Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 26

Aryan hanya mampu mengerutkan dahinya. Wajah rakannya dipandang dengan mata tidak berkedip. Dia masih tidak percaya dengan apa yang dirasakan Moza pada Andy. Dari apa yang dia lihat, Andy tidak sebulu dengan Sandra. 

“Malam tadi kau terus balik rumah kan?” tanya Aryan. Moza mengangguk.

“Yalah aku balik rumah. Takkanlah aku nak balik rumah si Yurina?”

Aryan diam. Dia masih tidak dapat mempercayai apa yang dikatakan Moza. Dia tidak berani untuk membuat sebarang spekulasi tentang Andy dan Sandra.

“Sekarang macamana?” tanya Moza.

“Sekarang apanya? Manalah aku tahu,” jawab Aryan. 

“Kau biar betul Moza? Entah-entah perempuan tu bukannya Sandra. Mungkin adik perempuan Andy,” Aryan masih tidak percaya.

“Aduh, berapa kali aku nak kata? Dia sendiri yang beritahu dia adalah Sandra. Takkan aku nak buat cerita?”

Aryan menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia masih tidak percaya kalau Andy mempunyai hubungan dengan Sandra.

“Ish, geramlah aku dengan kau ni,” Moza mengetap bibirnya. 

“Tapi kenapa kalau mereka disini, tak nampak pun macam ada apa-apa? Setakat keluar berdua, itu benda yang biasa bagi aku,” ujar Aryan.

“Keluar berdua? Bila?”

“Eh, sejak Sandra masih jadi model kaulah. Kau je yang tak berapa nak ambil kisah. Dulu, mereka sering keluar makan sama-sama.”

“Nah, jadi memang betullah mereka ada hubungan,” Moza menjentikkan jarinya. Dia bagaikan dapat membuka benang yang tersimpul.

“Setakat keluar berdua belum tentu ada hubungan, Moza. Macam kau dengan Yurina, keluar berdua tapi ada hubungan ke? Tak ada kan?” 

“Kenapa pula kau samakan aku dengan mereka? Ini kes lain tau.”

“Apa pula kes lain? Sama je.”

Moza mendengus kasar. Dia masih tidak dapat menerima kesimpulan tersebut. Baginya Andy memang ada menyembunyikan sesuatu apatah lagi abangnya sempat mengenal Andy yang tidak pernah dipertemukannya.

“Macamana pula dengan Dawson? Dia tak pernah jumpa dengan Andy tapi bila aku bawa Andy depan-depan, dia macam kenal.”

“Selama ni Andy memang tak jumpa abang kau ke?” tanya Aryan lagi dan Moza pantas menggeleng.

“Kau je kot yang lupa.”

Kata-kata Aryan membuatkan Moza semakin geram. Dia bangun dari kerusinya dan mengarahkan tangan kanannya ke kepala Aryan ingin menjentiknya namun Aryan pantas menekup kepalanya dengan kedua tangan.

“Eiii, geramnya aku dengan kau ni. Bebal betul!”

“Oii, sakit tau,” balas Aryan.

“Apa? Belum kena pun dah sakit?” Moza kembali duduk. Dia sempat menjeling kearah Aryan yang sudah mencebik.

“Kau tanyalah dengan abang kau sendiri. Tanya dia, mana tahu dia pernah jumpa Andy dimana-mana,” ujar Aryan memberi cadangan. 

Moza diam. Entah mengapa dia tidak terfikir untuk bertanya terus pada abangnya. Pantas tangannya menyeluk poket kotnya dan mengeluarkan telefon pintarnya. Dia mahu menghubungi abangnya dan bertanya terus.

“Kau call siapa?” tanya Aryan ingin tahu.

“Call bakal bini kau,” jawab Moza acuh tidak acuh. Aryan hanya mencebik dengan jawapan rakannya itu.


Deringan yang tidak henti-henti membuatkan Dawson mendengus marah. Bakul berisi buah tomato yang dipetiknya diletaknya diatas tanah. Pak Ehsan yang sedang mencangkul di batas sebelah hanya menggeleng.

“Tak habis-habis betul. Asyik nak call orang saja,” gerutu Dawson. Sebiji buah tomato yang kecil disumbat masuk kedalam mulutnya tanpa dibasuh.

“Hello!”

Dawson menjawab dengan kasar. Topi jerami yang dipakainya dilepaskan dan mula mengipas diri. Beberapa ekor agas yang terbang disekelilingnya wajahnya turut dikipas.

“Nak apa?” tanya Dawson.

Moza yang berada dihujung talian hanya tersengih bagaikan kerang busuk. Aryan yang memandang hanya mencebik separuh meluat sebelum kembali menatap skrin komputernya.

“Kau dimana?”

“Di Itali,” jawab Dawson. 

“Janganlah main-main,” ujar Moza.

“Eh, aku tak main-main tau. Kau tak tahu betapa penatnya aku sekarang sampai kau nak tanya macam-macam?”

“Kau buat apa sebenarnya?”

“Petik buah tomato.”

Moza menutup mulutnya dengan tangan. Hampir saja dia tergelak mendengar jawapan abangnya itu. Aryan yang memandang hanya terkebil-kebil ingin tahu.

“Kau ketawakan aku ke Moza?” tanya Dawson. 

“Mana ada,” jawab Moza pantas. Dia masih mencuba untuk menahan tawanya.

“Apa yang kau nak?” Dawson menukar topik perbualan. Dia kembali mendapatkan penjaganya yang sudah duduk dibawah pokok mangga.

“Erm...”

“Apa erm, erm?”

“Kau kenal dengan Andy?” tanya Moza. Dikerlingnya Aryan yang sudah menongkat dagunya dengan tangannya.

 “Andy? Andy mana?” Dawson kembali bertanya. 

“Alah, Andy yang dulu jenguk kau di hospital tu.” Moza mencuba untuk mengingatkan kembali.

“Jenguk aku di hospital? Yang mana ya?” Dawson mula menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sedikitpun dia tidak mengingati lelaki yang dimaksudkan adiknya.

“Kan dulu ada seorang lelaki yang datang bawa buah apel merah dengan limau. Lepas tu kau kata kau macam kenal.”

Dawson diam. Dia mencuba untuk mengingat kembali. Satu persatu dia mengimbas apa yang berlaku setelah dirinya sedar dari koma. Pak Ehsan yang sedang memandangnya kembali ditatap.

“Ingat tak?” Moza bertanya. Dia tidak sabar hendak mendengar jawapan abangnya kerana dia yakin abangnya tahu akan sesuatu mengenai Andy.

“Rasanya taklah Moza. Yang datang bagi buah banyak masa tu. Dr. Illy dengan rakannya pun datang bawa buah juga,” ujar Dawson.

Moza mengelus hampa. Dahinya mula dipicit. Kepalanya mula pusing.

“Tak apalah Dawson. Nanti aku call balik,” ujar Moza seraya mematikan panggilan telefonnya. Dawson yang masih berada dihujung talian hanya mencebik geram dengan sikap adiknya.

“Apa yang adik kamu nak?” tanya Pak Ehsan seraya menghulurkan secawan air mineral.

“Dia tanya samada saya ingat dengan Andy,” jawab Dawson. Diteguknya air tersebut sehingga habis.

“Andy? Siapa Andy?”

“Entahlah pak cik. Saya pun tak kenal. Tiba-tiba saja dia tanya saya tentang budak nama Andy tu,” Dawson mengangkat bahunya. Topi jeraminya kembali dikipas.

“Ada-ada sajalah adik kamu tu.”

“Pak cik kenal dengan Andy ke?”

“Manalah pak cik nak kenal Dawson. Lagipun malas pak cik nak ambil tahu dengan siapa kamu berkawan sebab pak cik yakin, kamu takkan berkawan dengan budak-budak tak elok,” jawab Pak Ehsan. Dawson mengangguk perlahan.

“Dahlah, pak cik nak sambung buat batas.”

Pak Ehsan bangun. Sebatang cangkul yang terbaring diatas lantai tanah kembali dicapai dan melangkah menghampiri batasnya. Dawson hanya diam memandang penjaganya itu. 

“Nak saya tolong ke?” tanya Dawson.

“Tak payahlah Dawson. Berehat je dekat situ. Takpun kamu masuk dalam dan bersihkan diri,” jawab Pak Ehsan.

Dawson hanya memuncungkan mulutnya. Bukannya dia tidak mahu membantu penjaganya itu namun Pak Ehsan tetap tidak mahu dirinya melakukan kerja yang berat apatah lagi dirinya kini mempunyai tumor otak yang mampu menjejaskan tubuh badannya.


Andy yang berada dibalik dinding hanya mampu mengetap bibirnya. Dia tidak menyangka Moza sudah dapat menghidu hubungannya dengan Sandra. Tidak menunggu lama, Andy kembali mengorak langkah kembali ke pejabatnya. 

“Sandra, kita kena bertindak sekarang!” ujar Andy sebaik Sandra mengangkat panggilannya. Dia tidak lagi mahu menunggu lama. Yurina harus dihapuskan. Dia mahu semuanya kacau. Dia mahu Moza menjadi seorang lelaki yang tidak berdaya. Dia mahu dirinya tenang.


Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail