Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 43

Apa yang dirancang akhirnya berjalan dengan lancar. Fashion show yang diadakan di dewan tertutup berjaya menarik beberapa pasang mata yang datang dari pelbagai pelusuk dunia. Moza berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan para modelnya. Satu tepukan gemuruh dari para tetamu membuatkan dirinya tersebut puas.

Senyumannya terukir diwajahnya. Apatah lagi melihat abangnya bersama Yurina sedang melambai dari bawah. Dia benar-benar gembira dengan apa yang terjadi. Baginya semua ini bagaikan mimpi setelah banyak cabaran dan dugaan yang dihadapinya.

“Moza!”

Moza pantas menoleh tatkala namanya dipanggil seseorang. Senyumannya terukir semakin lebar sebaik melihat rakannya, Louis Lee datang menghampirinya dengan sejambak bunga Lily berlainan warna. Louis Lee adalah seorang model dan juga pereka fesyen. Dia yang berketurunan Korea Jerman membuatkan dia tampak kacak dengan wajah campurannya.

“Thanks for coming Louis,” Moza memeluk rakannya itu. Louis Lee pantas membalas.

“You’re welcome. Eh, nak jadi business partner saya tak?” tanya Louis Lee.

“Kau tak bergurau kan?” Moza terkejut.

“Ya. Kenapa pula nak bergurau? I’m serious bro.”

“Well, kalau dah memaksa nak buat macamana? Saya terpaksa terima dengan senang hati,” jawab Moza.

“Sejak bila pula saya memaksa? Baru cakap sekali kot… Ini bukannya cerita P. Ramlee.”

Moza hanya tersenyum lebar. Begitu juga dengan Louis Lee yang tampak berbeza dengan rambut yang diwarnakan putih. Apatah lagi dengan kot berwarna biru tua yang dipakainya membuatkan dia terlihat begitu segak.

“Eh, lupa pula nak beri bunga ni. Sekali lagi tahniah dengan pelancaran baru baju kau. Nanti jangan lupa datang bila giliran saya.”

“Jangan risaulah Louis. Untuk dirimu, semuanya okay,” jawab Moza. Jambangan bunga turut beralih tangan.

Melihat Moza yang menerima jambangan bunga Louis Lee, beberapa orang rakan yang lain turut mula menghampiri Moza dan memberi jambangan bunga tanda penghargaan dan ucapan tahniah atas kejayaan Moza.


Aryan tiba-tiba datang dari balik tabir. Sebuah mikrofon diberikan kepada Moza. Moza terkejut. Setahunya dia sudah memakai mikrofon kecil di kolar bajunya.

“Kenapa ni?” tanya Moza.

“Mikrofon kau tak hiduplah Moza,” jawab Aryan. Dia turut melemparkan sengihan pada Louis Lee.

“Nasiblah Moza. Kalau tak habis satu dewan tahu tentang offer saya tu,” sampuk Louis Lee pula.

“Offer?” Aryan bertanya ingin tahu.

“Dahlah Aryan. Bawa masuk bunga ni,” arah Moza dan Aryan terpaksa menurut. Dia kembali kebelakang tabir dengan beberapa jambangan bunga.

Louis Lee turut meminta diri untuk kembali turun dari atas pentas. Moza hanya mengukir senyuman tanda terima kasih sebelum kembali memandang para tetamunya. Dengan langkah yang yakin dia mengorak langkah dan berdiri dihujung pentas. Dirinya kini dihinggapi dengan banyaknya flash kamera yang datang dari pelbagai sudut.


Yurina menarik nafas lega sebaik sahaja badannya direbahkan diatas tilamnya. Matanya turut ditutup rapat. Badannya yang terasa letih membuatkan dia tidak terdaya untuk bergerak dan membersihkan badannya.

“Yurina...” Puan Aishah menjenguk.

“Ya mak?” Yurina angkat kepalanya.

“Marilah makan. Mak dah masak tu.”

“Mak makanlah dulu. Sekejap lagi Yurina makan,” ujar Yurina. Dia kembali menurunkan kepalanya. Puan Aishah hanya mampu menghela nafas.

Melihat anak saudaranya yang nampak keletihan, Puan Aishah berlalu pergi. Dia tidak mahu menganggu Yurina.

