Home Novel Cinta Dia, Jodohku Rupanya
Dia, Jodohku Rupanya
Amylieyhaizani
9/3/2014 02:03:54
74,478
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Bab 1

Hujan yang renyai-renyai membuatkan Zyra Liyana berlari anak menuju ke sebuah bangunan untuk berteduh. Dia menyapu-nyapu air hujan yang membasahi wajahnya. Baju kurung yang dipakainya sedikit lencun dek titisan hujan yang menghemburkan diri ke bumi tanpa sebarang isyarat. Beberapa ekor burung yang terbang di udara bersiul dengan mengepak-ngepak sayap mereka seolah gembira menerima kehadiran nikmat Illahi itu. Mereka berkejaran sesama sendiri seakan menghintung titisan air hujan yang semakin lebat.
Zyra Liyana menyandar tubuhnya ke dinding dengan menarik nafas perlahan dan melepaskan dengan dengusan yang berat. Jam di tangan hampir jam 4.00 petang. Kerja yang dicari belum menampakkan bayang. Hampir setahun dia menganggur setelah tamat pengajian di Universiti Teknologi Malaysia dalam bidang Rekaan Dalaman. Pelbagai borang yang diisi untuk nmelayakkan dirinya bekerja di sektor kerajaan, namun rezeki itu mungkin bukan miliknya lagi. Kini, Zyra Liyana tidak ingin lagi menunggu dan terus menunggu. Dia perlu membuat sesuatu sebelum disindir sebagai penjual anggur namun tidak mendapat apa-apa hasil.

Teringat Zyra Liyana saat-saat dia menganggur di rumah orang tuanya. Bukan dia bersenang lenang, tidur lena atau makan dengan kenyang. Berlari-lari ke sana ke sini atau berjalan-jalan bersama kawan ke sana ke mari. Tidak! Zyra Liyana tidak sebahagia itu untuk mengatakan kepada dunia bahawa dia seorang yang galak berlari di atas pentas dunia. Hidupnya saat itu hanya memikirkan maut di hadapan mata. Mungkin kerana belum tiba saat izrail datang untuk mengambil nyawanya yang ketika itu seakan tersekat di kerongkong.
Ah! Penyakit barah yang dialaminya telah membuatkan kata putus daripada doktor bahawa Zyra Liyana Binti Ahmad Iqbal tidak mampu terus bertahan untuk hidup. Namun, siapa manusia untuk menindakkan kekuasaan Illahi. Apabila Allah mengatakan KUN FAYAKUN, tiada siapa yang dapat menindakkan keputusanNya. Dan hari ini, Zyra Liyana Binti Ahmad Iqbal semakin sihat selepas menjalani pembedahan di saat-saat akhir.

Air mata Zyra jatuh ke pipi tanpa disedari. Sungguh dia bersyukur ke hadrat Yang Kuasa kerana masih memberinya peluang untuk menghirup nafas di atas bumi yang sementara ini. Dia bernasib baik kerana ada yang sudi menderma kos pembedahan walaupun tiada siapa yang datang menonjolkan diri atau memperkenalkan diri sebagai penderma. Masih terbayang wajah emak dan ayah yang sentiasa memberinya kekuatan. Wajah kak Amylia yang sentiasa mempamerkan senyuman walaupun air matanya tergantung di tubir mata. Zyra mengalirkan air matanya lagi. Terasa mereka begitu dekat dengan hatinya, mungkin juga terlalu kukuh terpahat di dalam urat nadinya.

Tiba-tiba Zyra tersenyum sendiri.“ Uh! Orang menjual anggur dapat juga duit..Aku..buat lemak sana sini!” Zyra tergelak pula. Hilang sedikit bebanan yang dirasainya sebentar tadi. Dia meninjau-ninjau sekeliling untuk mencari iklan tentang jawatan kosong. Nah! Zyra tersenyum. KERANI DIPERLUKAN SEGERA bersama nombor telefon yang tertera cukup membuatkan Zyra tersenyum lebar. Pantas dia mendail nombor tersebut dengan penuh harapan. Satu,dua,tiga..

“ Helo, selamat petang, boleh saya bantu?” suara di corong telefon kedengaran begitu ramah. Zyra tersenyum sendiri.

“ Erm..Assalamualaikum…selamat petang. Saya nak tanya tentang jawatan sebagai kerani yang diiklankan tu. Masih ada kekosongan?” Zyra bertanya penuh debar.

“ Masih kekosongan. Cik boleh datang esok untuk interview”

“ Ok! Terima kasih,” Zyra mengucap syukur selepas salam di beri. Dia melihat alamat yang tertera di situ. AZURA’S FAMILY, Jalan Ipoh. Dia melihat bangunan yang menyelamatkannya dari hujan sebentar tadi. AZURA’S FAMILY, Jalan Ipoh, Tingkat 1..dan Zyra tersenyum lagi sambil berlalu meninggalkan tempat tersebut sebelum menjawab panggilan yang datang secara tiba-tiba.

****

Zyra pantas menaiki bas untuk ke Pasar Seni. Panggilan Mila, teman serumahnya sebentar tadi sedang menunggu di situ. Wajah cantik Mila dan gaya lenggoknya terbayang di mata. Senyuman di bibirnya bisa membuatkan lelaki cair seperti aiskrim. Tingginya yang lampai dan bentuk tubuh yang menarik menjadi igauan setiap lelaki yang angaukan kecantikan dan kesempurnaan seorang wanita. Ya, Mila seorang gadis yang sempurna serba serbi. Matanya yang memukau bisa membuat lelaki tua atau muda menjadi cair. Cair? Hi..Zyra tergelak sendiri.
Sesampai di Pasar Seni, Zyra terjenguk-jenguk mencari kelibat Mila. Wajah temannya itu tidak kelihatan walaupun di dalam telefon sebentar tadi beria-ria mengatakan dia berada di situ. Zyra melabuhkan punggung di tempat duduk yang berada di situ sambil mendengar alunan lagu seorang lelaki muda yang kelihatan tidak terurus wajahnya. Mungkin wajah yang berselindung di sebalik kumisnya itu memiliki wajah yang tampan. Mungkin! Zyra sempat lagi menilik wajah pemuda di hadapannya. Beberapa orang yang lalu lalang tidak sedikitpun mengganggu pandangan dan minat Zyra terhadap pemuda itu. Suara merdu lelaki itu juga menjadi penyebab Zyra masih berada di situ. Apatah lagi Mila masih belum menunjukkan bayang.
Suara itu cukup sedap didengar apabila mendendangkan lagu Sepi Seorang Perindu nyanyian artis terkenal tanah air iaitu Dato’ Jamal Abdillah. Alunan yang merdu dan menyentuh perasaan membuatkan hati Zyra sedikit tersentuh. Tanpa disedari air matanya jatuh ke pipi. Pantas juga dia menyapu manik jernih itu sebelum menjadi tatapan orang ramai yang lalu lalang di situ. Dia bukan lagi anak kecil yang boleh menumpahkan air mata sesuka hati.
Azrol..Uh! kenapa lelaki itu yang didingatkan saat ini. Lelaki yang telah menghancur leburkan hatinya sehingga lumat. Lelaki dayus yang meninggalkannya saat dia bertarung nyawa di bilik pembedahan. Kata Azrol, cinta mereka adalah cinta yang sejati. Tidak akan punah walau tsyunami melanda. Tsyunami? Besar sangatkah dugaan yang mereka lalui sehingga lelaki itu tergamak meninggalkannya di saat dia memerlukan seorang lelaki yang bernama kekasih yang berjanji akan menjadi raja di dalam hatinya suatu hari nanti.
Air mata Zyra mengalir lagi. Cinta itu terlalu sakit. Sakit yang masih berdarah parutnya. Dia redha apabila Yang Kuasa mengujinya dengan penyakit yang kronik, namun dia tidak kuat untuk mengatakan dia rela disakiti oleh Azrol. Dia tidak percaya lelaki sebaik Azrol sanggup mengguris hatinya. Azrol pergi tanpa pesan. Hanya surat biru yang menjadi saksi percintaan mereka putus tanpa suara. Ah! Azrol pergi dengan senang hati tanpa mengerti barah di hatinya. Ya, Azrol telah meninggalkannya dan apa yang lebih tepat, lelaki itu telah mempermainkan hatinya. Saat itu,detik itu, bagi Zyra cinta bukan segala-galanya. Itu Zyra cukup pasti.

“ Hai lama tunggu?” suara Mila kedengaran tanpa salam. Pantas dia duduk di sebelah Zyra. Dia tersenyum lebar bagaikan mendapat anugarah model terbaik. Mungkin!

“ Kau pergi mana? Tadi beria-ria call aku. Sakit leher aku terjenguk-jenguk macam masuk kandang kambing tahu!” Zyra berpura-pura marah. Kemudian dia tertawa kecil.

“ Masuk kandang kambing buat apa yang? Kandang buaya ok juga!” Mila bersuara kuat. Beberapa mata memandang dan tersenyum. Mila hanya berwajah selamba apabila beberapa lelaki bersiul melihatnya.

“ Kandang buaya buat apa? Sekali dia ngap kau baru tahu. Jomlah!”

“ Pergi mana?” Mila menjungkit kening. Kemudian dia mengelipkan matanya beberapa kali. Zyra tergelak kecil melihat karenah temannya. Sesekali matanya mencuri pandang pemuda yang masih asyik dengan gitarnya tanpa jemu. Tanpa disangka pandangan mereka bertaut lama. Zyra melempar senyuman ikhlas namun hanya wajah tegang lelaki itu yang menjadi tatapannya. Uh! Lelaki semuanya berlagak!” bisik Zyra perlahan.

“ Apa kau cakap?” Mila membeliakkan matanya.

“ Aku kata..jomlah!” Zyra mula panas hati. Gelagat Mila kadangkala menguji kesabarannya.

“ Ok,ok..nak pergi mana sekarang? Nak balik atau pergi shopping?” Mila mula berwajah serius. Malas dia melihat wajah masam Zyra persis ikan sardin itu. Zyra memandang lama wajah Mila yang terkulat-kulat bagai ikan busuk. Dia menarik nafas panjang.

“ Aku belanjalah! Nanti kau dah dapat kerja, kau belanjalah aku pulak. Duit rumah sewa pun jangan lupa ok?” Mila bersuara sambil tersenyum. Dia tahu Zyra kesempitan wang lantaran belum memperolehi pekerjaan. Sejujurnya dia tidak kisah untuk membayar rumah sewa yang mereka kongsi keseluruhannya.

“ Mila, kau kawan aku yang paling baik. Aku bersyukur sangat sebab..”

“ Dapat kawan macam aku kan?” Mila memintas sebelum sempat Zyra menghabiskan ayatnya. Ayat itu sudah terukir kemas di dalam kepalanya. Zyra mengangguk sambil memeluk erat teman baiknya itu.

“ Isy..kau ni, malulah orang tengok! Jom, kita pergi makan!”

“ Tadi kata nak shopping?” Zyra bersuara manja.

“ Dah petang sangat! Nak malam dah pun. Lain kali ye?” Mila membuat muka sepuluh sen. Zyra mencebik geram sebelum melepaskan tawa yang panjang. Kemudian dia bangun dan menarik Mila dengan kuat. Pantas gadis itu bangun tanpa menghalang.
Sebelum berlalu, Zyra menghulurkan sekeping note merah dan meletakkan di dalam bekas penyanyi muda yang masih lagi mendendangkan lagu tanpa jemu. Senyuman manis juga dilemparkan saat lelaki itu memandangnya tanpa senyuman. Apa yang pasti, Zyra sedikit tidak kisah dan tidak ambil kisah dengan pandangan lelaki itu atau mana-mana lelaki setelah Azrol hilang dari pandangan matanya.

****

Zariff Irfan termenung di balkoni rumahnya di Kampung Baru. Matanya tajam memandang bangunan KLCC yang tinggi melangit. Tanpa dipinta air mata bermain di kolam matanya dan jatuh ke pipi. Dia tidak suka manik jernih itu mengalir di pipinya. Dulu dia begitu mengharapkan cintanya biarlah sampai ke bintang. Biar bulan menjadi saksi bahawa dua hati telah terpatri menjadi satu. Namun harapan itu hanya tinggal impian. Cinta mereka tidak sampai setinggi KLCC yang terbentang di hadapan matanya saat itu. Cinta mereka hancur berkecai sebelum mahligai kasih mereka terbina. Zariff teramat benci dengan semua itu.
Zariff mengeluarkan sebatang rokok dan mengambil pementik api. Dia menyedut rokok tersebut dengan rakus dan melepaskan asapnya ke udara. Berkali-kali dia cuba membuang wajah tersebut. Wajah yang pernah mencuri hatinya satu ketika dulu. Wajah yang sentiasa bermain di matanya. Dan wajah itu juga yang telah melukakan hatinya begitu banyak. Bukan sedikit tetapi berbukit-bukit. Itulah yang dirasai oleh Zariff setelah ditinggal pergi tanpa rasa simpati.
Pernah Zariff berjanji tidak akan ada lagi air mata untuk gadis itu. Dia ingin menjadi lelaki yang ceria seperti dulu. Lelaki yang matang dan penuh dengan gelak dan ketawa. Lelaki yang kuat untuk menghadapi apa-apa badai sekalipun. Namun, hari itu, perinsip itu seakan hilang dalam sekelip mata. Perinsip itu seakan mati dengan serta merta.

“ Mily, sampai hati kau!” Zariff bersuara perlahan. Ada kesakitan dalam suaranya apabila menyebut nama itu. Sampai hati Mily mempermainkannya sebegitu rupa. Sudahlah dirinya dibuang tanpa simpati, tergamak pula gadis itu memerlinya dengan menghulurkan note sepuluh ringgit kepadanya. Apakah Mily ingat aku begitu terdesak? Adakah itu harga cinta mereka selama ini? Begitu mudah dan begitu murah! Desis Zariff dengan nada benci.
Zariff masuk ke biliknya. Gambar Mily yang masih setia di dalam frim di atas meja dipandang dengan benci. Sakit hatinya tidak mampu untuk dia menghalau bayangan gadis itu. Potret gadis juga tidak sanggup dijadikan santapan tong sampah yang terbuka luas di biliknya.

“ Hanya kerana lelaki kaya Mily, kau buang aku? Berapa yang kau nak aku boleh usahakan! Aku boleh berkorban apa saja Mily! Tapi bukan cinta kita!” Zariff benar-benar marah. Wajah Mily di Pasar Seni pada petang tadi cukup mengguris hatinya. Mily seolah bermain dengan hatinya dengan merenung padanya sebegitu. Atau mungkin gadis itu tidak mengenalinya lantaran wajahnya yang tidak setampan dulu? Mustahil!
Wajah Mily yang putih bersih masih cantik seperti dua tahun lepas. Tiada yang berubah melainkan gadis itu semakin cantik dan bergaya. Mungkin kerana ditaja kekasih kaya atau mungkin juga suaminya saat itu. Petang tadi, ya petang tadi, Mily seakan berminat mendengar nyanyiannya. Teringat juga air mata yang mengalir di pipi gadis itu yang dipandang tanpa disengajakan. Air mata apa lagi yang harus tumpah di pipi mu Mily setelah kau menumpahkan air mata orang lain? Atau air mata simpati melihat aku seperti peminta sedekah di situ? Tidak Mily, itu periuk nasiku, juga minat aku yang mendalam. Aku tidak teregeh-egeh untuk menjadi kaya sekelip mata! Aku bukan kau yang gilakan kekayaan dengan mengorbankan hati dan perasaan orang. Kata kau cinta bukan segala-galanya. Namun duitlah yang boleh mengubah cinta. Benarkah prinsipmu itu Mily? Zariff menyoal sendiri.
Zariff mulai bosan bermain dengan kata-kata. Dia cukup penat. Sudah-sudahlah wahai hati! Zariff berbisik sendiri. Kemudian matanya merenung kembali wajah Mily yang tersenyum manis. Wajah itu cukup manis. Namun mengapa saat itu ianya seakan-akan mengejek-ngejek dirinya. Tiba-tiba tanpa disangka-sangka Zariff mengambil potret yang setia di situ dan melemparkannya ke dinding dan jatuh berkecai di lantai. Zariff terduduk di situ. Dia bertekad tidak akan ada lagi gadis itu di hatinya. Biar dia merana, untuk mengharap Mily kembali tidak sesekali. Tidak sesekali! Noktah!

****

“ Zyra, cantik tak aku pakai macam ni?” Mila berpusing-pusing di hadapan Zyra dengan mengenakan skirt berwarna biru bersama baju ketat yang melekat di tubuhnya. Rambutnya yang beralun dilepaskan tanpa sebarang ikatan.

“ Kau pakai apa pun cantik!” Zyra menjawab tanpa memandang. Dia sibuk menyusun sijilnya ke dalam fail untuk di bawa saat interview nanti. Mila yang mendengar mencebik apabila tiada respon yang sepatutnya daripada Zyra.

“ Zyra Liyana..” Mila seakan merajuk. Dia duduk di atas sofa dengan muncung yang panjang. Hilang moodnya sebentar tadi. Besar harapannya mendengar dari mulut Zyra tentang penampilannya itu. Sebenarnya dia tidak yakin untuk menggayakan pakaian itu nanti.
Zyra mendongak memandang wajah Mila yang masih mencuka. Dia mengelengkan kepala melihat telatah Mila persis anak kecil yang inginkan aiskrim.

“ Kau pakai apapun cantik Mila. Tak pakai baju pun cantik!” Zyra menjawab selamba.

“ Betul ni Zyra? Apa Zyra, tak pakai baju? Kau ni, aku tanya betul-betul kau jawab main-main pulak!” Mila sedikit geram. Dia duduk di sebelah Zyra yang masih menyusun sijilnya.

“ Esok kau nak interview jawatan apa?” ujar Mila sambil menyisir rambutnya yang ikal. Dia turut membelek sijil Zyra yang masih bersisa di atas lantai.

“ Kerani..” singkat jawapan Zyra tanpa memandang wajah Mila yang terperanjat bagai beruk mendapat bunga.

“ Kerani? Yang kau beria-ria bawa semua sijil ni nak buat apa? Sijil SPM pun dah cukup Zyra. Takut nanti bila dia lihat sijil kau, langsung tak jadi interview. Maklumlah, kau kan lepasan ijazah. Nanti kerja tak sampai sebulan, kau cabut!”

“ Tak adalah. Bukan mudah nak dapat kerja Mila. Dah macam-macam borang aku isi. Asyik-asyik, ada kekosongan kami hubungi awak! Kalau macam ni selalu, tak kerjalah aku sampai ke tua,” Zyra seakan mengeluh. Matanya lama menatap wajah Mila yang cantik dengan solekan nipis. Pakaian yang digayakannya juga semakin menyerlah apabila dipakai oleh Mila.

“ Kau kenapa pakai macam ni?” Zyra menjungkit kening sambil tersenyum. Wajah Mila yang sedikit kelat sebentar tadi berubah ceria.

“ Erm..kau tahu kan, aku ni kan model. So, minggu depan, majikan tempat aku kerja mahukan aku bergaya seperti ini di hadapan kamera,” Mila bersuara perlahan.

“ Ooo..kau model ek? So kenapa muka tonye macam muka ikan bilis?” Zyra sengaja menyakat.

“ Ala Zyra, takkan kau tak tahu aku ni model. Saja nak kenakan aku! Masalahnya sekarang, pakaian ni lebih dikhaskan untuk remaja. Jadi..kau tak rasa ke aku ni dah tua?” Mila bersuara tersekat-sekat. Tanpa dapat ditahan Zyra ketawa terbahak-bahak. Geli hatinya mendengar pertanyaan Mila.

“ Kau muda apa? Aku tengok kau macam remaja apa. Umur kau berapa sekarang?”

“ 25 tahun..” ujar Mila sambil melayang-layangkan jarinya di hadapan muka Zyra. Geram juga apabila umur yang ditanya oleh gadis itu. Bukannya Zyra tidak tahu berapa umurnya yang hanya setahun lebih tua daripada Zyra.

“ Oklah tu. Bawah dari umur 30 tahun tu dikira remaja lah. Lagipun, jujurlah aku bagi tahu kau, kau ni cantik Mila. Kalau tak cantik aku pun tak nak kawan!” Zyra tergelak kecil. Seronok benar dia menyakat Mila yang kelihatan bengang dengan sikapnya.

“ Mila, aku dahagalah!”

“ So?”

“ Tolong buatkan boleh?” Zyra tersengih mempamerkan giginya yang tersusun rapi.

“ Ada-ada je kau ni. Oklah..sebab kau kata aku cantik, aku buatkan!” Mila bangun menuju ke dapur untuk membuat minuman panas. Dia tersenyum sendiri mengenangkan pujian Zyra terhadapnya. Bukan hanya Zyra yang memuji kecantikannya, malah berapa ramai lelaki di luar sana yang menabur cinta kepadanya. Semuanya bagaikan tiada erti apabila cinta mereka hanya kerana nafsu semata-mata.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.