Bab
4
Saat
kereta terpakir kemas di dalam garaj rumah banglo dua tingkat itu, Zyra pantas
keluar dan berlari memanggil kak Lia. Dia cukup yakin suami kakaknya, Iskandar
tiada di rumah apabila kereta Ferrari mewah milik lelaki itu tidak kelihatan di
situ..
Mila yang masih berada di
dalam kereta tekocoh-kocoh keluar selepas meriaskan wajahnya yang tidak
berbedak. Pantang baginya keluar tanpa sebarang mekap. Tiada standard katanya.
“ Kak Lia, kak Lia,” Zyra memanggil kuat. Pantas pintu utama ditolak
dari luar. Pintu itu ternyata tidak berkunci. Sudahlah pintu pagar juga tidak
tertutup. Pasti abang Iskandar punya hal! Getus Zyra geram. Zyra melangkah
masuk. Kelibat kak Lia tidak kelihatan di ruangan tamu. Kemudian dia mengendap
ke dapur, namun tiada sesiapa di situ. Pantas dia terdengar tangisan Hana di
tingkat atas. Tanpa berlengah, Zyra berlari laju menaiki anak tangga dan masuk
ke bilik kakaknya. Kelihatan Amelia
bersandar di dinding sambil menangis.
Mila yang baru melangkah masuk
turut berlari menaiki anak tangga ke tingkat atas. Sampai di bilik kak Lia,
matanya pantas melihat Zyra yang memeluk kak Lia dengan kemas. Wanita manis itu
menangis teresak-esak sambil membalas pelukan Zyra. Hana, anak kak Lia yang
berumur kurang dari setahun turut menangis di atas riba ibunya.
“
Kak Lia kenapa biarkan abang Iskandar pukul kak Lia? Ni dah melampau!”
soal Zyra sambil menilik bengkak di dahi kakaknya. Hana yang menangis dipujuk
lembut. Pantas Mila mendukung anak kecil itu sambil menghulurkan botol susu
yang berada di atas katil.
“ Abang Is kata nak berubah,” Amelia
bersuara hiba. Air matanya laju mengalir melalui tubir mata. Zyra mengetap
bibir. Berapa kali abang iparnya itu berjanji. Berjanji tidak akan memukul
kakak kembarnya. Berapa kali Iskandar meminta maaf? Ah! Janji jantan tak guna!
“ Sampai bila kak Lia nak biar abang
Is berjanji? Sampai Kak Lia dah tak bernyawa? Atau sampai Hana, anak kak Lia
turut menjadi mangsa?” Zyra tidak mampu menahan kemarahannya. Pantas dia
mendail seseorang.
“ Zyra nak call siapa?” tanya Amelia
dengan hati yang gelisah.
“ Call polis!” ujar Zyra pantas.
Amelia bangun dan menghalang Natasya.
“ Jangan Zyra. Walaupun nyawa kak
Lia melayang, belum tentu dapat membayar hutang abang Is pada kak Lia. Kak Lia
mintak Zyra jangan buat akak macam ni,” rayu Amelia sambil menitiskan air mata
lagi. Mila yang mendengar mengelengkan kepala. Hutang apa yang lebih penting
dari nyawa seorang ister?
“ Hutang apa kak Lia? Takkan makan
pakai, tempat tinggal akak dikira
hutang! Berapa dia minta akak bayar?” soal Zyra keras. Panas hatinya tidak
dapat ditahan lagi. Wajah Amelia yang pucat dipandang dengan perasaan simpati.
Kasihan dia melihat kakaknya yang dulu ceria dan lincah kini dirundung malang.
Cinta jenis apa dia sendiri tidak tahu!
Zyra melabuhkan punggungnya di
atas katil. Mila yang penat berdiri turut duduk di sebelah Zyra. Amelia yang
menyandar ke dinding hanya mendiamkan diri walaupun air mata masih membasahi
pipi.
“ Zyra takkan faham. Inilah ujian di
dalam rumah tangga. Ada badainya. Ada pasang dan surutnya,” Amelia bersuara
perlahan.
“ Masalahnya kak Lia, perkara ni
berlarutan dah agak lama. Seingat Zyra hanya sebulan selepas kak Lia kahwin.
Kak Lia isteri abang Is, bukan seorang hamba. Sebagai isteri, kak Lia kena tahu
hak kak Lia. Bukan membiarkan abang Is memukul akak sesuka hati!” Zyra geram
dengan pendirian kakaknya. Walau teruk mana dipukul, Amelia tetap memenangkan
Iskandar. Apa yang disorokkan oleh Amelia sebenarnya.
“ Akak tahu Zyra. Akak ,minta maaf
sebab banyak susahkan Zyra,” Amelia merasa bersalah. Sakit tubuhnya belum
hilang kerana dibantai oleh Iskandar sesuka hati. Zyra hanya mengeluh dengan
sikap Amelia.
“ Pasal apa dia pukul kak Lia?” Zyra
bersuara lembut. Mila yang sibuk melayan Hana hanya memandang penuh simpati.
Sesekali Hana merengek kecil. Kadang kala anak kecil itu ketawa riang. Mila
cukup suka melayan karenah anak Amelia yang begitu comel dan manja.
“ Akak tegur dia sebab selalu
pulang awal pagi. Kadang kala tak balik langsung. Yang dia marah sangat, malam
ni akak tak masak sebab dia selalu makan dekat luar. Manalah akak tahu malam ni
dia berubah angin pulak. Entahlah Zyra,
hidup akak memang mewah dengan duit, tapi kurang kasih sayang dan perhatian.
Tapi akak bersyukur sebab Iskandar sayang pada Hana. Dia tidak pernah angkat
tangan di atas tubuh Hana,” Amelia tersenyum tawar.
Zyra menarik nafas panjang.
Perlukah seorang suami keluar dari rumah sehingga tidak ingat jalan pulang ?
Takut Zyra memikirkannya. Iskandar dan Azrol adalah dua lelaki yang pengecut
kerana mempermainkan hati perempuan. Mungkinkah juga sukar mencari lelaki yang
baik? Entah di mana mereka bersembunyi!
“ Kak Lia, jom Zyra bawa akak pergi
klinik. Kemudian, kita balik rumah mak,” Zyra memberi cadangan. Amelia pantas
mengelengkan kepala. Memang Zyra tahu permintaannya akan ditolak. Kak Lia cukup
takut andainya orang tua mereka tahu tentang kebejatan menantu kaya mereka itu.
Bagi mereka, Iskandar adalah menantu yang sempurna. Zyra juga diingatkan supaya
mencari bakal suami seperti Iskandar. Mati, hidup balik tak akan aku cari
lelaki seperti itu! Syaitan yang bertopengkan manusi. Desis Zyra sendiri.
Zyra bangun dan memimpin
tangan Amelia untuk turun ke tingkat bawah. Mila pula pantas mendukung Hana
yang merengek-rengek kecil apabila diacah oleh Mila. Mila tersengih sendiri dan
membuat muka selamba apabila dijeling oleh Zyra.
“ Abang Iskandar mungkin tak pulang
malam ni,” Amelia bersuara sayu. Hati Zyra turut merasai ksedihan itu. Air
matanya cuba dikawal. Namun tanpa disedari jatuh juga membasahi pipi. Dia
memegang erat tangan Amelia yang bersusah payah untuk berjalan kerana menahan
kesakitan. Ingin dia menjadi pengganti Amelia saat itu agar kesakitan itu hanya
dia yang merasainya. Zyra sanggup menahan kesengsaraan itu dari melihat
kakaknya terseksa.
Sampai di bawah, Zyra menyuruh
Amelia duduk dan dia bergegas ke dapur untuk mengambil air. Dia termenung buat
seketika. Bibirnya digigit kuat. Kali ini air matanya merembas laju. Sukar
rasanya melihat keadaan Amelia yang sentiasa menjadi mangsa sepak teranjang
Iskandar. Setahu Zyra, Amelia berkahwin kerana cinta. Kata Amelia, Iskandar
adalah cinta hatinya. Namun kenapa begitu sekali hadiah yang diberi atas nama
cinta selepas menjadi isteri kepada lelaki itu.
“ Sabarlah Zyra. Kita doakanlah yang
terbaik untuk Amelia. Mungkin suatu hari nanti, Iskandar akan berubah.
Banyakkan bersabar ok!” Mila menepuk lembut bahu Zyra. Zyra menganggukkan
kepalanya dan menyapu air mata yang masih bersisa. Dia mengeluarkan air mineral
yang berada di dalam peti dan mengambil secawan air suam lalu dibawa ke ruang
hadapan.
“ Zyra teman kak Lia ya malam ni,”
Amelia memandang penuh harapan.
“ Esok Zyra baru start kerja. Takut
terlewat pulak! Ahad ni, Zyra dan Mila tidur kat sini. Tu pun kalau abang Is
tak ada,”Zyra memberi kata putus. Wajah Amelia sedikit hampa namun tersenyum
apabila disakat oleh Mila.
“ Abang Is ada atau tidak, kami
tetap datang tidur rumah Lia,” Mila melemparkan senyuman manis. Zyra yang
meneguk air hanya menganggukkan kepala tanda mengiakan kata-kata Mila. Kemudian
dia menghulur air suam kepada Amelia.
“ Kita pergi klinik dulu cari ubat
untuk kak Lia. Mana tahu ada tempat yang terseliuh. Mana kita tahu,” Zyra
memberi cadangan.
“ Kak Lia okeylah. Jangan risau.
Nanti hilanglah sakitnya. Zyra nak balik, baliklah. Dah lewat malam. Esok kerja
kan?” Amelia mengingatkan Zyra. Dia mengambil Hana daripada Mila yang masih setia
melayan karenah anaknya. Pantas wajah Hana dikucup lembut.
Zyra menganggukkan kepala dan
bangun. Tubuh Amelia dipeluk lama. Mila
juga turut bangun dan menyalami Amelia selepas terlepas dari dakapan Zyra.
“ Apa-apahal, kak Lia call Zyra.
Ahad nanti Zyra datang,” Zyra memberi harapan kepada Amelia yang mengharapkan
kehadirannya. Kemudian dia dan Mila beriringan ke muka pintu sebelum meloloskan
diri ke dalam kereta Persona milik Mila. Amelia yang melihat dengan sayu
melambai tangannya kepada mereka. Saat kereta meluncur keluar dari garaj, Mila
membunyikan hon beberapa kali. Manakala Zyra pula masih membalas lambaian
Amelia sehingga hilang dari pandangannya.
****
Zariff terkebil-kebil melihat kipas yang berputar di
atas kepalanya. Matanya sukar benar untuk terlelap. Entah apa yang bergayut di
matanya, Zariff sendiri tidak tahu. Zariff bangun menuju ke dapur dan
mengeluarkan sebiji buah epal untuk dimakan. Kemudian dia melangkah ke ruang tv
dan berbaring di atas sofa empuk yang berada di situ.
Wajah Danial tidak menampakkan
bayang. Entah ke mana melepak, Zariff sendiri tidak pasti. Mungkinkah juga
Danial sibuk memikat gadis ketika itu. Sempat Zariff membuat andaian.
“ Aku balik!” Danial menolak pintu
tanpa salam. Zariff yang asyik menguyah epal hijau hanya memandang melihat
wajah ceria temannya.
“ Lama kau minum kat kedai. Tak
jumpa jalan ke?” perli Zariff sambil
mengambil remote tv. Pantas dia mencari siaran yang menarik. Entah kenapa
semuanya tidak menarik perhatian. Danial yang ceria sebentar tadi mencebik
tidak puas hati.
“ Aku main caturlah dengan pakcik
kedai depan sana tu. Kau apahal tak tidur lagi? Tadi kata penat?” Danial
melangkah masuk selepas membuka kasut lusuhnya. Pantas dia mencapai buah epal
di tangan Zariff, namun ternyata dia tersilap cara. Pegangan Zariff cukup kuat.
“ Eleh! Aku boleh ambik sendirilah
dalam peti!” Danial menarik muka sepuluh sen. Kemudian dia bergegas ke dapur.
Zariff tersenyum sendiri menahan geli hati. Kemudian Danial datang dengan
jelingan maut.
“ Dah habis kenapa tak cakap? Kau ni memanglah Zariff.
Bawak-bawaklah tidur. Tak payah nak ingatkan Mily tu!” Danial terlepas cakap.
Kemudian dia berlari ke biliknya melihat Zariff bangun dengan jelingan maut
juga. Dia tergelak kecil di biliknya kerana berjaya membuatkan lelaki itu naik
darah dengan sikapnya. Kedekut lagi! Getusnya sendiri.
Zariff yang berada di luar mengetap bibir. Buah epal
yang masih bersisa dibaling ke dinding. Susah benar dia menghalau bayangan
gadis itu. Begitu mudah pula Danial mengingatkannya. Kurang ajar punya Danial!
Zariff menahan geram.
Zariff benar-benar
buntu. Permainan apa yang sedang diatur oleh Mily sebenarnya. Jika Mily
bertarik tali dengannya, tidak mungkin dia akan mengaku kalah sekali lagi.
Namun untuk menyintai Mily kembali mungkin terlalu sukar. Walaupun cinta itu
masih di hati, namun hati itu sudah terlalu pedih. Jika nama Mily masih hidup
di dalam jiwanya, jiwanya juga sudah cukup sengsara. Tidak mungkin dia mencari
nahas dengan mengingati gadis itu lagi. Mengingati samalah dia mengundang
padah. Mungkin!
Zariff melangkah masuk
ke bilik. Mungkin hari esok akan ada
jawapannya. Antara sengsara atau bahagia, Zariff hanya menyerahkannya kepada takdir. Dia pernah
tersandung sekali, namun kali ini dia tidak sanggup menghadapinya lagi. Andai
Mily yang bermain dengan hati, biarlah dia pula yang tersungkur nanti kerana
terlalu mudah mempermainkan hati dan perasaan orang. Biar gadis itu tahu
tentang erti sebuah cinta! Dan bagaimana untuk bercinta! Bukan hanya mengira
harta untuk membeli perasaan orang.
Zariff membalikkan
tubuhnya ke atas tilam empuk. Dia menutup mata dan cuba menghalau segala
kekusutan. Namun ternyata gangguan itu nyata memusuhinya. Teringat lagi Zariff
perkenalannya dengan Mily dua tahun yang lepas setelah mereka berhimpit di
dalam LRT menuju ke KL CENTRAL. Dari bertanya nama, bertukar nombor telefon dan
akhirnya membuahkan bibit-bibit cinta di antara mereka. Hampir setahun hubungan
mereka, tiba-tiba Mily datang untuk memutuskan hubungan.
“ Mily minta maaf Zariff. Mily terpaksa
terima dia!” ujar Mily apabila penyebab hubungan mereka harus diputuskan. Kata
Mily, lelaki itu juga menyintainya walaupun tiada sekelumit cinta di hatinya
untuk lelaki itu.
“ Apa lebihnya dia?” Zariff seakan tidak
percaya dengan keputusan kekasih hatinya untuk mengahwini lelaki lain sekelip
mata. Itupun tanpa cinta! Puas dia menunggu saat dan waktu untuk dipertemukan
dengan orang tua Mily, mengenali Mily dengan sesungguhnya dan melamar gadis itu
menjadi suri di dalam hatinya, namun segalanya musnah begitu sahaja.
“ Zariff takkan faham!” Mily membentak sambil
menitiskan air mata.
“ Kerana dia berduit? Macam tu?” Zariff bersuara
kasar. Hilang hormatnya terhadap gadis itu.
“ Duit adalah segala-galanya!” getus Mily
perlahan namun begitu jelas di telinga Zariff. Zariff tersenyum sinis. Barulah dia tahu gadis polos
seperti Mily hanya tahu menerima dan menolak cinta sesuka hati. Cinta gadis itu
akan hilang apabila harta dunia di hadapan mata. Ah! Mudahnya duit membeli
cinta.
“ Jadi, cinta kita tak ada harga? Tentang
duit, Zariff boleh cari! Berapa Mily nak?” jerkah Zariff mula hilang sabar.
Tidak disangkanya Mily gadis mata duitan!
“ Zariff tak akan faham! Untuk mendapatkan
sesuatu yang bernilai, kita juga harus berkorban! Maafkan Mily,” Mily berlalu
tanpa mengerti luka di hati Zariff. Kasih sayang yang Zariff semai begitu mudah
dimusnahkan sekelip mata.
“
Untuk mendapatkan sesuatu yang bernilai, kita juga harus berkorban. Tapi
bukan cinta Mily!” Zariff bersuara apabila kenangan itu hilang entah ke mana
dan beberapa saat kemudiannya, Zariff mula terlena bersama mimpi yang tidak
pasti.