahu nak cakap apa lagi.”

“Tak perlu cakap apa-apa sebab I memang sayangkan you.”

Julia mengangguk. Kemudian dia meniup lilin kek tersebut. Planet Hollywood bergema dengan tepukan gemuruh dari tetamu yang hadir. Seketika kemudian, Julia memotong kek lalu disuapnya ke mulut Firuz Eidil. Mereka saling berbalas senyuman. Ada sinar cinta dalam hati mereka.

“I ada satu lagi kejutan untuk you.”

“Kejutan lagi? Apa pula kali ni?” tanya Julia yang begitu teruja.

Firuz Eidil menganggukkan kepalanya.

“Duduk sini.”

Firuz Eidil menarikkan kerusi untuk Julia lalu Julia melabuhkan punggungnya ke kerusi. Firuz Eidil terus menuju ke pentas. Setelah berbincang dengan pemuzik, dia mengambil mikrofon.

“Lagu ini saya tujukan khas buat kekasih hati saya, Julia. Selamat hari lahir sayang.”

Sekali lagi tepukan gemuruh bergema. Alunan muzik mula dimainkan.

Aku ingin menjadi mimpi indah

Dalam tidurmu

Aku ingin menjadi sesuatu

Yang mungkin bisa kau rindu

Kerana langkah merapu tanpa dirimu

Kerana hati telah letih

Aku ingin menjadi

Sesuatu yang selalu bisa kau sentuh

Aku ingin kau tahu

Bahawaku selalu memujamu

Tanpamu sepinya waktu merantai hati

Oh bayangmu seakan-akan

Kau seperti nyanyian dalam hatiku

Yang memanggil rinduku padamu

seperti udara

Yang kuhela kau selalu ada

Hanya dirimu

Yang bisa membuatku tenang

Tanpa dirimu aku merasa hilang

Dan sepi dan sepi

Usai mengalunkan lagu tersebut, tepukan gemuruh jelas kedengaran. Firuz Eidil segera mendapatkan Julia. Dia melutut di hadapan gadis itu. Seperti yang telah dirancang, muzik bertukar irama. Planet Hollywood menjadi taman romantika. Seorang gadis berdiri di sebelah Firuz Eidil sambil membawa sebuah kotak baldu berbentuk hati lalu menyerahkannya kepada Firuz Eidil. Julia memandang Firuz Eidil dalam debar.

“Julia, sudi tak awak menjadi suri hidup saya, menemani saya sepanjang usia saya, bersama saya dalam suka dan duka?”

Julia tergamam. Dia tidak menyangka bahawa Firuz Eidil akan melamarnya. Firuz Eidil masih setia menanti jawapan daripada Julia. Akhirnya Julia mengangguk. Firuz Eidil mengucap syukur. Dia menyarungkan cincin tersebut ke jari manis milik Julia.

“Terima kasih sayang.”

“Cincin ini sebagai simbolik cinta I pada you. Cincin tunang yang sebenar, mama I yang akan sarungkan ke jari you. Minggu ni keluarga I akan hantar rombongan meminang.”

“Terima kasih untuk segalanya.”

Firuz Eidil senyum sendiri. Memori itu indah. Dia mengeluh berat. Kemudian dia kembali murung. Dia sedar cerita cintanya telah berakhir. Semuanya salah perempuan itu! Hatinya membentak keras. Padanya Elfira wajar disalahkan.

Engkau terlalu ego Firuz. Kau yang sebenarnya bersalah bukan L! tutur satu suara aneh.

“Siapa kau?” soal Firuz Eidil.

“Hahahaha kau tak kenal aku?” soal suara itu lagi sambil ketawa.

“Kau siapa? Pergi jangan ganggu aku. Aku tak kenal kau!”

“Aku adalah kau. Aku adalah kau, Firuz Eidil!”

“Mustahil!”

“Ya, aku adalah kau!” jerkah pemilik suara garau itu.

“Pergi! Pergi!” Halau Firuz Eidil. Meremang bulu romanya.

Pemilik suara garau itu terus ketawa berdekah-dekah.

“Aku kata pergi! Jangan ganggu aku!”

Ketawa itu menghilang apabila telefon bimbitnya berbunyi. Firuz Eidil bagaikan orang yang baru sedar dari lena yang panjang. Dia beristighfar. Wajahnya diraup perlahan. Lantas telefon yang masih rancak berdendang dijawabnya tanpa melihat siapa pemanggilnya. Salam diberi.

“Apa dah jadi ni along? Tak ada angin tak ada ribut tup tup keluarga si Julia minta putuskan pertunangan. Kata Julia kamu curang dengan dia? Betul ke?” soal Puan Sri Faizura sebaik sahaja dia membalas salam anaknya.

Firuz Eidil hanya membatukan diri. Dia tahu mama dan papanya akan tahu juga akhirnya. Nampaknya memang tiada jalan lagi untuk dia dan Julia berbaik semula.

“Mama nak kamu balik rumah sekarang juga! Papa dah angin satu badan dengan along. Ini nasib baik mama yang telefon kalau papa yang telefon tadi alamatnya bernanahlah telinga kamu. Jangan lupa papa suruh balik hari ini juga. Along dengar tak apa yang mama cakapkan ni?”

“Dengar ma,” jawab Firuz Eidil acuh tak acuh.

“Jangan setakat dengar je. Balik tau.”

“Iyalah ma.”

Tanpa menunggu bicara seterusnya daripada Puan Sri Faizura dia terus sahaja mematikan talian. Puan Sri Faizura terkedu dengan tindakan anaknya.

“Hish budak ni, kita belum habis cakap lagi, dia dah matikan telefon. Buat pening kepala orang tua sahaja,” rungutnya sendirian. Tangannya memicit-micit perlahan kepalanya yang mula terasa berdenyut.

Mungkin darah tingginya naik lagi. Usianya yang semakin lanjut membuatkan pelbagai penyakit datang hinggap ke tubuhnya. Mana dengan darah tinggi, kencing manis mujur saja dia tidak mempunyai penyakit jantung mahupun kanser.

Masakan tidak darah tingginya itu naik, jika anak sulungnya itu asyik dengan masalah. Dahulu anaknya itu tidak mahu mengambil alih syarikat papanya, apabila puas dipujuk barulah dia bersetuju. Itupun dengan syarat dia mahu hidup sendiri tanpa bantuan daripada keluarga.

Kemudian dia mahu bertunang pula dengan Julia. Walaupun pada awalnya mereka membantah, tetapi dek kerana pujuk rayu Firuz Eidil, akhirnya mereka bersetuju. Sekarang ini lain pula ceritanya. Aduhai sampai bilalah anak lelakinya itu akan menyenangkan sekeping hati nurani seorang ibu. Wajah suaminya ditenung keruh. Kemudian dia mendapatkan suaminya.

“Julia, kenapa kau buat aku macam ni?” jerit Firuz Eidil melepaskan rasa tertekannya. Dia menarik nafasnya lalu dilepaskan perlahan.

Firuz Eidil lantas bangkit dari pembaringannya. Kakinya terasa berat untuk melangkah. Dia bersiap ala kadar sahaja. Dia harus balik ke rumah orang tuanya. Jika lambat dia sampai ke sana pasti papanya akan bertambah angin!

Previous: bab 35
Next: bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.