Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 28

Karyenna semakin tidak keruan. Yurina sama sekali tidak menjawab panggilannya. Kafenya kini tutup tidak menerima pelanggan. Hatinya semakin tidak tenang memikirkan satu-satunya pekerjanya itu. 

Satu tolakan dari luar kafe membuatkan Karyenna menarik nafas lega. Moza yang masuk bersama Aryan pantas dihampirinya.

“Yurina tak jawab call,” beritahu Karyenna.

“Hah? Dia tak jawab call?” Moza terkejut. Dengan pantas dia mengeluarkan telefon pintarnya dan mencuba menghubungi Yurina namun jawapan yang sama diterimanya. Panggilannya tetap tidak dijawab.

“Apa nak buat sekarang?” tanya Karyenna. Dia semakin risau.

“Apa kata kita call polis?” Aryan memberi cadangan.

“Nak beritahu apa?” tanya Moza.

“Kita beritahulah kalau Yurina dapat ugutan bunuh,” jawab Aryan.

“Dapat ugutan bunuh? Jadi mana buktinya?”

Aryan diam. Dia kehilangan kata-kata. Apa yang dapat dilakukannya hanyalah mengangkat bahu. Sebuah kerusi ditarik dan didudukinya.

“Biar saya pergi kolej dia,” ujar Moza. Dia dengan pantas keluar dari kafe Karyenna meninggalkan Aryan disana.

Karyenna kini bermundar mandir. Telefonnya kini dipegang erat. Hatinya bertambah risau dengan ketiadaan Yurina yang sudah dianggapnya bagaikan adik sendiri. Aryan pula hanya mampu memandang lantai. Dia sendiri turut buntu.


Dengan meter yang hampir mencecah kelajuan 120/km, beberapa buah kenderaan dipotong. Moza semakin tidak tenang. Fikirannya asyik memikirkan Yurina. Dia tidak rela jika wanita itu menjadi korban seseorang.

Kereta Audinya pantas membelok masuk ke perkarangan kolej Yurina. Matanya liar mencari kelibat wanita itu namun tiada siapa yang dikenalinya sehinggalah dia terpandang akan rakan Yurina yang pernah datang ke pejabatnya tempoh hari.

Tanpa memarkirkan kenderaannya di tempat letak kenderaan, Moza pantas meluru kearah Hawa yang ingin masuk kedalam kenderaan Myvinya.

“Hawa!”

Hawa terkejut sebaik dia menoleh. Dia tidak menyangka pereka fesyen itu datang ke kolejnya. Beberapa orang pelajar yang lain sudah memandang mereka.

“Encik Moza, ada apa datang ke sini?” tanya Hawa ramah.

“Mana Yurina?” Moza bertanya dengan nafas yang tercungap-cungap.

“Yurina? Dia dah balik.”

“Apa? Balik? Dia balik dengan siapa?”

“Erm... Tak tahulah pula. Tadi dia minta balik awal jadi lecturer beri izin.”

“Dah lama ke?” tanya Moza lagi. Matanya mula melilau ke luar pagar kolej.

“Dalam setengah jam.”

“Okay. Terima kasih Hawa. Nanti kalau jumpa dia, beritahu saya cari, ya?”

Hawa kehairanan. Moza yang kembali berlari anak kearah kereta mewahnya hanya dipandang dengan penuh tanda tanya. Dia tidak faham mengapa lelaki kacak itu begitu bersungguh-sungguh mencari Yurina.

“Siapa tu Hawa?” Alina, rakan Hawa bertanya hairan.  

“Teman lelaki Yurina,” jawab Hawa. Dia masih lagi memandang kenderaan Moza yang berhenti di bahu jalan diluar pagar kolej.

“Teman lelaki Yurina? Kau biar betul? Apa yang dia nak?” tanya Alina lagi. Dia sedikit terkejut apabila mengetahui Yurina mempunyai teman lelaki yang kacak dan bergaya.

“Yang pasti dia nakkan teman wanitanya,” jawab Hawa.

Alina mencebik. Dia kembali mengorak langkah meninggalkan Hawa.


Yurina menggigit roti yang dibelinya dengan perlahan. Walaupun dia tidak mempunyai selera makan, namun roti tersebut tetap ditelannya. Dia tidak mahu gastriknya menyerang. Dia tidak mahu duitnya keluar lebih banyak jika dirinya harus ditahan di klinik.

Jam tangan yang ada ditangan kirinya dipandang. Dalam setengah jam dia harus sampai di kafe Karyenna untuk bekerja. Roti yang kering itu ditelannya dengan bantuan air mineral.

Dengusan kasar turut dilepaskan. Dengan sisa tenaga yang ada, dia berdiri dan kembali menggalas begnya yang berisi komputer ribanya dan juga tugasannya meninggalkan kerusi taman yang tadi didudukinya. Namun baru sahaja melangkah beberapa tapak, dia dikejutkan dengan jeritan seorang lelaki yang memanggil namanya.

“Yurina!”

Yurina berhenti melangkah. Wajah lelaki yang tidak dikenalinya itu dipandangnya dengan penuh tanda tanya. Dia dapat melihat senyuman muncul di wajah lelaki itu. Satu senyuman yang dalam diam menakutkannya.

“Maafkan saya tapi encik kenal dengan saya ke?” tanya Yurina dan lelaki itu mengangguk.

“Mestilah saya kenal awak. Takkan awak tak ingat saya siapa?”

Yurina perlahan menggeleng. Dia sama sekali tidak ingat dimanakah dia mengenal lelaki itu. 

“Alah, di butik Moza?”

Yurina tersentak. Dia mula teringat akan lelaki itu, lelaki yang bertikam lidah dengan Moza. Lelaki yang sebelum ini memberi jelingan tajam kearahnya.

“Dah ingat dah?” tanya Andy lagi. Senyumannya semakin lebar.

“Ya, sikit,” jawab Yurina perlahan.

 “Awak nak kemana?” 

“Erm... Saya nak ke tempat kerja.”

“Marilah saya hantarkan,” Andy menghulurkan bantuan namun Yurina pantas menolak.

“Tak apalah. Lagipun tempat kerja saya tak jauh,” ujar Yurina lembut.

“Janganlah macam ni. Dah kebetulan kita berjumpa, rasanya tak salah kalau saya hantar awak.” Andy masih tetap dengan bantuannya.

“Yurina!”

Andy dan Yurina serentak menoleh apabila seseorang memanggil Yurina dengan kuat. Mereka dapat melihat Moza datang dengan laju.

“Eh, Moza pun ada?” Yurina kehairanan sementara Andy sudah mula mengigit bibir. Rancangannya untuk menculik Yurina kini gagal. Dia tidak ada peluang untuk melakukannya didepan Moza yang dibencinya.

“Awak dari mana? Dari tadi saya call,” ujar Moza. Dia sempat mengerling kearah Andy.

“Maaflah. Telefon saya habis bateri,” jawab Yurina.

“Kau buat apa dekat sini Andy?” tanya Moza. Dipandangnya Andy dengan seribu satu persoalan. Seingatnya Andy tidak berapa suka akan Yurina.

“Tak ada apa. Aku cuma jalan-jalan dan terserempak dengan Yurina,” jawab Andy.

“Jalan-jalan?” 

“Ya. Lagipun aku bosan di office, nak juga ambil angin.”

Moza diam. Dia mencuba untuk meneka apa sebenarnya yang ingin dilakukan Andy. Wajah Yurina kembali dipandang.

“Marilah saya hantar balik,” ujar Moza.

“Tak payahlah. Kafe kak Karyenna depan tu saja,” tunjuk Yurina. Moza hanya mengigit bibir.

“Jangan nak membantah. Ikut saja saya. Setakat Karyenna, dia takkan berani marah saya sebab bawa awak.”

Yurina kehairanan. Dia mula tertanya-tanya mengapa lelaki itu bersikap sedemikian rupa didepannya. Andy yang sudah mendiam diri turut dipandangnya.

“Awak kenapa sebenarnya?”

“Apa? Saya tak ada apa-apa,” jawab Moza.

“Dah tu kenapa saya mesti ikut awak? Saya boleh jalan sendiri.”

Andy yang mendengar sudah mula tersenyum sinis. Dia gembira kerana wanita itu begitu berani menolak ajakan Moza.

“Masuklah dalam kereta Yurina. Saya ada benda nak beritahu awak sebenarnya,” ujar Moza perlahan seolah meminta simpati.

“Beritahu apa? Dekat sini pun boleh beritahu.”

“Yalah Moza. Apa yang kau nak beritahu tu? Aku pun nak mendengar juga,” sampuk Andy. Dia sengaja mendatangkan marah Moza.

Moza diam. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya agar Yurina mengikutnya. Dia dapat melihat senyuman sinis Andy. Dengan tidak berfikir panjang, dia merapat kearah Yurina dan memeluknya.

“Masuk dalam kereta sekarang. Lelaki ni nak bunuh awak,” ujar Moza separuh berbisik. Rambut Yurina yang tadi diikat sengaja dilepaskannya dan dibiarkan menutup mulutnya. Dia tidak mahu Andy perasaan akan dirinya yang sedang memberitahu sesuatu pada Yurina.

Yurina tergamam. Dia bagaikan tidak percaya. Jika tadi dia ingin menolak Moza yang tiba-tiba memeluknya, kini dia mula menurut.

“Wow, tak sangka di sini ada drama Korea,” sindir Andy. Moza hanya diam tidak memberi reaksi.

“Erm... Maafkan saya,” Yurina tidak menunggu lama. Dengan pantas dia masuk kedalam kenderaan Moza yang diparkir ditepi jalan. Moza hanya tersenyum puas.

“Apa yang sedang kau rancang sebenarnya Andy?” tanya Moza berani.

“Rancang apa Moza? Sejak akhir-akhir ni kau sering merepek tak tentu pasal. Kena sampuk ke?” balas Andy.

“Entahlah Andy. Aku sendiri pun tak tahu samada aku dah kena sampuk atau tak. Tapi yang pasti, aku masih waras.”

Andy hanya tersenyum. Kata-kata Moza seolah lawak ditelinganya. Moza pula hanya mengerlipkan matanya sebelum meninggalkan Andy. Kenderaannya yang diparkir di tepi jalan kembali dipandu meninggalkan kawasan tersebut.

“Sial!”

Andy menyumpah. Dia tidak peduli dengan pandangan beberapa orang yang ada ditaman tersebut. Hatinya bertambah berang dengan kehadiran Moza yang sering menganggu rancangannya.


Didalam kenderaan, Yurina hanya mendiamkan diri tidak bersuara. Dia masih tidak dapat mempercayai kalau lelaki itu mahu membunuhnya. Moza yang memandu disebelahnya mula dipandang.

“Betul ke lelaki tu nak bunuh saya?” tanya Yurina. Dia mula ketakutan.

“Entahlah Yurina tapi Karyenna ada beritahu saya, yang ada orang nak bunuh awak.”

“Apa maksud awak sebenarnya? Saya tak faham. Kenapa mereka nak bunuh saya? Apa salah saya?”

“Karyenna kata ada dua orang pelanggan datang ke kafe tadi dan tanpa sengaja mereka sebut nama awak. Mereka kata mereka nak bunuh awak,” beritahu Moza. Matanya tetap fokus pada pemanduan walaupun sesekali dia menoleh memandang Yurina.

“Tapi kenapa mereka nak bunuh saya? Saya tak ada hutang dengan ah long.”

Moza diam. Dia sendiri kurang pasti mereka Yurina hendak dibunuh. Apa yang dia tahu, dia harus sentiasa mengawasi Yurina dari pembunuh tersebut.


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail