Home Novel Cinta RINDU YANG HILANG
Bab 19

Seminggu terasa berlalu dengan begitu pantas. Masing-masing kembali bekerja seperti biasa. Moza yang selama ini berulang alik ke hospital kini mampu menarik nafas lega apabila abangnya kembali ke rumah dalam keadaan yang sihat walaupun sesekali dia turut dilanda kerisauan apabila terpaksa meninggalkan abangnya seorang diri dan hanya ditemani oleh Pak Ehsan.

Bunyi kicauan burung yang merdu membuatkan Moza semakin asyik menatap wajah abangnya yang kembali berseri. Jauh didalam hati, dia berjanji akan sentiasa menemani abangnya dan menjaganya dengan baik.

“Moza, makanlah. Nanti lambat masuk kerja,” tegur Pak Ehsan apabila melihat Moza yang asyik menatap wajah abangnya.

“Makanlah. Jangan asyik nak tengok aku,” ujar Dawson pula dan Moza hanya tersenyum. Entah kenapa dia mula berfikir untuk meminta cuti dan menemani abangnya.

“Erm, nanti malam kita tengok wayang nak?” tanya Moza. Dipandangnya wajah abang dan penjaganya silih berganti.

“Takkanlah kamu nak bawa abang kamu ni keluar malam-malam? Kan doktor dah pesan supaya berehat saja dirumah. Nanti ada apa-apa, kamu juga yang susah.”

“Pak cik, maksud saya bukan tengok wayang diluar. Saya nak kita tengok dirumah saja dan Dawson tak perlu keluar dari rumah,” terang Moza dan Pak Ehsan mengangguk tanda faham.

“Oh, pak cik fikir kamu nak bawa abang kamu ni keluar. Kalau itu pak cik tak kisah tapi janganlah sampai mengganggu kerja kamu. Lagipun kamu ada show tak lama lagi kan? Mesti kamu banyak kerja nak buat.”

“Show?” Dawson mengerutkan dahinya.

“Yes Dawson dan kalau boleh aku nak kau ada disana. Sebarang alasan tak diterima kecuali emergency.”

“Kau nak aku ada? Tak naklah, aku segan,” jawab Dawson. Kepalanya mula digeleng perlahan. Entah kenapa dia merasa tidak selesa untuk hadir di pertunjukan fesyen berkenaan.

“Nak segan apa? Selama ini, kau memang jadi orang yang pertama hadir di semua fesyen show aku dan untuk kali ini aku nak kau kembali dan beri semangat untuk aku.”

Dawson hanya tersenyum nipis. Dipandangnya adiknya yang begitu bersungguh mahu dirinya turut hadir di majlis berkenaan. 

“Pergilah Dawson. Lagipun pak cik tak naklah kamu asyik terperap saja dirumah macam anak dara. Tapi kamu jangan lupa setiap minggu kamu akan ke rumah kedua untuk pemeriksaan,” ujar Pak Ehsan pula. Moza mengangguk bersetuju.

  “Rumah kedua? Rumah siapa?” tanya Dawson kembali dengan hairan. Dipandangnya wajah penjaganya dan adiknya yang hanya tersenyum.

“Takkan tak tahu? Rumah kedua ialah hospital,” jawab Moza. Dia kembali menyuap masuk makanan kedalam mulutnya.

“Mengada. Sejak bila pula aku beli rumah dihospital,” jawab Dawson. 

Moza memandang abangnya. Jauh didalam hati, dia merasa kasihan akan apa yang berlaku pada abangnya itu. Dia masih ingat akan kata-kata Dr. Illy mengenai keadaan abangnya yang sedikit sebanyak akan berubah.

“Moza, dahlah. Jangan difikirkan sangat,” tegur Pak Ehsan. Dia tahu apa yang bermain difikiran anak muda itu. Moza melepaskan keluhannya perlahan dan hanya mengangguk tidak lama kemudian.

“Okaylah. Saya pergi kepejabat dulu. Kalau ada apa-apa, cepat-cepat telefon saya.”

“Kamu jangan risaulah Moza. Pak cik yakin abang kamu takkan apa-apa,” jawab Pak Ehsan. Dia tidak mahu Moza terlalu risau akan abangnya.

Moza bangun dari kerusi yang didudukinya. Perlahan dia menghampiri abangnya lalu memeluknya dengan erat. Dawson yang tersentak hanya mendiamkan diri.

“Kau dah kenapa?” tanya Dawson hairan namun Moza hanya tersenyum. Jauh didalam hatinya, dia begitu berat hati untuk keluar dari rumah dan meninggalkan abangnya.

“Saya pergi kerja dulu pak cik. Dawson, bye.”

Dawson hanya mengangguk. Dipandangnya adiknya yang berlalu pergi keluar dari dapur dan menuju ke pintu depan. Pak Ehsan turut bangun dari kerusi dan mula mengemas pinggan yang telah kotor dan membawanya menuju ke singki.

“Lepas ni jangan lupa makan ubat. Nanti sakit kepala lagi,” Pak Ehsan mengingatkan Dawson.

“Erm, pak cik kenal tak tadi tu siapa?”

Pak Ehsan mengerutkan dahinya. Dia mula hairan dan tertanya-tanya dengan pertanyaan Dawson. Moza yang masih berada di perkarangan rumah dipandangnya seketika lalu kembali memandang Dawson yang menunjuk kearah adiknya.

“Itu adik kamu Dawson,” beritahu Pak Ehsan. Dia mula tertanya-tanya dengan pertanyaan Dawson yang baginya terlalu aneh.

“Oh, itu Moza ke? Saya fikir siapa tadi,” jawab Dawson sambil tersengih. 

“Kamu okay ke?”

“Okay, cuma kadangkala tak nampak.”

“Tak nampak? Maksud kamu penglihatan kabur ke?”

“Erm, kadangkala kabur tapi sekejap tu jadi berganda pula. Tak menentu,” beritahu Dawson. Dia mula menggosok matanya namun tetap mengukir senyuman.

“Dahlah. Habiskan makanan kamu tu dan lepas ni rehat dibilik. Jangan fikirkan sangat perkara-perkara yang tak penting,” arah Pak Ehsan dan Dawson hanya menurut. Dia bangun dari kerusi yang didudukinya dan berjalan menuju kearah anak tangga sebelum menaikinya dengan perlahan menuju ke bilik tidurnya.


Moza menghela nafas yang panjang. Entah kenapa hatinya terasa begitu berat untuk meninggalkan abangnya. Dia memandang wajahnya dari cermin belakang keretanya. Dia cuba untuk bertanya pada dirinya sendiri.

Setelah berfikir agak lama, akhirnya Moza menghidupkan enjin keretanya. Dia sudah membuat keputusan untuk bekerja dan menyiapkan kesemua kertas kerjanya yang telah lama terbengkalai sejak seminggu yang lalu.

Keretanya mula dipandu keluar dari perkarangan rumahnya sebelum melunsur laju diatas jalan raya. Radio yang ada didalam kereta segera dihidupkan dan membiarkan suara penyampai radio memenuhi ruang dalam kenderaannya.

Sesekali Moza tersenyum lebar mendengar lawak jenaka yang disampaikan oleh penyampai radio tersebut dan tanpa disangka sebuah lagu nyanyian Anji seorang penyanyi dari Indonesia membuatkan Moza terdiam. Entah kenapa lirik lagu tersebut membuatkan dia tiba-tiba teringat akan Yurina. 

“Astaghfirullahalazim, kenapa pula aku ingatkan dia? Ish,” Moza menggelengkan kepalanya. Dia mencuba untuk membuang bayangan wajah wanita tersebut namun semakin dia mencuba untuk melupakan wajah Yurina semakin menerpa masuk kedalam fikirannya.

Tiba-tiba Moza dikejutkan dengan deringan telefonnya yang berbunyi nyaring dari dalam poket bajunya. Dengan kadar yang segera, dia menyeluk poket bajunya dan mengeluarkan telefon pintarnya. Nama Andy  yang tertera membuatkan Moza melepaskan keluhannya.

“Hello Andy,” jawab Moza. Dia mencuba untuk bersikap seperti biasa pada rakannya itu.

“Kau masuk office tak hari ni?” tanya Andy.

“Ya. Aku dah on the way ni. Kenapa?”

“Baguslah. Ada orang nak jumpa kau ni,” beritahu Andy dan Moza mengerutkan dahinya. Dia mula tertanya-tanya siapakah yang ingin menemuinya tanpa memberitahu terlebih dahulu.

“Siapa?” tanya Moza ingin tahu.

“Entah. Tak pula aku tanya tapi dia datang dengan kawan dia.”

“Lelaki ke? Macamana orangnya?”

“Bukan. Dia perempuan. Orangnya tak tinggi tapi tak juga rendah. Berkulit sawo matang dengan rambut yang dilepaskan paras bahu. Katanya kau ada buat tawaran dengan dia tapi bila aku tanya tawaran apa tak nak pula dia bagitahu,” beritahu Andy lagi.

“Erm, kau beritahu mereka supaya tunggu dalam office. Tak lama lagi aku sampai,” arah Moza.

“Yalah. Nanti aku beritahu mereka,” ujar Andy lalu mematikan panggilan telefonnya. Dia kembali menghampiri kedua wanita tersebut setelah menghela nafas yang panjang.

Moza kembali meletakkan telefon pintarnya kedalam poket bajunya. Dia sudah mula dapat meneka siapakah yang dimaksudkan Andy mengenai dua orang wanita yang datang ke pejabatnya. Senyumannya kembali diukir lebar tanpa dipinta.


