Home Novel Komedi/Romantik Komedi kurang asam punya bos!
kurang asam punya bos!
nuroll shazlinda hairul
22/1/2013 14:55:25
398,293
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 24

24

Firuz Eidil memerhatikan Elfira. Dia bingung sejak dari pagi tadi tiada langsung butir bicara yang keluar dari mulut Elfira. Hanya diam seribu bahasa.

“Hai takkan dah seronok keluar dengan boyfriend, awak dah tak nak tegur saya? Kenapa takut boyfriend cemburu ke?” Firuz Eidil memulakan bicara.

Elfira memandang ke arah Firuz Eidil melalui cermin pandang belakang. Wajahnya masam mencuka. Kata-kata Firuz Eidil langsung tidak diambil kisah.

“L, saya cakap dengan awak. Dengar ke tak?” Firuz Eidil mula bosan apabila Elfira masih buat tidak tahu.

“Hei awak pekak ke?” Firuz Eidil mula meninggikan suara. Elfira tetap seperti tadi.

“L!”

Firuz Eidil menolak bahu Elfira. Dia yang sedang memandu terkejut dengan tolakan Firuz Eidil. Dia nyaris-nyaris hilang kawalan. Kereta diberhentikan di bahu jalan. Elfira memandang ke arah Firuz Eidil.

“Encik Firuz ni gila ke apa? Encik Firuz tak nampak saya tengah memandu? Kalau berlaku kemalangan tadi siapa yang nak tanggung? Ada akal gunalah!” Elfira melempiaskan marahnya.

“Salah awak juga. Yang awak tu dari tadi boikot saya kenapa? Saya tanya langsung awak tak jawab. Awak ingat saya bercakap dengan tiang ke? Mentang-mentang awak dapat tackle anak Tan Sri awak nak berlagak dengan saya. Entah apa agaknya ilmu yang awak guna sampai Erry Edrian itu terhegeh-hegeh nak kat awak.”

“Apa masalah Encik Firuz ni? Saya nak bercinta dengan siapa itu hak saya. Ada saya pertikaikan Encik Firuz dengan Julia? Tak ada kan? Encik Firuz fikir saya ni sentiasa ada mood untuk bergurau je ke? Kadang-kadang saya ada rasa malas nak layan kerenah orang gila macam Encik Firuz, tahu tak!”

“Bukan ke saya dah kata jangan panggil saya Encik Firuz, panggil Firuz atau awak sudahlah. Kenapa awak boikot untuk tidak bercakap dengan saya?”

“Saya tak ada mood nak bercakap hari ini. Awak boleh faham tak? Saya tak ada mood.” Elfira mengendurkan suaranya. Malas dia mahu bertekak dengan Firuz Eidil.

“Kenapa? Semalam awak bergaduh dengan Erry ke? Itulah awak, orang tua-tua dah pesan kalau cari pasangan biarlah padan. Pipit mana boleh terbang dengan Enggang. Lagi pun awak ingat anak Tan Sri tu nak sangat ke kat awak. Entah-entah awak itu skandal dia nombor berapa pun awak tak tahu. Tapi kalau tak silap saya, Erry Edrian itu duda. Berita dia ada tersebar luas. Jangan-jangan dia tinggalkan isterinya yang popular itu kerana awak? Tak sangka saya awak ni rupanya perampas suami orang.” Sengaja Firuz Eidil membakar hati Elfira.

“Saya sedar di mata awak saya ni hanyalah driver dan orang gaji awak semata-mata. Perempuan macam saya hina di mata awak. Tak boleh ke awak pandang saya dari satu sudut yang positif. Ya, cara saya berpakaian memang begini, sikap dan tingkah laku saya kasar tapi di dalam ni...” Elfira menunjukkan ke arah dadanya.

“Di dalam ni, jiwa saya tetap seorang perempuan. Itu yang awak tak pernah nampak dan tak pernah awak nak selami. Awak hanya tahu memandang hina kepada saya. Saya tahu saya tak sesempurna Julia, tunang kesayangan awak tu.Bak kata awak, driver is a driver. Saya tak layak untuk bergandingan dengan awak. Awak takkan malukan diri awak dengan mengahwini perempuan macam saya. Saya tahu dan saya sedar akan hakikat itu.”

Firuz Eidil terpempan.

“Awak mengintip saya semalam?”

Elfira tidak menjawab pertanyaan Firuz Eidil.

Firuz Eidil keluar dari kereta. Dia membuka pintu di tempat duduk Elfira. Ditariknya Elfira keluar dari kereta. Pintu kereta ditutup kuat. Disandarkan gadis itu pada pintu kereta. Firuz Eidil sudah tidak kisah dengan mata-mata yang memandang mereka.

“Saya tanya awak sekali lagi, awak intip saya semalam?” tanya Firuz Eidil kasar.

“Tak!”

“Kalau awak tak intip saya, macam mana awak tahu apa yang saya katakan pada Julia?”

Keadaan menjadi semakin tegang. Mereka saling berbalas renungan. Akhirnya Elfira mengalah.

“Semalam saya datang rumah awak sebab saya nak bagi mi kari untuk awak, Ain dan Dira. Belum sempat saya nak ketuk pintu saya terdengar perbualan menarik antara awak dengan Julia. Jadi dah alang-alang dengar biarlah dengar sampai habis. Puas hati?” Dia merenung tajam ke arah Firuz Eidil.

“Awak dah menceroboh hak saya!” Firuz Eidil mulai melenting.

“Jangan-jangan awak boikot saya sebab awak cemburu hubungan saya dengan Julia.” Firuz Eidil menyerkap jarang.

“Heloooo...tak ada maknanya saya nak cemburu. Buang masa aje. Apa kelas wanita macam Julia itu? Jalan pun tergedik-gedik macam patah pinggang. Mekap macam nak berlakon opera. Kasihan pada lelaki yang jatuh cinta dengan dia.” Elfira semakin berbisa menuturkan bicara.

Pang! Satu tamparan hinggap di pipi Elfira. Elfira menggosok-gosokkan pipinya.

“Awak jangan nak hina dia. Julia tunang saya. Sekurang-kurangnya dia sama taraf dengan saya. Awak tu yang kena sedar diri. Entah-enatah awak itu yang bomohkan Erry Edrian agar dia jatuh cinta dengan awak. Jika tidak kenapa dia boleh ceraikan isterinya sedangkan satu Malaysia tahu yang Erry Edrian begitu mencintai Amylea. Awak itu yang tak ada harga diri. Setakat orang macam awak, orang buta pun belum tentu lagi berkenan tau!”

Elfira cuba menahan amarahnya. Dadanya turun naik. Jika diikutkan hatinya yang marah, sudah lama Firuz Eidil menjadi ‘mangsanya’.

“Encik Firuz, awak dah lambat nak ke pejabat. Cepatlah, saya malas nak layan awak.”

“Tak perlu. Saya boleh pandu sendiri. Mulai hari ini saya tak nak tengok muka awak lagi. Bagi balik kunci rumah saya. Awak boleh ambil gaji di pejabat.”

“Takkan kerana hal ini awak nak berhentikan khidmat saya?” Elfira tidak berpuas hati.

“Kenapa? Awak tak puas hati? Saya dah malas nak ambil orang yang tak sedar diri macam awak. Bagi balik kunci rumah.”

Elfira tiada pilihan. Dia memberikan kunci pendua kepada Firuz Eidil. Firuz Eidil merentap kunci tersebut dengan kasar. Kemudian dia berlalu meninggalkan Elfira keseorangan di situ. Elfira melepaskan keluahan berat.

“Tak guna punya mat singa! Aku benci kau!” jerit Elfira.

Dia mencekak pinggang. Kebetulan sebuah teksi lalu dia terus menahan teksi tersebut. Sepanjang perjalanan wajahnya masam mencuka. Sakit hatinya diperlakukan begitu oleh Firuz Eidil. Setibanya di rumah Firuz Eidil, dia merenung lama ke arah rumah tersebut. Rumah yang bakal ditinggalkan dengan seribu satu kenangan yang tak mungkin dapat dilupakan.

Di rumah ini, dia mula mengenali dapur, pertama kali terpaksa berkemas, gurau dan jerit pekiknya bersama Firuz Eidil, Ain Nadia dan Dira Nadia terbayang di ruang matanya. Tetapi kini segalanya akan berubah. Tiada lagi istilah pembantu rumah dalam hidupnya. Tiada lagi gelaran pemandu yang menghantui hidupnya. Segalanya akan berubah kini.

Elfira menghubungi Erry Edrian. Hanya Erry Edrian satu-satunya tempat untuk dia meluahkan segala yang terbuku di hatinya. Dia berasa lega apabila panggilannya berjaya disambungkan ke talian Erry Edrian. Kedengaran suara Erry Edrian memberi salam di hujung talian. Lalu disambut lemah oleh Elfira.

