Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 46

Jam sudah mula menunjukkan pukul 8 malam dan Karyenna sudah mula mengemas kafenya. Entah mengapa dia merasa kurang sihat. Badannya terasa begitu letih. Yurina hanya mampu menurut. Kerusi kembali disusun disetiap meja. 

“Esok tak payahlah datang kerja ya? Akak rasa macam nak cuti pula. Letih betul badan ni,” ujar Karyenna.

“Cuti?” Yurina sedikit terperanjat.

“Ya, kamu pun berehatlah. Asyik bekerja, nanti sakit pula,” balas Karyenna.

Yurina mengangguk perlahan. Antara mahu atau tidak, dia terpaksa menurut. Langkah diatur ke bilik persalinan untuk mengambil beg galasnya. Begitu juga dengan Karyenna yang masuk kepejabat kecilnya dan kembali keluar dengan beg tangannya yang bewarna hitam.

Hari ini kafe ditutup lebih awal dari sepatutnya. Karyenna sudah tidak tahan akan rasa lenguh badannya itu. 

“Pergilah balik, rehatkan diri,” ujar Karyenna. Yurina menganguk dan berlalu. Dia melangkah menghampiri perhentian bas yang menjadi tempat pertamanya sebaik habis bekerja. Dia dapat melihat beberapa orang yang turut menunggu bas.

Tidak lama kemudian, bas yang ditunggu akhirnya tiba. Masing-masing pantas memasuki perut bas dan mengambil tempat duduk. Begitu juga dengan Yurina. Dia duduk di tempat paling belakang.

Telefon pintar dan earphonenya dikeluar. Dia mahu mendengar lagu kesukaannya namun hasratnya terpaksa ditahan. Telefonnya kini kehabisan bateri. Hanya terpapar cermin hitam yang gelap. 


Moza mencapai kunci kenderaannya dengan pantas. Dia terkejut sebaik dihubungi penjaganya mengenai kehilangan abangnya. Yang lebih parah lagi apabila Dawson tidak membawa telefonnya.

Aryan yang masuk kedalam pejabat dengan segulung kain berorak terkejut akan sikap Moza yang tiba-tiba meluru keluar. Dia tidak sempat untuk bertanya. Moza hilang dengan kelajuan yang cukup pantas.

“Kenapa dengan dia? Kucing dia nak beranak ke?” Aryan berkata seorang diri.

Moza memecut laju. Beberapa buah kenderaan dipotong. Dia mahu cepat sampai kerumah. Hatinya semakin tidak tenang. Perasaannya bercampur aduk. Matanya mula berair hendak menangis. Dia tidak mahu sesuatu berlaku pada abangnya.

Sambil memandu, dia mencuba untuk menghubungi abangnya namun hampa. Hanya operator yang menjawab panggilannya.

“Mana kau Dawson? Janganlah buat hal pula,” ujar Moza sendiri. Matanya sesekali liar memandang sekitar khuatir jika abangnya ada berhampiran.

Beberapa belas minit memandu, akhirnya Moza sampai diperkarangan rumahnya. Penjaganya yang sedang mundar mandir pantas dihampiri. Matanya sempat melilau masuk kedalam rumah.

“Dawson ke mana? Dia tak beritahu ke?” tanya Moza pada penjaganya.

“Tak ada Moza. Habis je pak cik solat, dia dah tak ada. Puas pak cik round sekitar sini tapi dia masih tak dijumpai,” terang Pak Ehsan.

Moza semakin panik. Dia masuk kedalam rumah dan mendaki anak tangga masuk ke bilik tidur abangnya. Benda pertama yang dilihatnya adalah sebuah diari lama dan juga telefon milik abangnya.

“Diari siapa ni?” Moza tertanya-tanya. Diari tersebut diselak dengan cepat. Muka surat terakhir dibaca dengan pantas.

“Takkanlah?” Moza seperti sudah mula menduga sesuatu. Dia semakin tidak tenang.

Dengan pantas dia berbalik namun sebaik dia ingin melangkah kakinya tersadung akan kaki katil. Moza tersungkur menghempap lantai bilik. Dan seraya itu juga dia melihat sekeping gambar yang ada dibawah katil abangnya.

Moza semakin tertanya-tanya. Dengan sakit yang dirasainya akibat jatuh, dia menyusup masuk kebawah katil sebelum kembali keluar dari gambar tersebut.

Matanya terbuntang luas sebaik menatap gambar tersebut. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Dia kenal akan wanita yang ada disebelah Yurina. Itulah teman wanita abangnya.

Tidak menunggu lama, Moza bangkit dan berlari turun kembali ke kenderaannya. Dia bagaikan sudah tahu kemana tujuan abangnya. Apatah lagi dia kembali teringat akan kata-kata abangnya yang mahu mancari kembali teman wanitanya.

Dan secara automatik juga dia teringat akan kata-kata Yurina yang mahu membalas dendam pada teman lelaki arwah kakaknya yang selama ini menghilang tanpa khabar berita. Dia semakin dilanda ketakutan. Dia tidak mahu abangnya diapa-apakan oleh Yurina yang selama ini mencari teman lelaki arwah kakaknya.

“Kamu nak kemana?” tanya Pak Ehsan.

“Ke rumah Yurina,” jawab Moza. Dia masuk kedalam kenderaan dan memandu laju ke rumah Yurina. Pak Ehsan hanya mampu mengurut dada dan berdoa agar Dawson selamat.

Moza memecut kenderaaanya. Pedal minyak dipijak hampir kedasar. Dia tidak lagi peduli dengan lampu merah yang dilanggarnya. Baginya, dia tidak rela jika Dawson bertemu dengan Yurina.

“Ya Allah, dugaan apa lagi yang kau beri? Kenapa kau harus temukan Dawson dengan Yurina dalam waktu sebegini?” Moza mula menangis. Dia tidak dapat membendung rasa sedihnya. Apatah lagi mengingatkan keadaan abangnya yang semakin serius.


Yurina mengorak langkah dengan perlahan. Laluan kampung yang lenggang dan ditumbuhi semak dan lalang yang hidup subur di kiri dan kanan dilalui tanpa rasa takut. Beberapa lampu jalan sedikit sebanyak menerangi laluannya. Gonggongan anjing liar tidak sedikitpun menakutkannya.

Langkahnya tiba-tiba terhenti sebaik melihat seseorang yang dikenalinya berdiri beberapa ela didepannya. Dengan penuh tanda tanya, dia menghampiri.

“Dawson?”

Dawson diam. Entah mengapa pandangannya mula kabur. Dia tidak dapat melihat dengan jelas. 

“Mana Vevy?” tanya Dawson. Yurina mula tertanya-tanya mengapa Dawson tahu akan nama arwah kakaknya.

“Yurina, mana Vevy? Saya nak jumpa dia,” sambung Dawson lagi. Dia mula menghampiri Yurina dengan keadaan yang terhuyung hayang. Kedua tangannya mula diarahkan kehadapan seolah dirinya tidak mampu untuk melihat.

“Macamana awak tahu nama kakak saya?” tanya Yurina.

“Saya nak jumpa dengan kakak awak. Mana kakak awak Yurina?”

Yurina berundur beberapa langkah kebelakang. Tingkah Dawson mula menakutkannya. Dia masih tidak faham mengapa abang Moza begitu beriya hendak mengetahui dimana keberadaan kakaknya.

Dawson semakin mendekati Yurina. Kepalanya mula terasa sakit. Beberapa ratus batang jarum seolah menyucuk kepalanya. Entah beberapa kali dia terjatuh namun kembali bangkit.

“Yurina...”

“Dawson, awak kenal kakak saya ke?” tanya Yurina. Dia bagaikan dapat menyimpulkan apa yang sedang berlaku.

“Yurina, saya nak jumpa kakak awak. Saya nak minta maaf dengan dia. Saya nak minta maaf, saya tak tahu kalau Vevy masuk hospital.”

Yurina mula menggeletar. Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa Dawson adalah teman lelaki arwah kakaknya yang selama ini menghilangkan diri.

“Jadi memang betullah awak teman lelaki kakak saya?” Yurina mula menangis. Dia masih tidak dapat mempercayainya.

“Yurina, maafkan saya. Saya tak...”

Dawson tiba-tiba jatuh. Kedua kakinya mula terasa lemah. Dia hilang keseimbangan. Rasa kesemutan dirasai diseluruh kakinya. Dia bagaikan lumpuh. Namun semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk tetap bangun. Dengan payah, dia bangun dan menghampiri Yurina yang sudah basah dengan air mata.

“Yurina...”

Yurina berundur. Dia tidak mahu mendekati Dawson yang sudah dibencinya. Dia sudah lupa siapakah Dawson. Dia sudah lupa akan Moza yang juga adik kepada lelaki itu. Dia sudah lupa dengan gelak tawa yang diberikan Dawson dan Moza. Baginya, lelaki itu penyebab utama kematian kakaknya. 

