Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 37

Moza membuka mata sebaik dia tersedar akan bahunya yang disentuh seseorang. Wajah penjaganya dipandangnya seketika sebelum menggosok matanya. Dia benar-benar tampak kusut.

“Kamu baliklah berehat. Biar pak cik yang jaga abang kamu,” ujar Pak Ehsan namun Moza pantas mengangguk. Dia enggan meninggalkan abangnya.

“Tak apalah pak cik.Biar saya disini.”

“Moza, janganlah macam ni. Kalau abang kamu tahu, dia mesti marah. Pergilah keluar, ambil angin. Pak cik tengok kamu macam tak sihat. Makan pun dah tak tentu,” nasihat Pak Ehsan. Moza hanya diam.

“Pergilah. Bersihkan badan kamu dan keluar. Jumpa dengan kawan-kawan.”

Moza memandang penjaganya meminta kepastian.Pak Ehsan hanya mengangguk. Mahu tidak mahu, Moza terpaksa menurut. Dengan langkah yang perlahan, dia mencapai cardigannya yang berwarna hitam lalu disarungkan pada badannya.

“Telefon saya ya kalau Dawson dah bangun,” pesan Moza.

“Iya, pak cik akan call. Kamu jangan risau. Abang kamu takkan apa-apa,” jawab Pak Ehsan.

Moza menatap wajah abangnya. Dia semakin berkira-kira untuk meninggalkan abangnya. Pak Ehsan hanya diam menunggu.

“Dawson, aku keluar sekejap ya?” 

Moza memeluk abangnya. Entah mengapa dia merasa tidak tenang. Namun wajah penjaganya yang tenang membuatkan dia semakin tenteram.

“Saya keluar dulu ya? Pak cik nak kirim apa-apa?”

“Tak apalah Moza. Lagipun pak cik dah makan. Kamu pergilah makan. Nanti kamu sakit pula.”

Moza melepaskan keluhannya. Dengan perlahan, dia keluar dari dalam wad.  Inilah kali pertama dia meninggalkan abangnya yang kembali koma seminggu yang lepas. Satu persatu langkah diatur menjauh dari wad tersebut.


Yurina menarik nafas yang panjang. Bas yang ditunggu masih juga tidak kunjung tiba. Dia mula merasa sejuk apatah lagi dengan ketiadaan jaketnya.

Sebuah kenderaan mewah mula berhenti didepannya. Yurina bagaikan dapat mengecam kenderaan tersebut. Ya, memang benar dia mengenali kenderaan itu.

Senyumannya meleret lebar. Dia bagaikan gembira dengan apa yang muncul didepannya. Seorang lelaki yang dirinduinya kini ada didepannya.

“Hai,” Moza mengukir senyum. Yurina hanya membalas.

“Seorang je?”

“Ya,” Yurina menjawab dengan pendek. Dia mula bersikap malu apatah lagi Moza kini duduk disebelahnya.

“Maaflah kalau dah lama tak datang kafe,” ujar Moza meminta maaf.

“Tak apa.”

Masing-masing kembali mendiamkan diri. Hanya senyuman yang terukir diwajah. Semuanya terasa begitu kekok.

“Nak ikut saya tak?” 

“Pergi mana?” tanya Yurina. Dipandangnya wajah Moza.

“Pergi makan. Entah mengapa perut saya tiba-tiba berbunyi,” jawab Moza sambil tersengih. Dia mula mengosok perutnya.

Yurina hanya tersenyum. Ajakan lelaki itu membuatkan dia gembira. Dia merasa bagaikan berada diawangan. 

Moza pantas membuka pintu kenderaannya untuk Yurina. Yurina segera mengucapkan terima kasih. Moza hanya mengangguk. Dengan pantas, Moza berpusing dan masuk kedalam kenderaan mewahnya.


Sebuah kedai makan yang agak tertutup menjadi destinasi mereka untuk mengisi perut. Yurina hanya menurut. Beg galasnya ditinggal didalam kenderaan.

“Tak apakan makan disini?” tanya Moza.

“Janji halal,” jawab Yurina.

Moza hanya tersenyum. Jawapan Yurina membuatkan dia tercuit. Dia seolah lupa akan abangnya yang berada dihospital.

Moza menghampiri kedai makan tersebut namun baru sahaja dia hendak menolak pintu kafe, dirinya ditegur seseorang. Senyumannya pantas diukir lebar.

“Datin Maria?”

Moza pantas bersalaman dengan wanita berumur 50an itu. Yurina turut berbuat sedemikian rupa.

“Wah, tak sangka kamu dah ada teman wanita. Baguslah, jangan asyik bekerja sampai lupa nak cari jodoh,” ujar Datin Maria. Moza hanya tersenyum sementara Yurina sudah mula menunduk malu.

“Datin baru habis shopping ya?” tanya Moza ramah. Dia mengerling beberapa kotak beg kertas yang banyak dijinjingnya.

“Belum habis lagi. Ini baru satu pertiga,” jawab Datin Maria.

Satu pertiga? Bila dia nak habis shopping? Yurina bertanya didalam hati. Matanya tertuju pada beg kotak yang dibawa Datin Maria.

“Yurina, kenalkan. Ini Datin Maria, mak kepada Darryl,” Moza tiba-tiba menarik lengannya. Dia pantas memperkenalkan Datin Maria.

Apa? Mak Darryl? Yurina terkejut. Dengan pantas dia membongkokkan badannya. Anak rambutnya yang jatuh terjuntai pantas dirapikan kebelakang.

“Maafkan saya Datin. Saya tak tahu kalau Datin mak Darryl,” ujar Yurina. Sesekali dia memandang Moza yang hanya mengukir senyum.

“Jadi kamu dah kenal dengan Darryl?” tanya Datin Maria dan Yurina pantas mengangguk.

“Tempoh hari kebetulan saya jumpa dengan Darryl jadi saya bawalah dia datang ke kafe  Yurina,” beritahu Moza. 

“Oh, jadi Yurina ada kafe sendiri?”

“Tak. Saya cuma bekerja di kafe tu,” pantas Yurina membantah.

“Okay... Tak apalah Moza, Yurina. Saya kena pergi dulu. Nanti tutup pula shopping mall ni kalau berbual dengan kamu berdua. Lain kali, kalau panjang umur, murah rezeki kita akan berjumpa lagi,” dengan penuh sopan Datin Maria meminta diri. Moza hanya mengangguk. 

“Hati-hati ya?” pesan Moza. Datin Maria hanya mengangguk dan berlalu pergi.

“Betul ke dia mak Darryl?” tanya Yurina sebaik wanita bergaya itu jauh dari mereka.

“Ya. Dia memang mak Darryl. Selama ni dia ikut Darryl ke Australia,” beritahu Moza. Yurina mula memuncungkan mulutnya. Moza tertawa kecil melihat telatah Yurina.

“Jomlah masuk.”

Yurina hanya menurut. Matanya masih lagi memandang Datin Maria yang singgah disebuah kedai menjual beg tangan.


Moza mengucap syukur sebaik makanannya habis dimakan. Perutnya yang tadi berbunyi lapar kini kekenyangan. Dirinya tidak ubah bagaikan seekor ular sawa. Yurina yang duduk disebelahnya hanya diam mengunyah perlahan makanannya.

“Nak apa-apa lagi tak?” tanya Moza.

“Tak apalah. Ini pun tak habis,” tolak Yurina.

“Untuk mak awak? Pesanlah, bawa balik.”

Yurina hanya diam. Moza mula memanggil pelayan dan memberitahu keinginannya.

“Lepas makan ni paling best ialah tidur,” ujar Moza. Yurina mengangguk.

“Lepas ni nak kemana-mana tak?” 

“Mungkin lebih baik balik. Lagipun dah nak pukul 10 malam. Nanti mak mencari pula,” jawab Yurina.

“Okaylah.”

Yurina menyedut minumannya sehingga habis. Begitu juga dengan Moza. Masing-masing tidak meninggalkan sisa. 

Telefon Moza tiba-tiba berdering. Pantas dia mengeluarkan telefonnya. Nama rakannya Aliff yang juga peguam keluarga tertera di skrin.

“Maaf, saya keluar sekejap,” Moza meminta diri. Dia bangun dari kerusi dan keluar dari kafe. Dia tidak mahu perbincangannya dengan Aliff didengar Yurina.

“Hello Liff,” ujar Moza. Tangan kanannya mula dimasukkan kedalam poket seluar.

“Moza, aku ada berita gembira untuk kau.”

“Apa?”

“Macam yang kau minta, syarikat tu akan ditukar nama menjadi milik Tuan Brian.”

“Baguslah. Terima kasih. Tapi bila aku nak tandatangan surat penukaran?”

“Itu aku masih tak tahu lagi. Tuan Brian sekarang ada di Paris. Dia ada mesyuarat dengan beberapa orang rakan disana,” beritahu Aliff.

“Okaylah. Kalau ada apa-apa beritahu aku.”

“Baiklah tapi apa khabar Dawson? Dah lama aku tak nampak dia?”

Moza melepaskan keluhannya. Seketika kepalanya berpaling dan memandang Yurina dari dinding kaca.

“Dia okay. Tak ada apa,” jawab Moza. Dia masih merahsiakan keadaan abangnya.

“Baguslah kalau macam tu. Kirim salam dengan dia ya?”

“Ya. Terima kasih tau sebab membantu. Bila Tuan Brian dah balik, inform aku,” pesan Moza lagi.

“Kau jangan risaulah Moza. Aku bukannya pelupa,” jawab Aliff.

Moza hanya tersengih. Sebaik mengucapkan terima kasih, dia kembali mematikan panggilan telefonnya. Dari luar kafe dia melihat Yurina yang asyik bermain dengan telefonnya. Perlahan dia melepaskan keluhan sebelum kembali mengorak langkah masuk kedalam kafe.


Dari telefon pintarnya, dia melihat gambar dirinya bersama arwah kakaknya suatu ketika dahulu. Dia mula merasakan rindu pada arwah kakaknya itu sehingga tidak sedar Moza muncul dibelakangnya.

“Tengok apa?”

Yurina pantas mematikan telefonnya dan memasukkannya kedalam poket seluarnya. Dia mula segan.

“Tengok gambar teman lelaki ya?” usik Moza.

“Tak adalah,” bantah Yurina. Moza hanya tersenyum.

“Marilah balik. Nanti mak awak marah.”

Yurina mengangguk. Dia bangun dari tempat duduknya dan mengekori Moza. Seorang pelayan tiba-tiba menghampiri.

“Encik, ini pesanan encik tadi,” ujar pelayan tersebut.

“Oh, terima kasih.”

Pelayan tersebut berlalu pergi. Moza kembali menapak dan membuka pintu kafe. Yurina hanya tersenyum malu dengan tindakan Moza yang membukakan pintu untuknya.



Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail