Home Novel Komedi/Romantik Komedi kurang asam punya bos!
kurang asam punya bos!
nuroll shazlinda hairul
22/1/2013 14:55:25
398,304
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
bab 23

23

Firuz Eidil menghempaskan tubuhnya ke sofa. Kepalanya dipicit perlahan. Dia merasakan kepalanya sakit sangat. Berdenyut-denyut. Hatinya masih lagi membengkak. Peristiwa yang berlaku di Mid Valley masih terbayang-bayang diruang matanya.

Kemesraan di antara Erry Edrian dan Elfira benar-benar membuatkan hati dan perasaannya tertekan. Setiap kali tangan Elfira memaut lengan Erry Edrian, darah mudanya akan menyerbu ke muka. Bertambah sakit hatinya apabila melihat Erry Edrian mencium dahi Elfira. Jantungnya berdegup pantas. Melihat senyum bahagia Elfira membuatkan jiwanya resah.

Dari baring dia kemudiannya duduk. Majalah yang tersusun kemas di mejanya dipandang kosong. Dia bagaikan ternampak wajah Elfira sedang senyum mengejek kepadanya di muka hadapan majalah tersebut. Firuz Eidil sakit hati lalu dilemparkan majalah tersebut ke lantai. Lalu menjerit kuat.

“Arggghhh benciiiinyaaaa!”

Firuz Eidil menjerit sekuat hatinya. Lalu menghela nafasnya kasar. Puas rasa hatinya. Dia bingkas bangun lalu menuju ke biliknya. Dia bercadang untuk merehatkan mindanya.

Firuz Eidil menghenyakkan tubuhnya ke atas katil. Matanya dipejamkan. Baru hendak terlena, telefon bimbitnya pula menjerit. Firuz Eidil tertekan. Dia melihat nama yang tertera di skrin. Firuz Eidil mengeluh berat. Butang merah ditekan. Kemudian dia menutup telefonnya. Matanya kembali dipejamkan.

“Hish tak guna punya tunang. Boleh dia matikan telefon!” bentak Julia.

Julia menghentakkan tangannya ke stereng. Sakit ditangan tak dipeduli kerana hatinya lagi sakit saat ini. Julia membelokkan keretanya menuju ke rumah Firuz Eidil. Tunangnya itu harus dijejaki. Sudah sebulan dia tidak bertemu dengan tunangnya.

Julia mula berasa curiga. Setiap kali diajak Firuz Eidil keluar, pelbagai alasan akan diberikan oleh Firuz Eidil. Penatlah, sibuklah, letih, tak ada masa dan pelbagai alasan yang adakalanya tak munasabah. Dia mula bosan dengan keadaan itu. Apatah lagi mama dan papanya sudah sibuk bertanya hal mereka. Dia sudah naik jemu mendengar semua pertanyaan itu sedangkan Firuz Eidil buat tak endah.

Dalam Julia melayan perasaan marahnya, dia terlanggar kereta di hadapannya. Julia terkejut. Kereta dihadapannya memberikan isyarat agar mereka berhenti di bahu jalan. Julia berasa tidak sedap hati. Dia tidak keluar dari kereta. Seorang lelaki mendekatinya.

Lelaki itu mengetuk cermin kereta Julia. Dalam keterpaksaan Julia menurunkan sedikit cermin keretanya.

“Maaf encik. Saya tak sengaja. Begini, encik bawa kereta encik ke bengkel mekanik saya. Segala kos membaikinya saya akan tanggung,” beritahu Julia senafas.

Lelaki itu menghulurkan senyuman ke arah Julia. Mata mereka saling bertembung. Julia dapat rasakan sesuatu dalam hatinya.

“Soal kereta tak ada masalah. Lagi pun sikit aje. Nanti saya boleh suruh mekanik saya baiki. Awak tak perlu bayar ganti rugi,” ujar lelaki tersebut. Dia kelihatan amat tenang.

Julia khayal dalam dunianya sendiri. Dia tidak dapat mendengar tutur bicara lelaki itu. Lelaki itu yang perasan akan keadaan Julia memanggil Julia.

“Cik, cik yuhuuu cik,” lelaki itu memanggil kuat.

Lamunan Julia terhenti.

“Ha? Ya saya akan bayar ganti rugi. Nanti encik beritahu berapa. Hem encik cakap apa tadi? Encik...” soal Julia terpinga-pinga.

“Saya Tengku Naim. Tapi awak boleh panggil saya Quim.” Tengku Naim memperkenalkan dirinya.

“Saya Julia.” Julia memperkenalkan dirinya.

“Begini cik Julia...”

“Tak payah panggil cik panggil Julia aje.”

“Okey Julia, begini, soal kereta hal kecil je. Saya boleh selesaikan. Julia tak perlulah risau. Cuma nasihat saya, lain kali bawa kereta itu berhati-hati. Jangan leka atau berkhayal.”

Julia mengangguk faham. Tetapi dia juga terasa bagai disindir oleh lelaki itu.

“Terima kasih Quim. Sekali lagi saya minta maaf,” ujarnya dalam nada bersalah.

“Tak apa. Ini kad saya. Kalau ada apa-apa nanti bolehlah hubungi saya. Tak pun Julia boleh baiki kereta itu di tempat saya.”

Julia mengambil kad yang dihulurkan oleh Quim. Kemudian dia pula memberikan kadnya.

“Soal kereta saya boleh uruskan sendiri. Saya ada mekanik sendiri,” jelas Julia.

“Baiklah, kalau begitu saya gerak dulu.”

“Terima kasih Quim. Maaf sebab susahkan awak.”

“Tak apa.”

Mereka berbalas salam. Julia memerhatikan kereta Tengku Naim yang sudah berlalu pergi. Rasa marahnya pada Firuz Eidil tenggelam tatkala memandang Tengku Naim. Entah kenapa ada debar di hatinya. Dia tidak pernah mengalami perasaan seperti ini sekali pun dengan Firuz Eidil. Tetapi hari ini hati wanitanya goyah pada insan yang baru beberapa minit dikenalinya.

Julia meneruskan perjalanannya menuju ke rumah Firuz Eidil. Setibanya di rumah Firuz Eidil, dia memakirkan keretanya di luar rumah.

“Kereta ada, tapi kenapa telefon tak berangkat? Menyusahkan orang betullah dia ni,” rungut Julia sendiri.

Dia segera membuka pintu rumah Firuz Eidil dengan menggunakan kunci pendua. Sebaik pintu dibuka, dia mendapati ruang tamu kelihatan kosong. Hanya majalah yang berselerakan di atas lantai.

“Apa kena dengan tunang aku ni? Dengan majalah bersepah. Tak tahu susun elok-elok ke?” omel Julia.

Tangannya ligat mengutip majalah-majalah yang bertaburan di atas lantai. Dia kemudiannya menuju ke bilik Firuz Eidil. Pintu bilik Firuz Eidil dikuaknya lebar. Kelihatan Firuz Eidil sedang lena tidur dibuai mimpi. Julia mendekati Firuz Eidil. Dia melihat dada Firuz Eidil turun naik dengan teratur sekali. Julia tidak jadi mengganggu tidur lelaki itu. Dia kembali menuruni anak tangga. Dia terus sahaja menuju ke dapur. Dia bercadang untuk masak makan malam buat Firuz Eidil. Seingatnya sudah lama dia tidak memasak makanan buat Firuz Eidil.

Firuz Eidil menggeliat malas. Matanya terpisat-pisat. Dia terbau sesuatu yang enak menusuk ke hidungnya. Bau masakan.

L, bisik hati Firuz Eidil.

Dia bingkas bangun dari katilnya lalu dia berlari anak menuju ke dapur. Sebaik tiba di dapur dia terkejut melihat Julia berada di situ.

“Julia?”

“Hai sayang. Tadi I call you tak angkat. SoI datanglah sini. I tengok youtengah tidur. I tak sampai hati nak kejutkan you. I tengok rumah you bersepah. I tolonglah kemaskan dan I masakkan makan malam untuk you.”

“Oh terima kasih. Maaf, I tak perasan you datang.”

“Tak apa. Pergilah mandi nanti kita boleh dinner sama. I pun ada hal yang nak dibincangkan dengan you.”

“Assalamualaikum,” Ain Nadia dan Dira Nadia menghulurkan salam. Mereka membuka pintu. Mereka terkejut melihat Julia ada di situ.

“Kak Julia,” sapa Ain Nadia.

Ain Nadia dan Dira Nadia mendapatkan Julia. Mereka bersalaman dengan Julia.

“Kak Julia buat apa kat sini? Kan tak elok masuk rumah orang bujang. Kalau ada pencegah maksiat bagaimana? Ni nasib baik kami yang balik,” Dira Nadia berkata selamba.

“Kak Julia...” Julia serba salah.

“Tak apalah kak. Lain kali jangan buat lagi. Nanti kalau sesuatu yang buruk terjadi buat malu keluarga je,” sampuk Ain Nadia.

“Yelah!” jawab Julia angkuh.

“Dah lah tu hal kecil je. Along nak pergi mandi. Ain dengan Dira boraklah dulu dengan Julia.” Firuz Eidil berlalu ke biliknya.

“Ain nak mandi.”

“Dira pun. Akak duduk bawah dulu ya. Jangan pulak akak masuk bilik along.” Dira Nadia berkata sinis.

“Akak tahu!”Julia sudah memasamkan wajahnya. Geram pulak dia melihat telatah kembar itu.

“Ain dan Dira pergi mandi dulu, nanti kita boleh makan malam sekali,” beritahu Julia.

“Okey kak,” sahut Ain Nadia dan Dira Nadia serentak.

Sementara itu, Julia menghidangkan makanan di atas meja. Lima belas minit kemudian Ain Nadia dan Dira Nadia turun ke ruang makan.

“Terima kasih kak sebab masakkan untuk kami,” ucap Ain Nadia.

“Sikit je Ain. Bukan selalu pun.”

“Along tak turun lagi kak?” tanya Dira Nadia.

“Belum.”

“Ala Dira ni macam tak biasa dengan perangai along. Mandi macam perempuan. Lama,” sampuk Ain Nadia.

“Ha, asyik mengata along je kamu berdua ni,” sergah Firuz Eidil.

“Bukan mengata along tapi itukan kenyataan.”

“Hem yelah, along juga yang kena.”

“Jom kita makan,” pelawa Julia.

Mereka semua mengambil tempat masing-masing. Ain Nadia dan Dira Nadia memandang ke arah Julia yang sedang menyendukkan nasi lalu diserahkan kepada Firuz Eidil. Kemudian dia menyendukkan nasi pula untuk dirinya. Lalu dia duduk di sebelah Firuz Eidil. Ain Nadia dan Dira Nadia saling berpandangan.

Akhirnya Ain Nadia bangun lalu menyendukkan nasi untuk dia dan Dira Nadia. Julia melayan Firuz Eidil makan sambil berbual kosong. Sesekali tawa mereka pecah berderai. Manakala Ain Nadia dan Dira Nadia sekadar menjadi pemerhati. Riak wajah mereka kurang senang dengan kehadiran Julia.

Usai di ruang makan, Firuz Eidil dan Julia duduk di ruang tamu. Manakala Ain Nadia dan Dira Nadia masih lagi menikmati hidangan makan malam.

“Apa yang you nak bincang dengan I tadi?” Akhirnya Firuz Eidil bertanya tentang tujuan asal Julia. Julia memandang ke arah Firuz Eidil. Wajah tampan lelaki itu direnung dengan senyuman mekar di bibir.

Elfira memakirkan keretanya di hadapan rumah Firuz Eidil. Petang tadi dia ada buat mi kari. Jadi dia ingin memberi sedikit mi kari itu kepada Firuz Eidil, Ain Nadia dan Dira Nadia. Elfira ingin membuat kejutan kepada tiga beradik itu. Baru dia hendak mengetuk pintu tiba-tiba tindakannya terhenti apabila mendengar suara seorang wanita yang sedang rancak berbual dengan Firuz Eidil. Elfira mengamati butir bicara mereka. Telinganya ditekapkan ke pintu.

“You sampai bila kita nak terus bertunang ni? Bila kita nak tamatkan ikatan pertunangan kita dengan ikatan perkahwinan. Mama dan papa I dah tanya tau,” tanya Julia dengan suara manja.

“Sayang, bukan I tak nak kahwin. Tapi I nak kumpul aset dulu. Lagi pun kita masih muda,” tutur Firuz Eidil tenang.

“Tapi sampai bila? Umur you sekarang pun dah 28 tahun dan I dah 27 tahun. Kita dah bertunang dekat dua tahun. Dah sampai masanya untuk kita melangkah setapak lagi.”

“Sayang, tolong faham I. I nak bina kerjaya I dulu.”

“Kerjaya you dah kukuh, you nak bina kerjaya yang bagaimana lagi? Atau sebenarnya you ada perempuan lain? Atau you dah tersangkut kat driver you?” Julia menyerkap jarang.

“Apa yang you cakapkan ni? Bila masa pulak I ada perempuan lain. Driver is a driver okay. Dia tak layak untuk bergandingan dengan I. I takkan malukan diri I dengan mengahwini perempuan macam dia.”

Elfira tersentap mendengar kata-kata Firuz Eidil. Kini dia sedar dirinya dipandang kerdil pada mata Firuz Eidil.

“Firuz, I dah lama bersabar dengan you. I nak tunggu sampai bila? Takkan nak tunggu sampai I kedut sana sini baru you nak kahwin dengan I?”

“Kenapa? You dah bosan dengan I ke? Julia selagi I cintakan you dan you cintakan I, walau you berkedut seribu pun I tetap akan kahwin dengan you. Only you. Tapi kalau antara kita dah tak ada rasa cinta yang tu... I tak boleh nak kata apalah,” usik Firuz Eidil.

“Youuuu...” Julia mencubit lengan Firuz Eidil manja. Dia kemudian melentokkan kepalanya ke bahu Firuz Eidil. Lalu Firuz Eidil menolak lembut kepala Julia.

“Julia, I tak suka cara you begini.” Tolak Firuz Eidil lembut.

I’m sorry. You dah banyak berubah sekarang.”

“Tak ada apa yang berubah Julia. I sayangkan you. I janji bila ekonomi I dah kukuh, baru kita kahwin.”

“Janji?”

“Janjisayang.”

I love you,” ucap Julia manja.

I love you too, sayang.”

Hati Elfira terasa pedih dan sakit. Dia tidak tahu mengapa. Lantas kakinya diatur menuju ke kereta. Sebak dadanya. Dia merenung mi kari yang sudah diletakkan di sebelahnya. Dia berlalu dari perkarangan rumah Firuz Eidil.

Ain Nadia dan Dira Nadia yang melihat sandiwara itu hanya menahan hati. Meluat mereka melihat telatah Julia. Adakalanya mereka terfikir bagaimana Firuz Eidil boleh jatuh cinta dengan orang macam Julia. Gedik!

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.