Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 39

Malam kini semakin larut. Bunyi katak yang tadi memenuhi sekeliling rumah kini bertukar dengan bunyi cengkerik dan diselang seli dengan bunyi burung pungguk yang hinggap didahan pokok sebelah rumahnya. Cahaya bulan yang tadi tertutup sedikit dengan awan kini kembali menerangi bumi.

Moza mencapai bantal kecil berwarna coklat yang ada di sofa ruang tamunya. Permaidani berbulu yang terbentang diatas lantai didepan peti televisyen kini menjadi lapik untuknya berbaring.

Alat penghawa dingin mula dihidupkan. Begitu juga dengan peti televisyen bersaiz 60’ inci yang berada diatas almari rendah. Badannya yang tadi terasa melekit kini kembali segar setelah membersihkan diri.

Rambutnya yang masih basah segera dilapik dengan tuala kecil yang dibawanya pada bantal tersebut. Seluruh tubuhnya yang lenguh kini berasa nyaman setelah berbaring diatas permaidani berbulu.

“Sedap betul baring,” ujar Moza seorang diri. Alat kawalan jauh televisyennya dicapai. Satu persatu dia mencari siaran yang menarik.

“Wah, bertuahnya.”

Moza memandang abangnya yang menghampirinya. Ditangannya ada dua biji bantal bersarung yang berwarna biru tua. 

 “Tepi sikit,” Dawson meletakkan bantal yang dibawanya ditepi adiknya. Moza yang baru berbaring mula mencebik namun tetap beralih sedikit memberi ruang untuk abangnya.

“Kacau betullah,” Moza tidak berpuas hati namun Dawson tidak mengendahkannya. Bantal yang tadi dibawa mula disusun tinggi sebelum turut berbaring disebelah adiknya.

“Harum betul kau ni,” tegur Dawson sebaik hidungnya mencium bau wangi dari adiknya. Hidungnya mula kembang kempis.

“Aku memang harum. Bukan macam kau,” jawab Moza. Mendengar jawapan Moza, Dawson mencebik. Kedua tangannya mula diletakkan dibawah kepalanya. Ditontonnya filem aksi yang sedang ditayangkan di peti televisyen.

Selang beberapa ketika, Pak Ehsan datang menghampiri Dawson dan Moza yang sedang asyik menonton filem aksi tersebut. Ditangannya ada sekeping kad jemputan dari Tuan Brian yang datang kerumah siang tadi.

“Moza,” panggil Pak Ehsan. Serentak dengan itu Moza mengangkat kepala memandang penjaganya yang duduk disalah sebuah sofa yang ada diatas mereka.

“Ini ada kad kahwin dari Tuan Brian,” sambung Pak Ehsan. Diberikannya kad berwarna emas itu kepada Moza yang masih berbaring.

“Kad kahwin? Siapa yang kahwin?” tanya Moza. Tangannya pantas mencapai dan membuka kad tersebut sebelum dibacanya satu persatu. Dawson yang berbaring disebelahnya turut sama membaca.

“Ariana? Anak dia ke?” tanya Moza. Pak Ehsan mengangguk.

“Anak Tuan Brian yang belajar di Kanada tu katanya nak kahwin dengan orang sana,” beritahu Pak Ehsan.

“Baguslah tu.”

“Dia harap kita boleh hadir waktu anak dia kahwin tu.”

“Nantilah saya tengok jadual. Harap tak ada acara lain,” jawab Moza. Pak Ehsan hanya mengangguk.

“Satu lagi katanya, anak dia nak kamu buatkan baju khas untuk dia,” beritahu Pak Ehsan lagi. 

“Baju khas? Baju macamana?” tanya Moza. Dia mula berpusing memandang penjaganya yang duduk diatasnya.

“Entahlah. Pak cik pun tak faham baju yang macamana. Tapi katanya nanti dia suruh anak dia dan tunangnya datang ke butik kamu.”

Moza hanya mengangguk. Dia kembali berpusing dan memandang peti televisyen yang cukup besar itu. Kad kahwin tersebut mula diletakkan ditepi bantalnya.

“Kau tak terfikir nak kahwin ke Moza?”

Moza memandang abangnya. Dia tidak menyangka abangnya akan bertanya soalan sedemikian rupa. Ikutkan hati, mahu saja dia meraup mulut abangnya itu.

“Tak ada soalan lain ke?” balas Moza. Dawson hanya tersengih.

“Ada. Bila nak bawa teman wanita ke sini?”

Moza memandang dengan tajam. Geram benar hatinya apabila mendengar pertanyaan abangnya itu. Ikutkan hati, mahu saja dia memukul abangnya itu.

“Malas aku nak layan kau,” ujar Moza. Dia kembali berpusing membelakangkan abangnya. Filem aksi kembali ditonton.

Melihat Moza yang enggan mempedulikannya, dia semakin mahu mengusik adiknya. Dengan perlahan, dia merapati adiknya sebelum dipeluknya dari belakang. Moza yang terkejut mula meronta minta dilepaskan.

“Kau dah kenapa Dawson? Lepaskan aku! Gelilah!” Moza meronta namun pelukan abangnya yang begitu kuat tidak mampu dilepaskannya.

Dawson semakin galak. Dia mula mencium pipi adiknya yang terdedah sebaik dia berpaling. Moza yang sekali lagi terkejut mula menjerit.

“Pak cik, tengoklah Dawson ni!”

“Lailahaillah, kamu berdua ni dah macam budak-budak. Tak sah kalau tak mengusik. Dawson, dahlah tu.”

Teguran Pak Ehsan tidak diendahkan oleh Dawson. Dia semakin seronok mengusik adiknya. Mulutnya sengaja dimuncungkan ingin mencium dan Moza semakin kuat menjerit.Kakinya turut kemas mencepit kedua kaki adiknya membuatkan Moza terkunci.

“Dawson! Kau jangan berani nak cium aku! Dawson!” Moza menjerit sekuat hati. Bantal yang tadi dilapik dibawah kepalanya mula teralih dan menjauh membuatkan kini Moza terbaring tanpa bantal.

“Aku dah lama tak cium kau Moza. Bukan dulu kau suka ke?” usik Dawson.

“Jangan gila Dawson! Aku tak nak!”

Dawson mula memegang kedua tangan adiknya dengan kuat. Moza yang keletihan tidak lagi mampu melepaskan dirinya. Dia hanya mampu meronta dengan kedua kakinya yang kini keluar dari permaidani berbulu.

“Dawson, dahlah tu. Tak baik menjerit malam-malam. Nanti ada yang ikut baru tahu,” tegur Pak Ehsan lagi mencuba untuk menakutkan Dawson agar berhenti mengusik Moza.

 “Saya tak takutlah pak cik,” jawab Dawson. Dia tetap ingin mengerjakan adiknya yang enggan diciumnya.

“Lepaskan tangan aku Dawson! Aku tak nak! Dawson!”

Dawson tersenyum lebar. Tangan adiknya yang tadi dipegang dengan kuat mula dilepaskan. Puas benar hatinya mengerjakan adiknya itu. Moza segera duduk. Rambutnya kusut.

“Gila!”

“Kau nak lagi?”

“Kau jangan datang dekat!”

Dawson hanya ketawa kecil. Entah kenapa dia begitu gembira mengacau adiknya itu. Dia dapat melihat wajah masam Moza. Bantal kecil yang berhambur kembali dicapai dan disusun tinggi sebelum kembali berbaring. Sesekali dia memandang adiknya yang duduk agak jauh darinya.

“Marilah baring sini,” lambai Dawson namun Moza hanya menjeling. 

“Dah, jangan nak bergaduh lagi. Pak cik nak masuk tidur dulu. Jangan tidur lewat sangat ya?”

Pak Ehsan bangun dari sofa yang didudukinya dan perlahan meninggalkan Moza bersama dengan Dawson. Dawson kembali tersenyum sementara Moza mula bangun dan duduk disofa. Bantal kecil yang selama ini menjadi bantal hiasan kembali dicapai dan dipeluk erat.


