Home Novel Cinta Dia, Jodohku Rupanya
Dia, Jodohku Rupanya
Amylieyhaizani
9/3/2014 02:03:54
74,451
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab19

Bab 19

Keadaan Pasar Seni pada hari sabtu kelihatan sesak berbanding hari-hari biasa. Di suatu sudut, kelihatan Zariff bersama gitarnya dan mendendangkan lagu nyanyian kumpulan Republik yang bertajuk Izinkan Aku Menyintaimu. Suaranya yang sedap didengar menarik perhatian sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu. Asyik mendendangkan lagu, seorang gadis menghampirinya dengan senyuman manis. Dia melabuhkan punggung berdekatan Zariff dan menghayati bait-bait lagu tersebut tanpa mengganggu lelaki itu menyumbangkan suaranya..
Setelah selesai menghiburkan orang ramai, Zariff bangun dan berlalu dari situ. Pantas gadis itu memegang erat tangannya. Pantas juga Zariff menepis kasar. Wajahnya yang tenang kini mula berkedut seribu. Bosan dia diganggu setiap masa oleh Azura yang tidak habis-habis mengacaunya.

“ Zariff, I nak ajak you keluar!” Azura cuba membuang perasaan sedihnya kerana diperlakukan begitu oleh orang yang dicintainya. Dia memandang dengan penuh harapan.

“ Saya sibuk cik Azura! Tak ada masa. Apa kata cik Azura ajak je Yusuff! Saya rasa dia sukakan cik Azura!” balas Zariff tanpa memberi peluang. Wajah Azura berubah bila nama Yusuff pula dikaitkan oleh lelaki itu. Azura menarik nafas. Dia cuba bersabar dengan karenah Zariff yang seakan menguji hati dan perasaannya. Dia perlukan Zariff dan bukannya Yusuff!

“ Kenapa you tak suka pada I Zariff? Apa kurangnya I ?” soal Azura dengan suara yang mula tenggelam. Sebak mula bermukim di dadanya. Zariff yang mendengar mengigit bibir. Dia memandang sekeliling Pasar Seni. Tiba-tiba matanya terarah kepada seseorang. Pantas dia menuju kepada Zyra yang kelihatan bersama dengan seorang lelaki. Wajah gadis itu yang masam mencuka dapat dilihat dengan jelas olehnya. Zariff memandang dan mencuri dengar apa yang dikatakan oleh Zyra kepada lelaki yang tidak dikenalinya. Sesekali dia memandang kepada Azura yang menunduk dan duduk di atas sebuah bangku di hujung sana.

****
“ Awak ni gila talak ke apa Azrol? Berapa kali saya cakap, saya dah tak suka awak! Awak tak faham bahasa?” Zyra bersuara keras. Entah bagaimana dia boleh terserempak dengan Azrol di situ. Niat hati ingin mencuci mata berubah dengan menyakitkan matanya melihat muka tidak bersalah lelaki itu.

“ Bagi aku satu peluang lagi Zyra! Aku janji..” kata-kata Azrol terputus di situ apabila melihat jelingan Zyra.

“ Janji apa? Janji sakitkan hati saya? Peluang apa lagi? Awak yang dah buang saya, sekarang awak nak ambil balik? Begitu mudah?” Zyra mula hilang sabar. Sesekali matanya melilau mencari kelibat Zariff. Mana tahu dia ada menyanyi di situ.

“ Kita keluar nak?” Azrol begitu mengharap kehadiran Zyra dalam hidupnya kembali.

“ Dah ni bukan keluar? Sudah-sudahlah Azrol! Malam nanti saya nak pergi I-City dengan Mila. Kalau awak tak malu, jomlah ikut!” Zyra sengaja menyakiti hati Azrol.

“ Berilah peluang sekali lagi Zyra! Tiada manusia yang tak buat silap!” balas Azrol lagi.

“ Sudahlah! Tak payah nak merayu-rayu. Saya dah ada pengganti awak Azrol! Sekarang saya nak balik!” Zyra cuba berlalu sebelum ditarik seseorang.

“ Hai sayang! Dah lama tunggu?” Zariff melempar senyuman sambil menjeling kepada Azrol yang masih berada di situ. Wajah Zyra kemerahan secara tiba-tiba. Bagaikan mimpi Zariff berada di hadapannya. Itupun memanggil dirinya sayang.

“ Patutlah kau tak dapat terima aku semula Zyra! Cepat benar kau cari pengganti!” Azrol berlalu selepas melepas kata. Zariff hanya tersengih dan melepaskan tangan Zyra.

“ Aku pergi dulu..” Zariff berlalu dengan senyuman. Zyra yang masih terpegun, gugup untuk memanggil Zariff. Tiba-tiba matanya membutang luas melihat lelaki itu menghampiri seorang gadis yang sedang menangis. Apabila dipandang lama, barulah Zyra pasti itu adalah Azura.
Air mata Zyra tiba-tiba menitis. Sandiwara apa sebenarnya yang dimainkan oleh Zariff. Untuk apa lelaki itu memanggilnya sayang di hadapan Azrol? Adakah untuk menyakiti lelaki itu atau sekadar melukai hatinya yang mula dilamun cinta. Cinta? Ya, Zyra mengaku dia mula menyintai Zariff. Tetapi kenapa Zariff tidak mengerti. Kenapa Zariff hadir dalam hidupnya namun bermain cinta dengan Azura? Adakah ini satu permainan yang diaturkan oleh Zariff Irfan? Zyra mengesat air matanya yang semakin lebat membasahi pipi.

“ Cik Azura dah balik! Awak tak nak balik? Atau nak tunggu buah hati pengarang jantung awak tu kembali?” soal Zariff yang entah bila berada di situ. Pantas Zyra memandang dengan air mata yang masih bersisa. Zariff yang melihat seakan terperanjat melihat air mata gadis di hadapannya. Kelu lidahnya buat seketika.

“ Puas hati awak kan? Awak lukai hati saya dengan sewenangnya. Kini awak datang dan masih berkasar dengan saya? Cik Azura tu memang kekasih awak kan?” soal Zyra teresak-esak.

“ Kalau ya kenapa?” soal Zariff macam orang bodoh.

“ Kalau ya, kenapa awak selalu kacau saya! Malaslah layan mamat poyo macam awak ni!” Zyra berlalu dari situ dan menaiki bas tanpa melihat Zariff yang masih memandang kepadanya. Apalah aku ni menagis depan dia? Dia bukannya faham aku sukakan dia! Lagipun, dia sukakan Azura..dan Zyra masih menagis di dalam hati.

****

Di serambi bilik, Azura menangis teresak-esak bagaikan kanak-kanak kecil yang inginkan aiskrim. Sampai hati Zariff melukakan hatinya berkali-kali. Terasa maruahnya sebagai perempuan dicarik-carik tanpa rasa simpati. Dia mengadap mukanya ke arah cermin. Wajah cantiknya dipandang lama. Apa yang kurang pada dirinya sehingga sukar meraih cinta lelaki itu.
Tiba-tiba telefonnya menjerit minta diangkat. Pantas Azura menjawabnya dengan suara yang sedikit serak.

“ Assalamualaikum..Zura awak buat apa tu? Jom teman saya keluar,” suara lembut Yusuff kedengaran menyapa telinganya. Dia menarik nafas panjang. Kasihan Yusuff! Bisiknya sendiri.

“ Waalaikumussalam..nak pergi mana?” soal Azura singkat.

“ Kita pergi makan ke? Tak pun kita tengok wayang!” suara Yusuff kedengaran ceria. Azura menutup mata. Bayangan Zariff hadir lagi di matanya.

“ Pukul berapa?”

“ Dalam pukul 5.00 petang! Okey tak?” Yusuff pantas menjawab.

“ Okey! You nak datang bagitahu I !” ujar Azura sebelum memutuskan panggilan. Dia membaringkan dirinya di atas tilam empuk. Rasa sebak masih bermain di dadanya. Bagaimana aku boleh dapatkan Zariff ? Suruh papa masuk minang? Uh! Mengarut..mahu disemburnya oleh lelaki itu yang nyata tidak menyukainya. Atau Zariff sudah ada yang punya?
Azura pening memikirkan segala kemungkinan. Dia bangun untuk ke dapur bagi menghilangkan haus yang datang secara tiba-tiba. Namun langkahnya terhenti apabila ada pesanan masuk ke dalam telefon bimbitnya.

- Pukul 8.00 bersiap! Kita pergi I-City

Mata Azura membutang luas. Pesanan ringkas daripada Zariff amat mengejutkan dirinya. Dia menangis sambil duduk di atas katil. Benarkah Zariff ajak aku keluar? Benarkah? Azura menilik pesanan itu. Nyata ianya datang daripada Zariff, bukannya Yusuff atau manusia lain.
Azura pantas membalasnya.

- Awak ajak saya ke? – soal Azura risau kalau-kalau lelaki itu tersilap menghantar mesej.

- Yalah! Kenapa? Awak tak suka? – soalan Zariff membuatkan Azura tersenyum.

- Okey..I bersiap lepas maghrib. Terima kasih Zariff..-

Azura meletakkan telefonnya. Dia tersenyum penuh makna. Pantas dia bergegas ke dapur untuk menghilangkan dahaganya. Tiba-tiba dia teringatkan ajakan Yusuff. Nampaknya terpaksa dibatalkan! Bisik Azura sendiri. Dia mencapai air mineral di dalam peti dan masuk semula ke dalam biliknya. Kemudian dia mencapai telefonnya yang masih setia di situ.

- Yusuff, I minta maaf! Tak dapat keluar dengan You! Lain kali ok!Harap maaf!-

****

Selepas menunaikan solat maghrib, Zyra dan Mila bersiap untuk pergi ke I-City Shah Alam seperti yang dijanjikan. Berpakaian ringkas namun kelihatan sopan menjadi pilihan mereka malam itu. Mila yang membawa kereta asyik bercerita tentang keindahan I-City yang dikatakan mempunyai tarikannya yang tersendiri.

“ Kau tu bukannya nak ajak aku pergi sana. Sekarang ni barulah ada hati nak bawak! Aku ni, kata je duduk KL, tapi tempat dekat tu pun belum sampai-sampai lagi,” ujar Zyra sedikit terkilan. Mila yang mendengar tersengih lebar.

“ Aku minta maaf lah! Kau tahu tak Zyra, kawasan I-City tu, banyak dilimpahi dengan lampu LED yang sangat terang dan menarik! Apa yang penting, banyak tempat yang cantik untuk kita berdua ambil gambar dan masukkan ke dalam Facebook!” ujar Mila sedikit teruja.
Zyra tersenyum sambil menjeling kepada Mila yang galak bercerita. Bukannya dia tidak tahu tentang I-City Shah Alam yang disebut-sebut oleh Mila. Banyak kali juga dia melihatnya di dalam internet. Cuma taip, dan keluarlah apa yang dia inginkan. Mudah!

“ Aku tahulah! Kat situ pun banyak permainan yang disediakan. Banyak permainan, banyaklah duitnya!” Zyra melepas kata. Mila tergelak kecil dengan kata-kata Zyra. Dia melajukan keretanya untuk sampai cepat ke tempat yang dituju.

“ Apa yang penting, kita enjoy! Okey?” Mila menepuk peha Zyra perlahan. Temannya itu hanya mengangguk dan tersenyum manis. Setelah melalui kesesakan lalu lintas, mereka sampai di I-City jam 9.30 malam. Dan nyata Zyra cukup terpegun dengan kecantikan I-City yang diura-urakan oleh Mila.

****

Zariff yang memerhatikan Azura yang ralit melihat lukisan seni ilusi optik pada dinding dan lantai di dalam Trick Art Muzium melilau mencari seseorang. Sesekali dia menarik nafas dan melepaskan dengan dengusan yang kuat. Wajah insan yang dirinduinya tiada di situ. Mengapalah dia tidak terfikir, bukannya mudah untuk mencari seseorang di dalam I-City yang agak luas. Bagaimana di dapat mencari Zyra di dalam lautan manusia itu.
Azura tiba-tiba datang dan memegang tangannya dengan senyuman. Kemudian, gadis itu meminta seseorang mengambil gambar mereka berlatarkan lukisan-lukisan yang agak unik dan sememangnya amat menarik bila dipandang. Zariff yang agak keberatan, hanya membiarkan dengan fikiran yang berserabut. Dia asyik memikirkan gadis bernama Zyra.

“ Zariff, You kenapa macam tak happy je?” soal Azura saat keluar dari Trick Art Muzium dengan wajah yang suram. Seraut wajah Zariff dipandang dengan penuh rasa cinta. Lelaki itu seolah-olah membiarkannya sendiri di situ walaupun datang bersama. Apa motif sebenar Zariff berbuat demikian jika hanya membuatnya merasa serba tidak kena.

“ Maaf Azura! Saya sebenarnya tidak berapa suka datang ke tempat sibuk macam ni!” Zariff berdolak dalih. Azura yang mendengar kelihatan berkerut dahinya. Tidak suka? Tapi kenapa dia bawa aku datang sini? Saja-saja atau ada apa yang dia cari? Azura benar-benar bingung.

“ Awak nak tengok tak pohon maple dan pine palsu yang dihiasi dengan lampu LED yang berwarna warni? Bunga matahari juga ada! Memang cantik!” tiba-tiba Zariff menukar cerita. Kasihan pula dia melihat wajah majikannya yang monyok bagai isteri kehilangan suaminya.
Azura yang mendengar kelihatan teruja. Senyuman mula terukir di bibirnya. Pantas dia menarik tangan Zariff untuk pergi ke tempat yang dinyatakan lelaki itu. Zariff hanya mampu mengelengkan kepalanya. Entah kenapa Azura begitu menyukainya. Apa yang ada pada dirinya jika dibandingkan dengan orang lain. Kosong sebenarnya! Zariff sempat berkira-kira sendiri.
Dalam perjalanan ke tempat yang dinyatakan, sempat Azura mengambil gambarnya berlatarkan permainan yang dihiasi dengan lampu yang sememangnya cukup menarik. Zariff yang tidak suka dilayan sebegitu terpaksa memberi kerjasama supaya gadis itu tidak berjauh hati. Dia yang sibuk mengajak Azura, kini terpaksalah dia menahan rasa hatinya.
Sampai di tempat yang dituju, Azura galak mengambil gambar dengan kemera dari telefon bimbitnya. Zariff yang melihat sibuk mencari tempat duduk. Penat juga kakinya berjalan di kawasan I-City yang agak luas. Tiba-tiba matanya terpandang seseorang. Senyuman mula terukir di bibirnya tanpa dapat ditahan. Orang yang dicari berada tidak jauh dari situ. Wajah gadis yang dirinduinya kini hanya 20 meter dari tempat duduknya.
Zariff pantas bangun dan menuju kepada Zyra. Azura yang sibuk mengambil gambar entah ke mana menghilang. Mungkin terlalu teruja dengan keindahan taman tersebut.

“ Hai..awak buat apa kat sini?” soal Zariff sambil menjungkit kening. Zyra yang mendengar pantas memandang. Wajah Zariff di hadapan matanya dipandang lama. Takut juga dia sebenarnya bermimpi dalam jaga. Tidak mustahil jika rindu telah bersarang di dalam dada.

“ Erm..betul ke awak ni Zariff ?” soal Zyra tertahan-tahan. Zariff yang mendengar tergelak kuat sehingga menarik perhatian Mila yang sibuk mengambil gambar. Dia akhirnya berwajah serius apabila Zyra menjeling tajam kepadanya seperti tidak berpuas hati.

“ Awak ekori saya ya ?” soal Zyra tanpa berlapik. Pantas pula Zariff melapas tawa sekali lagi. Zyra yang mendengar menarik muka. Mesti dia cakap aku perasan dan kurang asam!

“ Buat apa saya nak ekori awak ? Tak ada maknanya! Bekas suami awak tak ikut ke ?” soal Zariff sambil menatap lama seraut wajah gadis yang kembali mencuri hatinya.

“ Suami ? Bila masa saya berkahwin ! Awak ni senget ke apa ?” Zyra kembali meradang. Jika berjumpa Zariff, pasti ada perkara yang menyakiti hatinya. Sekejap dia dituduh sombong dan ego, sekarang dikatakan telah berkahwin dan bercerai pula.

“ Yang dekat CM tadi, bukan bekas suami awak ke ? Saya dengar awak kata dia gila talak?” soal Zariff kehairanan. Bingung juga dia dengan situasi tersebut. Mungkin Zyra tidak mahu mengaku yang dia adalah janda! Mungkin juga! Zariff berkira-kira sendiri.

“ Tu bukan masalah awak! Sibuk hal orang ! Awak datang dengan siapa ni ?” soal Zyra mengubah tajuk cerita. Tiba-tiba Mila datang dan menangkap gambar mereka berdua. Zariff sempat pula berposing dengan meletakkan tangan di bahunya dengan senyuman melebar.

“ Saya datang dengan siapa pun, bukan masalah awak ! Sibuk nak tahu!” Zariff pula membalasnya sebelum tangannya dipaut oleh seseorang. Azura yang kini berada di sisi Zariff tersenyum sebelum melepaskan tangannya apabila melihat kelibat Zyra yang berada di situ.
Zyra melemparkan senyuman walaupun di hatinya bagaikan tertusuk duri sembilu. Mengapa harus Zariff memilih Azura sebagai peneman hidupnya? Kenapa? Soal Zyra sendiri. Air matanya yang seakan ingin keluar ditahan agar tidak menjadi tatapan mereka.

“ Awak datang dengan siapa Zyra?” soal Azura menutup rasa malunya. Wajah Zariff yang selamba dipandang lama. Tiada senyuman di bibir lelaki itu walaupun sekelumit.

“ Saya datang dengan kawan cik Azura. Tak tahu pula cik Azura dan Zariff juga datang ke sini. Kalau tak, boleh kita datang sama-sama..” Zyra bersuara manis walaupun di hatinya bergelora.

“ Jom Zariff, I nak tengok kawasan sekeliling. Belum puas lagi. Awak pula Zyra, kita jumpa semula kat pejabat!” Azura seakan mengarah. Zyra hanya menganggukkan kepalanya. Namun matanya dapat menangkap pandangan Zariff yang melekat lama kepadanya sebelum mengekori Azura.

“ Kenapa tu?” soal Mila tiba-tiba.

“ Tak ada apa-apa! Jomlah kita balik!” Zyra bersuara tiada mood.

“ Cepatnya..ni mesti pasal mamat tu kan?” Mila serkap jarang. Zyra yang mendengar berlalu meninggalkan Mila yang terkial-kial mengejarnya. Penat rupanya jatuh cinta! Lebih penat dari menahan hati yang disakiti oleh kekasih! Kenapa mesti Zariff..Zyra menjerit di dalam hatinya tanpa disedari temannya itu.

Previous: Bab18
Next: Bab20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.