Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 7

BAB 7

S

atu dengusan kasar dilepaskan Andy. Matanya tetap tidak lari memandang bulan yang begitu terang memantulkan cahaya matahari di balkoni apartment mewahnya. Kedua tangannya disilang memeluk tubuh dan membiarkan rambutnya ditiup angin lembut. 

“Semua rancangan kita tak menjadi,” ujar Andy. Dia masih teringat akan kata-kata Moza yang ingin membuang Sandra dari terus menjadi modelnya.

“Habis tu you nak I buat apa? Merayu dengan dia?” tanya Sandra dari belakang. Dia memeluk tubuhnya yang hanya ditutupi dengan pijama berwarna putih. Rambutnya yang panjang dibiarkan tidak terikat.

“Kan I dah cakap, kawal sikit perangai tu. You tak tahu macamana teruknya I untuk berlakon membenci you,” Andy berpusing. Dipandangnya Sandra dengan tajam. Sandra hanya tersengih. Dengan perlahan, dia menghampiri Andy yang tidak berbaju.

“You jangan risaulah Andy. I yakin dia takkan buang I macam tu saja. Lagipun I dah fikirkan satu cara baru,” jawab Sandra. Dipandangnya Andy dengan senyuman yang menggoda.

“Apa lagi yang you sedang rancangkan? You nak tahu tak, semua rancangan you selama ini gagal. Tak ada satupun yang berhasil.”

Sandra hanya tersenyum. Dia yakin rancangannya kali ini pasti akan berjaya. Dia yakin lelaki itu akan merayu dan memohon padanya.

“Dengan Moza pun boleh gagal. Memalukan betul,” ujar Andy sambil mendengus. Dia kembali berpusing dan memandang ke luar. Udara malam yang sejuk tidak dapat turut menyejukkan hatinya yang panas. Dia benar-benar geram akan Moza. Wajah lelaki itu sedikit sebanyak masuk kedalam fikirannya.

“You bertahan sikit je lagi. Lepas ni terpulang you nak buat apa. Yang penting, Moza masih percaya dengan you.”

“Of course dia akan percaya dengan I berbanding you. Dan kalau you nak tahu, abang dia dah sedar dari koma. Nothing we can do.”

“Apa? Bukannya dia dah sepatutnya mati tiga tahun yang lalu?” Sandra tersentak. Dia tidak menyangka abang Moza masih hidup. Dia mula mengetap bibir. 

“I pun fikir macam tu tapi rupanya tak. Yang mati hanya parents mereka. Tak sangka rupanya Moza sembunyikan abangnya di hospital. Yang disangka mati, rupanya masih hidup.”

“Look, dengan you pun dia tak beritahu kalau abang dia masih ada.”

“I pun baru dapat tahu tiga bulan yang lalu. Tak siapa yang dapat menduga benda ni.”

“Habis tu nak buat apa sekarang? Macamana kalau Dawson beritahu Moza tentang hubungan kita?”

“I tak rasa Dawson akan beritahu Moza dalam masa yang terdekat. Dia tak ingat apa-apa Sandra. Otak dia kosong.”

“Hei, jangan ambil mudah orang yang baru sedar dari koma. Suatu hari dia akan ingat dan beritahu semuanya dengan Moza. Sekarang hanya Moza keluarganya dan I yakin Moza akan lebih memihak Dawson daripada you. You kena buat sesuatu sekarang, kalau tak semuanya akan terlambat.”

“You cakap senang kan? Apa kata kalau you di tempat I.”

Sandra diam. Begitu juga dengan Andy. Masing-masing mula memikirkan satu rancangan untuk menundukkan Moza. Satu persatu rancangan jahat keluar dari otak. Tidak lama kemudian, Sandra tersenyum lebar. Dia bagaikan sudah mendapat satu idea. Perlahan dia menghampiri Andy dan memeluknya dari belakang.

“You jangan risau. I ada rancangan,” ujar Sandra. Badannya sengaja dirapatkan pada Andy. Andy hanya diam membiarkan.


Moza memandang abangnya yang tidur dengan mata tidak berkelip. Dengan perlahan dia melepaskan keluhannya. Dia mula merasa bosan. Tidak ada satupun pekerjaan yang dapat dilakukannya. Telefon yang dipegangnya diletakkan diatas meja.

“Kamu tak nak keluar jalan-jalan ke Moza? Pak cik tengok kamu ni macam bosan. Pergilah keluar ambil angin,” ujar Pak Ehsan. Dia dapat melihat betapa bosannya Moza.

“Pak cik tak apa ke jaga Dawson?”

“Pak cik tak apa-apa. Lagipun Dawson tidur, jadi pak cik pun boleh tidur sekali. Kamu tu, kalau tak tahan duduk dalam wad ni pergilah balik kerumah. Tak pun kamu keluar jalan-jalan.”

Moza memandang jam tangan yang ada ditangan kirinya. Sekali lagi dia melepaskan keluhannya. Malam masih terlalu muda untuknya tidur melelapkan mata. Dipandangnya Pak Ehsan yang menunggu jawapannya.

“Kalau macam tu, saya keluar dululah jumpa kawan,” ujar Moza lalu bangun. Cardigan yang bergantung segera dicapai dan dipakai. Telefon pintarnya yang diletakkan diatas meja turut dicapai.Pak Ehsan hanya mengangguk membiarkan Moza keluar mencari angin.

Pintu wad ditolak perlahan. Dia tidak mahu menganggu abangnya yang sedang tidur. Dengan langkah yang perlahan dia menuju ke ruang legar hospital. Dia masih dapat melihat betapa ramainya orang awam yang keluar masuk.

Langkahnya dipercepatkan menuju tempat letak kereta. Kunci kereta yang selama ini tersimpan didalam poket seluar dikeluarkan. Sebaik membuka kunci kereta, Moza masuk dan menghidupkan enjin keretanya.

Moza terdiam seketika. Celoteh penyampai radio sedikit sebanyak memenuhi ruang keretanya. Dia tidak tahu kemana harus dituju. Tiada satupun tempat sekitar yang dapat menarik perhatiannya.

Moza tiba-tiba teringat akan rakannya, Karyenna. Dia segera mendail nombor telefon rakannya itu. Sebaik mendail, dia mendekatkan telefon tersebut ke telinga dan menunggu dengan sabar.

‘Angkatlah phone ni Karyenna,’ detik hati Moza. Sudah agak lama dia tidak mendengar khabar wanita itu, wanita yang sering menjadi tempat untuknya meluahkan permasalahannya.


Yurina tersentak apabila telefon majikannya berdering. Dengan pantas dia mengambil telefon tersebut dan membawanya menuju ke dapur. Namun majikannya tidak kelihatan. Yurina mula  buntu. Otaknya tidak memberi respon tentang apa yang harus dilakukannya.

Apa aku nak buat? Takkan aku nak jawab? Yurina bertanya didalam hati. Beberapa orang pelanggan mula memandangnya bagaikan terganggu akan bunyi deringan tersebut.

Yurina menarik nafas yang panjang. Dengan teragak-agak, dia menjawab panggilan tersebut. Jantungnya mula berdegup kencang takut tindakannya akan mendatangkan kemarahan pada majikannya.

“Hello,” jawab Yurina dengan suara yang terkawal. Dia benar-benar takut dengan tindakannya itu. 

“Hello Karyenna. Ini saya, Moza.”

“Maaf encik tapi cik Karyenna tak ada sekarang. Dia tertinggal phone,” ujar Yurina berterus terang. Sesekali dia berpaling mencari kelibat majikannya.

“Oh, dia kemana? Ini siapa?” tanya Moza. Dia tertanya-tanya siapakah wanita yang mengangkat panggilannya itu. Setahunya rakannya itu merupakan anak tunggal, jadi mana mungkin rakannya itu mempunyai adik atau kakak.

“Saya pekerja cik Karyenna. Encik jangan risau. Nanti saya beritahu cik Karyenna supaya call encik kembali.”

“Okay. Tapi tunggu dulu. Karyenna kerja apa?” tanya Moza ingin tahu. Setahunya Karyenna tidak bekerja dimana-mana dan lebih selesa menjadi seorang penulis buku.

“Oh, cik Karyenna ada buka sebuah kafe dan saya pekerjanya,” beritahu Yurina.

“Buka kafe?” Moza terkejut mendengar kata-kata wanita itu. Dia tidak menyangka rakannya itu dalam diam telah membuka sebuah kafe.

“Okay. Beritahu saya alamat kafe tu. Dalam sepuluh minit, saya kesana.”

“Encik nak kesini?” tersentak Yurina mendengar kata-kata lelaki tersebut. Dia mula memandang ke kiri dan kanan mencari majikannya yang masih tidak kelihatan.

“Ya. Kenapa? Saya tak diperbolehkan kesana ke?” tanya Moza hairan. Yurina segera menggeleng.

“Eh, tak. Maksud saya, datanglah. Nanti saya beritahu dengan cik Karyenna,” ujar Yurina. Dia mula mengigit bibir.

“Okey. Jangan lupa beritahu majikan awak yang kawan lama dia nak datang.”

Moza mematikan panggilan telefonnya. Dia tidak menyangka kawan baiknya itu kini bertambah maju. Dia mula tersenyum sendiri. Dia tidak sabar untuk bertemu langsung dengan kawannya itu. 

“Karyenna, Karyenna. Sampai hati kau buka kafe tak beritahu aku,” ujar Moza. Senyumannya tetap diukir lebar. 

Baru sahaja hendak memandu keluar keretanya, telefonnya kembali berbunyi namun dengan nada yang lebih pendek. Moza segera melihat telefonnya. Satu mesej yang dihantar oleh pekerja Karyenna segera dibacanya. 

Alamat yang diberikan pekerja Karyenna segera dibacanya. Dia mencuba untuk mencari tempat tersebut dengan bantuan Maps. Keretanya mula dipandu keluar dari perkarangan hospital.


Yurina menarik nafas lega. Jauh didalam hati, dia masih merasa bersalah kerana menjawab panggilan majikannya tanpa memberitahu terlebih dahulu. Peluh yang mengalir dari dahi dikesat dengan tisu nipis.

“Yurina,” tegur Karyenna. Yurina tersentak. Dia kembali meletakkan telefon milik majikannya diatas meja kaunter. Karyenna terkejut. Dipandangnya Yurina yang menunduk.

“Kenapa awak pegang telefon saya?” tanya Karyenna. Dia mencapai telefonnya sambil memandang Yurina.

“Maafkan saya tapi tadi telefon cik berdering jadi saya jawablah.”

“Siapa yang call?” tanya Karyenna. Dia membuka telefonnya dan memeriksa panggilan masuk. Dahinya dikerutkan sedikit sebaik melihat nombor tidak dikenali.

“Dia kata dia kawan lama cik. Katanya dia nak datang ke sini,” beritahu Yurina.

“Kawan lama? Siapa nama dia? Awak ada tanya tak?”

“Tak,” geleng Yurina. Karyenna mula tertanya-tanya. Satu persatu wajah rakannya diingatinya namun tiada satupun yang melekat difikirannya.

“Lelaki ke perempuan?”

“Lelaki.”

“Lelaki? Siapa ya?” 

Yurina hanya mengangkat bahu. Dia benar-benar terlupa untuk bertanya akan nama lelaki tersebut. Dipandangnya majikannya yang begitu tertanya-tanya.

“Tapi dia cakap dia nak datang kesini? Macamana dia tahu?” tanya Karyenna tidak berpuas hati.

“Dia minta jadi saya mesej dia melalui telefon cik,” beritahu Yurina perlahan sambil menunjuk kearah telefon yang dipegang majikannya. Karyenna hanya mengangguk tanda faham.

“Dia yang minta? Erm, siapa ya?”

“Mungkin kawan cik masa sekolah atau dikampung?” Yurina cuba meneka namun Karyenna hanya menggeleng. Seingatnya dia tidak pernah mempunyai kawan yang begitu rapat dengannya sewaktu zaman sekolahnya.

“Tak apalah Yurina. Kita tunggu saja. Manatahu dia jadi jodoh awak.”

“Hah? Jodoh saya? Kenapa jodoh saya pula?” Yurina terkejut dengan usikan Karyenna. Karyenna hanya tersenyum geli hati melihat pekerjanya yang spontan membantah. Dia kembali berjalan berlalu pergi menuju ke dapur meninggalkan Yurina yang masih kebingungan.

“Kenapa pula aku yang kena?” ujar Yurina seorang diri. Sesekali dia berpaling memandang majikannya yang berlalu ke dapur.

Yurina terpandang akan seorang pelanggan sedang melambainya. Bagaikan tahu apa yang diinginkan pelanggan tersebut, Yurina segera membawa bil dan bergerak menghampiri pelanggan tersebut.

“Berapa cik?” tanya pelanggan tersebut sambil mengeluarkan dompetnya. Yurina segera menyerahkan bil kepada pelanggan tersebut.

“Ini duitnya. Bakinya awak boleh simpan,” sambung pelanggan tersebut sambil menguntum senyuman.

“Eh jangan encik,” Yurina enggan menerima namun pelanggan lelaki tersebut melarang.

“Tak apa. Awak simpanlah. Lagipun saya kasihan tengok awak.”

Melihat pelanggan tersebut yang enggan menerima baki, Yurina terpaksa menerima. Duit kertas bernilai RM20 itu diambilnya dari atas meja.

“Terima kasih encik,” ujar Yurina mengucapkan terima kasih dan lelaki tersebut hanya mengangguk. Dia bangun dan melangkah keluar meninggalkan Yurina yang masih berdiri di tepi meja.

Yurina memandang lelaki tersebut sehinggalah dia keluar dari kafe. Jauh didalam hati, dia bersyukur dengan rezeki yang diterimanya. Wang kertas tersebut dimasukkan kedalam buku bil dan membawanya kembali ke meja kaunter bersama-sama dengan gelas kosong yang digunakan pelanggan tersebut.


Setengah jam berlalu, kafe tersebut kini kosong tanpa seorang pun pelanggan. Yurina menarik nafas yang panjang. Dipandangnya jam yang ada dinding di belakangnya. Gelas yang kosong dipandangnya seketika sebelum kembali melangkah menuju ke dapur dimana majikannya berada.

“Pelanggan dah balik Yurina?” tanya Karyenna sebaik memandang pekerjanya sedang membawa sebuah gelas yang kosong. Yurina hanya mengangguk. Suasana kembali menjadi sepi.

“Kafe sunyi baliklah cik,” ujar Yurina sambil menyandar pada dinding. Karyenna hanya tersenyum.

“Biasalah tu Yurina. Tak semestinya kafe akan ramai dengan pelanggan sebaik dibuka sehingga ianya ditutup.”

“Tapi tak bestlah kalau tak ada pelanggan.”

“Sabarlah Yurina. Perkara macam ni memang biasa. Takkan awak tak tahu? Bukannya awak dulu kerja di kafe seperti ini?”

Yurina tersengih. Dipandangnya majikannya yang hanya tersenyum memandangnya.

“Dulu saya memang kerja di kafe tapi kafe tu jauh berbeza. Dulu saya kerja sampai tak cukup tangan dan tak sempat nak duduk,” cerita Yurina.

“Anggaplah ini peluang awak untuk berehat dan duduk secukupnya. Kalau awak letih, beritahu saya. Jangan paksa diri ya,” nasihat Karyenna. Yurina mengangguk sambil mengukir senyuman.

“Oh ya satu hal lagi. Dari tadi saya suruh awak jangan panggil saya dengan panggilan cik. Panggil saya kakak saja. Nampak sangat macam saya dah tua,” sambung Karyenna.

“Mulut saya rasa kekok bila saya panggil kakak.”

“Tapi saya lagi kekok bila awak panggil saya dengan panggilan cik. Anggap saya macam kakak awak. Boleh?”

Yurina diam. Entah kenapa, dirinya teringat akan arwah kakaknya yang telah meninggal setahun yang lalu. Perlahan kepalanya menunduk. Karyenna mula kehairanan.

“Kenapa ni Yurina? Saya ada salah cakap ke?” Karyenna bertanya. Dia mula berasa bersalah melihat Yurina yang tiba-tiba menunduk bagaikan menahan diri.

