Home Novel Cinta Dia, Jodohku Rupanya
Dia, Jodohku Rupanya
Amylieyhaizani
9/3/2014 02:03:54
74,476
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Bab 8

Suasana pagi di hari minggu cukup nyaman sekali. Zyra yang bangun seawal 6.30 pagi untuk menunaikan solat subuh menyanyi kecil di dapur sambil menggoreng nasi goreng kampung yang cukup digemarinya. Mila yang terpisat-pisat bangun pada jam 7.00 pagi sempat mengambil bau nasi goreng yang hampir siap.

“ Kau apahal rajin semacam je ni Zyra? Siap menyanyi lagi pagi-pagi buta ni!” Mila melabuh punggung di atas kerusi sambil menguap kecil. Dia meletakkan kepalanya di atas meja bagi melayan matanya yang masih mengantuk.

“ Banyaklah kau pagi buta! Tu ha kat luar. Matahari dah nak terpancak atas kepala,” Zyra menunding jarinya ke luar tingkap tanpa dilihat oleh Mila yang hampir terlena sekali lagi.
Zyra mengelengkan kepalanya dan memasukkan nasi goreng yang telah siap ke dalam bekas kaca berbentuk hati setelah menutup api dapur. Kemudian dia meletakkan nasi tersebut di atas meja dan menepuk Mila dengan kuat.

“ Aku ngantuk lagilah Zyra,” Mila mengangkat kepalanya.

“ Kau dah solat subuh ke cik kak? Kalau belum, dipersilakan sekarang. Aku lapar ni!” ujar Zyra sambil menggosok perutnya yang masih kosong.

“ Yalah! Kau nak makan tunggu aku. Jangan makan dulu k!” Mila bangun untuk mengambil wuduk di bilik air dan masuk ke biliknya untuk menunaikan solat subuh yang agak terlewat. Sementara itu, Zyra di dapur sibuk pula membacuh air teh o panas untuk hidangan mereka pagi itu.

****

Siap menunaikan solat subuh, Mila bergegas ke dapur untuk mengisi perutnya yang berlagu dari tadi. Apa tidaknya, nasi goreng kampung yang dimasak oleh Zyra hampir sama seperti masakan neneknya yang berada di kampung. Hampir sama! Bukan dia mereka cerita.
Zyra yang menongkat dagu di atas meja pantas mencedok nasi goreng dan meletakkan di dalam pinggan masing-masing. Kemudian Mila pula menuang air teh o panas ke dalam cawan yang telah tersedia di atas meja.

“ Kalau hari-hari kau masak macam ni kan best Zyra! Tak adalah pagi-pagi kita membungkus nasi lemak Mak cik Munah tepi jalan tu. Lagipun, kau masak sedap apa!” Mila bersuara sambil menikmati keenakan makan pagi mereka. Dia juga ikhlas memuji.
Zyra bangun mengambil sos cili di dalam peti dan menuangkannya sedikit di dalam pinggannya. Mila pantas meminta sedikit untuk menambah perasa nasi goreng tersebut.

“ Bukan aku malas masak! Kau pun tahukan, pagi-pagi aku dah kena keluar. Kalau kau tak hantar, terpaksalah aku naik bas. Kalau aku masak, pukul berapalah aku nak masuk kerja. Silap haribulan, aku pulak dipukul cik Azura. Tak ke nayer tu!” panjang lebar Zyra memberi jawapan. Mila yang mendengar tersengih lebar.

“ Kalau kau kena pukul, kita jumpalah Mr Gitaris tu. Nanti dia bawaklah ubat untuk kau!” usik Mila tiba-tiba.

“ Banyaklah kau! Dah makan cepat! Lepas ni nak berkemas, pastu, petang ni nak pergi ke rumah kak Lia!” Zyra tidak suka diuji begitu. Hatinya akan berdebar apabila nama lelaki itu disebut-sebut.

“ Rumah kak Lia? Bila?” Mila membuat muka terkejutnya seperti biasa. Malas Zyra melayan model lawak yang tidak bergaji itu. Asyik terkejut beruk saja! Silap haribulan keras seluruh badan. Langsung Datin Umaira tak pandang! Getus Zyra sendiri.

“ Kau jangan nak buat terkejut macam beruk dapat daging ayam! Hari tu kau juga yang janji dengan kak Lia kan? Tak apa kak Lia, abang Iskandar ada atau tidak, kami tetap datang rumah Lia! Kau tak ingat?” Zyra mengajuk percakapan Mila minggu lepas. Mila yang melihat, tergelak besar. Kelakar melihat mimik muka Zyra yang mengajuknya. So sweet!
Zyra makan dengan berselera sekali. Begitu juga Mila yang mula mendiamkan diri. Dia asyik menghayati keenakan nasi goreng itu. Setelah selesai, Zyra meninggalkan pinggannya kepada Mila yang terkebil-kebil melihat tindak tanduk temannya.

“ Giliran kau basuh ya sayang manis!” Zyra bersuara sebelum berlalu ke ruang depan. Mila mencebik tidak berpuas hati. Pantas dia meneguk air yang mula suam di hadapan mata. Kemudian dia turut bangun untuk mencuci beberapa biji pinggan yang berada di dalam singki. Sempat lagi dia menyanyi kecil sebelum dipanggil Zyra untuk membantunya mengemas rumah yang sedikit berselerak. Pantas Mila menyiapakan kerjanya dan terkebil-kebil apabila Zyra menghulurkan penyapu kepadanya dengan riak muka tidak bersalah. Aku lagi?

****

“Asyik aku je yang kena mop! Muka aku ni dah macam batang mop ni dah!” Mila membebel sambil menolak batang mop itu ke hadapan, belakang, kiri dan kanan. Kemudian dia duduk di atas sofa menyapu peluh di mukanya yang mula membasahi muka.
Zyra yang menyusun majalah dan novel di rak tersengih mendengar kata-kata Mila. Bukan dia tidak tahu gadis itu bukan suka sangat membuat kerja-kerja rumah. Hilang kelembutan tangannya nanti kata Mila. Lagi pun, model sepertinya hanya suka mengadap cermin berjam-jam sambil merias wajah dan mencantikkan kuku. Kadangkala dia mengubah rambutnya yang lurus menjadi kerinting seperti maggi. Sudah berbagai jenis bentuk rambutnya itu diubah gayanya. Kata Mila barulah glamour dan ada standard!

“ Kau kan model Mila!” Zyra menyusun pula barang-barang yang berada di atas tv.

“ Dah tu kenapa kalau aku model?” balas Mila bangun semula memegang batang mop.

“ Nanti kau boleh jadi model mop lantai! Pasti laris di pasaran,” Zyra tergelak pula. Mila menarik muka dengan gurauan Zyra yang tidak sedap didengar oleh telinganya.
Selesai membersihkan ruang dalam rumah, Mila dan Zyra membersih pula halaman luar. Pokok bunga yang mekar di halaman rumah disiram dan dibuang beberapa helai daunnya yang mulai layu. Lalang-lalang yang tinggi meninggi juga dipotong dengan menggunakan gunting. Mudah dan ringkas! Bisik Zyra sendiri sambil tersenyum.

“ Dah siap!’’ jerit Mila kegembiraan sambil duduk di atas kerusi. Dia mengeliat ke kiri dan ke kanan untuk membetulkan uratnya. Dia menyapu peluhnya dan tersenyum puas.

“ Kalau macam ni hari-hari bagus juga Mila! Keluar peluh. Yang penting, badan kau akan lebih langsing dari kerengga,” Zyra menarik hidung mancung Mila dengan kuat. Pantas Mila menepis dan menjerit kuat. Zyra hanya tergelak kecil dan berlalu masuk ke dalam rumah.

“ Lepas mandi, kita pergi rumah kak Lia ya!” laung Zyra dari dalam. Dia pantas masuk ke bilik air untuk menghilangkan rasa melekit di badannya. Mila yang mendengar hanya menganggukkan kepala sebelum turut melangkah masuk ke dalam rumah.
Sementara menunggu Zyra mandi, Mila membaringkan dirinya di atas kerusi bagi menghilangkan rasa penatnya. Kemudian matanya terkebil-kebil memandang kipas yang berputar ligat di atas kepala sebelum melelapkan mata buat seketika.

****

Selepas siap membersihkan diri, Zyra mengejutkan Mila yang terlena. Pantas gadis itu ke bilik air untuk mandi. Setelah siap meriaskan diri, mereka beriringan menuju ke kereta.
Dalam perjalanan, sempat mereka singgah di birai jalan untuk membeli teddy bear buat Hana dan sedikit buah tangan. Kemudian kereta terus meluncur laju menuju ke rumah kakak Zyra, Amelia yang berada di Damansara tanpa melencong ke tempat lain lagi.
Sampai di banglo mewah dua tingkat itu, pantas mereka memakirkan kereta. Kelihatan Amelia rancak melayan keletah Hana yang cuba berdiri dan jatuh semula di muka pintu. Iskandar? Kereta lelaki itu jugatidak menampakkan bayang. Bermakna, abang ipar Zyra pasti tiada di rumah.

“ Kenapa tak telefon nak datang? Boleh kak Lia masak istimewa sikit untuk tengahari,” Amelia menghulurkan tangan bersalaman dengan Zyra dan Mila. Wajah mereka yang dirias dengan mekap menarik hati perempuannya.

“ Tak payahlah kak Lia. Kami dah makan nasi goreng pagi tadi! Dah kenyang pun,” Zyra menjawab sambil menghulurkan teddy bear kepada Hana yang dikeluarkan dari kereta sebentar tadi. Tampak mata Hana bersinar gembira sambil mengatakan sesuatu. Entah apa yang anak kecil itu bercakap, Zyra pun tidak faham. Mila turut menghulurkan plastic buah kepada Amelia yang menjemput mereka masuk ke dalam.

“ Abang Is mana kak Lia?” soal Zyra sambil duduk di atas sofa. Mila yang melihat majalah wanita di atas meja berhias pantas mengambilnya. Amelia hanya tersenyum mendengar soalan adiknya.

“ Duduk dulu! Akak buat air ok!” ujar Amelia sambil menuju ke dapur. Zyra pantas mendukung Hana dan turut serta mengikuti langkah Amelia. Dapur rumah yang tersusun rapi tampak bersih dan selesa. Pandai kak Lia menyusun atur barang dapur! Tu pun abang Is tak bersyukur!
Amelia pantas mengeluarkan air botol mirinda dan menuangkannya di dalam jag air. Kemudian beberapa kiub ais diambil dari dalam peti dan mencampurkan dengan air tersebut. Sebelum mengangkat dulang untuk keluar, Amelia memandang adik kembarnya dengan mata yang berkaca.

“ Apa lagi yang abang Is buat pada kak Lia?” Zyra cuba menyelami perasaan wanita itu. Air mata kakaknya jatuh ke pipi.

“ Abang Is kata, akak isteri curang!” Amelia mengetap bibir. Dia tahu silapnya kerana menyimpan surat dari bekas kekasihnya. Itu pun tanpa disedarinya. Surat itu terselit di dalam majalah yang dibeli ketika dia belum bergelar isteri orang. Entah macam mana pula, surat itu boleh tersesat di situ.

“ Curang? Kak Lia ada keluar dengan lelaki lain ke?” Zyra pula kehairanan.

“ Dia terjumpa surat lama yang diberikan oleh bekas kekasih kak Lia sebelum berkahwin dengan abang Is,” Amelia berterus-terang. Zyra mengerutkan dahinya. Sesekali dia menepuk lembut belakang Hana yang merengek kecil.

“ Kak Lia kata, hanya abang Is kekasih kak Lia. Setahu Zyra, kak Lia bercinta dengan abang Is dan kahwin! Siapa pula yang hadir sebelum abang Is?” Zyra pula curiga dengan kakak kembarnya.

“ Itu dah lama. Cinta monyet!” gelak Amelia seolah-olah menyembunyikan sesuatu.

“ Kak Lia ada kenal mamat Gitaris tak?” soal Zyra tiba-tiba. Entah kenapa ke situ pula soalannya. Tiba-tiba dia teringatkan Zariff Irfan. Adakah Amelia bekas kekasih Zariff Irfan? Tak mungkin! Zyra mengelengkan kepalanya.

“ Mamat Gitaris? Mengarutlah Zyra ni! Mana kak Lia kenal lelaki macam tu! Kenapa Zyra Tanya?” Amelia pula yang keliru.

“ Tak ada apalah! Jom kita ke depan!” ujar Zyra mematikan ingatannya terhadap Zariff. Mila yang asyik membaca buku melempar senyum.

“ Sorry aku tak tolong! Nak baca buku ni,” Mila tersipu-sipu pula.

“ Tak ada apalah. Air bujang je,” Amelia pula serba salah.

“ Malam ni kita makan kat luar! Mila belanja!” Zyra tiba-tiba mengubah tajuk. Mila yang mula-mula menjeling tersenyum akhirnya. Amelia hanya menganggukkan kepalanya. Terasa ingin dia melalui saat-saat bahagia ketika bujang dahulu. Pasti seronok! Fikirnya.

“ Kalau macam tu, Mila belanja steamboat dekat Sungai Buluh! Memang best!” Mila pula beria-ria.

“ Dah lama aku dengar kau kata nak belanja steamboat! Sampai ke hari ni, tak belanja-belanja pun!” Zyra mencebik tidak berpuas hati.

“ Erm..nanti akak tanya abang Is. Mungkin dia bagi akak keluar,” Amelia sedikit runsing memikirkan Iskandar. Wajah Iskandar yang dulu murah dengan senyuman kini hilang entah ke mana setelah cintanya diterima dengan mengorbankan hati dan perasaan orang lain.
Teringat Amelia ketika menerima Iskandar satu ketika dulu. Iskandar menabur cinta dengan menjanjikan duit untuk pembedahan Zyra. Katanya, Zyra akan selamat jika dia berkorban cinta dan menerimanya seikhlas hati. Saat itu, Amelia benar-benar buntu apa lagi orang tuanya juga tiada wang pembedahan yang diminta beranggaran RM 25,000. Manakala Zyra pula terlantar tenat di hospital membuatkan dia gelisah dan tidak senang duduk.
Teringat Amelia kepada Zariff Irfan yang ditinggal tanpa alasan yang kukuh. Pasti Zariff menyumpahnya sebagai perempuan matrealistik atau gilakan harta kerana mengejar kemewahan duniawi! Pasti juga lelaki itu membencinya begitu banyak sehingga kini.
Kepada Zyra atau orang tuanya, tidak diceritakan lelaki bernama Zariff. Belum tiba masa katanya. Namun apabila dia bersedia untuk mengatakan Zariff pilihan hatinya, Zyra pula diuji dengan penyakit barah dan Iskandar menjadi pilihannya.

“ Kak Lia!” Zyra menyedarkan Amelia yang melamun panjang. Dia mengucap di dalam hati kerana terbawa dengan kenangan lalu. Maafkan Mily, Zariff!

“ Dahlah baca buku tu Mila. Jom minum!” Amelia bersuara galak walaupun di hatinya penuh dengan sembilu. Zyra dan Mila pantas menuang air ke dalam gelas dan menikmati air tersebut. Sesekali mereka bercerita sehingga ketawa meletus kuat. Dan Amelia benar-benar merasa gembira!

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.