Home Novel Cinta Dia, Jodohku Rupanya
Dia, Jodohku Rupanya
Amylieyhaizani
9/3/2014 02:03:54
74,324
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Bab 4

Saat kereta terpakir kemas di dalam garaj rumah banglo dua tingkat itu, Zyra pantas keluar dan berlari memanggil kak Lia. Dia cukup yakin suami kakaknya, Iskandar tiada di rumah apabila kereta Ferrari mewah milik lelaki itu tidak kelihatan di situ..
Mila yang masih berada di dalam kereta tekocoh-kocoh keluar selepas meriaskan wajahnya yang tidak berbedak. Pantang baginya keluar tanpa sebarang mekap. Tiada standard katanya.

“ Kak Lia, kak Lia,” Zyra memanggil kuat. Pantas pintu utama ditolak dari luar. Pintu itu ternyata tidak berkunci. Sudahlah pintu pagar juga tidak tertutup. Pasti abang Iskandar punya hal! Getus Zyra geram. Zyra melangkah masuk. Kelibat kak Lia tidak kelihatan di ruangan tamu. Kemudian dia mengendap ke dapur, namun tiada sesiapa di situ. Pantas dia terdengar tangisan Hana di tingkat atas. Tanpa berlengah, Zyra berlari laju menaiki anak tangga dan masuk ke bilik kakaknya. Kelihatan Amelia bersandar di dinding sambil menangis.
Mila yang baru melangkah masuk turut berlari menaiki anak tangga ke tingkat atas. Sampai di bilik kak Lia, matanya pantas melihat Zyra yang memeluk kak Lia dengan kemas. Wanita manis itu menangis teresak-esak sambil membalas pelukan Zyra. Hana, anak kak Lia yang berumur kurang dari setahun turut menangis di atas riba ibunya.

“ Kak Lia kenapa biarkan abang Iskandar pukul kak Lia? Ni dah melampau!” soal Zyra sambil menilik bengkak di dahi kakaknya. Hana yang menangis dipujuk lembut. Pantas Mila mendukung anak kecil itu sambil menghulurkan botol susu yang berada di atas katil.

“ Abang Is kata nak berubah,” Amelia bersuara hiba. Air matanya laju mengalir melalui tubir mata. Zyra mengetap bibir. Berapa kali abang iparnya itu berjanji. Berjanji tidak akan memukul kakak kembarnya. Berapa kali Iskandar meminta maaf? Ah! Janji jantan tak guna!

“ Sampai bila kak Lia nak biar abang Is berjanji? Sampai Kak Lia dah tak bernyawa? Atau sampai Hana, anak kak Lia turut menjadi mangsa?” Zyra tidak mampu menahan kemarahannya. Pantas dia mendail seseorang.

“ Zyra nak call siapa?” tanya Amelia dengan hati yang gelisah.

“ Call polis!” ujar Zyra pantas. Amelia bangun dan menghalang Natasya.

“ Jangan Zyra. Walaupun nyawa kak Lia melayang, belum tentu dapat membayar hutang abang Is pada kak Lia. Kak Lia mintak Zyra jangan buat akak macam ni,” rayu Amelia sambil menitiskan air mata lagi. Mila yang mendengar mengelengkan kepala. Hutang apa yang lebih penting dari nyawa seorang ister?

“ Hutang apa kak Lia? Takkan makan pakai, tempat tinggal akak dikira hutang! Berapa dia minta akak bayar?” soal Zyra keras. Panas hatinya tidak dapat ditahan lagi. Wajah Amelia yang pucat dipandang dengan perasaan simpati. Kasihan dia melihat kakaknya yang dulu ceria dan lincah kini dirundung malang. Cinta jenis apa dia sendiri tidak tahu!
Zyra melabuhkan punggungnya di atas katil. Mila yang penat berdiri turut duduk di sebelah Zyra. Amelia yang menyandar ke dinding hanya mendiamkan diri walaupun air mata masih membasahi pipi.

“ Zyra takkan faham. Inilah ujian di dalam rumah tangga. Ada badainya. Ada pasang dan surutnya,” Amelia bersuara perlahan.

“ Masalahnya kak Lia, perkara ni berlarutan dah agak lama. Seingat Zyra hanya sebulan selepas kak Lia kahwin. Kak Lia isteri abang Is, bukan seorang hamba. Sebagai isteri, kak Lia kena tahu hak kak Lia. Bukan membiarkan abang Is memukul akak sesuka hati!” Zyra geram dengan pendirian kakaknya. Walau teruk mana dipukul, Amelia tetap memenangkan Iskandar. Apa yang disorokkan oleh Amelia sebenarnya.

“ Akak tahu Zyra. Akak ,minta maaf sebab banyak susahkan Zyra,” Amelia merasa bersalah. Sakit tubuhnya belum hilang kerana dibantai oleh Iskandar sesuka hati. Zyra hanya mengeluh dengan sikap Amelia.

“ Pasal apa dia pukul kak Lia?” Zyra bersuara lembut. Mila yang sibuk melayan Hana hanya memandang penuh simpati. Sesekali Hana merengek kecil. Kadang kala anak kecil itu ketawa riang. Mila cukup suka melayan karenah anak Amelia yang begitu comel dan manja.
“ Akak tegur dia sebab selalu pulang awal pagi. Kadang kala tak balik langsung. Yang dia marah sangat, malam ni akak tak masak sebab dia selalu makan dekat luar. Manalah akak tahu malam ni dia berubah angin pulak. Entahlah Zyra, hidup akak memang mewah dengan duit, tapi kurang kasih sayang dan perhatian. Tapi akak bersyukur sebab Iskandar sayang pada Hana. Dia tidak pernah angkat tangan di atas tubuh Hana,” Amelia tersenyum tawar.
Zyra menarik nafas panjang. Perlukah seorang suami keluar dari rumah sehingga tidak ingat jalan pulang ? Takut Zyra memikirkannya. Iskandar dan Azrol adalah dua lelaki yang pengecut kerana mempermainkan hati perempuan. Mungkinkah juga sukar mencari lelaki yang baik? Entah di mana mereka bersembunyi!

“ Kak Lia, jom Zyra bawa akak pergi klinik. Kemudian, kita balik rumah mak,” Zyra memberi cadangan. Amelia pantas mengelengkan kepala. Memang Zyra tahu permintaannya akan ditolak. Kak Lia cukup takut andainya orang tua mereka tahu tentang kebejatan menantu kaya mereka itu. Bagi mereka, Iskandar adalah menantu yang sempurna. Zyra juga diingatkan supaya mencari bakal suami seperti Iskandar. Mati, hidup balik tak akan aku cari lelaki seperti itu! Syaitan yang bertopengkan manusi. Desis Zyra sendiri.
Zyra bangun dan memimpin tangan Amelia untuk turun ke tingkat bawah. Mila pula pantas mendukung Hana yang merengek-rengek kecil apabila diacah oleh Mila. Mila tersengih sendiri dan membuat muka selamba apabila dijeling oleh Zyra.

“ Abang Iskandar mungkin tak pulang malam ni,” Amelia bersuara sayu. Hati Zyra turut merasai ksedihan itu. Air matanya cuba dikawal. Namun tanpa disedari jatuh juga membasahi pipi. Dia memegang erat tangan Amelia yang bersusah payah untuk berjalan kerana menahan kesakitan. Ingin dia menjadi pengganti Amelia saat itu agar kesakitan itu hanya dia yang merasainya. Zyra sanggup menahan kesengsaraan itu dari melihat kakaknya terseksa.
Sampai di bawah, Zyra menyuruh Amelia duduk dan dia bergegas ke dapur untuk mengambil air. Dia termenung buat seketika. Bibirnya digigit kuat. Kali ini air matanya merembas laju. Sukar rasanya melihat keadaan Amelia yang sentiasa menjadi mangsa sepak teranjang Iskandar. Setahu Zyra, Amelia berkahwin kerana cinta. Kata Amelia, Iskandar adalah cinta hatinya. Namun kenapa begitu sekali hadiah yang diberi atas nama cinta selepas menjadi isteri kepada lelaki itu.