Yurina kembali memandang siling biliknya yang sedikit berlubang. Diari arwah kakaknya yang masih tidak dijumpainya kembali merunsingkan fikirannya. Dia tidak mempunyai idea dimanakah dia harus mencari diari tersebut.

“Aduh...” Yurina mengosok wajahnya dengan kasar. Dia benar-benar buntu. 

“Takkanlah aku kena tanya Moza? Tapi kalau buku tu ada didalam kereta, mesti dia dah beritahu. Tak pun aku sendiri yang jumpa,” ujar Yurina.

“Ish... Manalah aku letak diari tu? Cuai betul,” Yurina mengomeli dirinya sendiri. Sebiji bantal dicapai dan menekup wajahnya.


Yurina tersedar sebaik namanya dipanggil seseorang. Dengan pantas dia menoleh dan terkejut sebaik melihat arwah kakaknya yang sedang tersenyum memandangnya. Di kiri kanannya turut berdiri arwah ayah dan ibunya.

“Ma... Abah... Kakak...”

Air mata Yurina mula jatuh. Dia benar-benar merindui ketiganya. Tidak menunggu lama, dia berlari dan memeluk ketiganya. Rindunya perlahan menghilang tatkala memeluk keluarganya.

“Yurina...” suara Pak Isdan terdengar mendatar. Diusapnya lembut rambut anak bungsunya itu.

“Abah... Yurina rindu dengan abah,” ujar Yurina.

“Syukur alhamdulillah. Abah pun rindu dengan anak bungsu abah.”

“Yurina apa khabar?” tanya ibunya pula, Puan Kasirah.

“Ma...”

“Yurina rindukan mama,” sambung Yurina. Dia semakin menangis.

“Mama pun rindukan Yurina tapi Yurina jangan risau, doa mama, abah dan kakak sentiasa ada untuk Yurina,” jawab Puan Kasirah tenang. Air matanya tidak tumpah melihat tangisan kerinduan anaknya.

“Ya Yurina. Kakak sentiasa ada didalam hati Yurina. Setiap hari kakak akan berdoa dan berharap adik kakak sentiasa sihat,” ujar Vevy pula. Senyumannya terlihat manis diwajahnya.

“Yurina jaga diri ya? Sentiasa dekatkan diri dengan Tuhan,” pesan Pak Isdan dan Yurina hanya mengangguk.

“Maaf dik, tapi akak, abah dan mama kena pergi.”

“Tak! Jangan tinggalkan Yurina... Yurina nak ikut,” Yurina pantas membantah. Dia mencuba untuk menahan tangan ibunya namun gagal. Ketiga mereka bagaikan menghilang seperti kabus.

Yurina menjerit sekuat hatinya. Dia tidak mahu ketiganya hilang dari pandangannya. Namun tanah tempatnya berpijak tiba-tiba berlubang. Yurina menjerit ketakutan pabila dia turut terjatuh kedalam lubang tersebut. Tiada apa yang mampu dilakukannya.

Rasa gayat membuatkan Yurina terjaga dari tidurnya. Dia bermandi peluh. Rasa panas mula dirasainya. Rupanya dia tidak memasang kipas. Nafas yang menipis mula membuatkan dirinya tercungap-cungap. Pantas mulutnya beristighfar menenangkan perasaannya yang turut bercelaru.

Yurina bangun. Tuala mandi dicapai. Entah mengapa dia mula merasa sesak. Udara didalam biliknya terasa semakin menipis. Kipas mula dihidupkan berharap dia kembali seperti biasa.


Selesai sembahyang Isya’, Dawson duduk diruang tamu. Begitu juga dengan Moza yang menurut dari belakang. Alat kawalan jauh peti televisyen dicapai. Satu persatu siaran ditukar sebelum berhenti pada rancangan Korea Running Man. 

“Kau okay Dawson?” tanya Moza sambil memandang sekilas. Rancangan aneka ragam yang menjadi kegemarannya ditonton.

Dawson hanya berdehem. Entah mengapa dia kehilangan mood. Dirinya bagaikan teringat akan sesuatu namun dia sendiri buntu apakah yang hendak diingatkannya. Dengan perlahan dia melepaskan keluhannya.

“Kau rasa sakit kepala ke?” tanya Moza lagi. Dengusan abangnya menarik perhatiannya. Dawson hanya menjawab dengan gelengan.

“Kenapa sebenarnya ni? Cuba cerita sikit. Manatahu aku boleh tolong?”

Sekali lagi Dawson melepaskan keluhannya. Wajah adiknya dipandang dengan tepat. Hatinya berbelah bagi untuk memberitahu apa yang sedang bermain difikirannya.

“Aku macam ada teringat sesuatu tapi aku lupa apa benda tu...”

“Ingat sesuatu? Kau ingat apa?”

“Itulah masalahnya. Aku teringat akan sesuatu tapi sekarang aku lupa. Rasa macam mimpi. Bila sedar kita lupa akan mimpi kita tu,” jawab Dawson.

Moza tertanya-tanya. Dia mula buntu. 

“Tak payahlah ingat sangat. Nanti sakit kepala lagi,” ujar Moza sambil mengukir senyum. Dia tidak mahu abangnya merasa tertekan sehingga memberi pengaruh buruk buat otaknya.

Dawson hanya menunduk. Dia mencuba untuk tidak mengingat namun otaknya tetap bekerja. 

Rancangan aneka ragam yang ditonton Moza membuatkan dia ketawa kecil. Lawak yang dibuat oleh ahli kumpulan antara satu sama lain membuatkan dia merasa terhibur. Namun tidak bagi Dawson, dia bangun dari sofa yang didudukinya dan mendaki anak tangga menuju ke bilik tidurnya. Moza hanya memandang seketika sebelum kembali menonton.

Dawson masuk kedalam bilik tidurnya. Matanya terus tertuju pada diari yang diletakkan diatas meja kecil bersebelahan dengan katilnya. Dengan perlahan diari tersebut dicapai. Habuk yang melekat ditepuk perlahan.


Aryan mengukir senyuman lebar. Begitu juga dengan tunangnya Karyenna. Masing-masing terhibur dengan filem yang mereka tonton bersama. Lebihan popcorn dibawa keluar dari pawagam.

“Esok nak tengok lagi tak?” tanya Aryan. Air oren yang tersisa sedikit disedut hingga habis sebelum dibuang kedalam tong sampah yang tersedia.

“Takkanlah nak tengok setiap hari? Tak bosan ke?”

Aryan hanya tersengih. Matanya mula menyimpang melihat sekumpulan wanita yang berpakaian agak seksi.

“Tengok apa?” Karyenna berpaling namun Aryan pantas menghalang. Dia tidak mahu tunangnya berang.

“Apa ni?” Karyenna menepis tangan Aryan yang memegang kedua bahunya. Dia kembalu berpusing dan tergamam seketika melihat sekumpulan wanita seksi itu. Api cemburunya pantas membara. Dia kembali berpusing dan memandang Aryan yang kembali tersengih.

“Kalau gatal sangat, tu gosok pada tiang elektrik.”

“Hah?” Aryan mengerutkan dahinya. Dia tidak faham akan apa yang dikatakan tunangnya.

Karyenna berlalu pergi meninggalkan tunangnya. Aryan dengan pantas mengejar. Dia ingin tahu apakah yang dimaksudkan Karyenna.

“Kenapa ikut? Tak join dengan mereka?” tanya Karyenna sebaik sedar Aryan berjalan beriringan dengannya.

“Tak nak,” jawab Aryan. 

“Kenapa? Pergilah join dengan mereka. Mana tahu nasib badan kena belai.”

“Awak marah ke?”

“Tak adalah. Kenapa pula saya nak marah? Itukan hak awak, mata awak dan diri awak. Awak yang berhak membuat pilihan. Tak ada kena mengena dengan saya,” jawab Karyenna. Langkahnya semakin pantas.

“Habis tu apa maksud awak yang tadi?” tanya Aryan lagi.

“Takkan tak faham? Pergilah tanya kawan lelaki awak,” ujar Karyenna.

“Lah, tak boleh ke awak sendiri yang beritahu?”

“Bukan tak boleh tapi malas.”

Aryan memuncungkan mulutnya seolah merajuk. Karyenna hanya menjeling melihat tingkah tunangnya. Dengusan kasar turut dilepaskan. Langkahnya diatur rancak menuju ke tempat letak kenderaan. Dia ingin pulang dan merehatkan diri.


Previous: Bab 42
Next: Bab 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail