Home Novel Cinta Dia, Jodohku Rupanya
Dia, Jodohku Rupanya
Amylieyhaizani
9/3/2014 02:03:54
74,474
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

Bab 11

Yusuff berdiri di balkoni rumahnya. Matanya lama menatap ke dada langit yang kehitaman. Tiada bulan atau bintang menghiasi malam. Namun tiada pula tanda-tanda hujan akan turun.
Yusuff menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan keluhan yang berat. Entah kenapa bayangan Azura menari-nari di matanya. Cuba dia mencapai, namun hilang entah ke mana. Masih Yusuff terbayang ketika zaman kanak-kanak, mereka sentiasa bermain bersama. Bergelak ketawa, berlari ke sana ke mari tanpa memikirkan masalah dunia.

“ Yusuff, kita main masak-masak nak?” soal Azura dengan senyuman manis. Pantas dia menarik Yusuff dan menunjukkan peralatan memasak plastik yang dibelikan oleh papanya. Hendak atau tidak, Yusuff hanya mengikut tanpa banyak bicara.

“ Kakak, tolong ambil mangkuk tu, adik nak letak lauk ni!” Azura bersuara manja. Yusuff yang mendengar mencebik lama.

“ Apa ni Zura! Kita lelaki lah. Mana boleh jadi kakak! Abang bolehlah..” Yusuff mula menarik muka.

“ Ala..kita nak kakak, kakak lah! Kalau abang mana tahu masak-masak!” becok Azura mempertahankan keinginnannya. Matanya terkebil-kebil memandang Yusuff.

“ Malas kita nak main kalau macam ni!” Yusuff berlalu sebelum berpaling apabila mendengar Azura menangis.

“ Awak jahat! Kita cakap dengan papa kita!” Azura berlalu masuk ke rumah untuk mengadu.
Yusuff tersenyum mengingati kenangan lama. Alangkah indahnya andai waktu itu dapat dipusing kembali. Pasti dia akan sentiasa berada di sisi Azura hatta diajak bermain masak-masak atau permainan yang dimainkan oleh kanak-kanak perempuan, Yusuf pasti melakukannya.
Yusuff memandang jam dinding. Jarum jam menunjukkan pukul 11.00 malam. Entah kenapa matanya belum lagi mengantuk. Otaknya pula seakan sakit memikirkan pelbagai persoalan. Dia duduk di atas tilam dan menarik nafas dan melepaskan dengan keluhan yang berat. Pantas dia mengambil telefon untuk menghubungi Azura. Namun tangannya terhenti apabila memikirkan sikap panas baran gadis itu. Setelah penat berfikir, Yusuff hanya mampu menghantar pesanan ringkas sebelum membalikkan diri ke atas katil. Dan terkebil-kebil lagi!

****

Amelia terkebil-kebil memandang Iskandar yang termenung di atas kerusi setelah puas menyakiti tubuhnya. Entah di mana silapnya, Amelia sendiri tidak pasti. Iskandar seolah-olah meragui cintanya walaupun telah berkali-kali Amelia mengatakan cintanya hanya untuk seorang suami. Suaminya yang halal baginya dan bukanlah lelaki ajnabi yang berada di luar sana.
Iskandar menyintainya sepenuh hati. Namun kerana cemburu dan syak wasangka, tubuh Amelia menjadi mangsa. Kadang kala Iskandar menangis persis anak kecil apabila menyedari kezaliman yang dilakukan kepada wanita yang dikasihinya itu.

“ Abang, sampai bila abang nak seksa Lia? Sampai bila abang nak seksa diri abang sendiri? Berapa kali Lia cakap, Lia tiada orang lain selain abang!” Amelia duduk di kaki suaminya yang mula menitiskan air mata.

“ Abang cintakan Lia! Tapi abang tak dapat rasa cinta Lia untuk abang. Silap abang juga beli cinta Lia dengan duit! Lebih baik abang memberinya dengan ikhlas tanpa memaksa hati Lia untuk abang,” getus Iskandar perlahan. Rasa bersalahnya datang bertimpa-timpa kerana memiliki wanita itu sedangkan ketika itu Amelia telah berpunya.
Dia yang kejam kerana terlalu mengikut kata hati. Sudahnya, Amelia menjadi bahan pelepas amarahnya.

“ Perkara yang lepas jangan lagi dikenang bang! Lia dah lupakan semuanya. Dalam hati Lia hanya ada abang sorang,” Amelia seakan merayu.

“ Termasuk lupakan dia?” soal Iskandar tanpa memandang wajah isterinya. Matanya dipejam rapat. Mengenangkan lelaki yang pernah singgah di hati Amelia, Iskandar mula dilanda cemburu. Entah apa yang merasuknya, dia sendiri tidak tahu.

“ Apa abang merepek ni? Dia tu siapa? Kita dah ada Hana bang! Tolonglah..”Amelia tidak dapat menghabiskan kata-katanya apabila soalan Iskandar terlontar sekali lagi.

“ Siapa nama dia?” Iskandar membuka mata. Dia merenung tajam Amelia yang masih berada di hujung kakinya. Amelia menarik nafas berat. Untuk apa nama lelaki itu disebut-sebut.

“ Lupakanlah bang!” tekan Amelia seakan ingin menangis..

“ Aku tanya nama dia siapa??” jerkah Iskandar sambil bangun dan membaling kerusinya ke dinding. Amelia yang duduk bersimpuh, menggigil menahan sakit hati dengan sikap suaminya.

“ Zariff ! Zariff Irfan ! Abang dah puas hati?” jerit Amelia sebelum menghemburkan air matanya yang masih bermain di kelopak mata. Iskandar yang mendengar tersenyum sinis.

“ Jadi betullah kau tak pernah lupakan dia? Betulkan?” Iskandar tiba-tiba menghantukkan kepalanya ke dinding. Amelia yang melihat pantas bangun dan memegang suaminya yang bagaikan kerasukan itu. Iskandar terduduk di situ. Air matanya mengalir deras. Kemudian setitis darah merah mengalir jatuh ke pipinya. Luka di dahinya tidak separah hatinya ketika itu.

“ Lia tak tahu dengan siapa Lia bercinta, tapi yang pasti, abang suami Lia dan cinta Lia hanya untuk abang seorang!” ujar Amelia sambil memapah suaminya ke sofa. Kemudian dia membaringkan suaminya yang mula mendiamkan diri tanpa sebarang suara. Pantas pula Amelia menuju ke dapur mengambil air dan sehelai kain bersih bagi mencuci luka lelaki itu.
Dahi Iskandar dicuci dengan cermat. Risau juga luka itu begitu menyakitkan. Pantas juga dia mengajak Iskandar ke klinik, namun tiada jawapan. Suaminya itu masih mendiamkan diri dan terlena di situ.

****

Amelia mengagahkan diri untuk menghubungi Zyra. Hanya adiknya seorang itu tempat untuk dia mengadu. Dia tidak kuat untuk menceritakan sikap Iskandar kepada orang tuanya. Lelaki itu sering menguji kesabarannya sebagai seorang isteri. Risau juga andai rahsianya terbongkar dan menjadi bahan kemarahan mereka. Pasti semuanya menjadi kecoh!
Pasti juga Zyra akan memarahinya kerana mengorbankan hati dan perasaannya demi melihat Zyra sembuh seperti sedia kala. Tidak, Zyra tidak perlu tahu! Aku ikhlas untuk melihat Zyra gembira. Aku tidak sanggup kehilangannya walaupun cinta aku untuk Zariff satu ketika dulu. Amelia menarik nafas. Pantas dia mencari nama Zyra dan menunggu dengan sabar.

“ Assalamualaikum…” Amelia memberi salam apabila panggilannya bersambut.

“ Waalaikummussalam..kak Lia tak tidur lagi? Hana mana?” soal Zyra ceria.

“ Akak belum tidur..Hana dah lama lena. Zyra buat apa tu?”

“ Erm..ingat nak tidur dah! Kak Lia, Zyra kena kerja kat Petaling Jaya lah! Tak tahulah macam mana nanti!” sempat Zyra mengadu. Wajah Amelia terbayang. Entah apa mimpi kakaknya menghubunginya malam-malam seperti itu.

“ Tukar kat sana? Kerja kerani lagi ke?” soal Amelia memberi tumpuan dengan kata-kata Zyra.

“ Cik Azura tu lantik Zyra jadi PA dia. Tapi tak tahulah! Kak Lia kenapa tak tidur lagi?” Zyra mengubah tajuk cerita. Amelia menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya dengan keluhan yang berat.

“ Abang Is buat perangai lagi. Akak tak tahu kenapa dia masih ragu-ragu dengan akak. Akak dan dia dah ada Hana dan abang Is sepatutnya tahu, akak tak pernah ingatkan lelaki lain! Entah apa masalah, akak tak fahamlah Zyra!” Amelia berterus terang. Air matanya jatuh juga ke pipi. Entah kenapa manik jernih itu begitu setia bersamanya.

“ Agaknya abang Is tu ada sakit meroyan! Apa jenis lelaki tak tahu. Kak Lia, kak Lia janganlah bagi muka lagi pada abang Is. Jangan biar dia buat kak Lia sesuka hati. Tak bau syurga abang Is tu nanti! Kak Lia nak abang Is masuk neraka?” soal Zyra marah. Penat dia menasihati kakaknya yang satu itu.

“ Zyra janganlah cakap macam tu. Sedih akak!” Amelia menangis teresak-esak. Zyra yang mendengar terasa bersalah.

“ Kak Lia..sorry! Zyra tak niat nak sakit kan hati kak Lia. Zyra tak boleh tengok kak Lia terus macam ni. Macam ni lah, kak Lia tidur dulu, nanti ada masa kita bincang. Jangan fikir lagi. Okey!” Zyra pula memujuk. Amelia hanya menganggukkan kepalanya sebelum memberi salam dan mengucapkan selamat malam kepada adik kembarnya itu.
Zyra pula hanya mampu mengucap di dalam hati di atas ketelanjuran bicaranya kepada kakak kesayangannya. Syurga dan neraka, Allah yang tentukan. Namun, jika si isteri di dera mental dan fizikal, pasti kah terbuka pintu-pintu syurga? Tertutupkah pintu-pintu neraka andai seorang suami yang dianggap pemimpin menjadikan seorang wanita yang lemah sasaran sepak terajangnya? Ya Rabbi, ampunkanlah dosa-dosa kami
Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.