Home Novel Cinta Dia, Jodohku Rupanya
Dia, Jodohku Rupanya
Amylieyhaizani
9/3/2014 02:03:54
74,486
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab20

Bab 20

Jarum jam di dinding menunjukkan jam 8.00 pagi. Azura yang cantik dengan mengenakan baju kurung pada hari itu, pantas menuju ke meja makan. Kelihatan Datin Shafiqah sibuk menghidangkan makanan di atas meja.

“ Selamat pagi mama..” Azura melabuh punggung di atas kerusi. Wajahnya kelihatan segar dan ceria.

“ Selamat pagi..Cantik Zura hari ni? Ada apa-apa ke ni?” soal Datin Shafiqah mengorek rahsia. Tangannya ligat memasukkan nasi goreng ke dalam pinggan anaknya itu.

Tak ada apalah mama..papa mana?” soal Azura sambil menguyah nasi goreng yang tersedia di hadapan mata. Sesekali di tersenyum sendiri.

“ Tu senyum sorang-sorang kenapa?” Datin Shafiqah turut duduk di sebelah Azura. Tidak lama kemudian, Dato’ Azman menunjukkan diri dan turut menjamu selera.

“ Semalam Zura keluar dengan siapa?” soal lelaki separuh abad itu. Azura sedikit tersedak sebelum menghirup air jus oren di hadapannya.

“ Dengan kawan papa...” singkat Azura memberi jawapan.

“ Kenapa tak keluar dengan Yusuff ? Yusuff tu sukakan Zura..” Dato’ Azman kedengaran serius. Azura mengetap bibir dengan saranan daddynya.

“ Yusuff tu baik Zura! Mama suka kalau dia jadi menantu mama. Papa pun sama,” Datin Shafiqah pula menyampuk. Azura yang berselera sebentar tadi mula kehilangan mood untuk menghabiskan nasi gorengnya. Pantas dia bangun dan mencium tangan kedua orang tuanya.

“ Kalau Yusuff disebut-sebut, Zura tak suka! Zura nak pergi kerja!” Azura pantas berlalu. Dato’ Azman dan Datin Shafiqah hanya mampu menggelengkan kepala dengan sikap anak tunggal mereka.

“ Biarlah bang! Cinta tak boleh dipaksa-paksa. Kan dipaksa, lain pula jadinya!” Datin Shafiqah menutur kata.

“ Dia dah ada yang lain?” soal Dato’ Azman perlahan. Pantas Datin Shafiqah menggeleng. Dia tidak pasti sebenarnya. Apa yang dia tahu, pasti Azura menyembunyikan sesuatu daripada mereka. Itu dia cukup pasti!

****

Yusuff yang baru sahaja memasuki pejabatnya mendapat panggilan daripada seseorang yang tidak dikenalinya. Namun selepas gadis itu memperkenalkan diri, barulah Yusuff teringat kemalangan yang berlaku di Jalan Bukit Bintang tempoh hari.

“ Awak Adilla yang saya terpijak kaki hari tu kan? Minta maaf sekali lagi!” Yusuff bersuara ramah.

“ Saya nak mintak kerja? Ada kerja kosong tak?” soal Adilla penuh harapan.

“ Macam ni, nanti petang kita jumpa. Dekat mana, nanti saya info balik!” Yusuff memberi kata putus. Setelah talian diputuskan, dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Ingatannya tiba-tiba kepada Azura. Tergamak gadis itu membatalkan pertemuan yang dijanjikan semalam. Apa masalah Azura, Yusuff sendiri tidak pasti. Mungkin kerana terlalu cintakan Zariff! Yusuff berkira-kira sendiri walaupun dia cukup terkilan dengan kenyataan tersebut.
Tiba-tiba pintunya diketuk dari luar. Pantas Yusuff menyuruh Suzana selaku setiausahanya masuk.

“ Saya nak minta maaf Encik Yusuff, saya terpaksa letak jawatan 24 jam sebab saya terpaksa balik kampung untuk menjaga emak saya yang sudah tua. Lagipun..saya nak kahwin akhir bulan ni!” Suzana berterus terang. Pantas Yusuff teringatkan Adilla. Mungkin jawatan itu sesuai untuk gadis itu jika berkelayakan.

“ Okey! Saya faham. Apa pun, terima kasih atas kerjasama awak selama ini dengan Damai Suria. Jika awak rasa nak kerja lagi, boleh hubungi saya!” Yusuff bersuara ramah. Gadis di hadapannya tersenyum kerana tidak dimarahi dengan membuat keputusan tergesa-gesa.
Setelah mengucapkan terima kasih, Suzana berlalu keluar dari pejabat Yusuff. Senyuman masih di bibirnya kerana segalanya begitu mudah dengan izin Illahi.

****

Waktu makan tengahari, Yusuff duduk di hadapan Azura yang asyik memandang seseorang. Yusuff tersenyum tawar apabila orang yang dipandang oleh gadis idamannya itu adalah Zariff Irfan. Lama juga dia memerhatikan Zariff. Lelaki itu hanya biasa-biasa sahaja pada pandangan matanya. Tetapi tidak di mata Azura. Mungkin Zariff ada keistimewaan yang tiada pada dirinya.

“ Cinta itu buta? Atau manusia yang buta menilai cinta?” Yusuff mengejutkan Azura yang asyik melayan perasaannya.

“ Yusuff! Pasal semalam..I minta maaf! Tak dapat keluar. I ada hal!” Azura menyembunyikan rasa malunya. Pasti lelaki itu nampak caranya memerhatikan Zariff.

“ I tak marah..Mungkin You tak ada masa atau memang tak selesa keluar dengan I ?” Yusuff seakan bergurau. Dia menyedut air minumannya dan termenung buat seketika.

“ Semalam I pergi I-City..” Azura berterus terang. Terkejut beruk Yusuff dengan pengakuan Azura. Sangkanya gadis itu sibuk atau mungkin juga lebih selesa berada di rumah dari keluar bersamanya.

“ Dengan siapa?” soal Yusuff ingin tahu.

“ Zariff..” Azura tersenyum apabila menyebut nama Zariff. Yusuff yang mendengar kehilangan modal untuk berkata-kata.

“ I seronok keluar dengan dia! Tak tahu kenapa..” Azura seakan mengeluh.

“ Kenapa dengan I, You berat hati Zura? You dah lama kenal I, orang tua You dan I juga rapat! Apa masalah sebenarnya?” soal Yusuff ingin tahu.

“ Yusuff, tak mungkin kita menjadi sepasang kekasih. I dah anggap You kawan baik I! Mana mungkin semua tu boleh berubah!” Azura bangun sambil memandang Yusuff yang masih duduk. “ Cinta itu tidak buta! Mungkin manusia yang buta menilai cinta!” Azura berlalu meninggalkan Yusuff yang masih terkebil-kebil sendiri. Air mata Yusuff kelihatan bergenang di kelopak mata. Dia tidak silap menilai cinta! Baginya cinta yang hadir di dalam hatinya untuk Azura adalah cinta yang suci. Azura yang buta kerana tidak nampak keikhlasan hatinya.

“ Satu ketika, kau akan tahu apa makna cinta Zura! Saat itu kau akan tahu pentingnya kejujuran dan keikhlasan dalam memiliki sekeping hati!” Yusuff bersuara dan bangun untuk berlalu. Dia mengesat air matanya yang mula jatuh ke pipi.

****

Pulang dari kerja, Zyra menahan teksi untuk berjumpa Amelia di Jusco Damansara. Kata kakak kembarnya itu ingin mencari baju buat anaknya, Hana. Sampai di sana, pantas Zyra melambai Amelia yang menunggunya di pintu masuk utama Jusco.

“ Maaf lambat! Baru balik kerja. Abang Is tak datang?” soal Zyra sambil mengambil Hana dari dukungan Amelia. Mereka beriringan masuk menuju ke tempat jualan baju kanak-kanak.

“ Mana mahunya..lagipun dia tak ada kat rumah! Ada kerja katanya. Tapi kak Lia dah minta izin untuk keluar dengan Zyra,” Jawab Amelia tersenyum tawar. Sesekali mereka asyik memerhatikan gelagat orang ramai yang lalu lalang di situ.

“ Banyak benar kerja abang Is, Kak Lia. Tapi tak apalah..bukan ke wajib dia mencari rezeki untuk keluarga. Sekurang-kurangnya abang Is tidak abaikan nafkah kak Lia..” Zyra seakan memujuk. Dia memegang erat tangan kakaknya bagi memberi sedikit kekuatan yang mungkin telah lama hilang.

“ Baju ni okey tak untuk Hana?” soal Amelia tiba-tiba. Pantas baju itu dilekatkan kepada anaknya. Hana yang melihat tergelak kecil. Mungkin seronok dibelikan baju baru.

“ Bolehlah kak! Warna biru ni memang sesuai untuk Hana. Betul tak sayang?” Zyra menarik hidung Hana perlahan. Kanak-kanak itu hanya tersenyum manis.

“ Kerja okey tak?” soal Amelia tiba-tiba. Zyra mencebik apabila ditanya pasal kerja. Wajah Zariff terbayang di mata.

“ Bolehlah kak Lia..Tapi ada mamat poyo tu, suka kacau Zyra. Rasa dia ada hubungan dengan cik Azura!” Zyra seakan mengadu. Amelia tersenyum mendengar kata-kata Zyra. Pasti adiknya itu telah terjatuh hati dengan mamat poyo yang disebut-sebut itu.

“ Poyo pun, pasti yang tu Zyra sukakan?” serkap jarang Amelia mengena. Zyra hanya mencebik mendengar kata-kata Amelia. Tak ada maknanya!

****

Penat memilih baju untuk Hana, Zyra dan Amelia duduk di sebuah kerusi yang disediakan. Mereka asyik memandang sekeliling. Tiba-tiba mata Zyra terpandang seseorang yang dikenalinya bersama seorang perempuan. Berderau darahnya saat melihat Iskandar bersama perempuan yang tidak dikenali itu. Pantas dia memandang kepada Amelia yang berada di sebelahnya.
Amelia yang turut melihat suaminya bersama perempuan lain menahan tangisan yang datang secara tiba-tiba. Sakit di hatinya bagai ditoreh-toreh. Pantas Zyra bangun tanpa sempat dihalang oleh Amelia.

“ Ni kerja abang Is rupanya? Perempuan ni siapa?” Jerkah Zyra kuat. Sakit hatinya mengenangkan kesengsaraan kakak kembarnya selama ini. Suaminya pula sibuk melayan perempuan lain. Apa jenis jantan tak tahu!

“ Kau datang dengan siapa?” soal Iskandar tanpa rasa bersalah. Perempuan di sebelahnya semakin kuat memaut lengannya. Zyra yang panas, pantas menolak perempuan itu ke tepi. Dari jauh, Amelia hanya memandang dan mula menangis teresak-esak sambil memeluk erat anaknya.

“ Aku tak pernah jumpa lelaki dayus macam kau ni! Berani kau sakitkan hati kak Lia!” Zyra mula menggunakan bahasa kasar. Iskandar yang mula perasan kehadiran Amelia di situ meraup muka. Kemudian, tanpa dijangka oleh Zyra, Iskandar berlalu dari situ dengan menarik tangan perempuan yang datang bersamanya.

“ Sudahlah Zyra! Jom kita balik!” Amelia mendapatkan Zyra sambil menyapu air matanya.

“ Kenapa sampai macam ni kak Lia? Zyra tak percaya perangai abang Is seteruk ni! Sekarang, Zyra nak kak Lia, tidur rumah Zyra. Nak atau tak, akak kena ikut jugak!” Zyra pantas mengambil Hana dari dukungan Amelia. Sakit hatinya bagai dimamah-mamah. Air matanya turut jatuh ke pipi. Dia tidak suka dengan manusia yang curang apalagi tidak tahu menghargai insan yang paling dekat dalam hidup mereka.

“ Akak tak boleh tinggal rumah macam tu je Zyra..” Amelia seakan menghalang.

“ Kak Lia ni kenapa? Dah terang-terang abang Is pilih perempuan tu! Pleaselah kak Lia, jangan jatuhkan maruah akak sebagai seorang isteri. Sepatutnya, abang Is bawa akak. Minta maaf! Ni tidak, kak Lia nampak tadi kan?” Zyra panas hati dengan sikap Amelia yang masih berlembut walaupun ditindas sedemikian rupa.

“ Kadang kala, kita terpaksa berkorban demi orang yang kita sayang!” ujar Amelia dengan tegas. Zyra mengetap bibir. Sayang pada orang yang menyakiti hati kita sedemikian rupa?

“ Ada satu benda yang paling berharga di dalam hidup ni kak Lia. Tiada harta kekayaan yang dapat membelinya. Kasih sayang dan cinta yang berada di hati! Kalau tu pun, abang Is tak ada, biar banyak mana hartanya, kebahagiaan itu tak mungkin dapat dicari! Dan kak Lia yang perlu mengubah abang Is!” jawab Zyra sambil menyerahkan Hana kepada kakaknya.

“ Tetapi dengan duit, kasih sayang juga dapat dibuktikan juga Zyra. Jom kita balik. Nanti apa-apahal, akak call Zyra,” Amelia berlalu mendahului Zyra. Hanya Allah saja yang tahu apa yang bergelodak di hatinya. Tidak mungkin dia menceritakan kepada Zyra tentang pertolongan Iskandar kepada mereka sekeluarga. Tidak mungkin!

“ Akak balik dulu. Zyra pun jaga diri baik-baik!” Amelia melempar senyuman hambar sebelum memasuki perut teksi. Zyra pula menghubungi Mila untuk mengambilnya di situ. Dan dia bernasib baik kerana temannya itu berada di area Damansara.

****

Saat melabuhkan punggungnya ke dalam perut kereta Mila, Zyra membebel sambil menitiskan air mata. Mila yang tidak mengerti apa-apa hanya mendengar dengan penuh tanda tanya.
Jarang benar Mila melihat Zyra beremosi seperti itu. Ketika ditinggalkan oleh Azrol, air matanya jatuh jua ke pipi. Namun tidaklah separah itu. Mungkin ada sesuatu yang mengguris hati dan perasaannya? Mila berteka teki sendiri.

“ Apa yang menyebabkan kak Lia masih ingin bersama Iskandar? Apa bagusnya lelaki itu?” soal Zyra kepada Mila. Dia menggigit bibirnya kuat. Terasa luka di hati Amelia turut mengguris hatinya.

“ Apa lagi, dia buat Zyra? Aku tak faham?” Mila bersuara perlahan. Dia menarik tangan Zyra memberinya sedikit kekuatan.

“ Tadi aku dan kak Lia nampak abang Is dengan perempuan lain! Apa yang aku tak boleh tahan, dia bawa perempuan tu pergi sedangkan kak Lia dan Hana turut berada di situ! Apa jenis suami macam tu Mila?” Zyra masih teresak-esak. Dia tahu Amelia menderita sekarang. Mungkin lebih dari sebelumnya.

“ Apa kata Amelia?”

“ Kak Lia kata, dengan duit, kasih sayang dapat dibuktikan juga! Aku sebenarnya tak faham kenapa kak Lia cakap macam tu!” Zyra mengesat air matanya.

“ Mungkin ada sesuatu yang disembunyikan oleh Amelia. Mana kita tahu?” balas Mila menyebabkan Zyra memandang lama kepadanya. Mengapa Zyra tidak terfikir semua itu. Namun apa masalah sebenarnya? Mungkinkah ada hutang yang perlu dibayar kepada Iskandar?
“ Jika ada hutang yang perlu dilunaskan, aku akan usahakan! Apa yang penting kak Lia bebas daripada lelaki seperti Iskandar,” Zyra bersuara keras. Dia menutup mata dan membiarkan Mila memecut keretanya untuk pulang ke rumah. Tanpa ditahan, air matanya menitis lagi jatuh ke pipi.

Previous: Bab19
Next: bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.