Sepuluh minit kemudian, Moza akhirnya sampai di bangunannya miliknya. Kereta Audi miliknya diparking ditempat letak kenderaan sebelum keluar dari kereta dan membawa sebuah beg galas.

Langkah mula diatur masuk kedalam bangunan miliknya. Sebuah butik miliknya yang terletak ditingkat bawah disinggahi seketika sebelum kembali mengorak langkah menuju kearah lif.

“Selamat pagi Encik Moza,” tegur salah seorang pekerja yang bekerja dibutiknya. Moza hanya mengangguk sambil mengukir senyuman lebar. Dia mencuba untuk bersikap seperti biasa dan tidak mahu sesiapapun mengetahui apa yang berlaku dibalik wajahnya itu.

Sebaik masuk kedalam lif, dia segera menekan akan tingkat teratas bangunannya. Dia semakin tidak sabar untuk menemui dua orang tetamunya yang telah menunggunya dari tadi. Dan beberapa saat kemudian, dia akhirnya sampai di tingkat teratas dan kembali melangkah menuju kearah pejabatnya yang terletak di tingkat tersebut.

Pintu pejabatnya yang terbuka luas membuatkan dia tidak sabar untuk menemui tetamunya. Senyumannya semakin lama semakin lebar. 

“Moza!”

Moza segera berhenti melangkah sebaik mendengar namanya dipanggil oleh seseorang. Dan serentak itu juga dia berpaling dan dia dapat melihat rakannya Aryan datang menghampirinya sambil membawa sebuah fail.

“Moza, lama aku tak nampak kau.”

“Aku ambil cuti Aryan. Kenapa? Ada apa-apa yang berlaku?” tanya Moza kembali. Sesekali dia menoleh masuk kedalam pejabatnya dan dia kini dapat melihat Yurina bersama rakannya sedang menunggunya.

“Tak ada apa cuma aku dapat satu berita gembira untuk kau.”

“Berita gembira? Apa tu?”

“Apa kata kau teka? Dan aku yakin kau akan gembira sampai tak dapat tidur malam.”

“I am sorry Aryan tapi buat masa sekarang, aku tak dapat nak main teka teka dengan kau sebab aku ada tetamu didalam yang dari tadi dah menunggu. Aku takut mereka bosan pula,” ujar Moza sambil menunjuk kearah Yurina yang telah menunggunya.

“Oh, aku tak tahu pula kau ada tetamu. Okaylah. Nanti aku beritahu kau apa berita gembira tu. Kau layanlah dulu tetamu kau tu.”

“Erm, kalau boleh aku nak tahu berita gembira tu sekarang. If you dont mind.”

“Okay. Mesti kau kenal dengan Louis Lee kan?”

“Ya. I know him. Kenapa? Dia ajak kenduri kahwin ke?”

“Dia kata dia akan datang masa show kau nanti. Dan dia kata dia nak kau prepare yourself sebab katanya dia nak bagi something special.”

“Kau tak bergurau kan Aryan? Itu Louis tau. Pereka fesyen paling terkenal tu,” Moza bagaikan tidak percaya. Dipandangnya wajah rakannya itu meminta kepastian.

“Well, you know me Moza. Aku bukannya jenis manusia yang suka reka cerita. Lagipun macam yang kau kata, itu Louis Lee. Semua orang menanti-nanti kehadiran dia. Dahlah, aku gerak dulu. Nanti marah pula tetamu kau.”

Aryan menepuk bahu Moza lalu mengorak langkah meninggalkannya. Moza hanya tersenyum namun kembali memanggil rakannya itu.

“Aryan!”

“Yes Moza?” Aryan berhenti melangkah dan berpusing memandang Moza yang tersenyum kearahnya.

“Aku yakin fail tu untuk aku kan?” ujar Moza sambil menunjuk kearah fail yang dipegang Aryan. 

Aryan tersentak. Dia menepuk dahinya lalu kembali menghampiri Moza. Diserahkannya fail tersebut kepada Moza.

“Kau punya pasallah ni. Aku dah hampir lupa pasal fail ni. Lepas periksa, beri balik pada aku tau,” ujar Aryan.

“Aii, aku pula yang salah? Dia yang dah nyanyuk,” ujar Moza pula separuh mengusik. Aryan hanya mencebik.

“Okaylah. Nanti aku hantar pada kau,” sambung Moza. Aryan hanya mengangguk lalu kembali melangkah meninggalkan Moza.

Moza tersenyum lebar. Dia kembali mengorak langkah dan masuk kedalam pejabatnya dimana Yurina telah menunggunya bersama dengan seorang rakan perempuannya.

“Selamat pagi Yurina. Maaflah kalau dah lama menunggu,” ujar Moza sebaik masuk kedalam pejabatnya. Dipandangnya wajah Yurina yang sudah lama tidak ditemuinya. Beg galas yang dibawanya segera diletakkan diatas mejanya.

“Erm, maaflah sebab ganggu,” ujar Yurina dengan suara yang tergagap-gagap. Hawa yang menemani hanya tersengih dan terpaku melihat ketampanan Moza.

“Ganggu apa pula? Oh, ini kawan awak ke?”

“Hai, saya Hawa. Kawan Yurina,” Hawa menghulurkan tangannya untuk bersalam dan Moza segera menyambut membuatkan Hawa semakin tersengih malu.

“Saya Moza Danil. Panggil saya Moza saja,” ujar Moza pula memperkenalkan diri. Hawa hanya mengangguk.

“Oh duduklah.”

Moza menunjuk kearah sofa kulit yang ada dihadapannya. Yurina hanya mengangguk dan duduk. Begitu juga dengana Hawa yang hanya tersengih.

“Hawa, kawallah sikit,” ujar Yurina berbisik sambil menyiku Hawa. Moza hanya mengukirkan senyuman.

“Oh ya, awak datang ke sini naik apa? Siapa beritahu awak kalau ini pejabat saya?” tanya Moza. Seingatnya dia tidak pernah memberitahu Yurina akan pejabatnya itu.

“Erm, sebenarnya saya minta dengan kakak Karyenna. Dia yang beritahu,” jawab Yurina dan Moza serentak mengangguk.

“Karyenna? Macamana dengan keadaan dia sekarang? Saya masih tak ada masa nak lawat dia dihospital. Mesti awak selalu jenguk dia kan? Nanti sampaikan salam saya pada dia.”

“Kak Karyenna makin sembuh tapi dalam seminggu dua ni dia masih tak dapat nak buka kafe katanya.”

“Tak apalah. Lagipun dia memang kena berehat banyak.”

Yurina hanya mengangguk. Lidahnya mula kelu untuk berterus terang akan kedatangannya itu. Hawa yang duduk disebelahnya mula mencuitnya dan memintanya untuk memberitahu akan niatnya itu. Moza yang dari tadi memandang gelagat kedua wanita tersebut mula kehairanan.

“Ada apa-apa yang awak nak beritahu saya ke Yurina?” tanya Moza apabila melihat Yurina dan rakannya yang asyik menolak antara satu sma lain.

“Sebenarnya macam ni Encik Moza, kawan saya ni katanya dah fikir masak-masak mengenai permintaan encik tu,” ujar Hawa. 

“Permintaan? Permintaan yang mana satu tu?” tanya Moza kembali. Dia berpura-pura lupa akan permintaannya pada Yurina sebelum ini.

“Permintaan yang mana satu? Maksud encik apa tu? Saya tak faham dan saya yakin rakan saya ni lagilah tak faham,” ujar Hawa separuh mengusik Yurina.

“Tak ada apa. Selama ini memang saya ada minta rakan awak ni untuk jadi model saya tapi taklah saya memaksa.”

“Saya sebenarnya tak tahu apa-apa pasal model atau bidang ni,” ujar Yurina pula. Dia memandang Moza seketika sebelum kembali menunduk. Entah kenapa dia masih tidak berani untuk bertentang mata dengan lelaki tersebut apatah lagi dengan kehadiran rakannya yang membuatkan dirinya terasa semakin kekok.

“Tak apa kalau tak tahu. Saya boleh ajar. Lagipun show tu lama lagi,” jawab Moza sambil tersenyum lebar. Dia bagaikan dapat meneka akan jawapan Yurina.

“Sebenarnya saya lagi takut kalau saya tanpa sengaja rosakkan pertunjukan tu,” sambung Yurina lagi.

“Dengar sini Yurina. Setiap manusia di dunia ni mesti ada buat salah. Tapi yang paling penting ialah jangan sakitkan hati sesiapa pun dan jangan buat orang sakit hati dengan kita. Saya faham kalau nanti awak tiba-tiba terjatuh semasa sedang memperagakan baju tapi dengan syarat jangan berlari keluar macam budak kecil yang sedang dimarahi ibunya.”

 Yurina menelan air liurnya. Dia bagaikan gerun mendengar kata-kata yang keluar dari mulut lelaki tersebut sementara Moza hanya tersenyum.

“Nak terjatuh akibat pakai kasut tinggi atau tersadung terpijak kain tak ada siapa yang dapat meneka. Itu memang dah jadi kelaziman untuk para model walaupun mereka lebih profesional.”

“Oh, jadi model profesional pun sering macam nilah? Terjatuh sebab kasut terlampau tinggi ataupun terpijak kain?” sampuk Hawa pula. Moza hanya mengangguk.

“Tapi walaupun mereka terjatuh, mereka tak akan sesekali lari keluar dari pentas. Mereka tetap akan bangun dan akan tetap memperagakan baju atau apa-apa yang mereka peragakan walaupun terpaksa menjinjing kasut mereka.”

Yurina memandang Hawa. Entah kenapa dia mula teragak-agak untuk menjadi model lelaki tersebut. Dari cerita yang diberitahu Moza, dia sudah mula terasa gerun dan tidak menyangka begitu   ketatnya peraturan untuk menjadi seorang model yang akan mempergayakan fesyen diatas pentas.

“Maaflah kalau saya nak tanya, tapi Encik Moza ni fesyen bahagian mana? Maksud saya fesyen baju ataupun benda lain?” tanya Hawa pula.

“Saya lebih suka pada pakaian daripada yang lain,” jawab Moza.

“Okay. Macam inilah. Jom ikut saya ke butik ditingkat bawah. Nanti dibawah saya nak awak berdua pilih mana-mana baju yang awak suka,” sambung Moza. Yurina dan Hawa tersentak. Mereka mula saling berpandangan sebelum kembali memandang Moza.

“Jom,” ujar Moza lagi. Dia bangun dari sofa yang didudukinya dan melangkah keluar dari pejabatnya.

“Biar betul Yurina?” Hawa berbisik pada Yurina. Yurina hanya mengangkat bahunya. Mereka mula mengikuti Moza dari belakang menuju kearah lif. Masing-masing dilanda seribu satu persoalan namun hanya mendiamkan diri dan memendamnya didalam hati.



Moza menekan punat yang ada ditepi dinding. Dia kembali melemparkan senyuman kearah Yurina dan rakannya. Yurina kembali membalas senyuman tersebut lalu menunduk. Entah kenapa dia tiba-tiba terasa malu apatah lagi diusik oleh Hawa.

Pintu lif akhirnya terbuka. Moza segera masuk dan diikuti oleh Yurina dan Hawa. Dia kembali menekan punat yang ada didalam lif menuju ke tingkat paling bawah bangunannya.

“Erm, Yurina. Aku sebenarnya terlupa yang aku kena pergi rumah Sarah,” Hawa tiba-tiba teringat akan rakannya. Yurina tersentak dan terkejut.

“Hawa, kau kan dah janji yang kau akan temankan aku. Kau call Sarah, beritahu yang kau tak dapat datang.”

“Alah, aku tak naklah kecewakan dia. Nanti dia merajuk susah pula aku nak pujuk. Kalau kau, senang je,” Hawa tetap menolak. Dia benar-benar tidak dapat terus menemani Yurina. Moza hanya tersenyum.

“Encik, boleh tak kalau saya tinggalkan Yurina dengan encik sebab saya ada hal sebenarnya. Saya baru pula teringat yang saya ada janji dengan kawan yang lain,” Hawa meminta pada Moza.

“Oh, boleh. Awak jangan risau. Saya akan jaga kawan awak ni,” ujar Moza sambil mengangguk. Yurina tetap menggeleng memandang Hawa berharap rakannya itu akan tetap menemaninya.

“Hawa, pleaselah...”

“Maaflah Yurina. Kali ini aku memang tak dapat nak temankan kau. Lagipun kau kenal dengan dia, nak takut apa?”

Moza hanya tersenyum. Entah kenapa dia terasa begitu gembira apabila melihat wajah Yurina yang ada didepannya. Senyumannya tetap terukir diwajahnya malah semakin melebar.

Pintu lif akhirnya terbuka. Mereka akhirnya keluar dan melangkah menuju ke ruang legar yang menghubungkan antara laluan utama ke butik miliknya.

“Aku betul-betul minta maaf Yurina. Aku kena pergi sekarang. Nanti Sarah marah dengan aku. Tapi kau jangan risau, doa aku sentiasa untuk kau.”

“Apa yang kau mengarut ni Hawa?” tanya Yurina namun pertanyaannya tidak dijawab. Dia terpaksa mengalah dan membiarkan Hawa pergi meninggalkannya. Dia dapat melihat Hawa yang melambai pergi kearahnya seolah ingin dirinya berduaan dengan Moza.

“Baik kawan awak tu kan?” ujar Moza. Yurina hanya tersengih memandang Moza yang melemparkan senyuman kearahnya. 

“Jomlah.”

Yurina hanya menurut. Dengan langkah yang perlahan, dia membututi lelaki tersebut dan sesekali memandang kearah Hawa yang pergi meninggalkannya. Dengan perlahan, dia melepaskan keluhannya.

“Inilah butik saya,” ujar Moza sebaik mereka berdua sampai di depan butiknya. 

Yurina terlopong kagum. Dia tidak menyangka lelaki tersebut mempunyai sebuah butik yang cukup cantik dan dipenuhi dengan rekaan pakaiannya yang begitu menarik hati dan berwarna warni. Moza hanya tersenyum melihat wajah polos Yurina yang tergagam melihat butiknya.

“Marilah masuk,” Moza menolak Yurina masuk kedalam butiknya. Yurina yang masih tergagam hanya menurut dan sekali lagi dia terpegun dengan keadaan butik yang begitu cantik dan bersih.

“Cantiknya tempat ni,” puji Yurina. Matanya tetap terpukau melihat pakaian yang begitu berwarna warni dan tergantung rapi apatah lagi dengan beberapa tangkai bunga segar yang turut menghiasi ruang dalaman butik tersebut.

“Terima kasih. Butik saya ni lagi bertambah cantik sebaik awak masuk,” usik Moza. Yurina yang mendengar kembali tertunduk malu. Wajahnya perlahan memerah dengan usikan tersebut.

“Saya gurau saja,” sambung Moza. Dia tetap tersenyum lebar 

“Amy, mari sini sekejap.”

Moza memanggil salah seorang pekerjanya. Amy yang berdiri di meja kaunter segera menghampiri. Dia sempat memandang kearah Yurina yang masih berdiri di depan pintu butiknya.

“Awak ambilkan pakaian yang saya beri dulu,” arah Moza dan pekerjanya itu segera melakukan apa yang dipinta. Dia segera mendapatkan baju yang dikatakan majikannya dan kembali mendapatkan Moza.

“Terima kasih.”

“Encik nak  apa-apa lagi?” tanya Amy. Moza menggeleng dan pekerjanya kembali meninggalkannya. Moza menghampiri Yurina.

“Ini pakaian yang awak akan pakai masa show tu nanti. Itupun kalau awak sudi nak jadi model saya,” ujar Moza. 

Yurina tersentak. Dipandangnya pakaian tersebut dengan mata tidak berkelip. Dia sedikit tergamam melihat betapa cantiknya pakaian tersebut. Pakaian yang berwarna putih ditambah dengan corak bunga membuatkan dia terpegun. Sebuah pakaian yang ringkas dan membuatkan hati wanitanya menjerit menginginkannya.

“Yurina, awak dengar tak apa yang saya cakap?” tegur Moza. Yurina tersentak dan hanya mengangguk.

“Ya, saya dengar. Pakaian ni cantik,” ujar Yurina memuji dan Moza hanya tersenyum.

“Awak fikir apa sebenarnya? Oh, mesti awak terbayang yang awak akan pakai pakaian ni masa majlis kahwin awak kan?”

Yurina tersentak. Dia kehilangan kata-kata. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakannya. Seluruh perasaannya kini bercampur aduk. Mulutnya turut terasa beku untuk menuturkan sepatah pun ayat.

“Apa kata awak cuba dulu?” ujar Moza. Pakaian tersebut segera diberikan kepada Yurina dan sekali lagi dia tergamam.

“Awak nak saya cuba pakaian ni?” Yurina meminta kepastian dan Moza hanya mengangguk. Dia mahu Yurina memakai pakaian tersebut dan dia mahu dirinya menjadi lelaki yang pertama melihat pakaian tersebut dikenakan oleh Yurina.

“Ya. Pergilah. Mari sini beg awak,” Moza segera mencapai beg yang digalas Yurina lalu menolak Yurina perlahan menghampiri bilik persalinan. Yurina terpaksa menurut walaupun jauh didalam hati, dia tidak bersedia untuk mengenakan pakaian tersebut.

Moza duduk disalah sebuah bangku yang tersedia didalam butik tersebut. Dia kembali mengukir senyuman dan mencuba untuk membayangkan betapa cantiknya pakaian tersebut sebaik dikenakan oleh Yurina. Amy dan seorang rakannya mula berbisik antara satu sama lain sebaik melihat majikan mereka yang mula tersenyum sendiri.

“Aku rasa itu teman wanita dialah,” ujar Amy berbisik pada rakannya. 

“Bertuahlah perempuan tu sebab dapat ambil hati majikan kita. Kau tengoklah tu, tersenyum-senyum sendiri.”

“Tapi aku tengok perempuan tu baiklah. Dia jauh berbeza dengan Sandra.”

“Sandra? Maksud kau nenek lampir tu? Huh, memang jauhlah bezanya. Kalau nak aku beri undian, aku lebih suka majikan kita dengan perempuan ni daripada dengan Sandra. Lagipun mulut nenek lampir tu boleh tahan pedasnya,” sambung Amy lagi dan rakannya hanya mengangguk bersetuju.

Moza menarik nafas yang panjang. Fikirannya tetap menerawang jauh. Senyumannya tetap lebar menghiasi wajahnya sehingga tidak sedar akan kehadiran Andy yang menghampirinya.

“Amboi Moza, teringat siapa tu sampai tersenyum sendiri? Teringat dengan bakal isteri ke?” ujar Andy sebaik berdiri didepan Moza.

Moza tersentak. Dia mengangkat kepalanya dan terkejut apabila melihat Andy berdiri didepannya.

“Bila masa kau masuk?” tanya Moza hairan. Andy mendengus kasar. Dia dapat melihat akan pekerja butik yang mula berbisik seolah mengatanya.

“Kau fikir apa sampai aku masuk pun kau tak sedar?” tanya Andy kembali. Matanya mula melilau mencari wanita yang selama ini menunggu dipejabat Moza.

“Mana perempuan tu? Dah balik ke?” tanya Andy lagi.

“Perempuan?”

“Alah, perempuan yang tunggu kau dipejabat tadi.”

“Oh, dia ada didalam bilik persalinan.”

“Dia buat apa sebenarnya?” tanya Andy lagi. Dia mula tertanya-tanya akan kehadiran wanita tersebut.

“Dia akan gantikan Sandra,” beritahu Moza dan serentak dengan itu juga Andy terkejut. Dia benar-benar tidak percaya dengan apa yang dikatakan Moza.

“Gantikan Sandra? Are you kidding me? Dari mana kau dapat dia?”

“No. Aku tak main-main. Dia memang akan gantikan Sandra.”

“Apa maksud kau sebenarnya?”

“Aku rasa kau faham apa yang aku maksudkan. Dia akan gantikan posisi Sandra. Tak kira apa yang berlaku,” jawab Moza. Dia turut bangun dari bangku yang didudukinya dan memandang Andy.

“Tak. Maksud aku, kau dapat dia dari mana? Kau tak boleh ambil mana-mana perempuan untuk ganti posisi Sandra. Ini fashion show Moza bukannya fesyen tepi jalan yang boleh sapu mana-mana perempuan untuk jadi model.”

Moza mendengus. Dia semakin yakin Andy ada merancang sesuatu. Dia dapat melihat rasa tidak puas hati dimata Andy. Dan baru sahaja Moza ingin membuka mulut, Yurina keluar dari dalam bilik persalinan.

Moza berpaling. Dia terkejut melihat Yurina yang telah mengenakan pakaiannya. Yurina menguntum senyuman nipis namun senyumannya kembali hilang sebaik memandang seorang lelaki yang bersama dengan Moza yang sedang memandangnya dengan tajam.

“Awak nampak cantik,” puji Moza.

“Moza, we need to talk now,” ujar Andy. Dia masih tidak berpuas hati. Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa Moza mampu mencari pengganti untuk menggantikan Sandra.

“Yurina, awak tunggu dulu disini. Saya nak bincang sekejap dengan kawan saya,” ujar Moza dan Yurina perlahan mengangguk. Dia mula merasa tidak selesa apabila menyedari dirinya dipandang sebegitu rupa oleh rakan Moza.

“Amy, datang sini dan temankan Yurina,” sambung Moza lagi memanggil pekerjanya. Amy yang mendengar segera menghampiri Yurina.

“Kita bincang diluar,” ujar Moza pada Andy. Andy mendengus dan segera keluar dari dalam butik tersebut. Dia sempat mengerling tajam kearah Yurina.

“Okay. Apa yang kau nak cakap? Kau nak cakap yang kau tak setuju dengan model baru ni?” 

“Moza, aku tahu kau dah terdesak nak cari pengganti Sandra but as you know, kau tak boleh main ambil saja sesiapa untuk gantikan Sandra. We need a profesional model.”

“Kenapa pula aku tak boleh ambil orang biasa? Bagi aku, mereka sama je macam orang biasa,” ujar Moza. Kedua tangannya mula disilang memeluk tubuh memandang Andy yang setingginya.

“Look Moza, kalau kau nak cari pengganti aku boleh tolong carikan. Janganlah kau ambil sembarang. Lagipun fesyen show ni dihadiri oleh ramai orang yang terkenal dalam bidang fesyen.”

“Jadi?”

“Ya. Dan kalau kau nak tahu, Louis akan datang tengok fesyenshow ni jadi takkan kau nak show kau hancur disebabkan perempuan tu. Kau kena fikir panjang Moza,” sambung Andy dan Moza hanya tersenyum.

“Aku tak peduli dengan semua tu Andy. Dan kalau kau nak tahu perempuan tu ada nama dan namanya Yurina.”

“Aku tak peduli nama dia apa Moza. Apa yang aku peduli ialah dia tak boleh gantikan Sandra. We still need a profesional model.”

“No, aku yang buat keputusan  sekarang. Kau setuju atau tidak, itu bukan urusan aku. Dan aku tetap dengan keputusan aku,” Moza tetap tidak mengalah. Dia sama sekali tidak berganjak dan tetap berpegang teguh dengan pendiriannya.

“Dan satu lagi, kau ada rancang sesuatu ke?” sambung Moza dan Andy tersentak.

“Apa maksud kau yang aku rancang sesuatu?” tanya Andy kembali.

“Aku rasa kau faham dengan apa yang aku maksudkan. Sejak balik dari Australia, you are different. Ada apa-apa ke?”

“No, dan asal kau tahu, aku tak rancang apa pun.”

Serentak dengan itu, Andy mendengus kasar. Dia mengorak langkah dan meninggalkan Moza yang masih berdiri didepan butiknya. Moza turut melepaskan keluhannya. Dia semakin yakin Andy sedang merencanakan sesuatu apatah lagi dia begitu membantah keputusannya untuk mengambil Yurina menjadi pengganti model utamanya.

Setelah beberapaika, Moza kembali masuk kedalam butiknya dan menghampiri Yurina yang ditemani dengan pekerjanya.

“Kenapa dengan kawan awak tu?” tanya Yurina sebaik dia berpaling. 

“Siapa? Yang tadi tu? Biasalah kalau orang ada masalah, memang perangai macam tu,” jawab Moza.

“Erm, awak nampak cantik bila pakai pakaian ni,” sambung Moza. Dia mula menukar topik perbualan. Dia tidak mahu Yurina memikirkan siapa lelaki tersebut. Yurina hanya tersenyum.

“Cantik betul teman wanita Encik Moza ni,” sampuk Amy diikuti dengan anggukan rakannya, Melly. Moza dan Yurina tersentak.

“Teman wanita? Saya bukan teman wanita dia,” sangkal Yurina perlahan dan Moza hanya tersenyum geli hati. Dia sama sekali tidak membantah atau mengakui perkara tersebut.

“Cik janganlah nak tipu. Jarang Encik Moza bawa perempuan ke sini tau. Lagipun kami nampak cik dengan Encik Moza nampak sepadan,” ujar Melly pula. 

“Dahlah Melly. Pergilah buat kerja kamu. Kamu berdua ni kalau dah diberi peluang nak bercakap memang takkan berhenti,” potong Moza dan serentak dengan itu kedua pekerjanya mengangguk dan menurut.

“Maaf Yurina. Pekerja saya memang nakal sikit kekadang,” sambung Moza lagi. Yurina hanya tersenyum.

“Okay. Macamana dengan pakaian ni? Awak rasa selesa?” 

“Okay. Saya suka. Lagipun pakaian ni lembut dan rasa ringan,” jawab Yurina.

“Ya. Tapi ini lebih baik kalau awak sudi nak jadi model saya.”

“Erm, sebenarnya saya memang nak tapi dalam masa yang sama saya terfikir yang saya tak tahu apa-apa pasal bidang peragaan ni. Lagipun saya jenis yang pemalu apatah lagi didepan orang ramai,” beritahu Yurina.

“Tak apalah. Itu memang lumrah manusia untuk bersikap malu. Tapi betul ke dengan apa yang saya dengar? Awak sudi nak jadi model saya?” Moza kembali meminta kepastian dan Yurina hanya mengangguk perlahan.

 “Terima kasih Yurina. Nanti naik balik ke pejabat saya, tandatangan kontrak,” sambung Moza.

“Erm, perlu ke sebab saya bukannya nak jadi model selamanya. Saya cuma nak merasa sekali saja dan lepas tu saya cadang nak cari kerja lain.”

“La, saya ingatkan awak memang nak jadi model.”

“Taklah. Saya cuma nak ambil pengalaman saja lagipun saya nak balas balik pertolongan awak sebelum ini.”

“Pertolongan apa?”

“Macam pertama kali awak tolong saya sebab tumpangkan saya pergi kolej, lepas tu hantar saya balik rumah dan tolong saya dengan kak Karyenna.”

“Awak tak payah nak ambil kisah sangatlah tentang hal tu. Lagipun saya ikhlas tak harapkan sedikit balasan pun,” jawab Moza sambil tersenyum.

Yurina turut tersenyum. Dia kembali menunduk memandang pakaian yang dikenakannya. Sesekali dia menyelak rambutnya yang jatuh kedepan.

“Dan disebabkan awak dah bersetuju untuk jadi model sementara saya, saya nak buat sesuatu pada awak. Dan saya harap awak tak kisah,” ujar Moza dan serentak dengan itu Yurina mengangkat kepalanya memandang Moza. Dia mula tertanya-tanya.

“Awak nak buat apa?” tanya Yurina ingin tahu. Dia sudah mula memikirkan sesuatu yang negatif.

“Pakaian awak dah okay tapi ianya akan bertambah cantik kalau rambut awak pun dirapikan. Dan saya rasa awak perlukan make up.”

“Rambut? Make up?” Moza mengangguk. Dia mula menarik tangan Yurina dan memintanya untuk duduk didepan sebuah cermin besar yang ada didalam butik tersebut. Yurina hanya diam. Perasaannya mula bercampur aduk apabila melihat tangannya dipegang oleh lelaki tersebut. Seribu satu rasa mula bermain didalam hatinya.


Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail