Home Novel Cinta Dia, Jodohku Rupanya
Dia, Jodohku Rupanya
Amylieyhaizani
9/3/2014 02:03:54
74,431
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Bab 13

Datin Umaira yang menanti Mila di sebuah restoran Wangsa Maju tersenyum melihat Zyra yang bertudung. Mila pantas mengenalkan Zyra kepada majikannya. Apa yang menghairankannya, Datin Umaira seolah-olah berkenankan sesuatu tentang Zyra. Mungkin penampilannya! Mila berbisik sendiri.

“ Saya ingat nak minta awak carikan seseorang Mila, untuk membantu kawan saya mempromosikan tudung butik dia. Tapi apabila saya tengok kawan awak ni, saya rasa tak perlulah kita cari orang lain. Lagipun Zyra ni memang bertudungkan?” soal Datin Umaira meminta kepastian.

“ Zyra memang bertudung Datin. Cuma saya je yang belum terbuka pintu hati. Kenapa Datin tanya macam tu?” soal Mila kehairanan. Zyra di sebelah hanya menjungkit bahu.

“ Apa-apahal orderlah dulu. Zyra dan Mila nak makan apa? Hari ni saya belanja!” ujar wanita separuh abad itu. Pantas dia memanggil pelayan untuk meminta pesanan.

“ Limau ais dan..” Mila memandang Zyra sekilas.

“ Milo ais!” Zyra bersuara sambil tersenyum.

“ Makan?” soal Datin Umaira pula. Pantas Zyra dan Mila mengelengkan kepala mereka. Tanpa berlengah pelayan itu pergi dari meja mereka.

“ Sambung cerita tadi ya! Saya cuma nak pastikan Zyra sentiasa bertudung di tempat awam atau di kawasan luar. Apabila menjadi model tudung, saya tak nak nanti ada yang berbisik kalau-kalau terserempak Zyra dengan rambut yang tidak beralas. Lagi pun, gambar tu kita akan masukkan ke dalam majalah Islam untuk keluaran bulan hadapan,” tegas Datin Umaira mematikan persoalan mereka. Mila yang mendengar menganggukkan kepala. Begitu juga Zyra yang mula mengerti.

“ Tapi kalau kawan Datin tu cari seseorang yang bertudung di kalangan artis, saya rasa itu lebih bagus untuk mempromosikan tudungnya Datin. Contohnya dengan mengambil Najwa Latiff atau Ainan Tasneem! Itu lebih bagus kerana mereka mempunyai peminat yang ramai!” Zyra memberi pendapat. Datin Umaira tersenyum dengan cadangan gadis di hadapannya. Lebih berkeyakinan dan berpandangan jauh untuk memajukan sesebuah bisnes.

“ Itu pandangan yang cukup bernas. Tapi Datin Sarah inginkan model di kalangan kita sahaja. Pasti ada alasannya yang tersendiri,” jawab Datin Umaira singkat.

“ Macam mana Zyra? Kau setuju tak?” soal Mila. Air yang ditunggu telah tiba. Zyra yang berfikir sejenak memandang Datin Umaira yang masih melemparkan senyuman. Benda baik kenapa pulak harus ditolak! Fikirnya.

“ Insya’Allah boleh Datin. Lagipun, saya rasa tiada sebab untuk saya menolak!” ujar Zyra bersetuju. Mila yang mendengar menunjukkan ibu jarinya tanda menyokong. Seronok dia melihat Zyra yang mudah bekerjasama dalam sesuatu hal.

“ Kalau macam tu, saya akan hubungi awak bila penggambaran tu dibuat,” ujar Datin Umaira sambil menyedut air yang masih bersisa. Mila dan Zyra juga turut menghabiskan air yang berada di hadapan mereka. Jam telah menunjukkan pukul 6.00 petang. Setelah selesai perbincangan, mereka meminta diri untuk beredar. Rasa penat yang membelenggu tubuh mereka juga seakan memanggil tilam untuk berehat.

“ Uh! Penat betul badan aku ni! Balik, confirm aku nak tidur!” ujar Mila yang mula menghidupkan enjin kereta.

“ Apa-apahal mandi dulu! Solat asar dan tunggu solat maghrib! Lepas maghrib tunggu isyak! Baru boleh tidur. Kalau kau tidur terus sampai rumah, tak adanya kau bangun untuk solat!” Zyra mengingatkan Mila yang beria-ria untuk melelapkan mata apabila sampai di rumah.
Mila menarik nafas panjang dan melepaskan perlahan. Ada benarnya kata Zyra. Andai sudah dia menutup mata, pasti dia terlentang macam katak kekenyangan. Pasti solat wajib itu ditinggal begitu sahaja. Sudahnya dia sendiri yang menempah neraka! Nasiblah ada teman yang suka mengingatkan. Kalau tak, turut hanyut macam aku! Silap haribulan, solat lima waktu dibiarkan begitu sahaja!

“ Yalah sayangku Zyra!” balas Mila dengan ketawa panjang. Zyra hanya mampu mengelengkan kepala dan tergelak kecil dengan telatah Mila yang kadang kala menghiburkan hatinya.

****

Sampai di rumah, Zariff menghempaskan briefcasenya. Dia membalikkan diri di atas sofa. Penatnya masih belum hilang setelah seharian menghabiskan waktu di pejabat. Sudahlah berdepan dengan Mily yang meloyakan tekaknya. Mily atau Zyra! Ah samalah! Perempuan tu memang suka sakitkan hati aku! Zariff berteka-teki sendiri sebelum bangun menuju ke dapur.
Di dapur, Zariff mengambil air masak di dalam peti dan menuangkannya di dalam gelas. Dia duduk di atas kerusi sambil membelek-belek gelas yang dipegangnya.

“ Mungkin benar itu bukan Mily! Kalau ikutkan, Mily lagi rendah dan sedikit bulat wajahnya. Mily tak sekasar itu! Cakap pun lembut dan berbudi bahasa! Getus Zariff lagi. Dia mula yakin itu bukannya gadis pernah yang dicintainya. Namun tidak juga mustahil! Ah! Zariff benar-benar pening dengan kata hatinya yang tidak menentu. Dia bangun menuju ke bilik dan menukar pakaiannya dengan memakai kain tuala untuk ke bilik mandi. Terfikir di benaknya untuk keluar mengambil angin malam itu. Apa yang penting, hilang serabut yang bermain di kepalanya. Selesai sahaja mandi, Zariff menunaikan solat asar yang masih belum dikerjakannya. Kemudian dia mengambil Al-Quran dan membacanya dengan perlahan. Menunggu waktu maghrib, Zariff muhasabahkan dirinya dan memohon petunjuk dari Yang Esa. Hatinya yang keresahan berzikir memuji Illahi. Entah kenapa ada rasa sayu bermain di jiwanya. Mungkin kerana aku terlalu lalai! Getus Zariff sebelum bangun untuk menunaikan solat maghrib selesai Azan maghrib dikumandangkan.

****

Ribut tidak, angin tidak, malam itu Zyra terpaksa memekakkan telinganya mendengar panggilan Azrol yang tidak sudah. Lelaki itu merayu-rayu untuk berjumpa dengannya di luar pagar.
Mila yang mendengar mengendap di muka pintu dan melangkah keluar menghampiri Azrol. Mujurlah jiran mereka tiada di rumah ketika itu. Jika tidak, Pasti menjadi buah mulut mereka. Apa tidaknya, si teruna duduk berpuitis sambil memegang sejambak bunga. Bukankah itu satu lakonan yang cukup mengujakan! Apa yang lebih penting, Azrol merayu-rayu untuk kembali. Ah! Dasar gila talak!

“ Kau apahal Azrol? Menjerit malam-malam buta ni!Tak ada kerja?” soal Mila dengan kasar. Wajah Azrol yang beriak ceria dipandang lama.

“ Kau siapa? Zyra ada?” soal Azrol sambil mengintai-ngintai bekas kekasihnya.

“ Aku kau tak kenal ?” soal Mila berang. Model cantik macamnya boleh pula lelaki itu tidak perasan. Walaupun dia bukan model terkenal, wajahnya itu telah banyak kali dimuatkan di dalam majalah. Mesti bukan ulat buku! Getus Mila tidak berpuas hati.

“ Manalah aku kenal kau! Waktu aku putus dengan Zyra, dia duduk dengan orang tua dia! Bila masa pulak aku nak kenal kau!” Azrol pula panas hati. Wajah cantik Mila dipandang dengan wajah mencuka.

“ Dah putus, kau buat apa kat sini?’’ soal Mila berpura-pura tanya. Matanya dikerling ke arah pintu. Tidak nampak pula bayang Zyra di situ.

“ Kau jangan sibuk boleh tak? Zyra..Zyra..” laung Azrol pantas. Malas dilayannya minah yang berada tiga inci di hadapannya itu.

“ Kau baliklah! Jangan memekak kat sini! Kau dah tinggal dia waktu sakit, sekarang kau datang balik! Untuk apa sebenarnya?” soal Mila sambil berlalu. Malas dia bertekak dengan Azrol yang tidak faham bahasa.

“ Manusia tak lari dari melakukan kesilapan! Dan kerana kesilapan itu aku datang untuk meminta maaf!” ujar Azrol tiba-tiba. Suaranya tidak lagi sekasar tadi. Mungkin memikirkan pintu rumah itu akan tertutup sekejap sahaja lagi.

“ Kau bukan melakukan kesilapan yang kecil. Kesilapan kau tu mungkin tidak akan dimaafkan andainya Zyra tertutup matanya saat itu! Ada kau fikir? Kalau kau dah insaf, minta ampun dengan Tuhan, bukan datang ke sini untuk jual bunga!” jawab Mila tanpa bertapis.
Zyra yang berada di dalam, mengintai dari celah tingkap. Kata-kata Mila ada benarnya. Terasa air matanya ingin jatuh saat itu. Baru hari ini Azrol datang untuk memujuknya. Itupun setelah dia bisa berjalan dan berlari dengan selesa.

“ Bila masa aku nak jual bunga? Sejambak pulak tu! Mana ada untung!” pekik Azrol sebelum mencampakkan bunga itu di halaman rumah. Jauh di sudut hatinya dia ingin menangis di situ. Namun mana mungkin lelaki tegap sepertinya menangis kerana perempuan. Sudahnya dia berlalu dari situ sebelum air matanya menitis juga membasahi pipi.

****

Setelah memakirkan motosikalnya di dalam kawasan kolam air panas yang berada di Selayang, Zariff berlalu menuju ke tempat istirehat itu. Ramai juga yang membanjiri kawasan itu untuk merendam kaki dan juga mandi. Ada juga yang datang sekadar meninjau keadaan.
Zariff duduk di sebuah kolam yang kurang sedikit kepanasannya. Matanya melilau ke sebuah kedai makan. Di situlah dulu dia bersama Mily menikmati makan malam sambil bergurau senda. Tiba-tiba dia ternampak seseorang yang amat dikenali. Matanya pantas digosok. Sah! Gadis yang dikatakan Zyra berada di situ. Itupun di tempat yang sama diduduki Mily satu ketika dahulu.

“ Kenapa kau tiba-tiba nak datang sini?” soal Mila sambil memandang orang ramai yang berkumpul di kolam air panas. Setelah Azrol pulang sebentar tadi, Zyra beria-ria mengajaknya ke situ.

“ Aku nak tenangkan fikiran!” balas Zyra selamba.

“ Tenangkan fikiran? Tempat ni? Baik kita pergi Pantai Moghrib ke ambil angin malam. Tak pun pergi I City Shah Alam! Best juga!” Mila memberi cadangan. Zyra memandang wajah Mila lama.

“ I City Shah Alam? Kenapa kau tak cakap awal-awal! Aku tak pernah lagi pergi kat situ. Dengar kata best juga.” Zyra pula kelihatan berminat.

“ Orang darat memang payah di bawak berjalan! I City yang tak sampai sebatu tupun, kau tak sampai lagi!” tiba-tiba suara lelaki menyampuk percakapan mereka. Pantas mata mereka memandang Zariff yang berdiri di situ.

“ Kau? Apahal sampai kat sini kau ikut aku?” tanya Zyra kasar. Mila menelan air liur. Sejak bila minah ni pandai berkasar?

“ Aku ikut kau? Eh! Tolong sikit..Dari tadi aku terpacak kat situ tahu! Lagi awal daripada kauorang!” Zariff menunding jarinya ke arah kolam. Entah kenapa suka benar dia menyakiti hati gadis tersebut.

“ Saudara Zariff Irfan, boleh saya tahu kenapa awak benci sangat pada Zyra? Boleh awak terangkan satu persatu?” Mila mengorek rahsia. Zyra hanya mendiamkan diri. Memang itu juga yang ingin diketahuinya.

“ Dia..perempuan curang!” balas Zariff pendek.

“ Curang? Dengan siapa? Azrol?” Mila mula tertarik. Ada rahsia rupanya.

“ Azrol? Kekasih baru? Senang dah mudah cari pengganti kan?” sinis pertanyaan Zariff. Zyra mengentap bibir menahan marah.

“ Saya curang dengan siapa? Cuba awak cakap? Dasar poyo!” Zyra bangun dari kerusi. Rasa ingin ditelannya lelaki yang tidak berlapik ketika bercakap.

“ Awak tanya awak curang dengan siapa? Tu, beruk jantan yang ada berlambak kat Ulu Yam tu! Puas hati?” soal Zariff sambil berlalu. Zyra yang mendengar mengetap bibir tanda geram. Dia duduk sambil mengacau kuat airnya dengan menggunakan straw.
Mila pula hanya mampu melepaskan ketawa dengan jawapan lelaki yang dianggap macho itu. Seronok juga dihiburkan dengan lawak percuma! Bisik Mila sendiri.

“ Aku rasa dia tu kena tinggal dengan kekasih! Tu meroyan tak tentu pasal! Dah macam biawak nak beranak pun ada!” Zyra bersuara lagi. Niatnya untuk menenangkan fikiran rupanya menambahkan lagi sakit di kepalanya.

“ Biawak nak beranak?” Mila mengerutkan dahinya sebelum melepaskan tawanya sekali lagi.

“ Kau apa hal Mila? Aku serius kau main-main! Agaknya berjangkit dengan mamat poyo tu!” Zyra seakan berkecil hati.

“ Aku gurau jelah! Sudah-sudahlah panggil dia mamat poyo! Tak baik tahu!” Mila seakan memujuk. Zyra mencebik mendengar kata-kata Mila. Macamlah Zariff tu baik sangat! Menyampah!
Selesai minum, mereka bergegas untuk pulang selepas membayar harga minuman. Ternyata Zariff tidak lagi kelihatan di situ. Mungkin juga sedang enak dilamun mimpi saat itu. Manalah tahu!

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.