“Angah senang tak?” L nak jumpa sekarang boleh?”

“L okey ke? Angah dengar suara L lain macam je.”

“Kita jumpa di Yayasan Bakti.”

“Okey L, angah akan ke sana sekarang.”

Thanks angah.” Talian telefon dimatikan.

“Tak guna kau L. Siapa kau untuk menghina tunang aku!” bentak Firuz Eidil geram. Dadanya turun naik menahan rasa marah yang tak terperi.

“Selamat pagi bos,” sapa Sofea mesra seperti selalu.

“Selamat pagi! Fea masuk ke pejabat saya sekarang!” arah Firuz Eidil. Tegang.

Sofea menganggukkan kepalanya. Semua mata memandang ke arah Sofea. Sebaik sahaja Firuz Eidil masuk ke biliknya, Tasya mendekati Sofea.

“Kenapa dengan bos kita hari ini? Angin semacam je aku tengok. Selalunya dia tak begini. Jangan-jangan L buat hal lagi tak?” serkap Tasya.

“Hish kau ni memandai je. Manalah tahu kalau bos ada masalah lain ke?”

“Aku agak je. Selalunya L yang akan hantar briefcase bos sampai ke bilik tapi hari ini tak nampak pun dia. Dah itu bos kita pula datang dalam keadaan marah-marah. Kau tak rasa pelik ke?

“Sudahlah Tasya, aku malas nak layan kau. Aku nak pergi jumpa bos. Lewat nanti dengan aku, aku sekali kena marah.”

“Hati-hatilah ya. Bos tengah angin satu badan.”

Tasya dan Sofea ketawa kecil. Sofea membetulkan pakaiannya. Dia mengetuk perlahan pintu bilik Firuz Eidil. Tanpa menunggu arahan Firuz Eidil, Sofea terus masuk ke bilik Firuz Eidil dengan buku catatan dan pen di tangan.

“Sofea, kamu tolong buatkan satu surat pemberhentian kerja terhadap Elfira serta-merta. Notis 24 jam dan saya akan bayar pampasan pada dia.”

“Elfira nak diberhentikan kerja? Tapi kenapa?”

“Jangan banyak tanya boleh tak? Buat sahajalah apa yang saya suruh faham!”

“Faham. Ada apa-apa lagi bos?” tanya Sofea gugup.

“Itu sahaja, Ingat notis 24 jam. Awak hubungi dia dan suruh ambil gaji dia. Saya dah tandatangan cek ini. Yang nama itu awak isikanlah nanti. Lepas itu awak serahkan pada dia dan saya tak nak jumpa dia lagi. Awak boleh keluar sekarang.”

“Terima kasih bos. Saya keluar dulu.”

Sebaik Sofea tiba ditempatnya dia memandang cek ditangannya. Bagai tidak percaya yang Firuz Eidil akan memberhentikan Elfira. Dia merasakan semua itu seperti mimpi. Lantas jari-jemarinya pantas mendail nombor Elfira. Dia menanti dengan penuh sabar. Akhirnya talian berjaya disambungkan.

“L, apa dah jadi ni? Kenapa kau tiba-tiba diberhentikan kerja?” soalnya tanpa memberi salam terlebih dahulu. Jelas kedengaran helaan nafas dihujung talian.

“Kau ni Fea, kalau ya pun berilah salam dulu. Ini tak main terjah je,” tegur Elfira dalam nada yang lemah.

“Maaf. Aku sebenarnya terkejut sangat tadi, assalamualaikum.”

“Begitulah. Waalaikumussalam.”

“L apa dah jadi sebenarnya? Kenapa tiba-tiba kau diberhentikan kerja?” Sofea bertanya kembali.

“Diakan bos jadi ikut suka dialah kalau dia nak berhentikan aku kerja. Itu hak dia.”

“Itu aku tahu. Masalahnya dia datang kerja tadi muka dia tegang betul. Sebelum ni dia tak pernah setegang ni.”

“Jadi, apa kena mengena dengan aku?”

“Mestilah ada kena mengena. Kalau tak ada kena mengena kenapa kau diberhentikan kerja serta merta pula. Aku hairan bin ajaib ni.”

“Sudahlah Fea, aku malas nak cakap hal ni. Okeylah aku ada hal nak diuruskan.” Elfira terus mematikan talian.

“L, L tunggu dulu aku belum habis cakap lagi. Lah dia letak telefon pulak!” Sofea cuba mendail nombor Elfira semula.

“Kau nak apa lagi Fea?” tanya Elfira dengan suara sedikit keras.

“Kenapa kau matikan telefon? Aku belum habis cakap lagi.”

“Kau nak cakap apa lagi Fea? Aku nak bersendirian buat masa ni,” Elfira bercakap dengan suara sedikit keras.

“Aku faham tapi kau kena datang sini untuk ambil cek kau.”

“Cek apa?”

“Gaji dan pampasan untuk kau.”

“Kau pulangkanlah semula cek itu pada dia. Aku tak hadap duit gaji dan pampasan dia itu. Tapi kau ingat Fea, jangan bocorkan rahsia aku.”

“Pulak dah. Kau tak menyesal tak ambil cek ni?” duga Sofea.

“Sikit pun aku tak menyesal. Kalau kau nak duit tu ambillah. Aku sedekah.”

“Tak nak aku. Duit gaji aku pun dah memadai nak tanggung hidup aku. Buat apa aku nak ambil duit kau.”

“Kalau begitu pulangkan je cek itu pada dia.”

“Yelah, yelah aku pulangkan.”

“Fea, aku ada hal. Malam ni aku tak balik rumah. Aku tidur di rumah mama aku.”

“Okey, hati-hati ya L,” pesan Sofea. Rasa kasihan menular ke sanubarinya.

Elfira segera mematikan talian telefonnya. Dia kembali sibuk membantu anak-anak yatim yang sedang rancak mengemas kawasan persekitaran blok mereka. Manakala kanak-kanak kecil pula sedang seronok bermain di taman. Elfira terhibur melihat telatah mereka. Sekurang-kurangnya hilang rasa marahnya pada Firuz Eidil.

Tidak lama kemudian, Erry Edrian datang bersama dengan anaknya, Puteri Alaisya.

“Bila angah ambil Cha?”

“Petang semalam. Angah ingat sebelum angah pergi UK, angah nak habiskan masa dengan Cha.”

“Kak Lea tak marah ke?”

“L, bercerai bukan bererti hubungan antara anak dengan ibu bapa akan putus. Kak Lea faham itu. Dia sendiri tidak kisah. Kami tak nak naik turun mahkamah hanya kerana isu anak. Lagipun Cha ni masih kecil, biarlah dia dengan mamanya.”

“Yelah manalah tahu kalau keluarga Kak Lea marah ke?”

“Tidak sama sekali. Sekali pun angah dah bercerai dengan Kak Lea tapi ibu bapa kak Lea tetap ibu bapa angah. Mereka pun boleh bertolak ansur dengan angah.”

“Syukurlah kalau begitu sekurang-kurangnya tiada permusuhan.”

“Adik angah ni nak jumpa angah di sini kenapa?” soal Erry Edrian kembali.

“L dah diberhentikan kerja.”

“Kenapa diberhentikan kerja?” soal Erry Edrian hairan. Dia benar-benar terkejut mendengar perkhabaran yang dibawa oleh adiknya.

“L tak pasti. Cuma yang L tahu mat singa marah sebab L mengata tunang dia. Tapi yang L tak boleh terima dia tampar L sebab ejek tunangnya.”

“Hanya sebab itu?” soal Erry Edrian simpati. Elfira menganggukkan kepalanya.

“Angah sendiri tak pernah tampar L, berani dia tampar adik angah. Ini tak boleh jadi, biar angah yang uruskan dia.”

“Jangan angah. L tak nak dia tahu siapa L. Biarkanlah dia dengan caranya.”

“Jadi L nak buat apa sekarang?”

“L bercadang untuk sambung belajar.”

“Sambung belajar?” Erry Edrian bertanya untuk kepastian. Elfira menganggukkan kepalanya.

“Sambung dalam negara atau luar negara?”

Elfira terdiam seketika. Dia menjatuhkan pandangannya ke arah kanak-kanak yang sedang bermain congkak.

“Bagaimana kalau L ikut angah study di UK.”

“Ha?” Erry Edrian sedikit terperanjat dengan pernyataan adiknya. Elfira buat-buat tidak nampak akan reaksi Erry Edrian.

“Agak-agaknya mama dan papa bagi tak L sambung belajar?” tanya Elfira.

Erry Edrian mengangkat bahunya sambil keningnya diangkat.

Previous: bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.