“ Sabarlah Zyra. Kita doakanlah yang terbaik untuk Amelia. Mungkin suatu hari nanti, Iskandar akan berubah. Banyakkan bersabar ok!” Mila menepuk lembut bahu Zyra. Zyra menganggukkan kepalanya dan menyapu air mata yang masih bersisa. Dia mengeluarkan air mineral yang berada di dalam peti dan mengambil secawan air suam lalu dibawa ke ruang hadapan.

“ Zyra teman kak Lia ya malam ni,” Amelia memandang penuh harapan.

“ Esok Zyra baru start kerja. Takut terlewat pulak! Ahad ni, Zyra dan Mila tidur kat sini. Tu pun kalau abang Is tak ada,”Zyra memberi kata putus. Wajah Amelia sedikit hampa namun tersenyum apabila disakat oleh Mila.

“ Abang Is ada atau tidak, kami tetap datang tidur rumah Lia,” Mila melemparkan senyuman manis. Zyra yang meneguk air hanya menganggukkan kepala tanda mengiakan kata-kata Mila. Kemudian dia menghulur air suam kepada Amelia.

“ Kita pergi klinik dulu cari ubat untuk kak Lia. Mana tahu ada tempat yang terseliuh. Mana kita tahu,” Zyra memberi cadangan.

“ Kak Lia okeylah. Jangan risau. Nanti hilanglah sakitnya. Zyra nak balik, baliklah. Dah lewat malam. Esok kerja kan?” Amelia mengingatkan Zyra. Dia mengambil Hana daripada Mila yang masih setia melayan karenah anaknya. Pantas wajah Hana dikucup lembut.
Zyra menganggukkan kepala dan bangun. Tubuh Amelia dipeluk lama. Mila juga turut bangun dan menyalami Amelia selepas terlepas dari dakapan Zyra.

“ Apa-apahal, kak Lia call Zyra. Ahad nanti Zyra datang,” Zyra memberi harapan kepada Amelia yang mengharapkan kehadirannya. Kemudian dia dan Mila beriringan ke muka pintu sebelum meloloskan diri ke dalam kereta Persona milik Mila. Amelia yang melihat dengan sayu melambai tangannya kepada mereka. Saat kereta meluncur keluar dari garaj, Mila membunyikan hon beberapa kali. Manakala Zyra pula masih membalas lambaian Amelia sehingga hilang dari pandangannya.

****

Zariff terkebil-kebil melihat kipas yang berputar di atas kepalanya. Matanya sukar benar untuk terlelap. Entah apa yang bergayut di matanya, Zariff sendiri tidak tahu. Zariff bangun menuju ke dapur dan mengeluarkan sebiji buah epal untuk dimakan. Kemudian dia melangkah ke ruang tv dan berbaring di atas sofa empuk yang berada di situ.
Wajah Danial tidak menampakkan bayang. Entah ke mana melepak, Zariff sendiri tidak pasti. Mungkinkah juga Danial sibuk memikat gadis ketika itu. Sempat Zariff membuat andaian.

“ Aku balik!” Danial menolak pintu tanpa salam. Zariff yang asyik menguyah epal hijau hanya memandang melihat wajah ceria temannya.

“ Lama kau minum kat kedai. Tak jumpa jalan ke?” perli Zariff sambil mengambil remote tv. Pantas dia mencari siaran yang menarik. Entah kenapa semuanya tidak menarik perhatian. Danial yang ceria sebentar tadi mencebik tidak puas hati.

“ Aku main caturlah dengan pakcik kedai depan sana tu. Kau apahal tak tidur lagi? Tadi kata penat?” Danial melangkah masuk selepas membuka kasut lusuhnya. Pantas dia mencapai buah epal di tangan Zariff, namun ternyata dia tersilap cara. Pegangan Zariff cukup kuat.

“ Eleh! Aku boleh ambik sendirilah dalam peti!” Danial menarik muka sepuluh sen. Kemudian dia bergegas ke dapur. Zariff tersenyum sendiri menahan geli hati. Kemudian Danial datang dengan jelingan maut.

“ Dah habis kenapa tak cakap? Kau ni memanglah Zariff. Bawak-bawaklah tidur. Tak payah nak ingatkan Mily tu!” Danial terlepas cakap. Kemudian dia berlari ke biliknya melihat Zariff bangun dengan jelingan maut juga. Dia tergelak kecil di biliknya kerana berjaya membuatkan lelaki itu naik darah dengan sikapnya. Kedekut lagi! Getusnya sendiri.
Zariff yang berada di luar mengetap bibir. Buah epal yang masih bersisa dibaling ke dinding. Susah benar dia menghalau bayangan gadis itu. Begitu mudah pula Danial mengingatkannya. Kurang ajar punya Danial! Zariff menahan geram.
Zariff benar-benar buntu. Permainan apa yang sedang diatur oleh Mily sebenarnya. Jika Mily bertarik tali dengannya, tidak mungkin dia akan mengaku kalah sekali lagi. Namun untuk menyintai Mily kembali mungkin terlalu sukar. Walaupun cinta itu masih di hati, namun hati itu sudah terlalu pedih. Jika nama Mily masih hidup di dalam jiwanya, jiwanya juga sudah cukup sengsara. Tidak mungkin dia mencari nahas dengan mengingati gadis itu lagi. Mengingati samalah dia mengundang padah. Mungkin!
Zariff melangkah masuk ke bilik. Mungkin hari esok akan ada jawapannya. Antara sengsara atau bahagia, Zariff hanya menyerahkannya kepada takdir. Dia pernah tersandung sekali, namun kali ini dia tidak sanggup menghadapinya lagi. Andai Mily yang bermain dengan hati, biarlah dia pula yang tersungkur nanti kerana terlalu mudah mempermainkan hati dan perasaan orang. Biar gadis itu tahu tentang erti sebuah cinta! Dan bagaimana untuk bercinta! Bukan hanya mengira harta untuk membeli perasaan orang.
Zariff membalikkan tubuhnya ke atas tilam empuk. Dia menutup mata dan cuba menghalau segala kekusutan. Namun ternyata gangguan itu nyata memusuhinya. Teringat lagi Zariff perkenalannya dengan Mily dua tahun yang lepas setelah mereka berhimpit di dalam LRT menuju ke KL CENTRAL. Dari bertanya nama, bertukar nombor telefon dan akhirnya membuahkan bibit-bibit cinta di antara mereka. Hampir setahun hubungan mereka, tiba-tiba Mily datang untuk memutuskan hubungan.

“ Mily minta maaf Zariff. Mily terpaksa terima dia!” ujar Mily apabila penyebab hubungan mereka harus diputuskan. Kata Mily, lelaki itu juga menyintainya walaupun tiada sekelumit cinta di hatinya untuk lelaki itu.

“ Apa lebihnya dia?” Zariff seakan tidak percaya dengan keputusan kekasih hatinya untuk mengahwini lelaki lain sekelip mata. Itupun tanpa cinta! Puas dia menunggu saat dan waktu untuk dipertemukan dengan orang tua Mily, mengenali Mily dengan sesungguhnya dan melamar gadis itu menjadi suri di dalam hatinya, namun segalanya musnah begitu sahaja.

“ Zariff takkan faham!” Mily membentak sambil menitiskan air mata.

“ Kerana dia berduit? Macam tu?” Zariff bersuara kasar. Hilang hormatnya terhadap gadis itu.

“ Duit adalah segala-galanya!” getus Mily perlahan namun begitu jelas di telinga Zariff. Zariff tersenyum sinis. Barulah dia tahu gadis polos seperti Mily hanya tahu menerima dan menolak cinta sesuka hati. Cinta gadis itu akan hilang apabila harta dunia di hadapan mata. Ah! Mudahnya duit membeli cinta.

“ Jadi, cinta kita tak ada harga? Tentang duit, Zariff boleh cari! Berapa Mily nak?” jerkah Zariff mula hilang sabar. Tidak disangkanya Mily gadis mata duitan!

“ Zariff tak akan faham! Untuk mendapatkan sesuatu yang bernilai, kita juga harus berkorban! Maafkan Mily,” Mily berlalu tanpa mengerti luka di hati Zariff. Kasih sayang yang Zariff semai begitu mudah dimusnahkan sekelip mata.

“ Untuk mendapatkan sesuatu yang bernilai, kita juga harus berkorban. Tapi bukan cinta Mily!” Zariff bersuara apabila kenangan itu hilang entah ke mana dan beberapa saat kemudiannya, Zariff mula terlena bersama mimpi yang tidak pasti.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.