Home Novel Cinta Dia, Jodohku Rupanya
Dia, Jodohku Rupanya
Amylieyhaizani
9/3/2014 02:03:54
74,440
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

Bab 12

Entah gembira atau sebaliknya, Zyra sendiri tidak pasti. Sampai di Syarikat Jaya Idaman, Zyra terpingga-pingga saat memasuki bangunan besar itu untuk pergi ke pejabat Azura. Besarnya mungkin lebih dari sepuluh ganda biliknya berbanding AZURA;S FAMILY di jalan Ipoh. Stafnya yang ramai juga membuatkan Zyra terasa sedikit kecut perut.
Bayangkan dia dilantik menjadi Setiausaha kepada Azura sedangkan dia adalah orang baru dalam syarikat tersebut. Apa yang merunsingkannya, staf-staf Jaya Idaman tampaknya lebih berpengalaman daripadanya.

“ Zyra, his..seganlah aku! Kau tengok, diorang tu semuanya high kelas! Dengan pakaian diorang! Aduh..kalau macam ni, jatuhlah saham aku!” Linda sempat lagi berbisik sebelum duduk di tempatnya. Nadia dan Amy yang melihat hanya melempar senyuman. Wajah mereka tidak menunjukkan riak kurang senang walaupun berada di tempat baru. Sedangkan hatinya pula yang berantakan.Gelisah!

“ Zyra, masuk bilik saya sekejap!” Azura yang entah bila menapak di situ, tidak Zyra sedari. Pantas dia bangun dan melemparkan senyuman kepada mata-mata yang memandang kepadanya. Ada yang tersenyum sinis seolah-olah mengejek-ngejek akan kebolehannya. Entahlah!
Saat melabuh punggung di atas kerusi setelah dipelawa duduk, Azura memandang lama kepada Zyra. Wajahnya yang sentiasa serius melenyapkan kecantikannya yang sedia ada.

“ Saya harap awak dapatkan jalankan tanggungjawab sebagai PA saya. Saya tak nak awak jadi macam Adilla. Tiada semangat dalam bekerja. Bila ditegur, macam nilah jadinya, letak jawatan! Dalam bekerja, dugaan dan cabaran itu amat pentinguntuk memajukan kita ke hadapan bukan mundur ke belakang!” Panjang lebar Azura memberi ceramah. Apa yang pasti, Adilla yang menjadi mangsa cemuhan. Mungkinkah Azura terlalu berkeras dengan Adilla sehingga tidak sanggup bersabar lagi?

“ Saya faham cik Azura. Cuma sebagai orang baru, saya minta tunjuk ajar agar dapat saya jalankan tanggungjawab sebaik mungkin. Lagipun, saya rasa ada yang lebih layak daripada saya pegang jawatan ni,” Zyra berterus-terang. Wajah Azura dipandang dengan harapan. Hanya senyuman sinis yang dilemparkan kepadanya.

“ Awak tak yakin? Belajar tinggi-tinggi tapi seperti orang yang tiada pelajaran! Sekurang-kurangnya awak tahu matlamat awak belajar sampai masuk U, bukan merendah diri macam ni! Dah, sekarang saya nak awak panggilkan Zariff masuk ke sini,” arah Azura tanpa memikirkan perasaan Zyra.

“ Siapa cik Azura?” Zyra seakan terperanjat. Mungkin dia terlalu memikirkan lelaki itu. Mungkin Azura menyuruhnya memanggil Zaril atau juga Aril!

“ Zariff ! Zariff Irfan! Tulah awak, asyik berkhayal je!” Azura bersuara keras. Zyra yang terkebil-kebil melangkah keluar. Zariff Irfan mungkin nama yang sama dengan mamat Gitaris tu, mungkin berbeza sikap dan tingkahlaku! Zyra melangkah dengan pelbagai persoalan.
Zyra memandang seorang demi seorang. Namun wajahnya beriak hampa kerana lelaki yang dikenalinya itu tiada di situ. Sahlah! Zariff Irfan tu orang lain!

“ Linda, kau kenal tak Zariff Irfan?” soal Zyra kepada Linda yang asyik membuat kerjanya. Pantas Linda mengelengkan kepalanya. Zyra menjenguk seorang gadis yang lebih tua darinya di sebelah Linda.

“ Erm..kak, yang mana satu Zariff Irfan?” soal Zyra dengan senyuman.

“ Panggil je akak, kak Mona. Tu, yang berada di meja hujung tu!” Kak Mona menunding jari telunjuknya ke arah meja yang berada jauh daripada orang lain. Mungkin inginkan privacy! Pantas Zyra berlalu menuju ke meja yang ditunjukkan. Lelaki itu sedang menunduk mencari sesuatu di bawah mejanya. Pantas Zyra mengentuk meja dengan jarinya.
Lelaki itu bangun apabila terasa diganggu. Matanya tiba-tiba membutang luas apabila melihat Zyra di hadapan matanya. Wajahnya yang tenang berubah riak. Ada kebencian yang terserlah di mata lelakinya.

“ Apahal awak ni! Sampai kat sini awak nak ganggu saya!” sola Zariff kasar. Beberapa mata yang memandang tidak dia pedulikan. Melampau betul! Sampai aku kerja kat sini pun, masih nak kacau!

“ Eh saudara, saya pun kerja kat sini! Manalah saya tahu Zariff Irfan yang cik Azura suruh panggil tu adalah awak! Awak kalau tak nak diganggu, duduk je kat rumah! Goyang kaki!” bidas Zyra pantas. Panas hatinya dengan lelaki yang tidak dikenalinya itu. Agaknya waktu kecil makan sarang lebah tak tahu!

“ Buat apa dia panggil aku?” soal Zariff tanpa mempedulikan kemarahan Zyra.

“ Agaknya dia nak suruh awak menyanyi kut! Tak pun main gitar, bagi dia hilang mood panas!” Zyra menjawab sambil berlalu. Zariff yang mendengar merasa tersindir. Sakit hatinya bukan sedikit. Sudahlah dia dilupakan dengan begitu mudah, sekarang berani pula menghina dirinya. Apa yang menghairankannya, bagaimana gadis itu turut berada di situ? Apakah ianya suratan atau ketentuan Tuhan? Mungkin juga gadis itu mengekorinya? Mungkin!
Zyra yang melabuhkan punggungnya di tempat duduk menjeling kepada Zariff yang melangkah masuk ke dalam bilik Azura. Sebenarnya dia masih terkejut dengan penampilan Zariff yang berbeza ketika pertama kali dia berjumpa lelaki itu di Pasar Seni. Seraut wajah lelaki itu kini kelihatan segak dan tampan. Apa yang penting, lelaki itu juga sudah pandai menguruskan diri. Mungkin perubahan kerjaya yang menjadikan lelaki itu tampak lebih berkeyakinan dan berkarisma! Fikir Zyra lagi sambil memulakan kerjanya yang berlambak di atas meja.

****

Melihat bilik Azura yang begitu kemas dan rapi, Zariff dapat merasakan gadis itu seorang yang cukup menjaga penampilan dari semua sudut. Cuma sikap memaksa Azura yang akan merosakkan peribadinya sendiri. Gadis itu mungkin sudah terbiasa memberi arahan! Getus Zariff sendiri.

“ Sila duduk Zariff..” Azura melempar senyuman manis walaupun lelaki di hadapannya menarik muka empat belas. Dengan malas Zariff menarik kerusi dan duduk.

“ Kerja okey?” soal Azura lembut. Matanya masih menatap wajah tampan di hadapannya. Entah kenapa berdepan dengan Zariff membuatkan dia berubah sikap. Hilang barannya serta merta. Entahlah hati!

“ Berapa kali saya nak cakap kerja saya okey! Selagi tak ada orang ganggu saya, semunya dalam keadaan baik cik Azura!” jawab Zariff acuh tak acuh. Malas dia melayan Azura yang terlalu mengambil berat dirinya atau mungkin juga hatinya.

“ Kalau macam tu baguslah. Kalau awak tak faham apa-apa, awak boleh tanya staf yang lain. Boleh juga tanya Zyra selaku PA saya.” Azura masih ingin berbicara dengan Zariff. Namun melihat wajah lelaki itu yang masih mencuka, dia terpaksa membatalkan hasratnya.

“ Zyra yang mana? Saya bukannya kenal pekerja kat luar tu! Hampir lima belas orang. Tak terlayan saya!” Zariff memberi alasan. Azura tersenyum hambar. Ada lagi manusia yang keras hati berbanding dirinya.

“ Yang panggil awak jumpa saya tadi!”

“ Ooo..tu Zyra? Bukan Mily?” soal Zariff pantas.

“ Siapa?” Azura kurang jelas. Senyuman sinis Zariff menyakitkan hatinya.

“ Abaikan! Saya keluar dulu!” ujar Zariff sambil berlalu meninggalkan Azura yang masih terpingga-pingga. Di dalam hatinya terbit pelbagai persoalan. Siapa Zyra sebenarnya? Adakah dia Mily? Atau pelanduk dua serupa? Ah! Apa-apa pun, aku tidak suka! Getus Zariff sambil melabuhkan punggung di tempat duduknya. Sesekali dia mencuri pandang wajah Zyra yang asyik menyiapkan kerjanya. Sudahnya, Zariff hanya mampu menarik nafas yang dan melepaskannya dengan keluhan yang berat.

****

Waktu makan di Kafe, Zyra termanggu seorang diri. Matanya terkebil-kebil melihat orang ramai di Kafe itu. Sekejap tadi dia mengajak Linda untuk makan bersamanya. Tidak lupa juga Nadia dan Amy. Namun entah kenapa mereka beria-ria menolak untuk keluar lunch bersamanya. Sudahnya, hanya dia yang berada di meja itu tanpa berteman.

“ Hai sorang je?” soal lelaki yang tidak dikenali Zyra. Nampak gayanya lelaki itu juga bekerja di bangunan itu.

“ Erm..nampaknya macam tulah! Awak nak join?” soal Zyra entah kenapa. Mungkin dia berasa segan apabila semua yang berada di situ mempunyai teman.

“ Boleh juga!” jawabnya ramah sambil melabuhkan punggung di atas kerusi. Segelas Fresh orange diletakkan di atas meja.

“ Saya Yusuff! Bekerja di syarikat Damai Suria. Awak?” soal lelaki itu tanpa segan silu.

“ Erm..saya Zyra! Kerja di Jaya Idaman. Awak kenal cik Azura? Dialah bos saya!” Zyra berterus terang.

“ Oh ye ke? Saya memang kenal dengan Azura tu! Kawan baik dari kecil. Awak okey ke berurusan dengan dia?” soal Yusuff sambil menyedut Fresh orange di hadapannya. Zyra yang menikmati nasi gorengnya sedikit tersedak. Kenapa urusan kerja dengan Azura yang ditanya pula.

“ Erm..okey! Dia seorang majikan yang baik. Malah susah nak jumpa wanita yang berkeyakinan seperti cik Azura tu! Kata orang, dalam seribu sukar nak cari walaupun satu permata yang asli!” Zyra melalut entah ke mana. ikhlas atau tidak dia memuji.
Yusuff tergelak kecil mendengar kata-kata Zyra. Seakan dia bermimpi mendengar pujian gadis di hadapannya. Manakan tidak, seumur hidupnya itulah kali pertama orang memuji Azura dengan begitu yakin.

“ Awak yakin dengan jawapan awak?” soal Yusuff seolah-olah memberi soalan dalam kuiz pula. Zyra tersengih lama. Kelakar juga lelaki di hadapannya. Teruja pulak tu! Agaknya ada hati dengan Azura!

“ Tak adalah yakin sangat! Tapi jika difikirkan, seorang wanita yang memegang jawatan penting dalam syarikat, bukankah itu menunjukkan kemampuannya yang sebenar. Berapa ramai perempuan yang takut untuk memegang jawatan pengurus dalam sebuah syarikat dengan alasan tidak mampu! Saya sendiri, saya tidak yakin untuk mengendalikan bisnes besar seperti ini!” jawab Zyra dengan tegas. Yusuff hanya tersenyum dan menganggukkan kepala.

“ Pada pendapat awak, cik Azura tu orangnya macam mana?” Zyra pula menyoal Yusuff. Mana tahu ada kebaikan gadis itu yang dia dan orang lain tidak nampak! Mana tahu!

“ Pada pendapat sayalah kan, Azura tu bagus orangnya walaupun sebenarnya dia memang panas baran. Dia tidak suka mengalah dengan dugaan atau cabaran. Dia tidak takut dengan gertakan orang. Tengok, Dato’ Azman minta dia kendalikan syarikat besar ni, dia sanggup walaupun pada mulanya dia tidak yakin. Kalau awak, awak sanggup?” soal Yusuff setelah puas memuji gadis yang dipujanya. Zyra mendiamkan diri buat sementara waktu. Dia bukan Azura anak orang kaya yang dikelilingi kemewahan dan bukannya anak gadis yang terbiasa dengan bisnes ataupun kegagalan dalam perniagaan. Namun, Zyra akui, dia cukup kuat ketika menghadapi penyakit barah yang dialaminya.
Zyra redha dan tidak pernah menyalahkan takdir sekalipun. Jauh pula untuk dia menyalahkan orang sekelilingnya dengan herdikan dan maki hamun.Walaupun kedua orang tuanya tidak mampu menyediakan wang pembedahan, Zyra tidak sesekali menyalahkan mereka. Bukankah itu juga kekuatan dalam menghadapi ujian Illahi? Sanggup? Zyra pasti sanggup jika peranan sebagai majikan itu tergalas di bahunya. Tidak mungkin dia menolak! Namun siapalh dia untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Azura? Zyra tersenyum melihat Yusuff yang masih menunggu jawapannya.

“ Saya tidak seberani cik Azura, tapi insya’Allah..saya mampu melakukannya!” Zyra menjawab dengan ikhlas. Yusuff tersenyum dengan semangat yang ditunjukkan oleh gadis di hadapannya. Dia menghabiskan air yang diminumnya dan beriringan dengan Zyra setelah waktu rehat hampir tamat. Tiba-tiba dia tersenyum mengingati pujian Zyra kepada Azura. Dalam barannya, ada baiknya! Getus Yusuff sendiri.

****

Habis waktu pejabat, Zyra pantas bangun dan tergesa-gesa untuk keluar. Panggilan daripada Mila sebentar tadi membuatkan dia tidak sabar untuk berjumpa temannya itu. Tanpa disengajakan, Zyra terlanggar seseorang yang turut melangkah untuk keluar dari pejabat.

“ Buta ke?” soalnya kepada Zyra. Pantas Zyra memandang lelaki yang berada di sebelahnya. Panas hatinya melihat Zariff yang menjeling tajam. Dulu sekali dia dipanggil buta. Sekarang sekali lagi. Berapa kali lelaki itu hendak menyumpahnya sedemikian rupa.

“ Hari tu masa awak langgar saya, awak kata saya buta! Hari ni awak cakap sekali lagi! Awak ke atau saya yang buta ni? Waktu awak bawak motor tu, awak tak nampak saya terpacak kat tepi jalan! Awak ingat saya ni ikan bilis ke sampai tak nampak?” soal Zyra dengan keras. Sakit hatinya bagai dimamah.

“ Dah sekarang, awak nak cakap saya buta? Siapa yang langgar siapa ni?” soal Zariff pula kepanasan. Tak pasal-pasal pula dia terkena. Sudahlah mata yang memandang seolah-olah mengejek mereka.

“ Malaslah saya nak layan awak! Mr Gitaris poyo!” ujar Zyra sambil menekan lif untuk turun ke bawah.

“ Poyo-poyo saya pun, sekurang-kurangnya saya tidak sakitkan hati orang dengan menjadi kekasih curang! Sekarang teregeh-egeh pula!” Zariff menghembur kemarahan. Zyra yang tidak mengerti apa-apa hanya mendiamkan diri. Malas dia melayan lelaki sengit itu! Tidak waras! Tiba-tiba dibabitkan dengan kekasih curang. Bila masa pula dia curang? Kalau Azrol betullah! Tapi apa kena mengena dengan cerita mereka sekarang.
Zyra melangkah memasuki lif. Mujurlah ada staf lain yang turut memasuki perut lif. Tidaklah dia bertegang urat dengan Zariff yang masih masam mencuka. Entah tertelan tebuang tak tahu! Getus Zyra sendiri. Sampai di tingkat bawah, pantas Zyra menuju ke pintu utama bangunan. Dia melilau mencari kereta Mila yang dikatakan berada di luar bangunan tinggi itu.

“ Lain kali, kalau tak nampak pakai cermin mata!” suara Zariff kedengaran sinis sebelum berlalu meninggalkan Zyra yang mengetap bibir. Sakit hati! Kemudian dia terpandangkan Mila yang melambai tangan di hujung jalan. Sudahnya dia melangkah dengan perasaan bercampur baur. Baru sehari di situ hatinya sudah cukup sakit. Bagaimana kalau setahun? Ah! Mamat poyo!

****

Saat melangkah ke dalam kereta, Zyra membebel sendiri. Mila yang memandu tersengih-sengih pula. Pasti ada berita gembira! Kalau tak, tak adalah cik kak di sebelahnya itu membaca karangan begitu panjang.

“ Kau kenapa Zyra? Ada berita gembira ek?” soal Mila sambil menekan pedal minyak dan berlalu dari situ. Wajah Zyra dijeling sekilas. Nyata gadis itu betul-betul marah. Merah mukanya menahan geram.

“ Kau dengar aku menyanyi ke? Punyalah aku menyumpah mamat poyo tu, bukannya kau nampak!” sindir Zyra. Mila terkulat-kulat sebelum melepaskan tawa. Terbayang mamat poyo yang dikatakan itu. Mungkin wajahnya bulat, tersengih-sengih bagai kerang busuk..

“ Bukanlah!” Zyra seolah-olah dapat membaca fikiran temannya. “ Mamat poyo tu, Mr Gitaris yang kita jumpa kat CM tu!” sambungnya lagi.

“ Kenapa? Kau jumpa dia lagi?” soal Mila mula serius. Dia melajukan keretanya yang kadang kala tersempit dengan kesesakan lalu lintas.

“ Bukan jumpa dah! Siap berlanggar bahu lagi!” balas Zyra tanpa sembunyi.

“ So sweet! Bila tu? Kat mana?” ujar Mila dengan perasaan teruja.

“ Kat pejabat tadilah! Dia kerja dengan cik Azura,” balas Zyra lagi. Apa yang sweetpun dia tidak tahu. Apa yang pasti hatinya terasa sakit.

“ Semuanya seolah dirancangkan? Kau tak cari dia, dia tersembul di hadapan mata. Tu pun hari-hari kau nak mengadap muka dia. Mungkin dia jodoh kau tak?” Mila pula yang tampak serius. Zyra menarik nafas. Bercinta dengan Zariff bagaikan menjolok sarang tebuang. Mungkin akan terasa sakitnya walaupun tidak disengat. Bisa kata-kata Zariff membuatkan hatinya menjadi bengkak. Entah kenapa, payah untuk dia mengatakan, dia benci lelaki itu.

“ Dahlah! Tak payah cakap pasal dialah! Aku pening ni. Sekarang kita nak pergi mana?” soal Zyra mengalih topik perbualan.

“ Kita pergi Wangsa Maju jap! Aku ada janji temu dengan Datin Umaira. Dia ada kat sana!” jawab Mila sambil tersenyum. Zyra hanya menganggukkan kepalanya. Setuju!

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.