Home Novel Komedi/Romantik Komedi kurang asam punya bos!
kurang asam punya bos!
nuroll shazlinda hairul
22/1/2013 14:55:25
398,847
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 2

2

Firuz Eidil mengeluh berat. Pening kepalanya melihat rumah yang bersepah. Beginilah keadaannya apabila hidup bujang. Jadi semuanya harus diurus sendiri. Penat! Yelah mana nak fikirkan hal pejabat, hal Julia, hal rumah bersepah, hal driver lagi. Firuz Eidil mengemas ala kadar. Kemudian dia mengambil kunci keretanya dan berlalu keluar dari rumah. Enjin kereta dihidupkan. Dia meninggalkan perkarangan rumahnya menuju ke syarikatnya, Firuz Land.

Setelah hampir satu jam dia tersangkut dalam kesesakan jalan raya, akhirnya dia tiba ke destinasi. Jarak dari rumah ke pejabat tidaklah jauh mana, tapi kesesakan lalu lintas menyebabkan dia lewat sampai ke pejabat.

“Selamat pagi bos,” sapa Sofea mesra.

“Selamat pagi Fea,” jawabnya malas. Firuz Eidil berlalu menuju ke biliknya.

Sofea bingkas bangun dari tempatnya lalu ke pantry.Seperti biasa dia akan menyediakan hot coffee untuk Firuz Eidil sambil menyatakan jadual bosnya pada hari itu. Sofea mengetuk pintu bilik Firuz Eidil. Firuz Eidil mengarahkannya untuk masuk. Sofea melangkah masuk. Dia meletakkan hot coffee di atas meja Firuz Eidil.

“Fea, apa agenda saya hari ini?”

“Hari ini bos ada mesyuarat dengan Mega Maju Berhad tentang projek pembinaan rumah berkembar di Shah Alam pada pukul 11 pagi. Kemudian jam 3 petang bos ada temujanji dengan Tan Sri Rahman dari Usaha Jaya. Di atas meja itu ada cek yang perlukan tandatangan bos serta beberapa dokumen yang perlu pengesahan dan persetujuan daripada bos. Itu sahaja untuk hari ini,” terang Sofea.

“Okey. Sebelum saya terlupa, bagaimana dengan pemandu peribadi yang saya suruh awak carikan tu? Dah iklankan di akhbar?”

“Tak perlu susah-susah bos. Saya ada kawan yang nak kerja sebagai pemandu. Tapi saya tak tahulah bos suka atau tak?”

“Awak suka dia?”

“Ha?” Sofea hairan dengan pertanyaan Firuz Eidil.

“Maksud saya, awak yakin dia boleh jadi pemandu peribadi saya? Dia mahir ke jalan di sekitar Lembah Klang dan Selangor,” tanya Firuz Eidil.

“Oh, saya ingatkan apa tadi. Kalau soal itu bos jangan bimbang. Dia memang mahir dengan jalan di sekitar Lembah Klang dan Selangor.”

“Kalau macam itu awak tanya dia bila dia boleh masuk kerja? Sekiranya dia setuju siapkan surat tawaran kerja untuk dia. Awak suruh dia masuk kerja esok ajelah.”

“Hem, macam tu saja ke bos?”

“Macam tu lah, awak nak saya buat macam mana lagi?”

“Bos tak nak temuduga dulu ke?” tanya Sofea mahukan kepastian.

“Tak perlulah. Saya yakin dengan pilihan awak. Jadi awak saja tolong uruskan untuk saya. Lagipun awakkan setiausaha saya.”

“Kalau bos dah cakap begitu, tak apalah. Jangan nanti bos salahkan saya sudahlah.”

“Fea, saya tahu awak akan dapatkan yang terbaik untuk saya.”

“Baiklah. Kalau begitu saya keluar dulu.”

Firuz Eidil mengangguk. Sofea mengatur langkah keluar dari bilik bosnya itu. Belum sempat Sofea menutup pintu bilik Firuz Eidil, lelaki itu memanggilnya kembali.

“Fea, jangan lupa suruh dia datang ke rumah saya tepat pada waktunya esok.”

“Baik bos.”

Firuz Eidil menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Lega rasa otaknnya saat ini. Satu masalah dah selesai. Tinggal satu lagi masalah. Oh, pembantu rumah! Mana aku nak kebas ni. Takkan nak minta Sofea tolong carikan. Silap hari bulan dia fikir aku ni pemalas pulak. Nafas berat dilepaskan. Ada tunang pun tak boleh diharapkan langsung. Tunangnya itu hanya tahu merajuk dan meminta itu ini. Kepalanya ligat memikirkan Julia. Gadis yang dicintainya dan kini telah menjadi tunangannya.

Sementara itu, Sofea pantas mendail nombor telefon Elfira. Dia ingin memberitahu khabar gembira itu kepada sahabatnya itu. Dia yakin Elfira pasti gembira mendengar berita tersebut. Sofea lega apabila talian mula disambungkan.

“Assalamualaikum Fea,” kedengaran suara lunak Elfira dihujung talian.

“Waalaikumusalam L, aku ada berita baik nak beritahu kau ni.”

“Berita? Berita apa? Dah macam wartawan gosip pulak aku rasa kau ni.”

“Pasal kerja itulah.”

“Kerja? Kerja apa pulak?” soalnya hairan.

“Lupalah tu. Kerja pemandu peribadi yang aku beritahu pada kau semalam,” jelas Sofea.

Suaranya sedikit dikeraskan. Geram dengan sikap sahabatnya yang suka mengambil ringan terhadap sesuatu perkara.

Elfira menepuk dahinya. Dia benar-benar terlupa akan kerja yang ditawarkan kepadanya semalam.

“Aku lupalah. Ha apa cerita?”

“Bos aku dah setuju untuk ambil kau sebagai pemandu peribadinya. Dia nak kau mula kerja esok. Kau nak tak?”

“Aku okey je. Yang penting aku ada kerja.”

“Baguslah kalau begitu. Senang kerja aku. Nanti aku siapkan surat tawaran kerja untuk kau.”

“Fea, dia tahu tak yang aku ni perempuan?”

“Yang tu aku tak beritahu dia.”

“Kenapa kau tak beritahu bos kau itu?”

“Dah dia tak tanya. Lagipun dia percayakan dengan pilihan aku. Habis tu aku nak kata apa lagi. Kira okeylah itu. Yang penting kau pun okey.”

“Aku okey. Tapi apa aku nak cakap dengan mama dan papa aku nanti? Aku pasti mereka marah kalau mereka tahu aku kerja sebagai driver.” Elfira menyatakan kebimbanganya.

“Kalau aku pun marah. Mana ada anak Tan Sri jadi driver. Buat malu aje,” sindir Sofea.

“Sofea!” Elfira menjerit kecil. Tak boleh nak jerit kuat-kuat nanti mama dia dengar pula.

“Hehehe janganlah marah. Aku gurau je. Kau cakaplah kau dapat kerja sebagai pembantu peribadi. Nak lagi senang, kau tinggal je dengan aku. Aku pun tinggal seorang saja di rumah tu,” usul Sofea.

Elfira terdiam seketika. Dia sedang mempertimbangkan kata-kata Sofea.

“Okey juga tu. Nanti aku bincang dengan mama dan papa aku. Apa-apa hal nanti aku beritahu kau.”

“Okey.”

Talian telefon dimatikan. Elfira tersenyum sendiri. Dia tidak menyangka yang dia akan bekerja sebagai pemandu. Agak-agakya dialah anak Tan Sri yang pertama yang bekerja sebagai pemandu peribadi. Wah, wah...hebatnya! Hebat ke?

“Amboi, lebarnya senyuman anak mama ni. Ada perkara yang menggembirakan ke?”

Elfira mengangguk perlahan. Puan Sri Karmila teruja untuk tahu.

“Berita apa tu? Tak nak kongsi dengan mama ke?”

“Penyibuk juga mama L ni ya.”

“Bukan nak menyibuk tapi sekadar nak berkongsi kegembiraan.”

“Mama nak tahu ke?”

“Kalau L nak kongsi dengan mama, apa salahnya beritahu mama. Tapi kalau anak mama ni tak nak kongsi dengan mama pun mama tak kisah.”

Puan Sri Karmila mengendurkan suaranya. Sengaja berbuat demikian untuk meraih perhatian daripada anak bongsunya.

“Bunyi suara itu macam orang merajuk je?”

Semakin galak Elfira mengusik mamanya.

“Sebenarnya...” Elfira masih ragu-ragu untuk memberitahu mamanya.

“Sebenarnya apa?” soal Puan Sri Karmila. Tak sabar untuk tahu.

“Sebenarnya L dah dapat kerja,” jawabnya jujur.

“Ya? Alhamdulillah. Baguslah kalau begitu. Kerja apa?” Puan Sri Karmila begitu teruja mendengar perkhabaran itu.

Driver,” beritahunya perlahan sehingga sukar untuk didengari.

“Apa ver?” jerkah Puan Sri Karmila.

Oppss terlepas cakap pulak. Apa pasal lah mulut ni laju je menjawab. Kan dah nyaris kantoi. Agak-agaknya mama dengar tak apa yang aku cakapkan tadi?

“L cakap apa tadi?”

“Mana ada cakap apa ma.”

Elfira cuba menafikan. Dia buat muka tidak tahu apa-apa.

“Ya ke? Mama macam ada dengar L cakap tadi. Kalau mama tak salah dengar hujungnya macam bunyi ver, ver begitulah.”

Puan Sri Karmila yakin anaknya itu ada berkata sesuatu tadi.

“Mana ada. Mama salah dengar tu.”

Elfira cuba meyakinkan Puan Sri Karmila. Wajahnya diseriuskan.

“Agaknyalah tu.”

Fuh, selamat mama tak dengar ayat penuh. Kalau tidak teruk aku kena marah dengan mama, desis hatinya.

“Kita lupakan hal itu. L dapat kerja apa?”

“Kerja ya ma. L dapat jadi pembantu peribadi kepada bos Sofea.”

“Pembantu peribadi? Tak ada kerja lain yang lebih sesuai dengan kamu ke?”

“Sementara je ma. Nak cari pengalaman. Lagipun jadi pembantu peribadi pun okey apa?”

“Memanglah okey tapi macam tak kena dengan kelulusan L je.”

“Ma, yang penting sekarang ni anak mama dah ada kerja. Mama tahukan L kalau boleh tak nak kerja dengan keluarga ni. L nak hidup berdikari.”

“Suka hati kamulah. Asalkan kamu bahagia.”

“Terima kasih mama.”

Elfira memeluk erat Puan Sri Karmila. Pipi mamanya dicium berkali-kali.

“Ma...”

“Ha dah merengek begitu pasti ada benda yang dia nak tu.”

Elfira sudah tersengih-sengih.

“Mama ni macam tahu-tahu pulak.”

“Cakaplah nak apa lagi?”

Elfira sudah tersengih-sengih.

“L ingat L nak tinggal dengan Sofea.”

Puan Sri Karmila membuat reaksi terkejut.

“L bukan apa ma, kalau duduk sekali dengan Fea mudahlah L nak minta tolong Fea ajarkan L. Lagipun kami kan satu pejabat. Senang dan mudah ma. Bolehlah kami pergi kerja sama-sama. Bolehlah ya ma.”

“Soal ni L kena tanya dengan papa. Mama tak kisah asalkan L pandai jaga diri. Lagipun L dah besar dan dah memang wajar untuk berdikari.”

“Terima kasih mama. Nanti L akan tanya dengan papa. Tapi L yakin papa mesti bagi.”

“Amboi, yakinnya anak mama ni.”

“Mestilah. Papakan sayang L. Papa mesti sanggup buat apa sahaja untuk anak kesayangan dia ni.”

“Yelah sekarang ni anak kesayanganlah. Nanti kalau dah kahwin hem cuculah yang papa paling sayang. Bukan L lagi dah,” usik Puan Sri Karmila.

“Mama! Apa ni? L muda lagilah. Belum sesuai nak fikir soal kahwin ni. L nak bina kerjaya dulu. Mama kena tahu, lelaki sekarang ni bukan semuanya bertanggungjawab. Silap hari bulan isteri pulak yang kena tanggung suami. Ha apa kes? Kesian anak mama kalau dapat suami macam tu.”

“Budak ni kalau kita cakap ada sahaja jawapannya. Otak tu tak pernah kering dengan idea. Asyik-asyik kita juga yang terkena.”

“Tengoklah anak siapa.”

Elfira mengangkat keningnya. Puan Sri Karmila buat muka meluat. Elfira tidak dapat menahan ketawa. Lalu dia tertawa. Dia geli hati melihat wajah Puan Sri Karmila.

Puan Sri Karmila menggelengkan kepalanya. Nasib baiklah Elfira ini satu-satunya anak perempuan. Anaknya yang sulung dan yang kedua sudah pun mendirikan rumahtangga. Yang tinggal hanya anak bongsunya sahaja yang belum berkahwin lagi. Entah sempat entahkan tidak dia melihat anak bongsunya itu naik pelamin. Memikirkan sikap Elfira yang sama keras seperti lelaki membuatkan hati tuanya diusik kebimbangan.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.