Diari milik arwah kakaknya kembali dikeluarkan dari dalam kotak. Dengan helaan nafas yang perlahan, dia membuka satu persatu helaian muka surat. Dia mahu tahu luahan isi hati arwah kakaknya yang tertulis diatas buku tersebut.

Pada muka surat ketiga, sekeping gambar dirinya bersama dengan arwah kakak ditatapnya. Senyumannya perlahan terukir. Dia masih ingat dimana dia enggan berenggang dengan arwah kakaknya.

Sudah sekian lama cinta hati tidak hadir didepan mata. Rindu ini bagaikan sudah memenuhi tabung hati yang semakin menua. Aku tidak tahu apa yang terjadi namun aku harapkan semuanya baik. Tidak terlintas dihatiku untuk membenci dia yang menghilang.

Yurina melepaskan keluhannya. Beberapa muka surat dilangkau. Dia tidak mahu sabar untuk membaca luahan hati yang terakhir.

Setiap hari aku menunggu dengan sabar. Setiap hari aku menunggu tanpa rasa jemu. Mengharap hadirmu dari balik pintu. Namun langit tidak selalunya cerah. Apa yang ku nanti tidak semestinya khabar behagia untukku. Tatkala hari bertukar waktu, aku melihatmu dengan rasa sayu. Tidak kusangka, kekasih yang ku rindu kini ada didepan mata. Terbaring lemah tanpa suara. Rasa marah perlahan menjadi hiba sehingga tanpa sengaja aku mengalirkan air mata. Aku turut berduka namun aku tidak menyalahkan takdir. Kini rindu yang hilang perlahan kudapatkan walaupun aku tidak mampu untuk menahan diri.

Yurina menitiskan air mata. Entah mengapa dia merasa sayu dengan kata-kata arwah kakaknya itu. Namun ada sesuatu yang mula tidak difahaminya. Mengapa arwah kakaknya menulis ayat ‘terbaring lemah tanpa suara’ sedangkan setahunya teman lelakinya itu hilang tanpa jejak.

Dia kembali mengimbas waktu dimana dia menjenguk arwah kakaknya dihospital. Dengan wajah yang pucat, arwah kakaknya sempat berpesan untuk sentiasa bersikap positif dan tidak menurut perasaan. Dia juga ingat dimana arwah kakaknya ada memberitahunya jika kekasihnya sudah pun ditemuinya.

“Dia  ada datang sini? Mana dia? Biar adik pergi pukul dia.”

“Dik, janganlah macam tu. Tak baik tau. Biarkan dia. Lagipun kakak dah jumpa dia dan sekarang kakak rasa gembira sangat.”

“Apa yang kakak mengarut ni? Nampak sangat kalau kakak ni kena main dengan lelaki. Kak, kakak sendiri yang cakap kalau dia nak datang melamar kakak tapi sampai sekarang tak nampak batang hidung dia. Entah-entah dia seronok dengan perempuan lain,” Yurina menarik wajah masam.

“Dik, kakak kenal macamana dia. Walaupun kakak baru kenal dia dalam setahun dua, tapi akak yakin kalau dia seorang lelaki yang baik.”

“Kenapa kakak asyik bela dia?” Yurina semakin tidak berpuas hati.

“Itu sebab kakak cintakan dia. Kakak sayang dia dan kakak rindu dia. Tapi jangan disebabkan sesuatu perkara, semuanya hilang. Kamu akan faham kalau kamu jatuh cinta nanti,” jawab Vevy Farhana. Senyumannya diukir lebar walaupun wajahnya tampak pucat ditambah lagi dengan ketiadaan rambut.

“Yurina takkan jatuh cinta.”

Yurina mula menangis. Dia tidak dapat menahan rasa sebaknya. Rindunya pada arwah kakaknya mula dirasainya. Kata-kata arwah kakaknya bagaikan berbalik pada dirinya. Dulu dia bersumpah untuk tidak menyukai mana-mana lelaki namun sejak dia bertemu Moza, hatinya mula berbolak balik.


Aryan hanya tersengih tatkala Karyenna memandangnya. Sejambak bunga mawar merah yang diberikan pada Karyenna membuatkan dia semakin yakin jika wanita itu akan menerima cintanya.

“Dah habis tersengih?” tanya Karyenna dan Aryan pantas mengangguk. Dia seperti budak kecil yang patuh pada arahan ibunya.

“Jadi macamana? Sudi tak jadi teman wanita saya?” 

Karyenna diam. Wajah Aryan dipandangnya meminta kepastian. Entah mengapa dia menganggap lelaki itu ingin mempermainkannya.

“Awak nak mengusik saya kan?” tanya Karyenna. Jambangan bunga kembali diletakkan diatas meja. Aryan mengerut.

“Mengusik apa? Tak elok tak mengusik anak dara orang,” jawab Aryan. Mulutnya sengaja dimuncungkan.

“Pleaselah Karyenna. Kau tahu tak, aku jadi tak keruan tau. Bak kata pepatah, makan tak kenyang mandi tak basah,” sambung Aryan. Kedua tangannya mula digenggam rapat antara satu sama lain.

“Jadi apa kena mengena dengan aku?” Karyenna masih dengan sikap santainya. Kedua tangannya sengaja disilang memeluk tubuh sambil menyandar pada kerusi yang didudukinya.

Aryan diam. Genggaman tangannya kembali dileraikan. Entah mengapa dia mula merasa jika wanita idamannya itu mula menguji kesabarannya. Bibir bawahnya mula digigit.

“Marah ke?”

“Hah? Tak adalah. Kenapa pula nak marah?” Aryan kembali bersikap biasa. Jauh didalam hatinya, dia merungut geram.

“Jadi macamana sekarang?”

“Macamana apa?” Aryan kembali bertanya.

“Takkanlah nak ajak jadi girlfriend je?”

“Dah tu nak jadi apa?” Aryan mula menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Saya bukannya apa. Malaslah kalau setakat nak jadi girlfriend je. Bosan,” ujar Karyenna.

“Bosan? Mana ada bosan? Kalau awak jadi girlfriend saya, saya akan pastikan awak takkan rasa bosan. Saya akan buat hidup awak bahagia tak terkira. Itu janji saya.”

Karyenna tersenyum nipis. Entah mengapa dia merasa lucu. Dalam diam lelaki itu mula menggetarkan jiwa perempuannya. Namun dia tidak mahu bersikap terbuka, dia mahu melihat sejauh mana ketulusan hati lelaki itu. Lagipula dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Hei, awak nak tahu tak mengapa lelaki kacak seperti saya susah nak dapat jodoh?” tanya Aryan.

“Awak kacak ke? Biasa je saya tengok,” balas Karyenna. Aryan pantas menarik wajah masam.

“Yalah awak kacak tapi taklah sekacak Moza,” sambung Karyenna.

“Moza lain cerita. Dia kacak satu dunia sedangkan saya kacak mewakili lelaki melayu terakhir,” ujar Aryan. Karyenna mula tertawa kecil.

“Eh, ketawa pula dia?”

“Habis tu kenapalah awak susah dapat jodoh? Mesti awak playboy kan?”

“Eh, playboy tak main tau? Ini lelaki limited edition, jadi benda macam tu saya tak nak buat. Dosa...”

“Yalah tu...”

“Saya ni bukannya apa Karyenna. Lelaki kacak macam saya ni mesti akan dilema dalam bab mencari jodoh. Nak tahu kenapa? Sebabnya cinta saya hanya tulus untuk awak...”

Kata-kata Aryan membuatkan Karyenna tertunduk malu. Begitu juga dengan Aryan yang sudah berpaling dan membelakangnya Karyenna. Dia turut merasa malu. Ikutkan hati, mahu saja dia berlalu pergi dan menutup wajahnya dengan surat khabar.


Previous: Bab 38
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail