Home Novel Komedi/Romantik Komedi kurang asam punya bos!
kurang asam punya bos!
nuroll shazlinda hairul
22/1/2013 14:55:25
398,898
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 4

4

Awal pagi lagi Elfira sudah tercegat di hadapan rumah Firuz Eidil, bos barunya itu. Pagi itu dia mengenakan jean, T-Shirt, topi, dan kasut sukan Adidasnya. Dia berdiri di sisi keretanya. Matanya mengerling ke arah jam tangannya. Lagi dua minit tepat pukul 8 pagi. Apabila jarum jamnya tepat ke angka 8 dia akan menekan loceng rumah Firuz Eidil. Dia mula mengira detik. Kakinya sudah diatur hingga ke pintu pagar. Kini dia betul-betul berada di muka pintu pagar rumah Firuz Eidil.

“Lima, empat, tiga, dua, satu...okey.” Jarinya menekan butang loceng rumah Firuz Eidil.

Firuz Eidil yang sedang bersiap, terkejut mendengar loceng rumahnya berbunyi.

“Siapa pulak yang datang pagi-pagi buta ni. Tak tahu ke orang nak bersiap pergi kerja,” rungut Firuz Eidil sendirian.

Entah-entah driver yang Fea cakapkan semalam tak? teka hatinya lalu segera menuruni anak tangga.

Jantung Elfira berdegup kencang. Dadanya tiba-tiba rasa berdebar. Dia masih menanti bakal bosnya keluar. Tidak lama kemudian dia nampak seorang lelaki yang kemas berbaju kemeja. Tali lehernya masih tergantung di leher lelaki itu tanpa diikat. Elfira menghulurkan senyuman manis.

“Eh siapa pulak itu? Dia nak apa pagi-pagi ini. Aku ingatkan tadi driver aku yang datang. Siap senyum macam kerang busuk pula. Anak dara siapalah yang sesat agaknya?” omel Firuz Eidil lalu mendekati Elfira.

“Ya, saudari cari siapa?” soal Firuz Eidil ramah.

“Ini rumah Encik Firuz Eidil ke?” tanya Elfira gugup.

“Ya, ini rumah saya. Kenapa awak cari saya?” soal Firuz Eidil hairan.

“Saya Elfira. Sofea yang suruh saya datang sini. Katanya Encik Firuz Eidil memerlukan seorang pemandu peribadi.”

“Memang saya perlukan pemandu peribadi tapi takkan...sebentar ya.”

Elfira menganggukkan kepalanya. Sementara itu, Firuz Eidil mengeluarkan telefon bimbitnya lalu mendail nombor telefon Sofea. Dia berasa lega apabila mendengar suara Sofea dihujung talian.

“Fea, awak hantar siapa untuk jadi driver saya?” soal Firuz Eidil lantang. Sesekali matanya mengerling ke arah gadis di hadapannya.

“Saya hantar Elfira. Kenapa bos ada masalah ke? Dia tak sampai lagi ke?” Sofea menggelabah. Dia bimbang jika sesuatu yang buruk berlaku kepada sahabatnya.

“Tak. Saya cuma nakkan kepastian aje. Dia dah sampai. Kenapa awak tak cakap yang driver saya itu seorang perempuan?”

“Dah bos tak tanya. Bos juga yang kata, bos percayakan pilihan saya. Kenapa? Tak okey ke bos?”

Sofea bimbang jika Firuz Eidil tidak suka dengan pilihannya.

“Tak apalah. Bolehlah ni daripada tak ada,” ujar Firuz Eidil dalam serba salah. Talian terus dimatikan. Kini dia berpaling kembali ke arah gadis di hadapannya. Gadis itu ditenungnya dari atas hingga ke bawah.

“Bagaimana dah percaya ke yang saya akan jadi personal driver Encik Firuz Eidil?” tanya Elfira spontan. Rimas dia melihat telatah Firuz Eidil yang memandangnya dari atas ke bawah.

“Saya nak bersiap dulu. Awak tunggu di luar ni dulu. Siapa nama tadi?”

“Elfira. Tapi panggil saja L.”

“Okey. Duduklah dulu,” pelawa Firuz Eidil.

Elfira mengangguk perlahan. Dia melihat Firuz Eidil sudah berlalu ke dalam rumah. Elfira duduk di kerusi yang tersedia ada di ruang laman rumah itu. Elfira teringatkan Sofea. Segera dia menghubungi sahabat baiknya itu.

“Helo Fea,” sapa Elfira.

“L, apa cerita?” tanya Sofea teruja.

“Amboi belum apa-apa kau dah tanya apa cerita ya?”

“Mestilah. Aku terkejut tadi bila tiba-tiba je dia hubungi aku. Aku ingatkan dia nak reject pilihan terbaik aku ni.”

Reject? Wah ayat kau tak ingat betullah.”

“Ala L janganlah marah. Apa cerita yang menarik?”

“Mana ada yang menarik. Fea, bos kau itu tak pernah tengok perempuan ke? Tenung aku macam nak ditelannya. Seram tahu!”

“Amboi belum apa-apa dah sedap kau kutuk bos kau tu ya.”

“Betul apa aku cakap. Kalau kau pun ada di sini tadi mesti kau juga akan cakap perkara yang sama. Menyeramkan!”

“Kau ni L, jangan cari pasallah. Bos itu okey. Mungkin dia terkejut agaknya. Mesti dia ingat driver yang aku nak bagi itu lelaki. Sekali yang datang perempuan tiga suku.”

“Amboi cantik bahasa panggil aku tiga suku.”

“Yalah dah elok-elok lahir jadi perempuan pergi pakai pakaian macam lelaki kenapa? Tak tiga suku namanya itu.”

“Suka hati kaulah nak kata apa. Itu bos kesayangan kau dah turun. Aku nak gerak dulu. Nanti kita sambung lagi.”

“Okey, jaga diri elok-elok L. Jangan sampai jatuh hati dengan bos aku itu sudahlah. Ingat bos aku tu dah ada tunang.”

“Tak ingin aku dengan bos kau itu.”

“Ehem...” satu deheman kedengaran. Elfira segera mematikan talian telefonnya. Dia mengukir senyum kepada Firuz Eidil.

“Mengumpat saya ke?” tanya Firuz Eidil bersahaja.

“Mana ada. Buat apa nak umpat Encik Firuz Eidil bukan ada faedahnya pun. Mana kunci kereta?”

Firuz Eidil menghulurkan kunci kereta kepada Elfira. Firuz Eidil mengambil tempat di sebelah pemandu. Elfira konfius. Bukankah seorang bos wajar untuk duduk di belakang?

“Hem, saya rasa Encik Firuz Eidil dah salah tempat ni,” beritahu Elfira ragu-ragu.

“Panggil saja Firuz. Tak perlu ada Eidil tu. Kenapa pulak saya salah tempat?”

“Sepatutnya sebagai bos, Encik Firuz kena duduk belakang. Bukannya di sebelah pemandu,” jelas Elfira.

“Oh, begitu ya?” Firuz Eidil sengaja menduga. Dia menatap wajah Elfira dengan pandangan yang jengkel.

“Ya,” balas Elfira sambil mengangguk perlahan.

“Saya rasa untuk hari ini saya perlu duduk di sebelah pemandu. Saya kena lihat juga bagaimana cara pemanduan awak. Kalau saya rasa semuanya okey, barulah saya terima awak bekerja dengan saya. Boleh begitu?”

Okay, no problem.” Elfira terus menghidupkan enjin kereta lalu meninggalkan perkarangan rumah Firuz Eidil.

Sepanjang perjalanan, tiada bicara yang terluah daripada mereka. Elfira lebih senang menumpukan perhatiannya terhadap pemanduannya. Firuz Eidil pula lebih senang mengambil sikap berdiam diri. Sesekali dia mengerling ke arah Elfira. Diamatinya gadis itu dalam diam. Manakala otaknya ligat memikirkan sesuatu yang boleh memberi keuntungan kepadanya.

“Okey, Encik Firuz kita dah sampai. Encik Firuz nak saya hantarkan briefcase sampai ke pejabat?” soal Elfira bersahaja.

“Kalau ya pun tolonglah bukakan pintu untuk saya. Bukankah saya ni bos.” Firuz Eidil menduga.

Eeee...banyak songeh betul. Bukalah pintu tu sendiri. Berat tangan betul, rungut Elfira. Tapi dalam hati sahajalah. Namun dia tetap membuka pintu untuk Firuz Eidil.

Firuz Eidil menghulurkan senyuman yang manis buat pemandu peribadinya itu. Elfira membalas kembali.

“Terima kasih, mulai hari ini secara rasminya awak adalah pemandu peribadi saya. Oh ya kalau awak tak keberatan, memandangkan despatch syarikat telah berhenti saya juga mahu awak menjadi despatch di syarikat kami. Soal gaji awak jangan risau. Syarikat akan bayar gaji yang setimpal. Bolehkan?”

“Tapi Encik Firuz, saya hanya ditugaskan untuk menjadi pemandu peribadi bukannya despatch.”

“Saya tahu itu. Tapi bukannya selalu. Hanya bila perlu sahaja. Dalam masa yang sama saya akan cari pekerja untuk bahagian despatch. Hanya untuk sementara waktu. Saya ada satu lagi permintaan...”

“Permintaan? Permintaan apa?” soal Elfira gusar.

Banyak songeh betul bos si Sofea ni. Lepas satu, satu permintaan dibuatnya. Kali ini entah apa permintaan yang dia mahukan.

“Ini kunci rumah saya. Saya nak minta tolong awak kemaskan rumah saya boleh?”

Firuz Eidil menghulurkan kunci rumahnya kepada Elfira. Elfira melongo. Dia tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya sebentar tadi.

Biar betul bos aku ni. Mohon jadi pemandu aje dah meleret sampai ke despatch sekarang dia nak aku jadi orang gaji dia pulak! Eh, ini dah melampau! Boleh mendatangkan marah. Rasa macam dah nak tumbuh tanduk ni! desis hatinya geram. Elfira merenung tajam ke arah Firuz Eidil. Mereka saling berbalas pandang.

“Encik Firuz, saya bukannya robot yang nak kena ikut semua arahan Encik Firuz. Seingat sayalah, saya tak minta jawatan sebagai pembantu rumah. Atau Encik Firuz dah nyanyuk. Encik Firuz cuma tawarkan jawatan pemandu peribadi. Saya ulangi pemandu peribadi. Encik Firuz ingat dengan duit Encik Firuz boleh beli orang dan arah orang sesuka hati! Jangan mimpilah!” bentak Elfira geram.

Firuz Eidil tergamam medengar kata-kata Elfira.

“Cik Elfira, saya sekadar minta tolong. Kalau awak tak nak buat itu terpulang. Tak payahlah awak nak tengking saya. Awak ingat saya tak ada maruah macam awak ke? Dasar perempuan miskin. Eh, kalau saya tak kutip awak kerja jangan harap awak ada kerja. Taraf awak itu cuma layak kerja kilang aje tau. Itu pun kalau awak ada kelulusan yang cukup-cukup makanlah. Atau sebenarnya awak tak pernah kemas rumah? Itu yang awak kepoh sangat,” sindir Firuz Eidil. Puas hati dia dapat kenakan Elfira.

Elfira tergamam. Dia tidak menyangka Firuz Eidil akan berkata sedemikian. Firuz Eidil benar-benar melampau kerana telah menghina dirinya. Hatinya mendongkol geram. Lantas kunci di tangan Firuz Eidil dirampasnya kasar. Dia terus memboloskan dirinya dalam perut kereta. Kemudian berlalu pergi.

Firuz Eidil terkedu dengan tindakan Elfira. Kemudian dia tersenyum puas. Dia sudah nampak kelemahan Elfira. Ternyata gadis itu pantang dicabar. Sebaik kelibat keretanya hilang dari pandangan Firuz Eidil terus menuju ke pejabatnya. Senyumnya lebar hingga ke telinga. Kenapa? Dia sendiri tidak tahu kenapa.

“Selamat pagi bos,” tegur Sofea sebaik Firuz Eidil lalu di hadapannya.

“Selamat pagi, Fea.”

“Amboi bos senyum lebar nampaknya pagi ni? Ada apa-apa ke bos?” tanya Sofea menyibuk.

“Tak ada apa. Ada-ada sahajalah awak ni, Fea.”

“Saya cakap apa yang saya nampak je bos.”

“Dah awak jangan nak menyakat saya. Lebih baik awak buatkan saya hot coffee dan roti bakar.”

“Okey bos.”

Firuz Eidil berlalu ke biliknya. Dia kembali mengingat teguran Sofea. Nampak sangat ke perubahan dirinya hari ini? Yang pasti, Sofea tak pernah menegurnya begitu.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.