Bab
12
Entah
gembira atau sebaliknya, Zyra sendiri tidak pasti. Sampai di Syarikat Jaya
Idaman, Zyra terpingga-pingga saat memasuki bangunan besar itu untuk pergi ke
pejabat Azura. Besarnya mungkin lebih dari sepuluh ganda biliknya berbanding
AZURA;S FAMILY di jalan Ipoh. Stafnya yang ramai juga membuatkan Zyra terasa
sedikit kecut perut.
Bayangkan dia dilantik menjadi
Setiausaha kepada Azura sedangkan dia adalah orang baru dalam syarikat
tersebut. Apa yang merunsingkannya, staf-staf Jaya Idaman tampaknya lebih berpengalaman
daripadanya.
“ Zyra, his..seganlah aku! Kau
tengok, diorang tu semuanya high kelas! Dengan pakaian diorang! Aduh..kalau
macam ni, jatuhlah saham aku!” Linda sempat lagi berbisik sebelum duduk di
tempatnya. Nadia dan Amy yang melihat hanya melempar senyuman. Wajah mereka
tidak menunjukkan riak kurang senang walaupun berada di tempat baru. Sedangkan
hatinya pula yang berantakan.Gelisah!
“ Zyra, masuk bilik saya sekejap!”
Azura yang entah bila menapak di situ, tidak Zyra sedari. Pantas dia bangun dan
melemparkan senyuman kepada mata-mata yang memandang kepadanya. Ada yang
tersenyum sinis seolah-olah mengejek-ngejek akan kebolehannya. Entahlah!
Saat melabuh punggung di atas
kerusi setelah dipelawa duduk, Azura memandang lama kepada Zyra. Wajahnya yang
sentiasa serius melenyapkan kecantikannya yang sedia ada.
“ Saya harap awak dapatkan
jalankan tanggungjawab sebagai PA saya. Saya tak nak awak jadi macam Adilla.
Tiada semangat dalam bekerja. Bila ditegur, macam nilah jadinya, letak jawatan!
Dalam bekerja, dugaan dan cabaran itu amat pentinguntuk memajukan kita ke
hadapan bukan mundur ke belakang!” Panjang lebar Azura memberi ceramah. Apa
yang pasti, Adilla yang menjadi mangsa cemuhan. Mungkinkah Azura terlalu berkeras
dengan Adilla sehingga tidak sanggup bersabar lagi?
“ Saya faham cik Azura. Cuma
sebagai orang baru, saya minta tunjuk ajar agar dapat saya jalankan
tanggungjawab sebaik mungkin. Lagipun, saya rasa ada yang lebih layak daripada
saya pegang jawatan ni,” Zyra berterus-terang. Wajah Azura dipandang dengan
harapan. Hanya senyuman sinis yang dilemparkan kepadanya.
“ Awak tak yakin? Belajar
tinggi-tinggi tapi seperti orang yang tiada pelajaran! Sekurang-kurangnya awak
tahu matlamat awak belajar sampai masuk U, bukan merendah diri macam ni! Dah,
sekarang saya nak awak panggilkan Zariff masuk ke sini,” arah Azura tanpa
memikirkan perasaan Zyra.
“ Siapa cik Azura?” Zyra seakan
terperanjat. Mungkin dia terlalu memikirkan lelaki itu. Mungkin Azura
menyuruhnya memanggil Zaril atau juga Aril!
“ Zariff ! Zariff Irfan! Tulah
awak, asyik berkhayal je!” Azura bersuara keras. Zyra yang terkebil-kebil
melangkah keluar. Zariff Irfan mungkin nama yang sama dengan mamat Gitaris tu,
mungkin berbeza sikap dan tingkahlaku! Zyra melangkah dengan pelbagai
persoalan.
Zyra memandang seorang demi
seorang. Namun wajahnya beriak hampa kerana lelaki yang dikenalinya itu tiada
di situ. Sahlah! Zariff Irfan tu orang lain!
“ Linda, kau kenal tak Zariff
Irfan?” soal Zyra kepada Linda yang asyik membuat kerjanya. Pantas Linda
mengelengkan kepalanya. Zyra menjenguk seorang gadis yang lebih tua darinya di
sebelah Linda.
“ Erm..kak, yang mana satu Zariff
Irfan?” soal Zyra dengan senyuman.
“ Panggil je akak, kak Mona. Tu,
yang berada di meja hujung tu!” Kak Mona menunding jari telunjuknya ke arah meja yang berada jauh daripada orang
lain. Mungkin inginkan privacy! Pantas Zyra berlalu menuju ke meja yang ditunjukkan.
Lelaki itu sedang menunduk mencari sesuatu di bawah mejanya. Pantas Zyra
mengentuk meja dengan jarinya.
Lelaki itu bangun apabila
terasa diganggu. Matanya tiba-tiba membutang luas apabila melihat Zyra di
hadapan matanya. Wajahnya yang tenang berubah riak. Ada kebencian yang
terserlah di mata lelakinya.
“ Apahal awak ni! Sampai kat
sini awak nak ganggu saya!” sola Zariff kasar. Beberapa mata yang memandang
tidak dia pedulikan. Melampau betul! Sampai aku kerja kat sini pun, masih nak kacau!
“ Eh saudara, saya pun kerja kat
sini! Manalah saya tahu Zariff Irfan yang cik Azura suruh panggil tu adalah
awak! Awak kalau tak nak diganggu, duduk je kat rumah! Goyang kaki!” bidas Zyra
pantas. Panas hatinya dengan lelaki yang tidak dikenalinya itu. Agaknya waktu
kecil makan sarang lebah tak tahu!
“ Buat apa dia panggil aku?” soal
Zariff tanpa mempedulikan kemarahan Zyra.
“ Agaknya dia nak suruh awak
menyanyi kut! Tak pun main gitar, bagi dia hilang mood panas!” Zyra menjawab
sambil berlalu. Zariff yang mendengar merasa tersindir. Sakit hatinya bukan
sedikit. Sudahlah dia dilupakan dengan begitu mudah, sekarang berani pula
menghina dirinya. Apa yang menghairankannya, bagaimana gadis itu turut berada
di situ? Apakah ianya suratan atau ketentuan Tuhan? Mungkin juga gadis itu
mengekorinya? Mungkin!
Zyra yang melabuhkan
punggungnya di tempat duduk menjeling kepada Zariff yang melangkah masuk ke
dalam bilik Azura. Sebenarnya dia masih terkejut dengan penampilan Zariff yang
berbeza ketika pertama kali dia berjumpa lelaki itu di Pasar Seni. Seraut wajah
lelaki itu kini kelihatan segak dan tampan. Apa yang penting, lelaki itu juga
sudah pandai menguruskan diri. Mungkin perubahan kerjaya yang menjadikan lelaki
itu tampak lebih berkeyakinan dan berkarisma! Fikir Zyra lagi sambil memulakan
kerjanya yang berlambak di atas meja.
****
Melihat bilik Azura yang begitu kemas dan
rapi, Zariff dapat merasakan gadis itu seorang yang cukup menjaga penampilan
dari semua sudut. Cuma sikap memaksa Azura yang akan merosakkan peribadinya sendiri.
Gadis itu mungkin sudah terbiasa memberi arahan! Getus Zariff sendiri.
“ Sila duduk Zariff..” Azura melempar senyuman manis
walaupun lelaki di hadapannya menarik muka empat belas. Dengan malas Zariff
menarik kerusi dan duduk.
“ Kerja okey?” soal Azura lembut. Matanya masih menatap
wajah tampan di hadapannya. Entah kenapa berdepan dengan Zariff membuatkan dia
berubah sikap. Hilang barannya serta merta. Entahlah hati!
“ Berapa kali saya nak cakap kerja saya okey! Selagi tak
ada orang ganggu saya, semunya dalam keadaan baik cik Azura!” jawab Zariff acuh
tak acuh. Malas dia melayan Azura yang terlalu mengambil berat dirinya atau
mungkin juga hatinya.
“ Kalau macam tu baguslah. Kalau awak tak faham apa-apa,
awak boleh tanya staf yang lain. Boleh juga tanya Zyra selaku PA saya.” Azura
masih ingin berbicara dengan Zariff. Namun melihat wajah lelaki itu yang masih
mencuka, dia terpaksa membatalkan hasratnya.
“ Zyra yang mana? Saya bukannya kenal pekerja kat luar
tu! Hampir lima belas orang. Tak terlayan saya!” Zariff memberi alasan. Azura
tersenyum hambar. Ada lagi manusia yang keras hati berbanding dirinya.
“ Yang panggil awak jumpa saya tadi!”
“ Ooo..tu Zyra? Bukan Mily?” soal Zariff pantas.
“ Siapa?” Azura kurang jelas. Senyuman sinis Zariff
menyakitkan hatinya.
“ Abaikan! Saya keluar dulu!” ujar Zariff sambil berlalu
meninggalkan Azura yang masih terpingga-pingga. Di dalam hatinya terbit
pelbagai persoalan. Siapa Zyra sebenarnya? Adakah dia Mily? Atau pelanduk dua
serupa? Ah! Apa-apa pun, aku tidak suka! Getus Zariff sambil melabuhkan
punggung di tempat duduknya. Sesekali dia mencuri pandang wajah Zyra yang asyik
menyiapkan kerjanya. Sudahnya, Zariff hanya mampu menarik nafas yang dan
melepaskannya dengan keluhan yang berat.
****
Waktu makan di Kafe, Zyra termanggu seorang diri. Matanya
terkebil-kebil melihat orang ramai di Kafe itu. Sekejap tadi dia mengajak Linda
untuk makan bersamanya. Tidak lupa juga Nadia dan Amy. Namun entah kenapa
mereka beria-ria menolak untuk keluar lunch bersamanya. Sudahnya, hanya dia
yang berada di meja itu tanpa berteman.
“ Hai sorang je?” soal lelaki yang tidak dikenali Zyra.
Nampak gayanya lelaki itu juga bekerja di bangunan itu.
“ Erm..nampaknya macam tulah! Awak nak join?” soal Zyra
entah kenapa. Mungkin dia berasa segan apabila semua yang berada di situ
mempunyai teman.
“ Boleh juga!” jawabnya ramah sambil melabuhkan punggung
di atas kerusi. Segelas Fresh orange diletakkan di atas meja.
“ Saya Yusuff! Bekerja di syarikat Damai Suria. Awak?”
soal lelaki itu tanpa segan silu.
“ Erm..saya Zyra! Kerja di Jaya Idaman. Awak kenal cik
Azura? Dialah bos saya!” Zyra berterus terang.
“ Oh ye ke? Saya memang kenal dengan Azura tu! Kawan baik
dari kecil. Awak okey ke berurusan dengan dia?” soal Yusuff sambil menyedut Fresh orange di hadapannya.
Zyra yang menikmati nasi gorengnya sedikit tersedak. Kenapa urusan kerja dengan
Azura yang ditanya pula.
“ Erm..okey! Dia seorang majikan yang baik. Malah susah
nak jumpa wanita yang berkeyakinan seperti cik Azura tu! Kata orang, dalam
seribu sukar nak cari walaupun satu permata yang asli!” Zyra melalut entah ke
mana. ikhlas atau tidak dia memuji.
Yusuff tergelak kecil mendengar
kata-kata Zyra. Seakan dia bermimpi mendengar pujian gadis di hadapannya.
Manakan tidak, seumur hidupnya itulah kali pertama orang memuji Azura dengan
begitu yakin.
“ Awak yakin dengan jawapan awak?” soal Yusuff
seolah-olah memberi soalan dalam kuiz pula. Zyra tersengih lama. Kelakar juga
lelaki di hadapannya. Teruja pulak tu! Agaknya ada hati dengan Azura!
“ Tak adalah yakin sangat! Tapi jika difikirkan, seorang
wanita yang memegang jawatan penting dalam syarikat, bukankah itu menunjukkan
kemampuannya yang sebenar. Berapa ramai perempuan yang takut untuk memegang
jawatan pengurus dalam sebuah syarikat dengan alasan tidak mampu! Saya sendiri,
saya tidak yakin untuk mengendalikan bisnes besar seperti ini!” jawab Zyra
dengan tegas. Yusuff hanya tersenyum dan menganggukkan kepala.
“ Pada pendapat awak, cik Azura tu orangnya macam mana?”
Zyra pula menyoal Yusuff. Mana tahu ada kebaikan gadis itu yang dia dan orang
lain tidak nampak! Mana tahu!
“ Pada pendapat
sayalah kan, Azura tu bagus orangnya walaupun sebenarnya dia memang panas
baran. Dia tidak suka mengalah dengan dugaan atau cabaran. Dia tidak takut
dengan gertakan orang. Tengok, Dato’ Azman minta dia kendalikan syarikat besar
ni, dia sanggup walaupun pada mulanya dia tidak yakin. Kalau awak, awak
sanggup?” soal Yusuff setelah puas memuji gadis yang dipujanya. Zyra mendiamkan
diri buat sementara waktu. Dia bukan Azura anak orang kaya yang dikelilingi
kemewahan dan bukannya anak gadis yang terbiasa dengan bisnes ataupun kegagalan
dalam perniagaan. Namun, Zyra akui, dia cukup kuat ketika menghadapi penyakit
barah yang dialaminya.
Zyra redha dan tidak pernah
menyalahkan takdir sekalipun. Jauh pula untuk dia menyalahkan orang
sekelilingnya dengan herdikan dan maki
hamun.Walaupun kedua orang tuanya tidak mampu menyediakan wang
pembedahan, Zyra tidak sesekali menyalahkan mereka. Bukankah itu juga kekuatan
dalam menghadapi ujian Illahi? Sanggup? Zyra pasti sanggup jika
peranan sebagai majikan itu tergalas di bahunya. Tidak mungkin dia menolak!
Namun siapalh dia untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Azura?
Zyra tersenyum melihat Yusuff yang masih menunggu jawapannya.
“ Saya tidak seberani cik Azura, tapi insya’Allah..saya
mampu melakukannya!” Zyra menjawab dengan ikhlas. Yusuff tersenyum dengan semangat
yang ditunjukkan oleh gadis di hadapannya. Dia menghabiskan air yang diminumnya
dan beriringan dengan Zyra setelah waktu rehat hampir tamat. Tiba-tiba dia
tersenyum mengingati pujian Zyra kepada Azura. Dalam barannya, ada baiknya!
Getus Yusuff sendiri.
****
Habis waktu pejabat, Zyra pantas bangun dan
tergesa-gesa untuk keluar. Panggilan daripada Mila sebentar tadi membuatkan dia
tidak sabar untuk berjumpa temannya itu. Tanpa disengajakan, Zyra terlanggar
seseorang yang turut melangkah untuk keluar dari pejabat.
“ Buta ke?” soalnya kepada Zyra. Pantas Zyra
memandang lelaki yang berada di sebelahnya. Panas hatinya melihat Zariff yang menjeling tajam. Dulu sekali dia
dipanggil buta. Sekarang sekali lagi. Berapa kali lelaki itu hendak
menyumpahnya sedemikian rupa.
“ Hari tu masa awak langgar saya, awak kata
saya buta! Hari ni awak cakap sekali lagi! Awak ke atau saya yang buta ni?
Waktu awak bawak motor tu, awak tak nampak saya terpacak kat tepi jalan! Awak
ingat saya ni ikan bilis ke sampai tak nampak?” soal Zyra dengan keras. Sakit
hatinya bagai dimamah.
“ Dah sekarang, awak nak cakap saya buta?
Siapa yang langgar siapa ni?” soal Zariff pula kepanasan. Tak pasal-pasal pula
dia terkena. Sudahlah mata yang memandang seolah-olah mengejek mereka.
“ Malaslah saya nak layan awak! Mr Gitaris
poyo!” ujar Zyra sambil menekan lif untuk turun ke bawah.
“ Poyo-poyo saya pun,
sekurang-kurangnya saya tidak sakitkan hati orang dengan menjadi kekasih
curang! Sekarang teregeh-egeh pula!” Zariff menghembur kemarahan. Zyra yang
tidak mengerti apa-apa hanya mendiamkan diri. Malas dia melayan lelaki sengit
itu! Tidak waras! Tiba-tiba dibabitkan dengan kekasih curang. Bila masa pula
dia curang? Kalau Azrol betullah! Tapi apa kena mengena dengan cerita mereka
sekarang.
Zyra melangkah memasuki lif. Mujurlah ada staf lain yang turut memasuki perut lif. Tidaklah
dia bertegang urat dengan Zariff yang masih masam mencuka. Entah tertelan
tebuang tak tahu! Getus Zyra sendiri. Sampai di tingkat bawah, pantas Zyra menuju
ke pintu utama bangunan. Dia melilau mencari kereta Mila yang dikatakan berada
di luar bangunan tinggi itu.
“ Lain kali, kalau tak nampak pakai
cermin mata!” suara Zariff kedengaran sinis sebelum berlalu meninggalkan Zyra
yang mengetap bibir. Sakit hati! Kemudian dia terpandangkan Mila yang melambai
tangan di hujung jalan. Sudahnya dia melangkah dengan perasaan bercampur baur.
Baru sehari di situ hatinya sudah cukup sakit. Bagaimana kalau setahun? Ah!
Mamat poyo!
****
Saat
melangkah ke dalam kereta, Zyra membebel sendiri. Mila yang memandu
tersengih-sengih pula. Pasti ada berita gembira! Kalau tak, tak adalah cik kak
di sebelahnya itu membaca karangan begitu panjang.
“ Kau kenapa Zyra? Ada berita
gembira ek?” soal Mila sambil menekan pedal minyak dan berlalu dari situ. Wajah
Zyra dijeling sekilas. Nyata gadis itu betul-betul marah. Merah mukanya menahan
geram.
“ Kau dengar aku menyanyi ke?
Punyalah aku menyumpah mamat poyo tu, bukannya kau nampak!” sindir Zyra. Mila
terkulat-kulat sebelum melepaskan tawa. Terbayang mamat poyo yang dikatakan
itu. Mungkin wajahnya bulat, tersengih-sengih bagai kerang busuk..
“ Bukanlah!” Zyra seolah-olah dapat
membaca fikiran temannya. “ Mamat poyo tu, Mr Gitaris yang kita jumpa kat CM
tu!” sambungnya lagi.
“ Kenapa? Kau jumpa dia lagi?” soal
Mila mula serius. Dia melajukan keretanya yang kadang kala tersempit dengan
kesesakan lalu lintas.
“ Bukan jumpa dah! Siap berlanggar
bahu lagi!” balas Zyra tanpa sembunyi.
“ So sweet! Bila tu? Kat mana?” ujar
Mila dengan perasaan teruja.
“ Kat pejabat tadilah! Dia kerja
dengan cik Azura,” balas Zyra lagi. Apa yang sweetpun dia tidak tahu. Apa yang
pasti hatinya terasa sakit.
“ Semuanya seolah dirancangkan? Kau
tak cari dia, dia tersembul di hadapan mata. Tu pun hari-hari kau nak mengadap
muka dia. Mungkin dia jodoh kau tak?” Mila pula yang tampak serius. Zyra
menarik nafas. Bercinta dengan Zariff bagaikan menjolok sarang tebuang. Mungkin
akan terasa sakitnya walaupun tidak disengat. Bisa kata-kata Zariff membuatkan
hatinya menjadi bengkak. Entah kenapa, payah untuk dia mengatakan, dia benci
lelaki itu.
“ Dahlah! Tak payah cakap pasal
dialah! Aku pening ni. Sekarang kita nak pergi mana?” soal Zyra mengalih topik
perbualan.
“ Kita pergi Wangsa Maju jap! Aku
ada janji temu dengan Datin Umaira. Dia ada kat sana!” jawab Mila sambil
tersenyum. Zyra hanya menganggukkan kepalanya. Setuju!