Home Novel Cinta Dia, Jodohku Rupanya
Dia, Jodohku Rupanya
Amylieyhaizani
9/3/2014 02:03:54
74,350
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Bab 3

Zariff Irfan melilau mencari seseorang sambil menyedut air kopi o ais di hadapannya. Hampir setengah jam dia menunggu Danial di situ. Jam ditangan juga sudah berkali-kali ditiliknya. Pelanggan yang datang ke kedai di Kampung Baru itu juga bertukar ganti. Namun wajah teman serumahnya itu masih tidak menampakkan bayang apatah lagi batang hidungnya.
Zariff mula panas punggung. Dia tidak suka menunggu begitu lama. Danial yang beria-ria mengajaknya minum di kedai itu. Kalau ikutkan hatinya yang bengkak, ingin saja dia melelapkan mata untuk melupakan apa yang telah berlaku. Mata Zariff meliar lagi. Pantas dia mengeluarkan telefonnya untuk menghubungi Danial.

“ Kau call awek ke?” Danial duduk tanpa salam. Zariff menjeling dan meletakkan semula telefonnya. Wajah Danial yang berkulit hitam manis dipandang lama.

“ Kau kenapa lambat?”

“ Jauh lah rumah aku..” Danial menjawab selamba. Seorang pelayan datang dengan senyuman. Pantas Danial meminta nescafe ais dan sepinggan nasi goreng. Setelah mengambil pesanan, pelayan itu pergi dengan melemparkan senyuman sekali lagi. Murah benar dengan senyuman! Bisik Danial sendiri.

“ Rumah kau dengan aku kan sama? Tu ha! Atap pun boleh nampak!” Zariff membidas keras.

“ Aku gurau jelah. Kau ni, tu pun nak ambil serius. Erm..Zariff, ada berita baik ke hari ni?” Danial menyoal pantas. Wajah tegang Zariff dipandang. Masak benar dengan sikap Zariff yang mudah meradang apabila ditimpa masalah. Dulu Zariff bukan begitu. Temannya yang satu itu begitu ceria dengan gelak dan tawa. Hanya kerana cinta terputus di tengah jalan, wataknya terus berubah. Dari suka bercakap langsung seperti orang bisu. Sukar benar untuk diajak berbual apalagi berborak kosong. Membuang masa katanya. Apa yang lebih parah, elok-elok lelaki itu kerja sepejabat dengannya, tanpa salam, Zariff boleh meletak jawatan 24 jam!
Danial tidak sangka cinta boleh mengubah seseorang begitu banyak. Apa yang Danial tidak sangka, tergamak gadis lembut seperti Mily meninggalkan Zariff yang setia dan baik seperti itu. Apa yang perempuan inginkan agaknya? Soal Danial sendiri. Dia juga sebenarnya tidak percaya apabila diberitahu oleh Zariff tentang perpisahan lebih kurang setahun yang lepas.

“ Mily..” Zariff mengetap bibir. Dia cuba mengawal suaranya agar tidak terlalu dikawal oleh emosi. Danial yang mendengar seakan terperanjat beruk.

“ Mily? Sejak bila pulak budak tu wujud lagi ni?” Danial menjungkit kening. Zariff yang kelihatan tegang dipandang lama. Pantas lelaki itu mengelengkan kepala.

“ Apa ni Zariff, Mily tu dah lama tinggalkan kau. Agaknya dah kahwin pun!” Danial bersuara keras. Dia tidak mahu Zariff terus hanyut dengan bayangan Mily. Dia tidak sanggup melihat wajah Zariff yang muram bagaikan kematian isteri. Cukup-cukuplah temannya itu menangis sekali. Sekali? Mungkin juga berkali-kali! Danial bukan sengaja mencipta fakta yang salah. Itulah sebenarnya yang berlaku. Dia pernah melihat Zariff menitiskan air mata setiap kali memetik gitar di biliknya. Danial bukannya buta untuk mengatakan hati lelaki Zariff terluka parah. Luka itu mungkin masih berdarah sehingga ke saat itu.
Zariff menyedutnya airnya perlahan. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan keluhan yang berat. Matanya meliar melihat kesesakan lalulintas di situ. Jalannya sedikit sempit mengundang kesesakan yang berpanjangan. Kedengaran hon kenderaan yang bertali arus memekakkan telinga. Zariff memandang pula Danial yang masih menunggu jawapannya. Soalan lelaki itu masih jelas di telinga.

“ Mily datang ketika aku menyanyi di CM. Tapi apa yang menyakitkan hati aku, Mily seolah-olah mempermainkan perasaan aku. Dia seolah-olah tidak mengenali aku Danial. Tergamak dia..” Zariff tidak sanggup untuk menceritakan betapa beraninya Mily meletakkan duit pada beg uncangnya. Apa muslihat Mily menunjukkan dirinya di hadapannya sekarang.

“ Tak kenal? Dia tak kenal Zariff Irfan bekas kekasihnya yang pernah dia gilakan dulu? Melampau tu!” Danial terus menjatuh hukum. Dia mengetap bibir tanda geram. Benci benar dia dengan perempuan seperti itu.

“ Dah dua hari. Tapi dia langsung tidak menunjukkan riak bersalah. Malah Idayu kawan baik dia dulu pun dah tak nampak batang hidung! Sekarang dengan kawan baru pulak!” Zariff meluah lagi apa yang dia rasa.

“ Dia betul-betul tak kenal kau agaknya Zariff. Ataupun, dia dah hilang ingatan! Ha, tak mustahilkan?” Danial membulatkan matanya. Zariff mengerutkan dahinya. Mungkin juga! Ah tak mungkin! Getusnya kembali.

“ Apa pula tak mungkin. Kalau akulah, dah putus dengan kekasih, takkan aku nak tunjuk muka. Tanpa bersalah pulak tu!” Danial menyuarakan pendapatnya. Kemudian dia mengucapkan terima kasih kepada pelayan menghantar menu yang dipesannya. Sambil menyedut air nescafe ais, Danial mengetuk meja menyedarkan Zariff yang termenung panjang.

“ Kau cuba tegur dia. Kalau dia tak kenal, sahlah dia lupa diri. Ataupun dia nak ejas kau balik, tapi tak tahu macam mana caranya,” Danial memberi pendapat sambil menguyah nasi goreng yang dimintanya. Kelazatan nasi goreng itu cukup terasa nikmatnya apabila mengisi perutnya yang kelaparan.

“ Aku malas nak kejar orang yang dah buang aku macam sampah!” Zariff bersuara sedikit kesal.

“ Sekurangnya kau bukan sampah Zariff. Kau ada maruah! Dulu, masa kau kenal dia, banyak syarat yang dia bagi kan? Nama penuh tak boleh bagi tahu, tentang keluarga biarlah rahsia, sampaikan tempat tinggal dia kau tak tahu! Alasannya, Mily nak berterus terang apabila hubungan kalian dah sampai tahap nak kahwin! Sampaikan dia minta putus, kau pun tak tahu nama betul dia. Bercinta apa benda macam tu!” panjang bebelan Danial. Memang betul kata-kata lelaki itu. Zariff cukup akui. Memang dia bodoh kerana percaya dengan kata-kata Mily.

“ Aku yang bodoh! Mudah dipermainkan. Mungkin dari awal lagi dia nak tinggalkan aku! Sebab tu dia tak berterus-terang. Kenapalah aku boleh jatuh cinta dengan dia,”Zariff mula terbuka matanya dengan kata-kata Danial.

“ Apa kata kau mainkan dia balik. Biar dia tahu tinggi rendahnya langit,” Danial seperti menambah bara di hati Zariff. Dia tersenyum sumbing apabila mendapat jelingan maut daripada Zariff.

“ Aku bukan malaikat! Tapi aku juga bukan dajal yang akan mendajalkan orang lain. Dahlah, kau cepatlah makan. Aku nak balik ni,” Zariff mula bosan. Bercakap tentang Mily tiada kesudahan baginya.

“ Yalah, tapi kau juga kena ingat, aku juga bukan dajal. Tetapi apabila maruah kita dipijak sewenangnya, yang tu kita perlu ajar supaya tahu menghargai perasaan orang lain! K!” Danial masih bertegas dengan pendapatnya. Zariff yang kepanasan bangun dan membayar di kaunter. Danial hanya memandang dengan elengan.

“ Kau balik, aku nak naik apa?” Tanya Danial apabila Zariff melalui mejanya. Wajah lelaki itu dipandang lama.

“ Nampak atap rumah tu, tak sampai seminit sampai! Aku balik dulu! Tak larat,” Zariff bersuara sambil berlalu. Danial hanya mencebik sambil menatap bumbung rumah mereka yang hanya jauh dalam 50m dari kedai makan tersebut. Nasiblah!

****

Zyra yang asyik membaca majalah remaja di biliknya, kelihatan kelam kabut apabila mendapat satu panggilan telefon. Pantas dia berlari keluar mencari Mila yang asyik menonton televisyen. Gelak ketawa Mila dibiar tanpa persoalan. Pantas Zyra menarik tangan Mila yang kelihatan kaget dengan kelakuannya itu.

“ Mila, kau kena tolong aku sekarang. Hantar aku rumak kak Lia. Kak Lia kena pukul dengan abang Iskandar,” Zyra berterus-terang. Malas dia melihat muka Mila yang terkejut biawak dengan mulut terlopong bagai terlepas anak ayam. Mila tidak berganjak dari situ. Matanya masih menatap kaca tv yang masih menyiarkan cerita Mr. Bean yang berjudul Mr. Bean Holiday dengan penuh minat. Berat rasa hatinya untuk meninggalkan cerita tersebut.
Zyra pantas mengambil remote tv dan menekan butang merah dan memandang Mila yang mendongak kepadanya.

“ Iyalah! Tak habis-habis jantan tu buat hal! Agaknya nak bunuh anak orang,” belebel Mila sambil membetulkan rambutnya yang sedia cantik. Pantas dia mengambil handbag dan mengambil kunci kereta yang tersangkut di dinding. Zyra yang sudah berada di luar menunggu Mila dengan sabar.

“ Terima kasih Mila. Maaf susahkan kau. Aku takut perkara buruk berlaku pada kak Lia,” Zyra mula menangis saat berada di dalam kereta. Terbayang wajah pucat kak Lia yang sentiasa menjadi mangsa panas baran Iskandar. Hatinya sakit dan pedih. Sakit kak Lia turut dirasainya kini.

“ Tak ada hal lah. Tapi, aku harap lepas ni kakak kau tu buat report polis. Ni dah jadi kes dera. Maruah isteri dipijak-pijak. Sepatutnya seorang isteri letaknya di dalam hati. Bukan di kaki busuk dia!” balas Mila panas. Wajah Iskandar yang tampan terbayang di mata. Harap muka je hensem, hati masam macam cuka! Getus Mila sendiri. Zyra di sebelah hanya mampu berdoa di dalam hatinya. Sesekali dia menghubungi kak Lia, namun tidak berangkat.

“ Mila, cepat sikit ya..” Zyra bersuara perlahan. Wajah Mila yang tegang dipandang penuh harapan.

“ Aku cepatlah ni. Mana rumah kak Lia? Aku lupalah!”

“ Damansara. Kau tahu jalankan. Takkan lupa Mila,” Zyra bersuara penuh risau.

“ Aku tahu. Aku gurau jelah. Kau diam je. Bukan jauh mana pun Cheras ni dengan Damansara,” Mila bersuara lembut. Dia tahu Zyra risau tentang kakak kesayangannya itu. Siapa yang tidak sayang kakak sendiri? Soal Mila sendiri di dalam hati.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.