“Tak ada apa,” jawab Yurina. Air matanya yang menitik segera disekanya. Dia tidak mahu dirinya dilihat majikannya.

“Kalau tak ada apa-apa kenapa awak menangis?”

Yurina menyeka air matanya yang turun. Entah kenapa bayangan kakaknya yang sudah pergi asyik menerpa masuk kedalam kotak fikirannya. Dia mencuba untuk melupakan namun semuanya hanya enggan pergi.

“Okay. Maafkan saya kalau saya ada tersalah cakap,” Karyenna semakin merasa serba salah. Dipeluknya pekerjanya dengan erat sambil meminta maaf.

“Maafkan saya kak tapi saya nak ke tandas dulu,” ujar Yurina sebaik Karyenna melepaskan pelukannya. Karyenna hanya mengangguk dan membiarkan pekerjanya pergi menenangkan dirinya.

Karyenna bergerak menghampiri kaunter. Dia begitu tertanya-tanya dan cuba mengingati apa yang telah dituturkannya sehingga tidak sedar seorang lelaki masuk kedalam kafenya. 

“Apa yang awak fikirkan?”

Karyenna tersentak dan terkejut dengan sapaan lelaki tersebut. Ditatapnya lelaki yang telah menegurnya. Dia bagaikan tidak percaya.

“Moza?”

Moza mengangguk. Mulutnya turut mengukir senyuman yang lebar. Dipandangnya Karyenna yang masih terkejut dengan kehadirannya. Sesekali dia mengenyitkan matanya mengusik Karyenna.

“Arghhh!!!”

Moza terkejut mendengar jeritan Karyenna. Dia berundur beberapa tapak kebelakang menjauh dari Karyenna yang masih duduk di kauter sambil menutup telinganya. Dia benar-benar terkejut dengan jeritan Karyenna yang begitu pedas.

“Kau dah kenapa menjerit macam tu?” tanya Moza dengan suara yang agak lantang. Dipandangnya Karyenna dengan tajam.

“Kau Moza ke?” tanya Karyenna. Dia masih tidak percaya. Ditatapnya Moza dengan mata tidak berkelip.

“Iyalah. Siapa lagi? Takkan hantu?”

“Apa kau buat sini? Tak, maksud aku macamana kau boleh ada disini?” Moza hanya tersenyum lebar.


Yurina yang berada didalam tandas segera meluru keluar sebaik mendengar jeritan majikannya. Dia sempat mencapai batang penyapu dari dapur dan berlari mendapatkan Karyenna. Dia terkejut apabila melihat seorang lelaki yang menghampiri majikannya.

Tanpa berfikir panjang, dia menghampiri lelaki tersebut. Batang penyapu yang dibawanya dipegang erat. Dia ingin memukul lelaki tersebut yang pada pandangannya ingin menganggu majikannya.

Moza menghampiri Karyenna. Dia mencuba untuk menghampiri rakanya itu. Namun baru sahaja dia ingin melangkah setapak, dia dikejutkan dengan satu pukulan tumpul yang hinggap dibelakang tengkuknya. Seraya itu juga dia terduduk. Tangannya pantas memegang tengkuknya. Pandangannya juga mula kabur.

“Yurina, jangan!”

Karyenna segera menghalang Yurina untuk terus memukul. Moza yang kesakitan terduduk menahan rasa sakit dibelakang kepalanya. Matanya turut dipejam rapat menahan rasa sakit.

“Lelaki tak guna! Berani kau buat perangai tak senonoh ya?” herdik Yurina. Dia ingin memukul lagi namun Karyenna dengan pantas menghalang. Batang penyapu yang ingin hinggap untuk kali kedua dihalang.

“Jangan Yurina. Bertenang. Dia kawan saya,” ujar Karyenna. 

Yurina terdiam. Batang penyapu yang dipegangnya secara spontan terlepas dari tangannya. Dia turut berundur beberapa tapak kebelakang. Mulutnya mula terlopong tidak percaya.

“Kau okay ke Moza?” tanya Karyenna sebaik mendapatkan Moza yang terduduk memegang belakang kepalanya. Moza tidak menjawab. Kepalanya masih terasa pening. Untuk bergerak pun dia masih merasa pusing.

“Tolong ambilkan medical kit di almari belakang,” arah Karyenna pada Yurina yang berdiri. Yurina segera menurut. Dia berlari ke bahagian belakang dan kembali sambil tangannya membawa sebuah peti pertolongan cemas.

“Saya okay,” ujar Moza. 

“Betul ni? Tak berdarah ke?” tanya Karyenna. Dia tetap tidak berpuas hati dan segera mengalihkan tangan Moza yang masih menggosok kepalanya.

“Ah, sakit. Jangan kasar sangat.”

Moza menahan rasa sakit dikepalanya. Sesekali dia menutup matanya sebaik tangan Karyenna memegang kepalanya.

“Lain kali kalau datang beritahu. Suka hati pergi lepas tu datang tak beritahu, macam ni lah. Padan muka,” ujar Karyenna sambil memukul lembut bahu Moza. Moza hanya mengerang sambil mencebik.

“Tak datang, marah. Datang pun kena marah,” ujar Moza perlahan antara dengar dan tidak. 

“Saya minta maaf. Saya tak sengaja,” sampuk Yurina. Suaranya terdengar gelabah. 

Moza mengigit bawah bibirnya. Hatinya bertukar geram dengan tindakan drastik pekerja rakannya itu. Dengan berang, dia mengangkat wajahnya. Pandangan tajam diberikan namun sebaik mata bertentang mata, dia mula terkejut. Begitu juga dengan Yurina. Dia tidak menyangka lelaki yang dipukulnya merupakan lelaki yang sama yang telah membantunya selama ini. Timbul perasaan bersalah dalam dirinya.


Yurina hanya mampu menunduk memandang lantai. Kedua tangannya dimain sesama sendiri. Mulutnya kaku hendak meminta maaf. Hendak bergerak sedikitpun dia tidak berani, apatah lagi harus menuturkan kata maaf.

Moza yang duduk berhadapan dengannya hanya mampu mendengus kasar. Dia tidak menyangka wanita yang telah dibantunya selama ini sanggup memukulnya dengan kuat, apatah lagi dengan menggunakan sebatang kayu penyapu.

Karyenna berdehem sebaik berdiri dihadapan keduanya. Tangannya pantas meletakkan masing-masing secawan kopi buatannya. Bersilih dia memandang rakan dan pekerjanya itu sebelum dia turut menarik kerusi dan duduk diantara keduanya.

“Sampai bila nak duduk berdiam diri?” tanya Karyenna.

Moza diam. Begitu juga dengan Yurina. Yang satu tegak menatap, sementara yang satu lagi hanya tunduk bagaikan padi. Karyenna melepaskan keluhannya perlahan.

“Moza, please. Yurina bukannya sengaja,” ujar Karyenna cuba membuatkan keduanya bersuara.

“Boleh percaya ke yang dia tak sengaja? Dia...” Moza kehilangan kata-kata. Tangannya disilang memeluk tubuh.

“Maafkan saya... Saya memang tak sengaja,” perlahan Yurina bersuara. Kepalanya masih lagi menunduk.

“Tengok, dia kata yang dia tak sengaja. Lagipun salah saya juga sebab menjerit tadi,” potong Karyenna. Moza hanya mencebik tidak berpuas hati.

“Lagipun ini salah kau juga tau,” sambung Karyenna dan Moza pantas menoleh.

“Eh, kenapa pula salah aku?”

“Dah kau datang tak beritahu. Beri salam pun tidak, datang terus mengejutkan orang.” Kali ini Karyenna pula yang bertikam lidah dengan Moza.

“Hello, aku dah call kau tau tadi. Tapi siapa yang jawab? Pekerja kau. So, macamana pula aku datang tak beritahu?”

Karyenna diam. Dia lupa bahawa Yurina ada memberitahunya tentang kedatangan rakan lamanya itu.

“Okaylah. Aku yang salah. Jadi aku minta maaf okay?” Karyenna mengalah.

Moza mencebik masih tidak berpuas hati. Air kopi buatan rakannya perlahan dihirup. Sesekali dia mengerling kearah Yurina yang masih menunduk.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail