Home Novel Komedi/Romantik Komedi kurang asam punya bos!
kurang asam punya bos!
nuroll shazlinda hairul
22/1/2013 14:55:25
398,810
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 21

21

Pusat beli belah Mid Valley sesak dengan pengunjung. Biasalah pada awal bulan begini, duit tengah banyak. Waktu beginilah warga kota sibuk membeli barang keperluan harian dan peribadi masing-masing. Bahkan ramai anak-anak muda mengambil kesempatan untuk merehatkan minda mereka dengan menonton wayang dan bermain bowling.

Dalam kesibukan orang ramai kelihatan Elfira jalan berpimpin tangan dengan Erry Edrian. Lagak mereka bagaikan pasangan kekasih. Dahulu masa sekolah pun ada yang takut menghampirinya kerana menyangkakan Erry Edrian adalah teman lelakinya. Memang lucu!

“Angah, kita dah lama tak main bowlingkan? Apa kata kalau hari ini kita main bowling. Nak tak?” ajak Elfira. Wajah Erry Edrian ditatapnya. Pergelangan tangan Erry Edrian dipautnya erat. Erry Edrian masih lagi berfikir.

“Jomlah angah. Tak payahlah nak fikir lagi. Nanti kalau angah dah pergi sambung belajar, tak dapatlah L nak main bowling dengan angah lagi jomlah,” pujuk Elfira.

“Adik angah ni masih tak berubah. Kalau nakkan sesuatu pandai memujuk. Tak boleh angah nak kata tidak.” Erry Edrian mencuit manja hidung Elfira.

“Biasalah, L kan adik kesayangan angah.” Elfira mengeratkan pautan. Lagaknya seperti pasangan kekasih yang sedang hangat dilamun cinta.

“Hem yelah. Jom kita pergi main bowling.”

Mereka menuju ke Cosmic Bowl. Setelah memilih dan memakai kasut, mereka mengambil tempat. Tanpa mereka sedar, sejak mereka masuk ke Cosmic Bowl itu ada mata yang memerhati gerak-geri mereka.

Riezman berdehem. Firuz Eidil berpaling ke arah Riezman.

“Kau tengok siapa?” tanya Riezman.

“Itu...” Firuz Eidil menunjukkan ke arah Elfira dan Erry Edrian. Riezman mengalihkan pandangan ke arah yang ditunjukkan oleh Firuz Eidil.

“Kau kenal mereka ke?” soal Riezman ingin tahu.

“Kawan aku,” jawab Firuz Eidil ringkas.

“Kawan ke spare part? Aku tengok macam ada riak-riak cemburu diwajah kau? Kau jangan buat hal Firuz. Nanti Julia tahu masak kau.”

“Dia itu pemandu peribadi aku. Kau ingat aku ni tak ada citarasa ke? Aku kalau nak cari biarlah yang macam Julia itu. Pandai memujuk, penyayang dan yang paling penting manja. Ha...perempuan yang macam itulah yang aku nak. Dia itu kasarnya mengalahkan lelaki. Lagi pun aku sayangkan Julia.”

“Kau kata sayang Julia. Tapi aku rasa masa kau dengan Julia sekarang ni dah kurang.”

“Mana kau tahu?”

“Aku kan kawan kau. Setiap kali aku telefon mesti kau ada di rumah atau paling tidak pun kau ada di pejabat. Tak pernah aku dengar kau keluar dengan Julia. Kalau dulu asal telefon je dengan Julia. Sekarang ni asal telefon je ada kat rumah.”

“Sebenarnya, aku malas nak keluar. Membazir duit je. Julia itu kalau keluar mesti nak habiskan duit aku. Ini belum kahwin aku dah dikikisnya. Esok kahwin jangan papa kedana sudahlah.”

“Hai, belum apa-apa dah merungut.”

“Bukan merungut tapi dia tu high taste. Bila jarang keluar ni bolehlah kawal pengeluaran duit. Kamikan nak kahwin. Banyak pakai duit.”

“Betul juga kata kau. Kita berbalik kepada pemandu kau itu. Siapa lelaki yang kat sebelah dia tu? Aku tengok bukan main mesra lagi. Tengok tu siap pegang tangan dan peluk-peluk lagi. Bahagia betul aku tengok mereka.” Riezman sengaja berkata demikian.

“Kau tanya aku manalah aku tahu! Mungkin pakwe dia agaknya!” suara Firuz Eidil sedikit tinggi.

“Relakslah bro. Yang kau angin ni kenapa? Aku tanya je.”

“Yelah siapa suruh kau tanya soalan yang aku tak tahu.”

“Kalau kau tak ada perasaan dengan budak itu buat apa kau nak angin? Jangan-jangan kau ada hati dengan dia tak? Mungkin cinta dalam diam.” Riezman semakin galak mengusik.

“Diam boleh tak?” Wajah Firuz Eidil serius. Bengang dia apabila Riezman sengaja membakar hatinya.

“Jom kita berkenalan dengan mereka. Manalah tahu kau boleh korek rahsia siapa lelaki itu dengan driver kau. Dapat juga aku berkenalan dengan driver kau,” ajak Riezman.

“Tak nak aku. Buat apa nak menyibuk hal orang. Kau pun nak buat apa berkenalan dengan driver aku? Nanti buah hati dia itu bagi sedas dekat kau baru kau tahu.”

“Apa aku kisah. Aku cuma nak kenal dengan dia je. Takkan itu pun salah. Lagi pun diakan pemandu peribadi kau, jomlah.”

Riezman menarik tangan Firuz Eidil. Firuz Eidil terkejut dengan tindakan spontan rakannya itu. Dia tidak mempunyai pilihan. Dia membontoti langkah Riezman. Apabila difikirkan semula kata-kata Riezman itu ada kebenaran. Sekurang-kurangnya dapatlah dia tahu siapa lelaki di sisi Elfira. Dia sendiri bingung dengan perasaannya kini. Mengapa hatinya terasa bagai dicabar? Konfius dibuatnya.

“Hai,” Riezman menegur Elfira dan Erry Edrian.

Elfira dan Erry Edrian yang terkejut disapa berpaling ke arah suara yang menegur mereka.

“Eh, awak pun ada di sini?” soal Elfira bersahaja. Walhal dia terkejut dengan kehadiran Firuz Eidil.

“Kenapa tak boleh ke saya ada di sini?” soal Firuz Eidil sinis.

“Ada ke saya kata tak boleh?” jawab Elfira bengang.

“Hai, saya Riezman.” Riezman menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Erry Edrian.

“Erry Edrian.” Erry Edrian menyambut huluran salam Riezman.

“Ini kawan saya...”

“Firuz Eidil Tan Sri Mikhail.” Firuz Eidil terlebih dahulu memperkenalkan dirinya. Dia berkata dengan penuh angkuh. Seukir senyuman bangga meniti di bibir. Dia yakin Erry Edrian pasti tidak menandingi kehebatan keluarganya.

Elfira mencebikkan bibir. Menyampah dia melihat sikap Firuz Eidil yang berlagak tidak bertempat. Dia menghadiahkan jelingan tajam buat Firuz Eidil. Namun Firuz Eidil berpura-pura seolah-olah tidak perasan jelingan yang dihadiahkan Elfira buatnya. Erry Edrian tersenyum lalu menyambut huluran Firuz Eidil.

“Saya Erry Edrian Tan Sri Lukman Hakim.”

“Oh, awak ni anak Tan Sri Lukman Hakim ahli perniagaan yang terkenal itukan? Wah, patutlah awak ni nampak hebat. Bertuah cik...” Riezman memandang ke arah Elfira.

“L,” Elfira memperkenalkan dirinya kepada Riezman.

“Bertuah awak dapat kekasih macam Erry,” sambung Riezman.

Elfira senyum. Jika diikutkan hatinya ingin sahaja dia ketawa saat ini. Ada ke angahnya dikatakan kekasihnya. Alang-alang dah disalah anggap apa salahnya dia meneruskan lakonan ini.

“Memang saya bertuah. Dia baik, penyayang, sopan. Tak pernah nak sakitkan hati saya. Dia terlalu sempurna buat saya.” Elfira berkata dengan penuh semangat.

Tangannya memaut lengan Erry Edrian. Sesekali matanya merenung nakal ke arah Erry Edrian. Erry Edrian hanya mengukir senyum. Geli hatinya melihat telatah adiknya mengenakan dua orang pemuda di hadapannya.

