Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 3


Yurina mempercepatkan langkahnya. Dia benar-benar terlewat untuk masuk ke kolej. Rasa mengantuknya cuba ditahannya. Fail tugasan dipeluk dengan erat. Dia tidak mahu kehilangan tugasan yang diberikan pensyarahnya. Beberapa orang awam yang melintas mula memandangnya hairan. Namun apa yang dia tahu, dia ingin cepat sampai ke kolejnya.

Telefonnya yang turut berdering tidak dipedulikannya. Dia tidak mahu membuang lebih banyak masa hanya untuk memeriksa telefonnya itu. Dengusan kasar turut dilepaskan.

Langkah yang pantas terpaksa diperlahankan. Beberapa buah kenderaan yang meluncur laju membuatkan dia sekali lagi melepaskan keluhan berat. Jam tangan yang ada ditangan kiri dipandang lagi. Hatinya semakin resah dan gelisah. Dia telah lambat hampir sepuluh minit.

Tanpa berfikir panjang, Yurina mengambil keputusan untuk menyeberangi jalan raya dengan cepat. Namun baru sahaja dia hendak melangkah menuruni tembok jalan, sebuah teksi membunyikan hon dengan kuat. Bunyi decit tayar turut kedengaran dengan jelas sekaligus meninggalkan kesan hitam diatas jalan raya.

Yurina yang terkejut dengan bunyi hon tersebut terjatuh dan terduduk diatas jalan. Fail yang selama ini dipegang erat terlepas dari tangannya. Dia tidak menyangka dirinya akan dilanggar oleh sebuah kereta akibat kecuaiannya sendiri. Apa yang mampu dilakukan hanyalah menutup mata dan pasrah dengan apa yang berlaku.

Moza terkejut dengan apa yang berlaku. Teksi yang ditumpanginya tiba-tiba berhenti secara tiba-tiba. Dengan pantas dan penuh tanda tanya, dia keluar dari teksi yang ditumpanginya. Dia tersentak sebaik melihat seorang wanita sedang duduk diatas jalan raya. Pemandu teksi tersebut turut keluar.

“Cik tak apa-apa ke?” tanya Moza meluru kearah wanita tersebut. Dia segera membantu wanita tersebut. Fail yang tercampak agak jauh turut dipungut dan diberikan kembali pada wanita tersebut.

“Maafkan saya. Saya tak sengaja,” ujar Yurina meminta maaf. Dipandangnya lelaki tersebut yang begitu baik membantunya. Dia tidak menyangka dia diberi peluang kedua untuk terus hidup.

“Lain kali tengok kiri kanan sebelum melintas. Nyawa awak bukannya banyak macam kucing.”

Yurina hanya mengangguk mendengar nasihat lelaki tersebut. Dia segera bangun dan bergerak ke tepi. Dia dapat melihat beberapa buah kenderaan berbaris panjang dibelakang teksi tersebut.

“Awak nak kemana sebenarnya?” tanya Moza. Dipandangnya wanita tersebut. 

“Erm... Sebenarnya saya dah lewat nak ke kolej,” jawab wanita tersebut. Moza mengangguk tanda faham. Dia seperti dapat meneka mengapa wanita tersebut begitu kelam kabut sehingga mengabaikan keselamatan diri sendiri.

“Marilah biar saya hantar awak,” Moza menghulurkan bantuan namun wanita tersebut dengan pantas menolak. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Lagipun dia malu untuk menerima pertolongan tersebut.

“Marilah,” tanpa meminta persetujuan wanita tersebut, Moza menarik tangan wanita tersebut agar masuk kedalam teksi. Beberapa buah kenderaan yang berbaris dibelakang mula membunyikan hon.

Dengan berat hati, Yurina masuk kedalam teksi. Walaupun malu, dia terpaksa mengikut. Lagipula dia benar-benar sudah terlambat dan hanya memerlukan keajaiban untuk tidak diomel pensyarahnya. 

Bau harum minyak wangi yang dipakai lelaki yang membantunya membuatkan hidungnya mula kembang kempis. Namun dia hanya mendiamkan diri. Perasaannya kini bercampur aduk. 

“Kolej awak dimana?” tanya lelaki tersebut. Yurina tersentak dan mencuba mengawal perasaannya. Dipandangnya lelaki yang duduk disebelahnya.

“Di hujung sana,” jawab Yurina perlahan. Telunjuknya turut naik dan menunjuk ke hujung jalan dimana kolejnya berada. Fail yang dibawanya dipeluk semakin erat.

“Encik, hantar dia dulu ya?”

Pemandu teksi tersebut hanya mengangguk. Dia mula mengubah haluannya menuju ke kolej Yurina. Moza hanya menguntum senyuman manis pada Yurina.

Yurina turut membalas senyumannya. Entah kenapa dia mula merasa berdebar sebaik memandang senyuman lelaki tersebut. Hati wanitanya mula menjerit histeria melihat ketampanan lelaki itu. Mulutnya mula dikemam rapat.

Siapa lelaki ni ya? Mesti dia anak orang kaya. Tapi takkanlah orang kaya ikut teksi? Biasanya orang kaya ada driver sendiri. Yurina berkata didalam hati. Dari penampilan lelaki tersebut, dia dapat mengagak bahawa lelaki tersebut berasal dari golongan elit. Elit dan bergaya.

“Ini ke kolej awak?”

Yurina tersentak dari lamunannya. Menerusi tingkap teksi, dia dapat melihat bangunan kolejnya yang berwarna putih. Dengan pantas dia mengangguk. Seraya matanya meliar mencari kelibat rakannya Hawa.

“Encik boleh turunkan saya di tepi jalan ni,” ujar Yurina. Dia benar-benar tidak mahu terlewat untuk masuk ke kolej. Dia tidak mahu markahnya dipotong hanya kerana dia lambat masuk ke kelas. Apatah lagi pensyarahnya seorang yang bermulut pedas. Malah lebih pedas dari ramen buatan Korea.

Sebaik teksi yang ditumpanginya berhenti, Yurina segera menghulurkan duit tambang kepada pemandu teksi tersebut. Lelaki yang berada disebelahnya segera menghalang. Tangannya ditarik kebelakang.

“Awak simpan saja duit tu. Biar saya yang bayar,” ujar lelaki tersebut. Yurina tergamam. Dia tidak menyangka lelaki yang menumpanginya begitu baik sehingga mahu membayar tambangnya.

“Tak apa. Saya boleh bayar tambang saya,” jawab Yurina. Dia tetap berkeras untuk membayar tambang namun tetap ditolak.

“Please. Awak dah lambat masuk ke kolej kan? Nanti kena halau balik pula,” Moza mengingatkan wanita tersebut. Senyumannya tetap diukir dimulutnya.

Wanita tersebut hanya mampu melepaskan keluhannya. Dengan perlahan dan seolah terpaksa, dia terpaksa menurut. Duit tambang kembali dimasukkan kedalam poket bajunya.

“Terima kasih untuk bantuan awak,” ucap wanita tersebut dan Moza hanya mengangguk. Senyumannya diukir lebar.

“Tak apa. Lain kali hati-hati ya?” Moza mengingatkan wanita tersebut. 

Wanita tersebut hanya melemparkan senyuman padannya lalu keluar dari teksi. Dari tingkap teksi, dia dapat melihat wanita tersebut berlari anak masuk kedalam kolej sebelum menghilang. Moza menghela nafas yang panjang. Badannya kembali disandarkan pada kerusi yang didudukinya. Rambut depannya yang terjuntai jatuh turut kembali dirapikan. 

“Encik, kita kembali ke hospital ya?”

Pemandu teksi tersebut hanya mengangguk. Dia kembali memandu teksinya menuju ke hospital. Moza kembali mendiamkan diri. Sesekali dia menutup matanya sekejap-sekejap. Dia mencuba membayangkan wajah abangnya yang sudah hampir seminggu tidak dilawatinya semenjak dia pergi ke luar negara.

Perjalanan yang dekat terasa agak jauh. Masa turut berlalu dengan begitu perlahan. Dia bagaikan tidak sabar untuk menemui abangnya. Semakin lama jantungnya semakin berdegup dengan kencang.

Setelah agak lama, akhirnya teksi yang ditumpanginya membelok masuk ke dalam perkarangan hospital. Moza semakin berdebar. Perasaannya bercampur aduk.

“Kita dah sampai encik,” ujar pemandu teksi tersebut. Moza hanya tersenyum nipis. Dia segera mengeluarkan sekeping duit bernilai RM50 dan dihulurkannya kepada pemandu teksi tersebut.

“Simpan bakinya,” ujar Moza. Pemandu teksi tersebut segera mengucapkan terima kasih. Dia turut keluar dan membantu mengeluarkan beg pakaian Moza dari bonet kenderaannya. 


Moza menelan air liurnya. Dia kini ada didepan bangunan hospital yang berdiri teguh. Beberapa orang pesakit yang dibawa keluar untuk bersiar-siar dipandangnya seketika. Hatinya tiba-tiba tidak tenang. Rasa resah dan gelisah silih datang berganti menghurung hatinya. Entah mengapa dia mula merasa sedemikian rupa.

“Moza!”

Satu laungan yang agak kuat mengembalikan Moza kealam nyata. Bibirnya segera mengukir senyuman lebar tatkala melihat Dr. Illy datang menghampirinya dengan wajah yang ceria. 

 “Moza, awak dari mana? Kenapa bawa beg pakaian ni? Lari dari rumah ke” tanya Dr. Illy separuh mengusik. Tangannya pantas mengalihkan rambutnya yang terjuntai jatuh ke tepi telinganya.

“Oh, saya baru balik dari Australia. Sampai di airport saya terus datang sini,” jawab Moza ramah. Dipandangnya wanita yang sudah dianggapnya bagaikan kakak sendiri.

“Okay, jadi dah bersedia untuk jumpa abang awak?”

Moza menelan air liurnya. Dia tidak tahu apa yang harus dijawabnya. Hanya senyuman yang mampu diukir sekaligus memberi jawapan.

“Awak jangan risau. Abang awak tu super strong man. Dalam masa yang singkat tak sampai sehari, dia dah tunjukkan tanda-tanda yang positif. Dia dah makan dan berbual walaupun kadang kala suara dia tak keluar dengan jelas,” ujar Dr. Illy sedikit sebanyak menceritakan keadaan Dawson.

“Oh ya, tapi awak jangan terkejut bila nanti abang awak tak kenal dengan awak. Itu memang kesan pada pesakit yang koma,” sambung Dr Illy. Moza tersentak.

“Tiba-tiba pula saya jadi berdebar.”

Dr. Illy tersenyum. Ditepuknya bahu Moza yang telah dikenalinya sejak tiga tahun yang lalu. Faham benar dia akan perasaan anak muda itu. Lagipun bukannya mudah hendak bersikap seperti biasa ketika bertemu dengan seseorang yang selama ini hanya mampu dilihat tanpa mampu diajak berbual.

“Janganlah risau. Jomlah masuk. Saya yakin abang awak mesti gembira sebab dapat berjumpa dengan awak.”

Moza hanya mampu mengangguk perlahan. Dia kembali menarik beg pakaiannya dan berjalan beriringan dengan doktor wanita tersebut. Perasaan berdebarnya semakin dirasainya malah semakin kuat apabila menghampiri wad sebilik dimana abangnya ditempatkan. Sesekali dia merapikan rambutnya sambil dalam pada masa yang sama cuba menenangkan dirinya.

“Erm...”

Dr. Illy berhenti dan menoleh. Dipandangnya Moza yang sesekali berdehem tanpa sebab. 

“Awak okay?” tanya Dr. Illy. Moza hanya mengangguk. 

“Err... Boleh tak kalau saya ambil masa sekejap. Saya rasa macam bermimpi.”

“Ya, silakan. Tenangkan diri dulu. Tarik nafas dalam-dalam dan hembus dengan perlahan,” nasihat Dr. Illy dan Moza menurut.

“Saya masuk dulu ya?”

Moza hanya memandang doktor wanita itu masuk kedalam wad sebilik abangnya. Tangan kanannya diangkat naik memegang dadanya yang berombak dengan kuat. Entah mengapa degupan jantungnya berdetak laju.

“Bawa bertenang Moza. Itu cuma Dawson. Ya, Dawson ada didalam sana dan aku harus bertenang,” Moza bercakap seorang diri. Dia tidak peduli dengan beberapa pasang mata jururawat yang sedang melihatnya.


Setelah bertenang hampir sepuluh minit, akhirnya Moza memberanikan diri untuk memulas tombol pintu wad abangnya. Beg pakaiannya dibiarkan berada diluar. Entah berapa kali dia menelan air liurnya yang hampir kering. Peluh yang keluar dari dahi juga enggan keluar membasahkan wajahnya.

Dengan perlahan Moza melangkah masuk dan sebaik sahaja dia melangkahkan kakinya, matanya segera tertuju kearah seorang lelaki yang cukup kusut dengan rambut dan jambangan misainya.

Langkahnya terhenti dimuka pintu. Dia bagaikan orang asing. Tidak ada sepatah kata pun yang mampu diukirnya sebaik melihat wajah abangnya itu. Lidahnya seolah dipotong. Hanya mata yang mampu dikebilkan.

“Awak siapa?” tanya Dawson memulakan kata. Matanya turut tidak lari dari terus memandang Moza yang tidak dikenalinya. Sesekali dia menoleh memandang Dr. Illy yang hanya tersenyum.

“Dawson?” Dengan suara yang terketar-ketar, Moza memanggil nama abangnya. Matanya yang merah sudah tidak dapat menahan air mata yang ingin keluar memecah benteng. Dia tidak lagi peduli dengan doktor wanita yang ada didalam wad tersebut.

Air matanya tumpah. Dia bagaikan seorang anak kecil yang baru sahaja dipertemukan dengan kedua ibu bapanya. Dengan beg yang masih tergalas kemas dikedua bahunya, dia menghampiri Dawson lalu memeluknya. 

Dawson yang kehairanan hanya mampu membiarkan lelaki yang tidak dikenalinya itu menangis dibahunya. Anak matanya tetap liar memandang Dr. Illy yang dalam diam turut mengesat air mata. 

“Erm... Awak siapa ya?” tanya Dawson lagi. Dia melepaskan pelukan Moza yang disertakan dengan tangisan.

“Kau tak kenal aku ke Dawson?” tanya Moza kembali. Air matanya dikesat dengan tangan meninggalkan kesan diwajahnya yang sudah tidak dilapisi dengan bedak.

“Maaflah tapi...”

Moza kembali menitiskan air mata. Dengan esak tangis yang semakin kuat, dia kembali memeluk Dawson dengan erat dan seolah enggan dilepaskannya untuk kali yang kedua. Dawson yang tergamam hanya mampu menggosok rambut Moza dengan lembut.


Diluar wad, Pak Ehsan turut mengesat air matanya. Dia tidak sanggup untuk melihat lebih lama pertemuan semula diantara kedua beradik tersebut. Badannya yang sudah tua memaksanya untuk duduk disalah satu kerusi diluar wad.

Dr. Illy yang baru sahaja keluar dari dalam wad terkejut dengan adanya Pak Ehsan. Perlahan dia menghampiri penjaga setia kedua beradik tersebut dan menegurnya.

“Pak cik...”

Pak Ehsan pantas mengesat air matanya dengan hujung lengan baju. Walaupun tiada lagi air mata yang tersisa, namun dapat dilihat dengan jelas mata yang memerah akibat menangis.

“Pak cik tak apa-apa kan?” tanya Dr. Illy sebaik punggungnya dilabuhkan disebelah lelaki tua itu.

“Ya. Pak cik tak apa-apa cuma rasa terharu saja,” jawab Pak Ehsan seraya menguntum senyuman sederhana.

“Alhamdulillah pak cik. Sekarang keluarga pak cik dah sempurna.”

Pak Ehsan hanya mengangguk. Dengan tangisan yang masih tersisa didalam hati, entah mengapa dia kembali menangis. Dia tidak mampu menahan rasa gembiranya. Kedua tangan diangkat menekup wajah.

Dr. Illy perlahan menggosok belakang Pak Ehsan. Dia juga merasa gembira dengan apa yang berlaku. Walaupun tiga tahun bukanlah tempoh yang sekejap, namun dia bersyukur kerana dirinya masih lagi diberi kepercayaan untuk menjaga dan merawat Dawson yang selama ini hanya mampu berbaring kaku diatas katil.


Didalam wad, Moza kembali kaku. Sesekali dia mengangkat kepala dan memandang wajah abangnya. Mata yang memerah tidak dipedulikannya. Ibu jarinya mula dimain mengorek celah kuku.

“Siapa nama kau ya?” tanya Dawson. Dipandangnya Moza yang menunduk dan duduk ditepi katilnya.

“Moza Danil,” jawab Moza pantas. Air liurnya turut ditelan bagaikan menunggu hukuman dari guru akibat kenakalannya.

“Moja?”

“Tak. Bukan Moja, tapi Moza.”

Moza memperbetulkan sebutan abangnya. Dawson hanya tersenyum.

“Jadi kau adalah adik aku?” Moza pantas mengangguk.

“Tapi kenapa aku tak ingat ya?”

Moza sekali lagi menelan air liurnya. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakannya. Dia masih ingat akan pesan Dr. Illy yang melarangnya untuk bercerita terus pada Dawson akan apa yang berlaku padanya dahulu.

“Hei, kau fikir apa?”

Moza tersedar dari lamunannya. Dengan reaksi yang bercampur aduk, dia bersikap aneh.  Sekejap dia menggeleng dan mengangkat bahu sebelum akhirnya menundukkan kepala. Ibu jarinya kembali dimain.

Dawson hanya mampu mengeluh. Entah kenapa dia mula meragui lelaki aneh tersebut. Perlahan matanya ditutup rapat. Dia tidak mahu memikirkan lelaki aneh yang ada disebelahnya. Lelaki aneh yang mula membuatkan kepalanya perlahan sakit.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail