Home Novel Komedi/Romantik Komedi kurang asam punya bos!
kurang asam punya bos!
nuroll shazlinda hairul
22/1/2013 14:55:25
398,889
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 8

8

“Kenapa tak cakap dengan angah yang L dah dapat kerja?”

“Saja. L pun tak sangka akan dapat kerja secepat ini. Ingatkan nak tanam anggur lama sikit.”

“L kerja apa?”

“PA bos Fea.”

“Nak pula L kerja sebagai PA. Dulu kata tak suka dengan kerja-kerja di pejabat. Tak nak pakai kasuallah. Macam-macam alasan.”

“Angah, masa berubah dan orang pun boleh berubah.”

“Yelah. Eloklah itu. Sekurang-kurangnya L dapat belajar sesuatu nanti. Lepas tu bolehlah ambil alih syarikat papa tak pun L kerja dengan angah.”

“Nantilah dulu. Bagi L cari pengalaman dulu okey. Bila dah cukup ilmu di dada barulah L fikirkan semula soal kerja dengan papa atau angah.”

“L bantu angahlah. Along dah bantu papa. Kesian angah,” pujuk Erry Edrian.

“Angah, nantilah ya. L malas nak bincang hal ni.”

“Ehem, ehem, amboi dua beradik ni kalau dah berbual sampai lupa orang ketiga ni,” sakat Sofea.

“Alamak, bagaimanalah kita boleh lupa dengan si Fea ni. Kesian dia kena tengok kemesraan kita,” usik Erry Edrian.

“Yelah angah, macam manalah kita boleh lupa dengan Fea. Kesian dia,” sampuk Elfira. Sengaja menambah rencah.

“Amboi seronoknya dua-dua kenakan Fea ya.”

Sofea menarik muka. Tangannya disilangkan. Merajuk!

“Ala Fea, janganlah merajuk. Kami bergurau je. Tak comel kau merajuk dah macam asam kecut aku tengok kau,” usik Elfira lagi. Itu bukan memujuk tapi menambah rajuk.

“Jahat.” Sofea menepuk lembut bahu Elfira lalu dia ketawa.

“Sudahlah L. Jangan disakat Sofea tu lagi. Ha tu makanan dah sampai. Mari kita makan dulu.”

“Baik angah,” jawab Elfira.

Suapan demi suapan menyinggahi mulut mereka. Mereka makan dengan berselera sekali. Sesekali diselitkan dengan cerita yang membuatkan mereka ketawa. Sedang asyik mereka menikmati makan malam, mata Elfira tertancap pada seseorang yang amat dikenalinya.

“Kak Lea?” ucapnya perlahan antara dengar dan tidak.

“Apa dia L?” soal Sofea. Dia memandang ke arah yang dipandang oleh Elfira. Matanya terbuntang melihat insan yang dia amat kenal.

“Eh, itu bukan kakak ipar kau ke?” soal Sofea kepada Elfira. Dia terlupa Erry Edrian turut bersama mereka.

Sebaik mendengar kata-kata Sofea, Erry Edrian memandang ke arah yang di pandang oleh Elfira dan Sofea. Mata mereka bertiga bertembung pada seraut wajah yang mereka kenali. Hati Erry Edrian membuak kemarahan. Elfira dan Sofea memandang ke arah Erry Edrian dengan penuh simpati. Erry Edrian bangun dari kerusinya.

“Angah nak ke mana?” tanya Elfira cemas. Dia tahu gelodak rasa hati Erry Edrian.

“Angah nak jumpa perempuan yang tak kenal erti dosa dan pahala tu.”

“Angah, jangan! Ini tempat awam. L minta angah jangan keruhkan keadaan. Kak Lea orang terkenal. Nanti kecoh kalau perkara ni masuk akhbar. Kita kena jaga maruah keluarga kita. Kesian papa dan mama. Sabar ya angah,” pujuk Elfira.

“Betul cakap L itu angah. Pergaduhan tak boleh selesaikan masalah bahkan menambahkan kerumitan,” sampuk Sofea.

Erry Edrian duduk kembali. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menangkap gambar isterinya bersama lelaki itu.

“Angah tak ada selera nak makan. L dan Fea teruskanlah makan. Ambil duit ni nanti tolong bayarkan. Angah tunggu di kereta.”

Erry Edrian menghulurkan not seratus ringgit kemudian berlalu keluar dari restoran tersebut. Elfira dan Sofea saling berbalas pandang.

“Geram betul aku dengan Kak Lea tu. Ikutkan hati aku ni nak aje aku pergi lenyek-lenyek dia biar jadi lepat. Tak sedar diri itu dah bersuami masih nak menggatal lagi. Konon dulu cakap semua berita tersebar itu gosip sekarang ni gosip juga ke?”

“Sabar L, tadi kau sabarkan abang kau. Sekarang kau pula hilang sabar.”

“Fea, sebab aku masih sabarlah aku masih duduk kat sini. Kalau tak dah aku serang mereka itu.”

“Aku faham kau sedang marah. Tapi kau pun janganlah ikut hati. Kesian abang kau itu.”

“Ya aku tahu. Fea, kalau kau nak makan lagi aku temankan kau. Aku dah tak ada selera nak makan. Susah hati aku tengok angah begitu.”

“Aku pun tak ada mood nak makan. Aku kasihan kat abang kau itu.”

“Kalau begitu jomlah kita pergi dari sini. Mata aku dah naik berbulu tengok drama swasta.”

“Elok sangatlah itu. Perempuan jenis apa entah tak tahu nak jaga maruah suami langsung.”

“Amboi Fea, marah nampak. Tadi bukan main lagi suruh aku bersabar.”

“Taklah, aku geram je.”

“Macam tu lah perasaan aku.”

Setelah selesai membuat bayaran, mereka meninggalkan restoran tersebut. Mereka mendekati kereta Erry Edrian. Elfira mengetuk cermin kereta agar Erry Edrian membuka kereta.

“Kenyang dah ke?” soal Erry Edrian.

“Kenyang sangat angah. Angah okey ke?”

Erry Edrian menarik nafas lalu dilepaskan berat. Dari gaya Erry Edrian itu Elfira sudah tahu jawapannya.

“Tak apalah. Jomlah kita balik,” ajak Elfira.

Sepanjang perjalanan mereka hanya diam membisu seribu bahasa. Mereka lebih senang melayani perasaan masing-masing. Di hati mereka kini adalah kemarahan mereka kepada Amylea, isteri Erry Edrian. Akhirnya mereka tiba di apartment Sofea.

“Angah tak nak naik dan singgah dulu ke?”

“Tak apalah L. Angah nak balik rumah terus. Kesian Alaisya tinggal dengan Mak Munah.”

“Okey. Angah...”

“Ya?”

“Angah jaga diri elok-elok ya. Kalau ada apa-apa angah telefon L okey.”

Erry Edrian mengangguk perlahan. Elfira mencium tangan angahnya. Riak wajah Elfira digamit kerisauan. Erry Edrian mengerti akan renungan adiknya itu.

“L jangan risau. Angah tahu jaga diri angah. L itu baik-baik tinggal dengan Fea. Awak itu perempuan.”

“Okey. Love u angah.”

Love u too sis.”

Erry Edrian mencium pipi dan dahi Elfira. Jangan hairan ya. Sejak dari kecil begitulah mereka menunjukkan kasih sayang. Elfira keluar dari kereta. Dia melihat kereta Erry Edrian meninggalkan mereka. Akhirnya air mata Elfira tumpah juga setelah lama ditahan.

“Kau nangis, L?”

Elfira lantas memeluk Sofea.

“Aku sedih sangat Fea. Aku tahu angah aku kecewa. Tapi dia langsung tak tunjukkan yang dia kecewa dan sakit hati. Aku tahu hati dia hancur. Walaupun dia cuba untuk senyum tapi hati dia menangis. Aku lebih rela tengok angah aku menangis daripada dia menahan sakit di dadanya. Sakit Fea! Aku tak sanggup lihat angah menderita. Kesian dia Fea.”

“L, sabar okey. Aku tahu perasaan kau. Aku yakin abang kau kuat untuk menghadapi semua dugaan ini. Diakan seorang peguam. Aku yakin dia tahu apa yang harus dilakukannya. Dah mari kita naik atas dulu. Nanti kalau orang tengok apa pula orang akan fikir nanti.”

Elfira berjalan seiringan dengan Sofea. Air mata Elfira masih tidak mahu berhenti mengalir. Puas dia menyekanya. Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah Elfira terus melabuhkan punggungnya ke atas Sofa.

“Sudahlah itu L. Sampai bila kau nak menangis ni? Kau ni nama je brutal tapi dalam hati ada taman.”

“Bahagianya kau kutuk aku, Fea. Kau tak faham perasaan aku. Memanglah aku ni brutal tapi tu luaran je dalaman aku lembut tau. Lebih-lebih lagi ia melibatkan ahli keluarga aku.”

Sedu sedannya masih bersisa.

“Aku faham. Tapi aku mana pernah tengok kau menangis sampai begini sekali. Aku risau tengok kau macam ni. Abang kau tu lelaki, aku yakin dia tahu bagaimana nak selesaikan masalah dia. Dahlah tu jangan menangis lagi. Hilang kebrutalan dan kecomelan kau. Aku tengok muka kau pun dah macam udang kena bakar.”

Sofea cuba untuk menghangatkan suasana. Elfira tersenyum kelat. Air mata yang mengalir disekanya perlahan.

“Suka hati kau aje nak kutuk aku!” dengusnya perlahan.

Elfira akhirnya ketawa perlahan.

“Ha! Beginilah Elfira yang aku kenal.”

Sofea menepuk bahu Elfira. Elfira merebahkan tubuhnya ke sofa. Dia ingin baring seketika. Saat dia ingin memejamkan matanya, dia terpandangkan senaskhah majalah hiburan. Gambar Amylea terpampang di muka hadapan majalah itu. Elfira mengambil majalah tersebut. Meluat dia melihat wajah kakak iparnya itu. Dia membuka lembaran majalah itu. Muka dah jadi cover story , awal-awal lagi dah cerita tentang kakak iparnya. Dia melihat potongan gambar di sebelah Amylea.

“Apa yang kau tengok tu?” tanya Sofea sambil membawa dua mug air milo. Satu mug diserahkannya kepada Elfira.

“Cuba kau tengok ni.”

Elfira menunjukkan majalah tersebut kepada Sofea.

“Eh, ini lelaki tadi itu kan?” soal Sofea mahukan kepastian.

“Dialah itu. Cuba kau baca yang ni.”

“Siapa Tan Sri I di sisi Amylea?” Sofea membaca satu persatu isi cerita tersebut.

“Dia nafikanlah hubungannya dengan Tan Sri I. Dia boleh kata yang dia tidak mengenali Tan Sri I. Kau dengar tau aku bacakan kenyataan dia, saya tidak mengenali siapa Tan Sri I. Saya tiada hubungan dengan mana-mana lelaki. Saya sayangkan suami dan anak saya. Merekalah kekuatan saya. Huh! Bijak betul dia memanipulasikan statement. Yang tadi tu dia menggedik dengan Tan Sri tu dia tak sedar. Ini majalah bila?”

“Minggu lepas.”

“Ha, minggu lepas punya majalah. Baru seminggu dah kantoi dengan suami dia.”

“Kak Lea memang dah melampau. Kau rasa perlu tak aku beritahu mama dan papa aku? Kalau along tahu pasti along suruh angah ceraikan Kak Lea. Along aku itu bukannya suka sangat dengan Kak Lea.”

“Aku rasa lebih baik jangan. Biarlah angah kau selesaikan masalahnya sendiri. Kau sebagai adik sekadar sokong dia daripada belakang.”

“Betul juga cakap kau. Ah, biar jelah! Buat penat aku fikir. Lepas satu, satu masalah yang datang. Siang tadi kisah si mat singa tu, malam ni baru nak happy sikit, kakak ipar aku pulak buat hal. Kan bagus kalau dalam hidup ini tak ada masalah,” ujarnya.

Dia mengambil mug yang berisi air milo lalu dihirupnya perlahan. Nasib baik tak panas sangat. Lagi lajulah dia minum.

“L, kalau dalam hidup ini tak ada masalah, bukan kehidupanlah namanya. Bukankah masalah itu sebagai satu warna dalam kehidupan manusia,” ulas Sofea.

“Eh, sejak bila pula kau jadi ahli falsafah?”

“Sejak tadi.”

“Huh, malas aku nak layan kau. Tidur lagi baik. Esok pagi-pagi aku dah nak kena menghadap muka bos kau yang entah berapa sen tu.”

“Ha, bila kau sebut pasal bos aku dan kau tu, aku baru teringat bukan ke kau nak cerita dengan aku apa yang sebenarnya telah berlaku siang tadi?”

“Malaslah aku nak ingat balik. Sekarang aku dah penat. Aku nak tidur!”

Elfira mengatur langkah menuju ke biliknya.

“Tapi kau dah janji. Mana boleh mungkir janji berdosa tau!”

“Maaflah Fea. Aku memang penat sangat ni.”

“Okey tak apa, malam ni aku lepaskan kau tapi ingat lain kali aku tak akan lepaskan kau dengan mudah lagi.”

“Apa-apa jelah!” laung Elfira dari dalam bilik.

Sofea menghabiskan air milonya. Lalu dibawanya mug yang sudah kosong itu ke sinki.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.