“Awak tak perlu tahu dimana kakak saya. Dia dah tenang sekarang,” ujar Yurina. 

“Yurina... Saya nak jumpa kakak awak. Tolonglah, beri saya kesempatan,” balas Dawson. Dia mula keliru. Dirinya sudah mengadap ke kiri jalan bukan berdepanan dengan Yurina.

“Sampai hati awak kan? Awak buat kakak saya menderita. Awak buat kakak saya menangis setiap hari. Awak memang lelaki tak guna!”

Yurina mula mengherdik. Dia tidak lagi peduli dengan lelaki itu. Baginya, lelaki itu tidak perlu dikasihani. Lelaki itu tidak pantas untuk diberi peluang.

“Saya tak tahu... Saya tak tahu kalau Vevy masuk hospital. Saya tak tahu...”

Yurina hanya tersenyum sumbing. Dia tidak percaya dengan apa yang dituturkan Dawson. Baginya, lelaki itu sedang mereka alasan untuk tidak merasa bersalah.


Moza memberhentikan kenderaaanya didepan rumah Yurina. Dengan pantas dia keluar dari kereta dan melaung memanggil Yurina. Puan Aishah yang terkejut pantas keluar.

“Yurina ada dirumah tak?” tanya Moza. Dia dibasahi peluh. Puan Aishah mula memandangnya dengan penuh tanda tanya.

“Tak ada. Dia belum balik. Mungkin sekejap lagi dia balik. Kenapa ni? Ada apa-apa yang berlaku ke?” tanya Puan Aishah pula.

“Oh, tak ada apa-apa mak cik. Saya call Yurina tapi dia tak jawab.”

“Oh ya, Yurina lalu mana bila balik? Dia ikut jalan ni ke?” sambung Moza.

“Taklah. Kalau dia pergi kerja, dia biasanya ikut jalan kecil sana tu. Agak semak tapi pintas,” tunjuk Puan Aishah. Moza pantas menoleh mengikut telunjuk Puan Aishah.

“Kereta tak boleh masuk?”

“Tak boleh. Tapi motor boleh. Jalan kecil je.”

“Kalau macam tu, saya pergi dulu ya mak cik? Assalamualaikum,” Moza meminta diri. Kenderaannya dibiarkan parking didepan rumah Yurina.

Puan Aishah hanya melihat dengan penuh tanda tanya. Kepalanya mula digeleng. Entah kenapa hatinya mula berdegup tidak tenang seolah ada perkara buruk yang akan berlaku. Apatah lagi melihat wajah Moza yang sembab dengan air mata.

Moza memberanikan diri untuk melalui jalan kecil yang dipenuhi dengan semak samun itu. Lampu telefonnya digunakan untuk menyuluh jalan. Langkahnya pantas.

Tiba-tiba dia teringat akan Karyenna. Pantas dia menghubungi Karyenna bertanya keberadaan Yurina.

“Yurina dah baliklah. Hari ni kafe tutup awal. Aku rasa tak sedap badan pula. Kenapa?”

Moza terdiam. Dia semakin tidak senang. Semua yang ingin dilakukan terasa tidak keruan.

“Yurina ada beritahu tak tentang lelaki yang dia cari? Lelaki yang jadi teman lelaki kakaknya?”

“Teman lelaki kakaknya? Erm... Rasanya ada. Kalau tak salah, dia nak cari lelaki tu. Kenapa Moza? Apa yang berlaku?” Karyenna turut panik.

“Teman lelaki kakak Yurina adalah Dawson.”

“Kau biar betul? Maksud kau abang kau ke?”

“Yalah Karyenna. Siapa lagi?”

Karyenna mula kehilangan kata-kata. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dikatakan. Kejutan tersebut tidak diduganya. Siapa sangka jika lelaki yang dicari rupanya ada didepan mata.

“Aku call Aryan. Kau dimana?”

“Rumah Yurina.”

“Aku kesana sekarang,” ujar Karyenna lantas mematikan panggilan telefonnya. Dia segera menghubungi tunangnya dan menceritakan apa yang berlaku. 

Moza semakin panik. Laluan yang dikatakan pintas seolah lebih jauh dari jalan umum. Rasa takutnya akan keadaan gelap sudah mampu dilawannya. Dia semakin melangkah dengan pantas. Beberapa buah lampu jalan sudah membantunya menerangi langkah kakinya.


Previous: Bab 45
Next: Bab 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail