Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 47

Rayuan Dawson sama sekali tidak dipedulikan Yurina. Dia masih tidak dapat memaafkan Dawson yang telah melukai hati arwah kakaknya. Dawson yang menghampirinya ditolak agar menjauh. Dawson masih tetap merayu. Rasa sakit kepalanya yang dirasainya semakin menyiksa jiwa. Darah merah sudah mula mengalir keluar dari hidungnya.

“Yurina, maafkan saya.”

“Awak fikir maaf awak akan kembalikan kakak saya? Tak, awak tak boleh hidupkan kembali kakak saya!”

Dawson yang terduduk akibat tolakan Yurina kini tidak mampu untuk berdiri. Seluruh kakinya sudah tidak berfungsi dengan baik. Dia bagaikan tidak dapat menampung tubuhnya. Dia semakin lemah.

“Tak payah nak berlagak baik dengan saya Dawson. Awak memang lelaki tak guna! Awak tak layak untuk dampingi kakak saya!”

Dawson semakin parah. Namun sisa tenaga yang ada membuatkan dia tetap mampu untuk mengagahi badannya untuk mengensot mendapatkan Yurina. 

“Yurina, tolong saya.. Beri saya satu lagi kesempatan. Biarkan saya jumpa kakak awak,” pinta Dawson. Jaket yang dipakai Yurina sempat dicapai dan dijadikan tempat untuk berpaut.

Yurina tidak mahu berkompromi. Dawson yang sedang berpaut ditolaknya dengan kasar. Dawson yang hilang keseimbangan kembali terjatuh. Kepalanya terhantuk pada sebatang kayu yang terlindung dibalik semak. Darah mula memercik keluar membasahi kepalanya. Dia kini menggelempar bagaikan seekor ayam. Darah juga sudah mula keluar dari mulut.

Yurina tergamam seketika. Dia bagaikan tersedar dengan apa yang dilakukannya. Namun baru sahaja dia ingin melangkah mendapatkan Dawson, telinganya mendengar satu jeritan yang menyebut namanya. Kepalanya serentak diangkat dan terkejut melihat kehadiran Moza yang pantas berlari.

“Awak buat apa?”

Moza menolak Yurina agar menjauh dari abangnya. Yurina terdorong kebelakang dan jatuh terduduk.

“Dawson, bangun Dawson!”

Moza memangku kepala abangnya yang berdarah. Pipi abangnya ditepuk berharap abangnya masih sedar.

“Moza, saya tak sengaja...”

“Awak diam!” Bentak Moza. Air matanya sudah mula menitik turun. Dia benar-benar sedih dengan apa yang berlaku pada abangnya.

“Moza... Aku nak jumpa Vevy,” dengan perlahan Dawson bersuara. 

“Dawson...”

Dawson mula batuk. Darah yang pekat seolah menutup ruang pernafasannya. Nafasnya mula termengah-mengah. Darah turut memercik keluar dari mulutnya dan mengotorkan baju Moza yang memangkunya.

Moza semakin panik. Dia ingin memapah abangnya. Melihat Moza, Yurina segera membantu namun Moza pantas menghalang.

“Jangan sentuh abang saya!”

Yurina terdiam. Dia mula tertanya-tanya mengapa Dawson begitu lemah. Tidak mengendahkan larangan Moza, dia pantas membantu namun Moza semakin berang. Dia kembali menolak Yurina agar menjauh.

“Awak nak bunuh abang saya ke Yurina? Hah? Awak memang nak abang saya mati ke? Awak tahu tak apa yang berlaku pada abang saya? Awak nak tahu tak mengapa abang saya tak dapat jumpa kakak awak?”

“Apa maksud awak Moza?” Yurina benar-benar keliru.

“Abang saya koma Yurina. Dia koma! Awak tahu tak? Dia koma!”

Kata-kata Moza mengejutkan Yurina. Dia tidak menyangka jika lelaki yang dibenci rupanya mempunyai kisah yang tragis disebalik kehilangannya.

“Awak memang kejam Yurina.” Moza menangis. Abangnya yang separuh sedar dipeluknya. Dia meraung sekuatnya.

Yurina mula merasa bersalah. Dia kehilangan suara. Dawson yang semakin lemah dipandangnya. Darah merah kini membasahi jalan. 

“Moza, jom kita hantar abang awak ke hospital,” ujar Yurina. Dia mahu membantu Dawson yang sudah disalah sangka.

“Jangan sentuh abang saya!” Moza enggan membenarkan Yurina memegang abangnya.

“Moza...”

Melihat Yurina yang masih berkeras, Moza mencapai batang kayu yang ada ditepi jalan. Kesan darah akibat hentakan kepala Dawson masih berbekas. Yurina mula panik. 

“Baik awak pergi dari sini! Saya tak nak tengok muka awak,” ujar Moza. 

“Moza, saya...”

“Pergi sekarang Yurina! Saya tak nak tengok awak lagi!”

Moza bangun. Dia mula bersikap tidak waras. Yurina yang mula berundur beberapa tapak dihampirinya. Dia sama sekali tidak rela jika abangnya diperlakukan sedemikian rupa. Batang kayu yang diambilnya kini diangkat tinggi. Wajah Yurina sama sekali tidak dikasihaninya. Yurina hanya mampu pasrah jika benar lelaki itu mahu menghayun kayu tersebut kearahnya.


Aryan memegang batang kayu tersebut dengan erat. Dia tidak mahu Moza bertindak diluar batasan. Karyenna dan Puan Aishah turut terkejut dengan apa yang berlaku. Masing-masing beristighfar.

“Moza, bawa bertenang...”

Moza melepaskan pegangannya pada kayu tersebut. Dibiarkannya Aryan menjauhkan batang kayu tersebut darinya. Matanya tetap tidak lari dari memandang Yurina.

“Saya tak nak tengok awak lagi Yurina. Mulai sekarang, saya tak nak mengenal awak lagi. Cukuplah sampai disini. Awak lukakan hati saya,” ujar Moza. Air matanya menitik lagi.

Yurina turut sama menangis. Kata-kata Moza seperti pisau yang menghiris hatinya. Seribu satu kemaafan ingin dipohon namun lidahnya kelu.

Moza berpusing. Dawson yang lemah mula digendong sendiri. Aryan pantas mengisyaratkan Karyenna untuk menemani Puan Aishah dan Yurina. Karyenna mengangguk bersetuju membiarkan Aryan menemani Moza.

Yurina terduduk lemah. Dia menangis semahunya. Dia kecewa dengan apa yang telah dilakukannya. Puan Aishah pantas menerpa memeluk anak saudaranya. Air matanya turut mengalir jatuh. 


Dr. Illy terkejut dengan apa yang dilihatnya. Dengan pantas, dia membawa Dawson masuk keruang ICU. Segala kepakaran dan pengalaman dikeluarkan memberi bantuan kepada Dawson yang sudah nyawa-nyawa ikan.

Alat bantuan pernafasan telah diberikan namun nafas Dawson tetap tidak stabil. Dia kehilangan banyak darah. Suhu badannya mendadak naik. Peluh keluar semakin banyak. Dia bagaikan menunggu ajal, menunggu malaikat Jibril datang mencabut nyawanya.

Diluar, Moza hanya menangis. Dia tidak dapat membayangkan apa yang berlaku padanya jika abangnya pergi mengadap Ilahi. Aryan dan Pak Ehsan berusaha untuk menenangkannya namun Moza masih tetap mengalirkan air mata.

Aryan menyeka air matanya yang jatuh. Dia sendiri terkejut dengan penyakit yang dihidapi Dawson. Dia tidak menyangka jika Dawson mengidap kanser otak sebaik sahaja dia sedar dari koma. 

Pak Ehsan pula hanya mampu berdoa didalam hati. Dia tenang menunggu walaupun jauh didalam hati, dia merasa kacau.

Dawson semakin kritikal. Nadinya semakin lemah. Dia bagaikan tidak mampu untuk meneruskan hidup. Anak matanya sudah mula tidak memberi tindak balas pada cahaya yang menyuluh kearahnya. 

LCD Display yang memaparkan kadar degupan Dawson mula memberi garis lurus. Degupan jantungnya sudah tidak kelihatan. Dr. Illy mula panik. Sepasang defibrilator dicapai. Dia mahu menggunakan mesin tersebut untuk mengejutkan jantung Dawson supaya kembali berdetak.

Namun Allah berkehendak lain. Dawson tetap tidak dapat diselamatkan. Dia kehilangan banyak darah. Apatah lagi dengan hentakan kuat yang mengenai kepalanya membuatkan otaknya mati. Ya, Dawson telah pergi.


Moza terbungkam. Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa abangnya telah pergi. Pintu ICU dilanggar bagaikan seekor kerbau. Dia meluru kearah jasad abangnya yang sudah ditutup kain putih. Tangisannya bergema diruang tersebut.

Disatu sudut, Aryan turut menangis. Dia tidak sanggup untuk melihat apa yang berlaku. Hatinya hiba melihat jasad yang terkujur diatas katil. Ditambah lagi dengan raungan dan rintihan Moza yang enggan melepaskan abangnya.

“Dawson! Bangun Dawson! Jangan tinggalkan aku! Moza meraung sekuatnya. Jasad abangnya digoncang. Dr. Illy dan Dr. Fikri pantas membantu menenangkan Moza.

Moza tiba-tiba rebah. Dia jatuh tidak sedarkan diri. Pak Ehsan pantas membantu. Begitu juga dengan Aryan.



Previous: Bab 46
Next: Bab 48

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail