Home Novel Cinta Dia, Jodohku Rupanya
Dia, Jodohku Rupanya
Amylieyhaizani
9/3/2014 02:03:54
74,400
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab18

Bab 18

Seperti yang dijanjikan, perjumpaan dengan Ustaz Baharuddin telah diatur oleh Azura di Restoran terkemuka yang berada di Petaling Jaya. Encik Zaidi selaku arkitek landskap tidak dapat menghadirkan diri kerana terlibat dengan projek landskap yang lain bersama dengan Dato’ Azman di Putrajaya. Lakar rajah yang dicadangkan telah diberikan oleh Encik Zaidi di pejabat sebentar tadi kepada Zyra sebelum ditunjukkan kepada Azura selaku pengurus syarikat.
Zyra yang duduk di kerusi melihat Azura kelihatan tidak senang duduk. Sekejap dia bangun dan matanya melilau mencari seseorang. Agaknya jatuh cinta pada ustaz Baharuddin kut! Getus Zyra sendiri sebelum matanya terbutang luas apabila ternampak seorang lelaki yang amat dikenalinya. Sah! Mr. Gitaris! Mamat poyo datang menuju ke tempat duduk mereka tanpa senyuman.

“ Kenapa lambat?” Azura tersenyum manis. Wajah Zariff hanya serius tanpa senyuman. Zyra yang pelik dengan sikap majikannya tertanya-tanya di dalam hati. Apa rasionalnya diajak mamat poyo tu datang ke situ?

“ Aku datang kerana mengikut arahan cik Azura! Bukan aku saja suka-suka nak datang!” Zariff seolah-olah dapat membaca pemikiran Zyra di sebelahnya. Zyra yang mendengar berpura-pura tidak faham dengan kata-kata Zariff yang menyakiti telinganya.

“ Kenapa ni Zariff? Zyra tak kata apa pun! Sekarang ambil order dulu sementara kita tunggu ustaz Baharuddin datang..”pujuk Azura lembut. Hampir nak termuntah Zyra mendengarnya. Dengan dia dan staf lain, bukan lagi garang! Macam harimau nak makan orang!

“ Cik Azura minta saya datang untuk apa? Nak minta pendapat saya? Waktu sekolah dulu, saya ambil bahagian pertanian! Bukan bidang arkitek atau landskap!” Zariff bersuara kasar. Hampir tergelak Zyra mendengar penerangan lelaki di sebelahnya.

“ Awak cuma dengar je Zariff..Semuanya dah selesai. Sekarang nak tunjukkan rangka rajah landskap tu je! Okey?” Azura berusaha memujuk. Tiba-tiba telefonnya berbunyi mematikan perbualannya serta-merta.

“ Maaf sekejap!” Azura bangun dan berlalu. Zyra yang masih tersenyum memanggil pelayan dan meminta minuman. Begitu juga Zariff yang masih kepanasan.

“ Awak tak payah nak gelakkan saya! Memang awak lebih bagus daripada saya pun!” Zariff membidas Zyra tanpa salam.

“ Awak ni kenapa? Meroyan tak tentu pasal! Tapi pelikkan, kenapa cik Azura boleh berlembut dengan awak sedangkan dengan staf lain tak ada pun macam tu! Dengan saya pun..tak ada lembut-lembut, manis-manis..”

“ Tu tandanya, awak tak tahu nak jaga hati orang! Asyik nak kenakan orang je!” Zariff pantas menyampuk tanpa memberi ruang kepada Zyra untuk menghabiskan ayatnya.

“ Awak tahu tak, kenapa awak tak ada girlfriend? Sebab awak ni pentingkan diri sendiri! Suka tuduh-tuduh orang tanpa usul periksa!” Zyra mula hilang sabar.

“ Sebab tu awak tinggal saya dulu?” jerkah Zariff kuat. Zyra membutangkan matanya. Tinggalkan? Mamat poyo ni kekasih aku? Zaman bila? Kelahiran dulu? Ah mengarut! Belum sempat Zyra ingin membalasnya, air yang dipesan terhidang di hadapan mata.
Zyra melilau mencari Azura. Malas dia berlama-lama dengan Zariff di situ. Asyik dia mencari, seseorang menuju kepada mereka dengan senyuman..

****

“ Assalamualaikum..lama tunggu?” lembut pertanyaan Ustaz Baharuddin yang mula melabuhkan punggung apabila dijemput.

“ Waalaikummussalam ustaz..Tak adalah lama sangat. Saya Zyra dan ini teman sekerja saya, Zariff Irfan!” Zyra bersuara ramah. Pantas Zariff menghulurkan tangannya untuk bersalaman dan melemparkan senyuman ikhlas.

“ Erm..lama sampai ustaz?” soal Azura tiba-tiba. Dia duduk di atas kerusi dan mematikan telefon bimbitnya.

“ Baru je Cik Azura. Tentang landskap tu dah siap reka bentuknya? Kalau boleh kita nak percepatkanlah pembinaannya. Mungkin minggu depan, boleh terus dilangsungkan. Macam mana?” soal Ustaz Baharuddin tanpa bertangguh lagi.

“ Semuanya dah selesai Ustaz. Cuma tunggu masa yang ditetapkan, kita on lah!” balas Zyra pula. Azura yang mendengar menganggukkan kepalanya.

“ Ustaz, masjid tu baru dibina atau dah lama? Atau saja ustaz nak ubah kepada landskap yang baru?” soal Zariff ramah. Hilang panas barannya sebentar tadi. Zyra yang mendengar tersenyum sendiri. Barulah kematangan lelaki itu terserlah! Zyra berkira-kira sendiri.

“ Masjid Ar-Rahimah tu sebenarnya dah lama dibina. Cuma kita nak sedikit pembaikanlah! Yalah, masjid tempat kita beribadat dan menjadi tanggungjawab kita untuk mencantikkannya..” jawab Ustaz Baharuddin turut melempar senyum.

“ Kalau macam tu, nanti pihak kami akan uruskan supaya semuanya menjadi lancar. Dan Insya’Allah akan siap seperti yang dijanjikan!” Azura memberi kata putus.

“ Insya’Allah..” balas ustaz Baharuddin singkat.

“ Zyra dan Zariff dah order? Kita minum dulu ya ustaz!” Azura memanggil pelayan dan meminta minuman yang diinginkan. Pantas juga dia bertanya kalau-kalau ada yang ingin menjamu apa-apa hidangan yang berada di restoran itu. Sudahnya hanya air milo ais dan Fresh orange yang diminta.

“ Dato’ Azman apa khabar? Lama pula saya tak jumpa dia. Kalau jumpa pun setahun yang lepas. Jumpa dekat masjid!” Ustaz Baharuddin bersuara lagi. Zyra yang ralit memandang Zariff yang menyedut airnya hanya membiarkan perbualan Azura dan ustaz Baharuddin.

“ Alhamdulillah ustaz..papa saya sihat. Cuma kadang kala sakit tua tu adalah sekali dua datangnya,” ujar Azura jujur. Kemudian minuman yang diminta dibawa oleh pelayan dan diletakkan di atas meja. Sambil menyedut air yang sampai, Azura sempat mencuri pandang seraut wajah Zariff yang tampan. Zyra yang perasan benar-benar keliru. Apa hubungan mereka berdua? Hampir 40 minit berbincang dan berborak, Ustaz Baharuddin meminta diri dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan. Pantas pula Zariff menghulurkan tangannya dengan senyuman.

“ Kita balik pejabat ya! Zariff, awak datang dengan apa?” soal Azura sambil melilau mencari motosikal lelaki itu.

“ Teksi!” singkat jawapannya sambil ingin berlalu. Zyra yang mula tidak senang dengan layanan Azura kepada Zariff mula dilanda cemburu.

“ Kalau macam tu kita balik sama-sama! Boleh ya Zyra?” soal Azura dengan senyuman. Seronoklah tu naik dengan Zariff! Zyra membebel di dalam hati.

“ Saya okey je cik Azura..Tapi tak tahulah kalau Zariff nak naik teksi!” Zyra melempar senyuman sinis kepada Zariff yang mula ke hadapan.

“ Saya tak cakap saya nak naik teksi! Okey!” Zariff menjungkit kening. Riak wajahnya yang sukar melemparkan senyuman itu dipandang dengan sengihan Zyra yang memanjang. Tahu takut! Padam muka! Azura memasuki perut keretanya di tempat pemandu. Pantas Zyra memasuki tempat duduk bahagian belakang. Entah kenapa dia tidak senang dengan kehadiran Zariff yang akan berada di sebelah Azura. Kenapa aku celupar sangat? Sekarang ni aku terlebih poyo dari mamat poyo tu! Tiba-tiba Zyra terdengar pintu sebelahnya dibuka dan ditutup kuat. Zariff yang tersengih menjungkit kening. Wajah Zyra yang terkejut dipandang lama. Azura yang dapat merasakan Zariff tidak suka berada di sebelahnya meluncur laju untuk ke pejabat. Sempat pula dia menjeling lelaki itu melalui cermin keretanya. Tiba-tiba dia tersenyum sendiri penuh makna.

****

Ketika memasuki pejabat, Zariff sengaja berdiri di tepi meja Zyra sambil menyanyi kecil. Dia tidak menghiraukan pandangan pekerja di situ. Linda yang berada di sebelah meja Zyra mencuri pandang.

“ Apahal kau tercegat kat sini? Nak jadi guard?” soal Zyra tiada mood. Hatinya sebenarnya berperang di dalam. Cemburu di hatinya mengingati layanan Azura sebentar tadi kepada Zariff. Jika tiada hubungan istimewa, mana mungkin harimau betina itu boleh menjadi jinak sekelip mata?

“ Nama sebenar awak apa ek?” soal Zariff sambil menatap lama seraut wajah Zyra. Wajah itu mula menampakan perbezaannya dengan Mily. Mungkin dia yang tersilap pandang. Namun hatinya masih was-was memikirkan kata hatinya yang di hadapannya itu ialah bekas kekasihnya satu masa dulu.

“ Zyra!” pendek jawapan Zyra.

“ Zyra apa?” soal Zariff lagi.

“ Zyra Liyana binti Haji Iqbal! Puas hati?” Zyra bersuara keras.

“ Awak ingat saya akan percaya? Sedangkan perangai awak boleh berubah! Apalah sangat dengan nama!” Zariff melepas kata.

“ Awak ni kenapa? Tadi tanya nama! Kenapa? Awak nak saya jadi bakal isteri awak? Nak try dulu macam mana orang akad nikah?” soal Zyra mula bosan. Tadi dia terasa cemburu dengan Azura dan Zariff, Sekarang dia mula dilanda kebosanan. Apa tidaknya, lelaki itu seakan memperbodoh-bodohkan dirinya dengan soalan dan kenyataan yang menyakitkan hatinya.

“ Apa-apa jelah..” getus Zariff sambil berlalu. Zyra yang mendengar mengucap di dalam hati. Dasar senget ke apa mamat ni? Penyakit tujuh keturunan kut! Zyra malas melayan. Dia mengambil fail dan membelek kerja yang belum selesai. Kemudian dia memandang jam di tangan. Hampir jam 3.00 petang. Asyik membuat kerja, satu pesanan masuk ke dalam telefonnya. Pantas Zyra membaca mesej daripada Mila.

- Datin Umaira nak jumpa pukul 5.00. Aku tunggu kau kat bawah –

****

Bergaya di hadapan kamera, membuatkan Zyra sedikit kekok. Wajahnya yang dirias rapi kelihatan manis apabila dikenakan jubah moden dan juga tudung yang menghiasi kepalanya.
Beberapa kali dia membetulkan pergerakannya apabila diminta.

“ Kalah aku Zyra!” laung Mila kuat. Pantas Zyra tergelak kecil dengan kata-kata Mila. Selesai mengambil gambar, Datin Sarah mengajak mereka minum di butiknya. Ucapan terima kasih diucapkan kepada Zyra kerana sanggup menjadi model kepada tudungnya itu.

“ Apalah sangat Datin.. Saya yang patut berbangga kerana Datin memilih saya sedangkan ramai lagi calon yang sesuai! Tak macam tu Mila?” Zyra memandang Mila yang tersenyum mendengar jawapannya.

“ Kalaulah Mila bertudung, saya pasti minta dia yang pakaikan! Tapi mungkin Mila belum bersedia. Tak macam tu Mila?” Datin Sarah pula menyampuk. Mila yang mendengar tersipu-sipu malu. Terasa dirinya disindir pula oleh wanita separuh abad itu.

“ Kalau macam tu Datin, kami balik dululah! Sekarang pun dah pukul 6.30 petang. Sekejap lagi nak masuk waktu maghrib,” Zyra meminta diri untuk pulang.

“ Kalau ya pun, habiskanlah minuman tu dulu Zyra, Mila..Saya pun nak balik juga ni!” Datin Sarah menuangkan minuman ke dalam gelas. Sambil minum mereka sempat lagi bertanya tentang perjalanan bisnes wanita separuh abad itu. Kata Mila, manalah tahu suatu hari mereka juga memiliki bisnes sendiri. Manalah tahu! Getus Zyra sendiri.

Previous: Bab17
Next: Bab19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.