Firuz Eidil berasa sakit hati. Hatinya mendongkol geram. Dia menyumpah-nyumpah di dalam hati. Jika diikutkan hatinya, ingin sahaja dia menarik tangan Elfira. Namun dia tidak berdaya.

“Tak sangka saya, awak ni rupanya gilakan harta orang kaya. Dia tahu ke awak kerja sebagai pemandu peribadi dan bibik sahaja. Layak ke awak nak berdampingan dengan anak Tan Sri? Kalau Encik Erry nak tahu, L ni kerja dengan saya.”

Firuz Eidil sengaja ingin memalukan Elfira di hadapan Erry Edrian dan Riezman. Dia berasa puas apabila melihat riak terkejut di wajah Erry Edrian. Dia yakin pasti pasangan kekasih itu akan bergaduh besar. Malulah seorang anak Tan Sri jatuh cinta kepada perempuan yang bekerja sebagai pemandu dan pembantu rumah.

Elfira merenung tajam ke arah Firuz Eidil. Dia tidak menyangka Firuz Eidil akan berkata demikian di hadapan Erry Edrian dan Riezman. Hatinya terguris dengan perbuatan Firuz Eidil yang tidak proffesional.

Erry Edrian tersentak dengan tutur bicara Firuz Eidil. Riak wajahnya berubah. Tiba-tiba otaknya mula teringatkan sesuatu. Dia yakin Firuz Eidil adalah orang yang dimaksudkan Elfira suatu ketika dulu. Lantas tawanya tercetus dihujung bibir. Dia memandang wajah adiknya. Mereka saling berbalas pandangan.

Elfira kehairanan dengan tingkah Erry Edrian. Bahkan Riezman dan Firuz Eidil juga dihantui kehairanan. Lantas Erry Edrian memeluk erat pinggang Elfira. Lalu dahi adiknya dikucup lembut. Penuh dengan kasih sayang. Dia sengaja berbuat demikian untuk melihat reaksi daripada Firuz Eidil. Elfira tergamam dengan tindakan angahnya. Erry Edrian mengenyitkan matanya. Elfira yang bagai mengerti hanya tersenyum manja. Pautannya dilengan Erry Edrian dikejapkan penuh dengan kemanjaan. Dalam hatinya hanya ALLAH yang tahu. Kalau diikutkan rasa hati ingin sahaja dia meledakkan tawanya saat itu.

Firuz Eidil dan Riezman ternganga melihat telatah keduanya. Dalam diam ada api cemburu yang menyelubungi diri Firuz Eidil. Air mukanya berubah tatkala melihat kemesraan dua insan itu. Penumbuk digenggamnya kuat. Bengang dan sakit hati!

“Saya tak pernah kisah dengan pekerjaannya. Asalkan kerja yang dilakukannya itu halal. Hina sangat ke kerja sebagai pemandu dan bibik itu, Encik Firuz Eidil?” soal Erry Edrian lalu senyum.

Firuz Eidil terdiam. Dia tidak menyangka Erry Edrian akan menerima berita itu dengan tangan terbuka. Tak pasal-pasal dia yang pedih telinga. Riezman hanya ketawa dalam hati. Nak ketawa depan-depan, bimbang Firuz Eidil berkecil hati pula.

Nasib kaulah Firuz. Itulah suka sangat pandang rendah pada orang. Ha, sekarang dah jumpa dah, buku dengan ruas, bisik hati kecil Riezman.

“Kami sedang main bowling. Jom main sekali,” pelawa Erry Edrian.

“Boleh juga.” Firuz Eidil terus bersetuju.

Riezman dan Elfira memandang tepat ke arah Firuz Eidil. Kemudian mereka saling berpandangan. Riezman dan Elfira sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan Firuz Eidil. Elfira mula berasa tidak sedap hati.

Elfira memandang ke arah wajah Erry Edrian. Erry Edrian menghulurkan senyuman manis buat adiknya. Elfira menggelengkan kepala kepada angahnya. Erry Edrian menggenggam erat jari-jemari adiknya. Dia tahu adiknya berasa kurang senang dengan cara Firuz Eidil.

Firuz Eidil yang melihat keadaan itu semakin mendidih hatinya. Rasa marahnya cuba dikawal. Dia bersemangat untuk mengalahkan Erry Edrian. Sekurang-kurangnya maruahnya tidak jatuh di hadapan Elfira.

“Firuz mulakan dulu,” ujar Erry Edrian lembut.

Firuz Eidil mengangguk. Permainan bermula. Elfira kian resah. Persaingan di antara Firuz Eidil dan dan Erry Edrian semakin sengit.

Mata Firuz Eidil bertambah sakit. Hatinya kian membengkak apabila melihat tingkah Elfira. Setiap kali Erry Edrian berjaya membuat strike Elfira pasti akan bersorak keriangan dan dia akan memeluk Erry Edrian. Akhirnya keputusan memihak kepada Erry Edrian. Firuz Eidil terpaksa mengakui kehebatan Erry Edrian.

“Seronok bermain dengan awak. Permainan awak hebat. Mungkin bukan rezeki awak untuk menang kali ini. Mungkin lain kali. Kalau ada masa kita boleh main lagi. Kami minta diri dulu,” beritahu Erry Edrian dengan tenang. Dia menghulurkan tangannya kepada Firuz Eidil dan Riezman. Firuz Eidil menyambut salam itu dalam keterpaksaan. Bibirnya dipaksa untuk mengukir senyum. Erry Edrian dan Elfira berlalu dari Cosmic Bowl. Elfira memaut lengan Erry Edrian.

“Menyampah aku! Perempuan gatal!” rungut Firuz Eidil tidak puas hati.

“Siapa gatal?” soal Riezman.

“Siapa lagi? Perempuan itulah. Tak sedar diri langsung. Dia ingat dia dapat pikat anak Tan Sri dia hebat!” luah Firuz Eidil dalam nada geram.

“Eh, hebatlah itu. Dia dapat bergandingan dengan anak Tan Sri Lukman Hakim. Siapa yang tak kenal dengan Tan Sri tu. Salah seorang ahli perniagaan yang berpengaruh. Dan nampaknya anaknya juga sehebat ayahnya.”

“Ayah aku pun hebat juga. Aku rasa Erry Edrian tu mesti buta. Ada ke perempuan yang macam L tu dibuatnya kekasih. Dia tu layak jadi kuli je.”

“Yang kau marah-marah ni kenapa? Dia bukan kekasih kau. Ingat Firuz kau tu dah bertunang. Tak payah kau nak sibukkan hal si L dengan Erry tu.”

“Aku bukan marah tapi aku menyampah tengok gelagat dia.”

“Aku rasa kau ni dah parah. Kau kena jumpa doktor sakit jiwa. Biar doktor tu betulkan mana-mana fius kau yang dah tak betul itu.”

Firuz Eidil menjeling tajam ke arah Riezman. Hatinya berasa sebal dengan kata-kata Riezman. Dia tidak mengendahkan bicara Riezman. Dia mengatur langkah keluar dari pusat bowling.

“Malu aku. Bagaimana dia boleh menang dalam permainan tadi?” rungut Firuz Eidil.

“Sudahlah, kau jangan tension sangat. Adat permainan ada menang dan kalah.”

“Kau bisinglah. Hati aku tengah mendidih tahu tak!”

“Apa lagi yang membuatkan kau mendidih? Cuba kau cerita dengan aku.”

“Aku mendidih tengok perempuan tergedik sana tergedik sini. Tak malu langsung. Boleh dia menunjukkan kemesraan depan kita. Tak beradab langsung.”

“Dia menggedik pun dengan kekasih dia, yang kau sibuk sangat tu kenapa? Daripada kau sibukkan hal yang tak ada kena mengena dengan kau, lebih baik kita pergi tengok wayang ke, pergi makan ke, ada juga faedahnya.”

“Aku malaslah. Aku nak balik rumah dulu. Kalau kau rasa nak pergi makan, kau makanlah seorang. Aku nak balik rumah dan tidur.”

“Hah? Macam itu pulak? Sentap dengan L lah itu.”

Firuz Eidil malas melayan Riezman. Mereka menuju ke tempat letak kereta dan membawa haluan masing-masing.


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.