Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 42

Moza dengan pantas menukar tayar kenderaannya yang pancit. Sesekali dia memandang abangnya yang asyik berbual dengan Puan Aishah sambil mencicipi pisang goreng. Peluh yang menitik dipipinya mula membuatkan dia merasa gatal dan disekanya dengan tangannya yang kotor.

“Okay… Dah siap,” ujar Moza gembira. Dia tidak lagi peduli untuk duduk dilantai tanah. 

Moza bangun. Alat pembukanya kembali dikemas dan dimasukkan kembali kedalam bonet bersama tayar.

“Minumlah dulu,” ujar Yurina. Moza hanya mengangguk.

Moza mengorak langkah mendapatkan abangnya yang asyik berbual dengan Puan Aishah. Dia kini berpeluh. Wajahnya juga nampak kotor dengan kesan minyak.

“Minumlah dulu. Hilangkan penat,” ujar Puan Aishah dan Moza hanya mengangguk.

“Saya basuh tangan dulu,” ujar Moza. Matanya mula meliar mencari pili air.

“Yurina, temankan Moza.”

Yurina hanya mengangguk. Dengan bantuan lampu suluh, dia mendahului melangkah kearah paip air yang terletak agak jauh dibelakang rumah dan gelap. Di kiri rumah, semak samun nampak tinggi. Moza mula merasa seram namun dia enggan memperlihatkannya. Langkahnya tenang walaupun hatinya berdegup kencang. Dia sudah mula berhalusinasi akan beberapa ekor hantu yang akan melompat keluar dari dalam semak.

“Awak okay?” tanya Yurina dan Moza terkejut. Wajahnya nampak pucat.

“Ya... Saya okay,” jawab Moza pantas. Dia pantas mendekat kearah Yurina. Sesekali dia memandang ke kiri.

“Awak tengok apa? Nampak takut je?”

“Takut? Tak adalah. Lagipun nak takut apa?” Moza tersengih.

“Habis tu kenapa  asyik tengok ke semak tu? Awak nampak hantu ke?”

Mendengar perkataan hantu, Moza pantas merapat kearah Yurina.  Bulu romanya mula meremang naik. Yurina turut terkejut dengan tingkah Moza yang tiba-tiba merapat kearahnya. Namun tidak lama kemudian, dia tersenyum. Barulah dia sedar jika Moza seorang penakut.

“Erm... Boleh tak kalau cari paip tu sekarang?” pinta Moza. Sesekali dia memandang ke kiri dan kanan. Peluhnya semakin banyak keluar.

Yurina hanya mengukir senyum. Dia kembali melangkah dan Moza pantas mengejar. Dia tidak mahu berada jauh dari Yurina. Sebuah pili air kini ada didepan mata. Moza dengan pantas membasuh wajahnya yang berminyak namun minyak kotor tersebut tetap melekat dan enggan hilang.

“Erm... Ada sabun tak?” tanya Moza. 

“Sabun? Ada, didalam rumah. Awak tunggulah sini. Biar saya ambilkan,” ujar Yurina. Dia terlupa jika Moza seorang penakut. 

“Eh, nak kemana?” Moza pantas menghalang. Yurina kembali berpusing.

“Nak ambil sabunlah,” jawab Yurina.

“Takkan nak tinggalkan saya disini?”

Yurina kembali teringat. Senyumannya terukir. Dia tidak menyangka lelaki sekacak Moza seorang yang penakut. Pantas dia teringat akan video dimana sekumpulan lelaki Korea yang menjerit ketakutan sebaik diusik dengan hantu buatan. 

“Kenapa awak senyum?” tanya Moza.

“Tak ada apa,” jawab Yurina sedikit menggeleng. 

Moza tiba-tiba menjerit. Dia turut melompat menghampiri Yurina. Yurina turut panik. Hampir saja dia menjerit melihat tingkah mengejut Moza. Apatah lagi melihat Moza yang bagaikan sedang diusik sesuatu. Kakinya pantas berundur.

“Ada lipas belakang awak,” jerit Yurina sebaik lampu suluhnya mengarah kearah belakang Moza. Dirinya yang tidak menyukai lipas pantas melompat apatah lagi lipas tersebut melompat dan terbang.

Moza semakin panik. Dia dapat merasakan jika ada sesuatu yang masuk kedalam bajunya. Dengan pantas, dia membuka bajunya dan membaling ke tanah. Dia kini tidak berbaju dan dia tidak peduli dengan itu.

Yurina tergamam sebaik melihat Moza yang tidak berbaju. Mulutnya terlopong. Moza yang sedar pantas menutup badannya dengan kedua tangan. 

“Awak buat apa ni?” tanya Yurina. Sebelah tangannya menutup matanya sementara sebelah tangannya lagi memegang lampu suluh.

“Ada lipas masuk dalam baju,” jawab Moza. Dia kembali mendapatkan bajunya yang ada ditanah namun kembali dilepaskan sebaik melihat bajunya yang telah kotor.

“Erm... Boleh tolong tak?”

“Apa?” tanya Yurina. Matanya masih ditutup dengan tangan.

“Tolong panggilkan Dawson,” ujar Moza. Dia mula malu apatah lagi didepan Yurina.

Yurina berpusing. Tangannya yang menutup mata perlahan diturunkan sebelum menarik nafas lega. Moza yang dibelakangnya hanya mengigit bibir menahan malu. Dia kini hanya mampu menutup badannya dengan kedua tangannya.

Selang beberapa detik, Dawson dan Puan Aishah datang menghampiri. Masing-masing terkejut dengan apa yang berlaku apatah lagi melihat Moza yang tidak berbaju. Yurina hanya tertunduk malu.

“Kenapa ni Moza? Menjerit tengah-tengah malam?” tanya Dawson. Dipandangnya wajah adiknya dengan tajam.

“Ada lipas masuk dalam baju,” jawab Moza perlahan.

“Lipas masuk dalam baju pun kau nak menjerit macam tu?”

“Gelilah.”

Dawson pantas menggeleng. Keluhan kasar dilepaskan. Moza tersengih bagaikan kerang busuk. 

“Boleh tak tolong ambilkan baju di kereta? Aku sejuklah,” ujar Moza. Sengihannya masih diukir dan Dawson pantas mencebik.

“Bertuah betul.”

Dawson pantas mengorak langkah meninggalkan Moza bersama Puan Aishah dan Yurina. Moza hanya mampu tersengih malu. Puan Aishah pula hanya tersenyum melihat gelagat Moza.


Sebuah bantal bercorak Spongebob ditekup kewajahnya. Dia benar-benar merasa malu dengan apa yang berlaku. Apatah lagi didepan wanita yang disukainya. Moza tidak tahu bagaimanakah dia haru bertemu dengan Yurina.

Pak Ehsan yang baru keluar dari bilik Dawson mula memandang Moza dengan hairan. Pintu yang tidak tertutup membuatkan Pak Ehsan masuk kedalam bilik dengan perlahan.

“Kenapa dengan kamu Moza?” tanya Pak Ehsan. Moza yang terkejut bingkas bangun dan duduk diatas katilnya. Wajahnya tampak memerah.

“Kamu tak sihat ke?” Pak Ehsan meletakkan belakang tangannya didahi Moza.

“Bukan tak sihat tapi kurang waras,” jawab Dawson dari luar bilik. Pak Ehsan mula tertanya-tanya.

“Apa yang kamu kata ni Dawson?”

“Yalah, sejak balik dari rumah Yurina tadi dia asyik senyum je seorang diri. Ditanya, makin lebar pula senyumannya macam biawak tertelan batu,” jawab Dawson. Moza hanya menunduk. 

“Yurina? Siapa Yurina?” Pak Ehsan semakin tidak faham.

“Yurina tu girlfriend si Moza.”

“Girlfriend?” Pak Ehsan sedikit terkejut. Dia tidak menyangka jika Moza sudah mempunyai kekasih hati.

Dawson hanya mencebik. Dia berlalu dan hilang dari pandangan. Pak Ehsan memandang Moza. Senyumannya mula terukir. Begitu juga dengan Moza. Senyumannya tidak lepas dari wajahnya.

“Berehatlah Moza. Esok jangan lupa bangun awal sikit. Sembahyang Subuh,” ujar Pak Ehsan mengingatkan Moza.

Moza hanya diam. Tidak sedikitpun dia mengangguk hanya menggeleng. Pak Ehsan hanya mengelus halus. Dia keluar dari bilik Moza dan menutup rapat pintu biliknya.

Moza yang semakin melayang jauh kembali merebahkan badannya. Bantal Spongebob dipeluk erat. Senyumannya masih tidak lekang.


Yurina mula panik apabila diari arwah kakaknya tiada didalam beg galasnya. Satu bilik sudah diselongkar namun diari tersebut tidak dilihatnya. Dia tidak mahu kehilangan diari itu apatah lagi diari itu sungguh bermakna akan dirinya.

Mana pula aku simpan diari tu? Getus hati Yurina. Kepalanya yang tidak gatal mula digaru. Dia mula buntu.

Laci dibawah meja belajarnya kembali diselongkar. Dia berharap diari tersebut ada didalam biliknya dan tidak tercicir keluar dari biliknya. Seribu satu kerisauan sudah mula dirasainya.

Puan Aishah yang berada dibilik sebelah mula tertanya-tanya dengan apa dilakukan anak saudaranya. Kepalanya menoleh memandang jarum jam yang sudah menunjukkan angka 12 tengah malam. Bunyi bising yang datang dari bilik Yurina membuatkan dia tidak mampu untuk tidur. Perlahan dia bangun dan melangkah keluar dari biliknya menghampiri bilik anak saudaranya.

Ketukan perlahan dilakukan Puan Aishah di pintu bilik Yurina. Telinganya semakin jelas mendengar selongkaran Yurina.

“Ya mak?” Yurina menjengulkan kepalanya.

“Kamu buat apa sampai tak tidur lagi ni?” tanya Puan Aishah. Dia mencuba untuk menjenguk masuk namun Yurina menghalang.

“Cari barang,” jawab Yurina. 

“Esokkan boleh cari? Pergilah tidur, esok mengantuk pula pergi kerja,” arah Puan Aishah. Yurina hanya mengangguk.

“Mak...”

“Apa lagi Yurina? Mak mengantuk ni,” ujar Puan Aishah. Langkahnya kembali terhenti.

“Erm... Mak ada nampak diari kakak tak?”

“Diari kakak? Bukan kamu yang simpan ke?” Puan Aishah kembali bertanya.

“Ya, memang Yurina yang simpan tadi tak ada...”

“Kamu carilah Yurina. Mak nak tidur ni. Kamu ingatlah balik dimana kamu letak. Kamu tu biasanya suka mencicirkan barang,” ujar Puan Aishah. Dia kembali melangkah masuk kedalam biliknya.

Yurina mencebik tidak berpuas hati. Pintu biliknya kembali ditutup dan dikunci. Biliknya yang berhambur dengan barang-barang dipandangnya satu persatu. Dia mencuba untuk mengingat dimanakah dia menyimpan diari tersebut pada terakhir kali.

“Takkanlah aku letak dalam beg tadi?” Yurina sudah mula berkata sendiri. 

Yurina tersentak. Dia kini ingat dimana kali terakhir dia meletak diari tersebut. Dahinya ditepuk kuat. Dia benar-benar menyesal dengan kecuaiannya sendiri. Beg galasnya dengan pantas diselongkar. Dia ingat jika tadi pagi tanpa sengaja dia terbawa diari itu mask kedalam beg galasnya.

“Eh, mana diari tu?” Yurina kembali panik. Diari tersebut tetap tiada didalam begnya. Dia kini terduduk diatas lantai. Kecuaiannya membuatkan dia merasa menyesal. Kini dia tidak tahu kemanakah dia harus mencari diari itu.


Dawson terkejut sebaik terpandang akan sebuah buku yang ada ditempat duduk belakang kenderaan adiknya. Dengan pantas dia mencapai buku tersebut dan dibeleknya. Setahunya, adiknya tidak menulis diari.

“Buku siapa? Takkanlah si Moza ada diari? Buruk pula tu,” ujar Dawson. Buku tersebut ditepuknya membuang habuk yang melekat.

Telefon pintarnya yang tertinggal didalam kenderaan pantas diambil dan kembali menutup pintu. Kunci kenderaan turut ditekan mengunci semua pintu. Dengan pantas, dia kembali masuk kedalam rumah.

Didalam bilik, diari tersebut diletak diatas meja kecil yang ada ditepi katilnya. Suis utama turut dimatikan sebelum dia naik keatas katilnya. Bantalnya turut ditepuk sebelum meletakkan kepalanya.

Telefon pintarnya dicapai. Jam loceng dinyalakan pada pukul 5 pagi. Dia mahu membiasakan diri untuk bangun awal dan turut bersolat berjemaah dengan penjaganya. Matanya ditutup namun entah mengapa dirinya tidak mahu tidur. Matanya seolah enggan tertutup. Sedikitpun dia tidak merasa mengantuk.

Dawson menarik selimutnya berbungkus sehingga ke paras dada. Badannya turut diarahkan ke kanan berharap dirinya akan cepat tertidur namun hasilnya tetap sama. Matanya masih celik.

Satu keluhan dilepaskan. Dia kembali bangun dan duduk melunjur. Dia menoleh memandang diari tersebut. Entah mengapa hatinya mula memintanya untuk membuka diari tersebut. Namun dia berkehendak lain. Tangannya pantas mengeluarkan earphone dari dalam laci mejanya.

Earphone tersebut disumbat kedalam telinganya dan kembali berbaing. Alunan lagu yang perlahan akhirnya mampu membuatkan matanya perlahan tertutup sebelum akhirnya dia tertidur. Diari tersebut tetap belum terusik.


Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail