Home Novel Cinta Dia, Jodohku Rupanya
Dia, Jodohku Rupanya
Amylieyhaizani
9/3/2014 02:03:54
74,560
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

Bab 16

Jam 12.45 pagi, Dato’ Azman menunjukkan diri di Jaya Idaman. Senyuman manis dilemparkan kepada pekerja syarikatnya. Azura yang belum hadir ke pejabat kerana masalah kesihatan dinasihatkan bercuti pada hari itu. Zyra selaku Setiausaha dipanggil dan meminta gadis itu bersabar dengan karenah anaknya ynag mungkin menyebabkan Zyra tidak selesa.
Kemudian lelaki separuh abad itu meminta diri dan berharap staf-stafnya dapat menjalankan kerja dengan sempurna demi kemajuan syarikat. Zariff yang berada di sudut hanya memandang tanpa respon sebelum mencuri pandang kepada Zyra. Wajah Zyra yang putih bersih dan bujur itu dipandang lama sebelum disedari oleh Linda. Pandangan lelaki itu kepada Zyra menyebabkan Linda terkekeh kuat. Pantas Zariff mengalihkan pandangan. Mengacau je! Desis Zariff sendiri.

“ Zyra..” panggil Linda perlahan. Risau jika dikatakan mulut murai dan dicop sebagai stesen TV tidak berbayar oleh staf lain.

“ Kenapa Linda?” Zyra tiada mood melayan.

“ Si Zariff tu aku tengok, dia macam berkenan je kat kau!” Linda bersuara galak. Seronok benar dia membawa cerita sensasi.

“ Banyaklah dia suka kat aku ni Linda..hari-hari kena perli! Mana kata sukanya??” Zyra tidak berminat. Dia pasti Zariff tidak menyukainya walaupun tanpa sebarang sebab. Linda yang mendengar kehilangan modal. Sudahnya, dia meneruskan kerjanya yang berada di atas meja.

“ Zyra, jom nak tak nak keluar rehat ke?” soal Nadia dan Amy. Kak Mona yang juga berlalu untuk keluar turut menyapanya.

“ Tak apalah..aku nak siapkan kerja yang masih banyak ni! Kauorang pergilah ya!” Zyra memberi alasan. Mereka semua menganggukkan kepala sebelum pergi. Linda yang terkocoh-kocoh bangun berlari mengejar mereka. Zyra hanya mampu melihat. Entah kenapa, dia malas pula untuk keluar lunch. Sudahnya, dia meletakkan kepala di atas meja untuk merehatkan minda.

****

Di suatu sudut yang berada di Kafe itu, Dato’ Azman ralit berbual dengan Yusuff tentang perjalanan syarikat. Melihat kepada gaya lelaki separuh abad itu, dia cukup berkenan dengan semangat dan kesungguhan lelaki di hadapannya itu.

“ Tentang Azura, Uncle berkenan untuk satukan dengan Yusuff. Tapi tak tahulah pulak uncle kenapa dia menolak!” Dato’ Azman menutur kata. Teringat pula dia akan sikap Azura yang sering menolak apabila ingin digandingkan dengan Yusuff. Apa yang kurang kepada anak kawan baiknya itu? Semua ciri lelaki idaman ada bersama Yusuff. Apalagi yang dikejar!

“ Tak apalah uncle. Mungkin Azura tu segan agaknya. Lagipun, saya dan dia membesar pun bersama. Masa kecil-kecil dulu rapat sangat. Sekarang, dah boleh berfikir, agaknya saya ni tak cukup sifat pada pandangan mata dia,” Yusuff tergelak kecil. Sebenarnya hatinya beratakan apabila mengenangkan sikap Azura kepadanya. Besar harapannya untuk bersama gadis itu. Namun siapalah dia untuk menolak takdir atau jodoh yang mungkin bukan miliknya.

“ Sabarlah Yusuff! Mungkin satu hari terbuka hatinya. Kata orang, nak dapatkan sesuatu, bukannya mudah. Apalagi untuk dijadikan pasangan hidup. Kalau boleh, jodohnya biarlah sampai ke syurga! Tak macam tu?” Dato’ Azman bijak bermain kata. Sebenarnya dia tidak mahu Yusuff tawar hati dengan Azura.

“ Tak apalah uncle. Jika jodoh dia untuk saya, tak akan ke mana-mana. Cuma uncle restuilah kami berdua. Insya’Allah..mudah segala urusan!” Yusuff cukup beradab bila bercakap dengan orang yang lebih tua.

“ Oklah Yusuff! Uncle tak boleh lama-lama. Kalau nak jumpa Azura, datanglah ke rumah. Dia tak sihat tu!” ujar Dato’ azman sambil bangun diikuti Yusuff.

“ Insya’Allah uncle. Malam nanti saya datang. Kirim salam pada Auntie,” Yusuff menghulur tangan untuk bersalam. Selepas kelibat lelaki itu tidak lagi kelihatan, matanya terarah kepada pekerja Jaya Idaman yang bergelak ketawa. Tiada Zyra ataupun Azura. Ah! Kenapalah aku tak tahu Azura tak sihat? Yusuff mula dilanda kekesalan.

****

Zyra yang terlena di tempat duduknya terpisat-pisat bangun apabila mejanya diketuk oleh seseorang. Pantas matanya menagkap wajah Zariff yang tersenyum sinis. Apalah mamat sekor ni nak agaknya! Getus Zyra sambil mengesat matanya.

“ Macam manalah kau ni! Datang kerja membuta. Apalah Azura tu pandang kau sampai ambik kau jadi PA dia?” Zariff seolah-olah sengaja mencari penyakit. Wajah Zyra yang mencuka dipandang lama. Seronok betul dia menyakat! Apa yang penting dia suka melihat Zyra marah. Comel! Getusnya.

“ Kalau kau nak jawatan ni, aku boleh letak jawatan! Boleh kau berkepit dengan buah hati kau tu!” Zyra melepas kata. Jika Azura mendengar pasti terkeluar taringnya yang tersembunyi. Tapi mengenangkan sakit hatinya kepada Zariff, dibiarkan sahaja mulutnya menghembur kata sesuka hati.

“ Kalau aku sukakan kau? Bukan Azura?” Kau suka tak?” Zariff seakan menduga. Kemudian dia memandang ke tempat lain. Kenapalah mulut aku cabul sangat!

“ Sudah-sudahlah Mr Gitaris, kau pergi buat kerja kau! Jangan kacau aku!” balas Zyra tidak suka diuji.

“ Sekejap kau panggil aku Mr Gitaris, sekejap kau panggil aku mamat poyo! Kau ni ada penyakit ke apa?” Zariff pula meradang. Mentang-mentang dia suka menyanyi dan bermain gitar menghiburkan orang, sesuka hati gadis itu memberi nama kepadanya sesedap rasa.

“ Syukurlah! Sekurangnya aku tak panggil kau mamat senget! Sudahlah! Malas layan kau!” Zyra bangun untuk ke tandas. Malas dia melayan angin Zariff yang tidak menentu. Silap haribulan dia yang berangin barat. Barulah kecoh!

“ Sekurang-kurangnya aku masih tahu hormat kau walaupun kau dah puas sakitkan hati aku!” suara Zariff mulai kendur dan berlalu meninggalkan Zyra yang mengetap bibir. Merepek lagi mamat sekor ni! Getus Zyra dan berlalu ke tandas. Dia menilik wajahnya di hadapan cermin. Apa yang tidak kena dengannya? Ah! Bosan! Jerit Zyra di dalam hati.

****

Yusuff yang duduk termenung di pejabatnya teringatkan Azura yang tidak sihat. Pantas dia menghubungi gadis itu untuk bertanya khabar. Namun dia sedikit hampa apabila panggilannya dimatikan serta-merta. Habis bateri atau gadis itu sengaja mematikan panggilannya? Yusuff tidak senang duduk. Dia ke hulu ke hilir sebelum memandang ke luar bangunan yang menampakkan pembangunan di kawasan Petaling Jaya. Sekali lagi dia menghubungi Azura. Sudahnya hanya desus nafasnya sahaja yang kedengaran. Tiba-tiba satu pesanan masuk ke dalam telefon bimbitnya. Pantas Yusuff membaca dengan senyuman.

- Saya sihat. Tapi malas nak masuk kerja!- Yusuff tersengih melihat keegoan Azura. Bukannya dia tidak tahu gadis itu tidak sihat, sedangkan Dato’ Azman telah memberitahu kepadanya di Kafe tadi.

- Yeke? Kenapa tak datang? Saya rindu kat awak..-Balas Yusuff penuh makna.

- Jangan nak memandai-mandai rindu saya pulak! Awak ada jumpa Zariff?- soalan Azura melenyapkan terus senyuman Yusuff. Dia yang beria-ria, lelaki lain yang disebutnya.

Yusuff meletakkan telefonnya di atas meja. Soalan Azura dibiar tanpa jawapan. Hilang terus moodnya untuk bekerja hari itu. Dia duduk di kerusi dan membelek-belek fail yang masih belum ditandatanganinya. Yusuff berkira-kira untuk pulang setelah melihat jam di tangannya hampir jam 3.30 petang. Terdetik di hatinya untuk melawat Azura malam nanti. Itupun jika dia diberi kekuatan dari Yang Maha Kuasa. Apa yang paling penting, kedatangannya janganlah dipandang sebelah mata oleh Azura. Jika tidak, pasti dia akan merasa kecewa lagi entah untuk ke berapa kali.Tiba-tiba pesanan masuk sekali lagi memasuki telefonnya. Pantas Yusuff membacanya..

- Kirim salam saya kepada Zariff-

Dan Yusuff mematikan terus keinginannya untuk melawat Azura kerana jawapannya telah ada! Azura tidak memerlukan kehadirannya saat itu. Dan itu Yusuff cukup pasti.

****

Azura berdiri di tepi jendela setelah meletakkan telefonnya di atas sofa. Pandangannya lama menatap pandangan luar. Tiada apa-apa yang menarik melainkan rasa bosan yang menyelimuti dirinya saat itu. Tubuhnya yang lemah masih terasa sehingga menggigit ke tulangnya.

“ Yusuff call Zura ke?” soal Datin Shafiqah sambil menghampiri Azura dan menjamah dahi anaknya itu. Masih terasa panas! Getusnya sendiri. Wajah anak manjanya dipandang lama. Pantas dahi Azura dikucup lembut.

“ Erm…entah apa yang dia nak tak tahu. Asyik kacau Zura je!” balas Azura sambil melangkah dan duduk di atas sofa. Dia membelek-belek majalah wanita yang berada di atas meja. Tiada apa yang menarik pada pandangan matanya. Kemudian dia mengambil remote tv dan mencari siaran yang sesuai.

“ Tak baik Zura cakap macam tu. Kalau Yusuff dengar, pasti dia kecewa. Zura dan dia kan kawan baik dari kecil,” ujar Datin Shafiqah tidak senang dengan kata-kata anaknya. Besar harapannya untuk menjadikan Yusuff sebagai menantu. Lelaki itu terlalu baik dan layak untuk dijadikan sebagai suami anak tunggalnya itu.

“ Kawan baik masa dulu mama..bukannya sekarang. Malaslah Zura nak couple dengan Yusuff tu! Macam tak sesuai!” Azura menambah. Datin Shafiqah yang mendengar tergelak kecil. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Azura. Azura yang mendengar ketawa mamanya mencebik tidak berpuas hati.

“ Dulu, Zura juga yang beria-ria nak kahwin dengan Yusuff bila besar kan? Sekarang Zura pula yang menolak!” ujar datin Shafiqah mengenakan anaknya.

“ Mana ada! Mama ni saja nak kenakan Zura,” Azura tidak senang mendengar kenyataan itu. Jika digandingkan dengan Zariff okey juga! Seharian, sebulan atau setahun, dia sudi menadah telinga dan akan bersetuju jika hendak dijodohkan bila-bila masa sahaja. Yang pasti bukannya dengan Yusuff ! Azura tersenyum sendiri mengingati Zariff. Rindu mula bercambah di hatinya walaupun baru sehari tidak berjumpa lelaki itu.

“ Ah tu, tersenyum sorang-sorang! Teringat Yusuff lah tu!” Datin Shafiqah masih menyakat. Azura yang teringatkan Zariff menarik nafas. Tak habis-habis nama Yusuff di sebut-sebut.

“ Mama..no Yusuff, okey! Sekarang Zura nak masuk bilik berehat! Kalau Yusuff datang, cakap Zura tak ada! Habis cerita!” Azura mencapai telefonnya dan bangun melangkah menuju ke bilik tidur. Malas dia berlama-lama di situ. Jiwanya pasti merasa sakit mendengar nasihat mamanya yang tidak sudah. Terima Yusuff! Yusuff tu baik! Layak dijadikan suami. Tak ada dah lelaki baik macam tu! Zura nak lelaki macam mana lagi! .Ah! tension..
Azura memandang lama telefonnya. Hubungi Zariff atau tidak? Kalau call, dia tak angkat, macam mana? Nanti aku juga yang terasa! Azura berkira-kira sendiri. Erm…Azura mencari nombor Zariff dan menghubunginya dengan debaran di dada. Kemudian dia memutuskan panggilannya. Pasti Zariff tidak senang diganggu setelah berada seharian di pejabat!
Tiba-tiba telefon Azura menjerit meminta diangkat. Pantas Azura menjawab dengan senyuman di bibir tanpa melihat nama pemanggilnya. Sangkanya, Zariff yang menghubunginya.

“ Assalamualikum…awak sihat Zura?” kedengaran suara Yusuff di corong telefon. Azura mencebik dan menarik nafas panjang. Hilang rasa terujanya sebentar tadi. Dia tidak ingin berbual dengan Yusuff. Takut juga kata-kata mamanya menjadi kenyataan. Kahwin dengan Yusuff! Yusuff layak jadi suami. Argh..pening-pening! Azura mendiamkan diri buat seketika.

“ Apahal awak call I ni?” soal Azura acuh tak acuh. Wajah Yusuff terbayang di mata.

“ Sebagai orang islam, kita wajib menjawab salam walaupun kita tak suka pada orang tu!” Yusuff mengingatkan Azura. Suaranya kedengaran begitu tenang walaupun di hatinya tiada siapa yang tahu. Azura yang mendengar mengucap di dalam hati. Nampak sangatkah dia begitu membenci Yusuff? Bukan benci tapi tak cinta! Sempat Azura menukar fikirannya.

“ Waalaikumussalam..maaf Yusuff.. I lupa nak jawab!” Azura memberi alasan.

“ Awak dah sihat belum?” soal Yusuff tanpa mengambil hati dengan sikap Azura.

“ Kan saya mesej tadi, saya cakap saya tak sakit! Awak ni kenapa? Muda-muda dah hilang ingatan!” Azura melepaskan kemarahannya. Hilang rasa bersalahnya sebentar tadi. Lelaki itu seolah-olah sengaja menaikkan darahnya. Bukannya Yusuff tidak tahu panas barannya yang tidak menentu. Apa lagi untuk melayan perkara kecil seperti itu. Uh! Bosan..

“ Kalau tak sakit, baguslah..I nak ajak you keluar ni! Mama you pun tak kisah!” ujar Yusuff penuh yakin. Azura yang mendengan mencebir sendiri. Perasanlah tu! Mama pun satu! Asyik sangat sebelahkan Yusuff. Sekarang, cakap orang pun tak nak dengar. Alasan, kawan baik! Memang dia dan Yusuff berkawan baik. Tapi itu dulu! Zaman dia dan Yusuff masih tidak mengerti erti perhubungan dua hati. Sekarang semuanya sudah berubah. Dalam hatinya hanya ada Zariff! Zariff Irfan.. Azura berkira-kira sendiri. Dia mendiamkan dirinya tanpa menjawab soalan Yusuff yang setia menanti dengan penuh harapan.

“ I tak sihatlah Yusuff! Mungkin lain kali ya!” Azura menjawab spontan. Lupa dia dengan kenyataannya sebentar tadi. Pasti Yusuff menanggap dia seorang penipu.

“ Tadi kata sihat! Lepas tu you cakap I lupa ingatan sebab tanya you sihat atau tidak! Sekarang you cakap you sakit pulak! You ni, agaknya sakit rindu pada si Zariff tu kan?” Yusuff pula hilang sabar. Azura yang mendengar menggigit bibir. Yusuff ni dah lebih. Suka hatinya je nak marah-marah aku! Dia ingat dia siapa? Macam bagus sangat! Azura menarik nafas.

“ Suka hati I lah nak ingat Yusuff ke! Zariff ke! Mamat ke! You apa peduli! Malas I nak layan You, Yusuff! Elok-elok I nak keluar, You buat I naik darah! Dah! Bye bye..” talian diputuskan dengan kasar. Puas hatinya dapat memarahi lelaki itu. Suka-suka nak babitkan nama Zariff. Dah dia yang aku minat! Getus Azura sambil membalikkan tubuhnya ke atas tilam. Matanya terkebil-kebil memandang siling biliknya. Wajah Zariff dan Yusuff datang silih berganti. Yang satu menunggu, yang satu lagi ditunggu..Yusuff tunggu aku, aku tunggu Zariff! Dan Zariff tunggu siapa? Azura menutup mata menghilangkan pening yang mula bermain di kepalanya. Apa yang pasti, esok dia akan pergi ke pejabat. Tidak boleh tidak!

Previous: Bab 15
Next: Bab17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.