Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 13

Yurina tercegat didepan sebuah kedai bunga. Deretan bunga yang ditanam indah didalam pasu yang tersusun cantik membuatkan matanya rambang untuk memilih. Dia tidak tahu bunga apa yang harus dibelinya untuk menghias kafe tempatnya bekerja. Perlahan dia menelan air liur, sehingga dia tidak sedar dirinya dipandang oleh seorang lelaki dari dalam kedai bunga tersebut.

“Perlukan bantuan ke?”

Yurina tersentak sebaik satu suara menengurnya. Dia dapat melihat seorang lelaki tinggi lampai sedang berdiri didepannya sambil tersenyum lebar. Yurina mula tergagaop tidak tahu apa yang harus dikatakannya.

“Masuklah. Mana tahu ada bunga yang awak suka,” ujar lelaki itu lagi. Dia mengajak Yurina untuk masuk kedalam kedai bunganya dan Yurina hanya menurut.

Lelaki yang dikenali sebagai Asyraf itu hanya tersenyum. Ini bukanlah kali pertama dia berjumpa dengan pelanggan sedemikian rupa malah ada yang lebih menganggu emosinya. Ada ketikanya dia harus menurut kehendak pelanggannya yang kadangkala tidak dapat dipenuhinya.

“Awak nak cari bunga apa?” tanya Asyraf. Yurina tetap diam. Matanya kembali rambang melihat begitu banyak bunga didalam kedai tersebut.

“Erm... Kalau saya nak tengok-tengok boleh tak?” pinta Yurina dan Asyraf hanya mengangguk. Dia berlalu meninggalkan Yurina menuju ke kaunter.

Yurina menelan air liurnya. Dengan langkah yang perlahan, dia merapat kearah bunga ros berwarna merah terang yang siap dibungkus dengan kertas bercorak dan juga plastik. 

“Awak suka dengan bunga tu?”

Satu suara yang biasa didengar membuatkan Yurina pantas berpaling ke belakang. Sekali lagi dia terkejut apabila melihat Moza yang kini berdiri didepannya sambil tersenyum lebar. 

“Awak... Awak buat apa dekat sini?” tanya Yurina dengan suara yang putut-putus. Dia benar-benar tidak menyangka lelaki itu ada didepannya.

“Saya nak ambil bunga,” jawab Moza sambil menunjuk kearah jambangan bunga yang tadi dihampiri Yurina.

“Bunga?” 

“Ya, bunga. Tu, bunga yang awak tengok tadi.”

“Maafkan saya,” Yurina meminta maaf. Perlahan dia berundur dan menjauh dari jambangan bunga tersebut.

Moza hanya diam memandang Yurina. Entah mengapa mulutnya tiba-tiba menjadi kelu. Dia malu untuk memberitahu Yurina bahawa jambangan bunga itu memang untuknya dan dia juga tidak menyangka bahawa Yurina datang pada waktu dimana dia ingin mengambil bunga tersebut dari rakannya yang juga modelnya.

“Yurina.”

“Ya?” Yurina mengangkat wajah. Dipandangnya Moza yang perlahan menghampirinya. Degupan jantungnya mula berdegup pantas. Dia mula bersikap tidak tenang. Entah mengapa fikirannya sudah mula membayang perkara yang tidak sepatutnya dibayangkan. Drama romantik Korea yang sering ditontonnya bersama Hawa mula muncul satu persatu di fikirannya.

“Awak okay?” tanya Moza dengan dahi yang sedikit dikerutkan.

Yurina tersentak. Lamunannya mengenai hal romantis spontan terbang meninggalkan ruang fikirannya. Terkebil-kebil dia memandang Moza, sebelum perlahan menunduk dan berdehem beberapa kali. Dia mencuba untuk menenangkan hatinya yang masih berdetak kencang.

“Awak sakit ke?” Moza bertanya lagi. Belakang tangannya mula naik dan ingin menyentuh dahi Yurina namun pantas Yurina menjauhkan kepalanya.

“Saya okay,” jawab Yurina. Dia turut berundur beberapa tapak.

Moza segera menjarakkan diri. Entah kenapa dia mula bersikap kekok sedemikian rupa. Yang pasti dia dapat merasakan betapa kencangnya degupan jantungnya ketika itu. Wajahnya perlahan bertukar merah.


Didalam perjalanan balik ke kafe, Yurina hanya diam tidak bersuara. Langkahnya turut lambat. Jambangan bunga ros yang tadi diperhatikan kini ada ditangannya. Sesekali dia melirik memandang jambangan tersebut dan tanpa dipinta, senyumannya turut terukir. 

Moza yang berada dibelakang turut tersenyum seorang diri. Dia tidak menyangka dirinya mempunyai keberanian untuk memberi jambangan bunga tersebut kepada Yurina. Perlahan dia memeluk pasu bunga bersaiz sederhana yang telah ditanam dengan bunga-bunga renek yang senang berbunga tanpa musim dengan erat. Beberapa orang yang melintas ditepinya hanya tersengih melihatnya.

“Amboi, bukan main lagi kamu berdua ni? Tersenyum sorang-sorang. Ada apa-apa ke?” tanya Karyenna yang berdiri diluar kafenya. Dari jauh, dia sudah melihat pekerjanya balik bersama rakannya.

“Kak Karyenna?” Yurina tersentak. Begitu juga dengan Moza. Mereka tidak menyangka Karyenna berada diluar kafe dan telah memerhatikan mereka dari jauh.

“Dah lama ke diluar?” tanya Moza. Dia mencuba untuk berlagak seperti biasa namun anak matanya tetap memandang Yurina yang menyembunyikan jambangan bunga tersebut dibelakangnya.

“Kenapa letak di belakang bunga tu Yurina?” Karyenna tidak mempedulikan pertanyaan Moza. Dia menghampiri Yurina dan menarik tangan Yurina untuk mengalihkan jambangan tersebut kembali kehadapan.

“Ini...”

“Dahlah Yurina. Saya tahu bunga ni dari Moza,” potong Karyenna. Senyumannya lebar terukir. Moza hanya menunduk malu.

“Erm... Saya lupa yang saya ada kerja jadi ini bunganya, saya minta diri dulu.”

Tidak menunggu lama, Moza menyerahkan pasu bunga yang dipeluknya kepada Karyenna dan berlalu pergi. Yurina hanya menunduk malu. Matanya turut dipejam. 

Karyenna hanya tersenyum. Kepalanya turut digeleng perlahan. Faham benar dia akan sikap rakan lamanya itu.

“Dahlah Yurina. Mari masuk. Sekejap lagi nak buka kafe,” ujar Karyenna lalu masuk meninggalkan Yurina. Pasu bunga yang dibawanya kini diletakkan ditepi dinding bersebelahan dengan meja panjang yang tersusun di bahagian tepi kafe.

Yurina menghela nafas yang panjang tanda lega. Walaupun majikannya tidak bertanya banyak, namun dia masih malu untuk masuk dan bersikap seperti biasa. Jambangan bunga yang ada ditangannya dipandang seketika sebelum dinaikkan kearah hidungnya. Dia dapat mencium bau yang cukup wangi keluar dari bunga ros tersebut.


Dawson yang sedang membantu Pak Ehsan membancuh air mula hairan memandang adiknya yang asyik tersenyum sendiri. Lagaknya tidak ubah bagaikan seorang pesakit mental yang ditempatkan di hospital bahagia. Pak Ehsan yang sedang asyik memotong buah tembikai susu terkejut sebaik Dawson menggamitnya.

“Pak cik, selama ini Moza ada sakit apa-apa ke?” tanya Dawson pada penjaganya. Pak Ehsan pantas mengerutkan dahi.

“Sakit?”

“Pak cik tengoklah tu. Dia asyik senyum je macam orang gila,” Dawson menjuihkan bibirnya kearah adiknya yang asyik tersenyum sendiri.

Pak Ehsan hanya menggelengkan kepalanya sebaik memandang Moza. Dia sudah dapat meneka apakah yang sedang difikirkan anak asuhnya itu.

“Moza,” panggil Pak Ehsan namun Moza tetap mengelamun. 

“Moza!” Kali ini Dawson yang memanggil. Suaranya turut dibesarkan sehingga membuatkan Moza terkejut.

“Apa? Jangan jerit-jerit,” Moza mencebik. Mulutnya dimuncungkan seolah merajuk.

“Kau fikir apa?” tanya Dawson. Dia menghampiri adiknya yang sedang duduk dikerusi meja makan.

“Tak ada apa.”

“Kau jangan nak menipulah Moza. Dari tadi kau asyik senyum-senyum macam orang gila.”

Moza menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pak Ehsan yang memandangnya kembali dipandangnya. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakan pada abang dan juga penjaganya.

“Siapa perempuan tu Moza?” tanya Pak Ehsan. Dawson hanya mengerutkan dahi. Dia tidak faham mengapa penjaganya itu bertanya akan seorang perempuan.

“Perempuan? Perempuan mana pula ni pak cik?” tanya Dawson pula. Kini dia memandang wajah adik dan penjaganya silih berganti.

“Kamu tanyalah dengan adik kamu tu. Dia je yang tahu jawapannya,” ujar Pak Ehsan. Buah tembikai susu yang telah siap dipotongnya diletakkan diatas meja makan.

“Apa yang pak cik tanya tu sebenarnya? Siapa perempuan yang pak cik cakap tu?” Dawson bertanya lagi dan pertanyaannya itu diarahkan kepada adiknya. Sempat juga tangannya mengambil beberapa potong buah dan disumbat masuk kedalam mulutnya.

“Pak cik gurau je,” jawab Moza perlahan.

Dawson mengecilkan matanya. Dia seolah tidak berpuas hati akan jawapan adiknya itu. Dia tahu bahawa adiknya ada menyembunyikan sesuatu.

Moza tersenyum nipis. Beberapa potong buah segera dimasukkan kedalam mulutnya. Pak Ehsan hanya menggelengkan kepalanya.

“Kita tengok cerita hantu nak?” Dawson mengubah topik perbualan. Dipandangnya mata adiknya meminta persetujuan.

“Tak boleh tengok cerita lain?”

Dawson menggeleng. Permintaan adiknya ditolak tanpa berfikir panjang. Moza pula hanya mampu melepaskan keluhannya. Mahu tidak mahu dia terpaksa bersetuju walaupun dia tahu dia tidak akan mampu untuk melelapkan matanya malam ini.


Puan Aishah memandang anak saudaranya dengan mata tidak berkedip. Dia masih ingat lagi akan kata-kata Yurina yang berjanji untuk tidak membina hubungan dengan lelaki selagi dirinya tidak menemui teman lelaki arwah kakaknya yang telah menghilangkan diri.

“Kamu ada terhantuk dimana-mana ke Yurina?” tanya Puan Aishah. Matanya tetap fokus memandang Yurina yang duduk dihadapannya. Jambangan bunga yang ada disebelahnya turut dipandang.

Yurina yang menunduk hanya menggeleng perlahan. Memang benar selama ini dia sudah berjanji untuk mencari teman lelaki arwah kakaknya dan tidak mahu menaruh rasa pada mana-mana lelaki tapi entah mengapa sejak akhir-akhir ini hatinya sering berombak tidak tenang dan asyik membayangkan wajah Moza.

“Kan mak dah kata, tak baik berjanji macam tu. Jadi sekarang macamana?” tanya Puan Aishah. Secawan kopi perlahan naik dan dihirup perlahan.

“Erm... Yurina tak...” Yurina tidak mampu menghabiskan ayatnya. Lidahnya tiba-tiba menjadi kelu.

“Yurina, Yurina. Kamu sendiri tahu kalau hati dan perasaan tak boleh dihalang. Dulu kamu kata kamu takkan bercinta atau menjalankan hubungan dengan mana-mana lelaki tapi sekarang? Kamu sendiri dah ingkar janji kamu,” ujar Puan Aishah.

“Mak, Yurina belum lagi bercinta dengan dia. Dia cuba bagi jambangan bunga ni pada Yurina. Itu saja.”

“Jadi kamu nak kata dia belum ajak kamu bercinta. Macam tu?”

Yurina perlahan mengangguk. Dia buntu bagaimana hendak menjelaskan apa yang berlaku pada dirinya.

“Mak, Yurina masih lagi dengan janji Yurina. Yurina masih tetap dengan pendirian Yurina. Walaupun Moza ajak Yurina untuk bercinta sekalipun, Yurina tetap akan mencari lelaki tak guna tu,” ujar Yurina.

“Apa nama dia tadi? Mozak?”

“Bukan Mozak mak tapi Moza. M-O-Z-A,” Yurina membetulkan sebutan ibu saudaranya. Puan Aishah hanya mengangguk.

“Dia orang mana?” tanya Puan Aishah lagi. Dia mula ingin mengetahui latar belakang lelaki itu.

“Erm...” Yurina terdiam. Dirinya kembali buntu untuk menjawab pertanyaan ibu saudaranya.

“Takkan kamu tak tahu dia orang mana?” Puan Aishah mengerutkan dahinya.

“Bukan tak tahu tapi...”

“Tapi apa?”

“Yurina baru beberapa kali je jumpa dia.”

Puan Aishah mengeluh perlahan. Yurina hanya diam kembali membatu. 

“Dahlah, pergilah masuk berehat. Mak dah lenguh ni,” dengan perlahan Puan Aishah bangun dan masuk kedalam bilik tidurnya meninggalkan Yurina. Yurina hanya mengigit bibirnya. 

Jambangan bunga yang ada disebelahnya dipandang. Entah mengapa dia merasa bahawa dia harus mengenepikan  perasaannya itu. Dia kembali teringat akan lelaki yang pergi meninggalkan kakaknya itu.

Yurina bangun dari kerusi rotan yang didudukinya. Dia berlalu masuk kedalam biliknya membiarkan jambangan bunga tersebut. Dia tidak mahu terus hanyut dalam permainan hatinya.


Yurina tersentak sebaik membuka mata. Disekelilingnya ada beberapa orang berpakaian segak dan bergaya. Beberapa orang wanita yang ada turut cantik mengenakan baju kurung yang cantik. Ditangannya ada sejambak bunga yang berlainan warna.

“Selamat pengantin baru Yurina,” Hawa datang tiba-tiba. Yurina sekali lagi tersentak.

“Apa yang kau merepek ni Hawa?” tanya Yurina hairan. Dia dapat melihat beberapa orang tetamu yang tidak dikenali sedang mengukir senyum lebar kearahnya.

“Hei, inikan majlis perkahwinan kau. Takkan tak ingat?”

Majlis kahwin? Yurina benar-benar terkejut. Matanya liar memandang sekitarnya sebelum terhenti pada seorang lelaki yang segak berpakaian Melayu. Dari pakaian yang dipakainya, terlihat seperti pengantin lelaki.

“Moza?” 

Yurina terkaku sebaik Moza menghampirinya dengan senyuman lebar. Ditangannya ada sebentuk cincin yang sungguh cantik.

“Terima kasih sayang. Saya janji yang saya akan jaga dan mencintai awak sehingga hujung hayat saya,” ujar Moza. Senyuman lebarnya diukir menambah ketampanannya.

Yurina menggeleng. Dia tidak percaya bahawa dia kini menjadi isteri Moza. Tidak tahan dengan kejutan tersebut, Yurina menjerit sekuat hatinya. Dia masih tidak dapat menerima berita tersebut.

“Yurina! Bangun!”

Yurina bingkas bangun dari katilnya. Peluh yang keluar sudah membasahi wajah dan badannya. Dipandangnya wajah ibu saudaranya yang duduk ditepi katilnya.

“Astaghfirullahalazim. Kamu mimpi buruk ni,” ujar Puan Aishah. Dilapnya peluh yang keluar dari dahi anak saudaranya dengan tisu.

Yurina menekup wajahnya dengan kedua tangannya. Dia benar-benar tidak menyangka bahawa dirinya akan mendapat mimpi sedemikian rupa. Hatinya yang gelabah mula ditenangkan.

Puan Aishah hanya melepaskan keluhannya. Rambut anak saudaranya yang basah akibat peluh perlahan dibelainya. Dia mula merasa kasihan dengan anak saudaranya itu. Namun apalah yang mampu dilakukannya selain memberi nasihat yang berguna. Lagipula dia yakin bahawa Yurina sudah mampu untuk berfikir secara matang.


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail