Home Novel Cinta Dia, Jodohku Rupanya
Dia, Jodohku Rupanya
Amylieyhaizani
9/3/2014 02:03:54
74,423
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Bab 7

Jam 3.00 petang, Azura berjumpa Dato’ Azman di syarikat Jaya Idaman. Pejabatnya yang besar dan luas itu mungkin 10 kali ganda besarnya berbanding pejabat AZURA’S FAMILY di jalan Ipoh. Azura juga diperkenalkan kepada staf-staf Jaya Idaman yang tidak jemu melemparkan senyuman kepadanya.

“ So macam mana? Azura terima tawaran papa?” Dato’ Azman bersuara ketika minum di Kafé berdekatan. Wajah anaknya yang serius dipandang agak lama.

“ Tawaran atau paksaan papa?” soal Azura kembali. Dia sebenarnya tidak suka bekerja dengan staf yang ramai. Banyak ragam fikirnya. Lagipun, siapalah yang boleh tahan dengan sikapnya yang panas baran. Azura berkira-kira sendiri.

“ Dalam menjalankan bisnes, jangan anggap itu paksaan Zura. Zura tahu tak, berapa ramai orang di luar sana yang beria-ria nak jadi pengarah syarikat besar? Yang berusaha bersungguh-sungguh sehinggakan jatuh berkali-kali. Ada yang berjaya dan ramai juga yang tersungkur jatuh sebelum mencapai matlamatnya,” panjang lebar Dato’ Azman mengingatkan Azura yang hanya memandang sebelah mata usahanya selama ini.

“ Papa, Azura ni perempuan! Azura tak mampu nak handle ”

“ Tak mampu sebab apa? Azura kan seorang yang tegas dalam bekerja. Papa tak nampak kekurangan dalam diri anak papa ni!” lelaki separuh abad itu memuji Azura dengan ikhlas.

“ Kalaulah papa ada anak lelaki!” getus Azura perlahan. Sempat lagi Dato’ Azman memasang telinga dan tergelak kecil. Kasihan juga melihat Azura satu-satunya anaknya yang perlu menggalas tanggung jawab tersebut.

“ Tak lama nanti, papa akan dapat anak lelaki!” Dato’ Azman menganggukkan kepalanya. Yakin! Azura mengerutkan dahi melihat senyuman papanya yang memanjang.

“ Mama pregnant ke? Bila? Zura tak tahu pun?” Azura kehairanan. Dato’ Azman yang menyedut air hampir tersembur mendengar soalan Azura. Kemudian dia ketawa kuat tanpa dapat ditahan lagi.

“ Bila pulak mama pregnant? Maksud papa, dapat menantu. Tu Yusuff, dia sukakan Zura kan?” Azura menarik muka mendengar nama Yusuff dari mulut Dato’ Azman. Macam tak ada nama lain nak sebut! Sebutlah Adi Putra ke, Zamarul Hisyam ke..

“ Tak apalah papa. Kalau Yusuff tu, papa simpan je dalam peti. Nanti boleh buat sup! Okeylah papa, Zura adahal. Zura pergi dulu,” Zura bangun dan menyalami papanya. Malas dia mendengar nama Yusuff disebut-sebut.

“ Okey hati-hati! Tentang Yusuff, nanti kita bincang okey?”

“ Apa-apalah papa..” Azura berlalu dan meninggalkan Dato’ Azman yang mengelengkan kepalanya dengan senyuman hambar. Sampai bila anaknya itu bersikap seperti perempuan sejati. Ah! Sakit kepala Dato’ Azman bila memikirkan sikap anak gadisnya yang satu itu. Keras kepala tidak bertempat. Risau juga di hatinya seandainya staf Jaya Idaman tidak mampu memberi kerjasama dengan Azura yang seringkali mengendalikan kerja menggunakan emosi berbanding akalnya. Pasti kecoh! Fikirnya.

****

Pulang dari kerja, Zyra pantas menaiki kereta Mila dan mengajaknya ke Pasar Seni. Ada harga yang perlu dibayar katanya. Mila hanya menurut kehendak temannya yang menarik muka tanpa diketahui sebabnya. Datang bulan kut! Mila meneka dan tersengih sendiri.
Sampai di Pasar Seni, Zyra pantas menuju kepada seseorang yang memandangnya dari jauh. Tanpa disangka, lelaki itu juga berjalan menuju kepadanya. Mila yang berada di sebelah sedikit cuak.

“ Zyra, kan diparangnya kita, habislah. Aku ni model. Nanti tak cukup tinggi untuk berdiri,” Mila sempat berbisik sambil membayangkan kakinya dicantas oleh lelaki yang berkumis nipis itu. Pasti Datin Umaira membuangnya tanpa banyak bicara.

“ Mila, kau diam sekejap boleh tak?” Zyra menjeling Mila yang masih membebel sendiri. Lelaki yang menuju kepadanya kini berada di hadapan mata. Zyra menarik nafas panjang. Sudah tekad di hatinya untuk menyembur lelaki itu dengan sumpah seranah. Puas dia mengarang kata-kata yang akan menyakitkan hati lelaki itu di pejabat sebentar tadi.
Tanpa disangka, tangan kiri Zyra ditarik lembut oleh lelaki itu tanpa sempat Zyra bersuara. Mata Mila terbutang luas dan mulutnya melopong lama. Sungguh dia terkejut dengan apa yang berlaku. Zyra juga kelu untuk berkata-kata. Hilang sumpah seranah yang berada di dalam otaknya. Kini semuanya seakan beku dan kaku. Tiada juga parang yang difikirkan oleh Mila sebentar tadi. Yang ada hanyalah seraut wajah yang tenang tanpa senyuman.
Lelaki yang tidak diketahui nama itu, menyapu ubat di atas tapak tangan Zyra yang tidak berbalut. Luka itu masih lagi kelihatan kesannya. Pantas juga tangan Zyra dibalut dengan kain berwarna putih.

“ Awak..” Zyra merenung wajah pemuda di hadapannya. Suaranya seakan tersekat apabila mata mereka bertentang agak lama.

“ Luka awak akan sembuh. Saya minta maaf!” Zariff berpusing untuk berlalu.

“ Siapa nama awak?” Zyra pantas bertanya. Zariff berhenti tanpa memandang gadis di belakangnya. Dia mengetap bibir menahan pedih yang menular di hatinya.

“ Awak dah lupa?” Zariff berpaling memandang seraut wajah Zyra yang kelihatan keliru. Pandai juga kau berlakon Mily!

“ Apa dia?” Zyra kurang pasti.

“ Zariff..Zariff Irfan..” Zariff ingin berlalu. Tidak ingin dia berlama-lama di situ. Mily terlalu melampau sehingga melupai dirinya. Juga namanya!

“ Kejap Zariff! Kenapa awak kata saya ego dan berlagak? Sedangkan awak tak kenal saya?” soal Zyra ingin tahu. Sikap lelaki itu cukup misteri! Hadirnya misteri! Yang paling penting misteri, apa masalah lelaki itu dengannya? Ataukah dia pernah menjadi kekasih lelaki itu ketika sekolah rendah atau juga menegah dulu? Uh! Zyra mula melalut entah ke mana.
Zariff tersenyum sinis. Ternyata Mily telah melupakannya begitu mudah. Dia melangkah pergi tanpa menjawab soalan bekas kekasihnya itu. Zyra pula sedikit hampa apabila tiada jawapan seperti yang diharapkan.

“ Terima kasih Zariff!” laung Zyra dari jauh. Mily yang melihat lakonan sebentar tadi mengesat-ngesat matanya bagaikan tidak percaya. Zyra pula memandang lama balutan di tangannya. Siapa Zariff sebenarnya?

“ Eh Zyra, gila ke apa mamat tu! Kau pun satu, aku ingat kau nak sumpah seranah dia. Rupanya kau datang sini, nak dia balutkan tangan kau. Kenapa kau tak suruh aku jer!” Mila membebel persis burung murai tercabut ekornya.

“ Memang aku nak sumpah dia,” Zyra melihat Mila kebingungan.

“ Dah tu? Aku tak nampak pun kau sumpah dia. Atau kau sumpah dia jadi putera raja yang datang menyelamatkan tuan puteri yang jatuh atas jalan raya?” soal Mila seolah-olah memerli Zyra yang mula tersenyum.

“ Pandailah kau tu! Kau agak, lelaki tu siapa ya Mila?” Zyra bertanya pula.

“ Zariff!”

“ Yalah Zariff! Tapi siapa?” soal Zyra geram.

“ Zariff Irfan!” Mila pula mengerutkan dahinya.

“ Yang tu aku tahulah!” Pantas lengan Mila dicubit kuat oleh Zyra. Dia serius, boleh pula Mila main-main dengan soalannya. Pantas pula Mila menjerit kesakitan.

“ Dah tu?” Mila menundukkan kepalanya apabila Zyra menjeling maut kepadanya.

“ Kau tak nampak? Apabila aku tanya kenapa dia kata aku ego dan berlagak, dia pergi macam tu je! Tak misteri ke tu?” Zyra kelihatan mengeluh.

“ Biarlah Zyra, Mr Gitaris tu memang suka orang bersoal jawab kut! Lepas ni tak payah jumpa dia lagi. Tak pasal-pasal aku pulak yang nak kena jawab soalan kau tu!” Mila memberi kata putus, sedangkan Zyra semakin berminat dengan lelaki itu. Lelaki yang menarik perhatiannya kini!

****

Jam hampir 6.45 petang. Burung yang berterbangan juga mula berlari-lari untuk pulang ke sarang. Cahaya mentari juga mulai pudar dilindungi awam yang berarak. Sebentar lagi waktu azan maghrib akan berkumandang. Zariff tergesa-gesa membimbit beg gitarnya untuk pulang. Tiba-tiba dia terhenti seketika apabila telefon bimbitnya menjerit kuat minta diangkat.
Nama yang tertera di skrin telefonnya sudah cukup membuatkan Zariff merasa rimas. Pantas dia menjawab panggilan Azura yang menghubunginya tidak kena masa.

“ Assalamualaikum..Zariff, I nak cakap dengan you sekejap! Boleh?”

“ Waalaikumussalam..apahal? Saya tak boleh berlama-lama bercakap dengan telefon ni. Waktu maghrib dah dekat. Saya nak balik!” Zariff berterus-terang.

“ Awak belum balik ya? Malam ni I nak jumpa You sekejap. Boleh?” Zariff mendengus perlahan.

“ Tak boleh!” pantas talian diputuskan tanpa salam. Zariff bergegas menuju ke LRT Pasar Seni untuk pulang ke Kampung Baru. Telefonnya yang berdering dibiarkan tanpa jawapan. Malas dia melayan Azura yang sentiasa mengganggu hidupnya dengan meluahkan rasa cinta dan sayang. Cinta? Zariff penat untuk bercinta dan menyayangi perempuan setelah apa yang dilakukan oleh Mily kepadanya. Kerana cinta hidupnya merana sekarang.
Zariff melangkah ke dalam LRT selesai membeli tiket di kaunter. Satu pesanan masuk dibaca perlahan.

- Jumpa malam ni. Adahal I nak bincang-

****

Selepas solat maghrib, Zariff bergegas ke dapur dan mengambil sepaket maggi untuk dimasak. Wajah Danial masih belum kelihatan walaupun waktu kerja lelaki itu telah lama tamat.
Zariff memotong sedikit bawang dan beberapa biji cili untuk dimasukkan ke dalam maggi. Sayur sawi yang masih ada juga dipotong halus. Kemudian dia memanaskan sedikit minyak untuk menumis bawang. Setelah naik baunya, Zariff menuang dua gelas air dan menunggu sehingga menggelegak. Kemudian dia memasukkan maggi, sawi dan cili serentak ke dalam masakannya. Siap!

“ Hoi..kau masak maggi ke Zariff!” laung Danial yang mungkin masih berada dia anak tangga. Pantas dia masuk dan menuju ke dapur. Sempat dia mengambil bau maggi yang masih berada di dalam periuk.

“ Kau nak, masak sendiri!” Zariff menuang maggi ke dalam mangkuk dan menuju ke ruang depan. Danial hanya mencebik dengan kata-kata Zariff. Dia turut duduk bersama Zariff menonton tv.

“ Kau apa cerita hari ni? Jumpa Mily lagi?” soal Danial sambil membalikkan tubuhnya yang terasa sedikit penat.

“ Jumpa. Aku bagi ubat. Tu je!” Zariff menyuap maggi yang masih panas ke mulutnya.

“ Bagi ubat? Baiknya kau..” Danial seakan tidak percaya.

“ Malam ni Azura nak jumpa aku. Penting katanya,” Zariff mengalihkan tajuk perbualan.

“ Penting? Agaknya dia nak suruh kau kerja dengan dia kut!” Danial berteka-teki.

“ Kalau dia nak bagi kerja macam mana?” soal Zariff keliru.

“ Terima jelah! Jangan kau campur adukkan kerja dengan cinta. Kalau Azura tergilakan kau, kau buat don’t know je. Lagipun, mana ada rezeki yang datang sendiri kalau kita tak berusaha. Takkan kau nak main gitar dan menyanyi je sepanjang masa kat CM tu!” Danial sekadar memberi nasihat. Zariff yang mendengar termakan juga dengan kata-kata temannya itu.

“ Kau teman aku boleh?” soal Zariff sambil menolak maangkuk magginya kepada Danial.

“ Teman? No, no..no..aku penat! Aku nak tidur. Tapi jangan lupa tackle Azura tu untuk aku!” Danial tersengih bagai kerang busuk. Kemudian dia menghabiskan maggi yang masih bersisa di dalam mangkuk. Hilang rasa laparnya buat seketika.

“ Ni lah kawan! Kau kirimlah sendiri salam kau tu!” Zariff bangun dan mencampak bantal kecil kepada Danial yang membuat muka tidak bersalah. Dia melangkah masuk ke bilik untuk bersiap apabila Azura menghantar mesej untuk berjumpa jam 8.30 malam di Scret Resepi yang berada di Keramat.

“ Jangan terjatuh cinta pulak Zariff dengan Azura tu. Azura tu harimau betina. Silap-silap dia ngap kau!” sempat lagi Danial mengenakan Zariff yang melangkah keluar dari bilik dengan memakai t’shirt berwarna biru dan berseluar jeans lusuh.

“ Kau tak keluar?”

“ Malas! Nak tidur. Apa-apahal kau call aku,” Danial menjawab ringkas. Tidak lama kemudian, kedengaran enjin motorsikal dihidupkan dan hilang dari pendengaran Danial.

****

Saat melabuhkan punggung di atas kerusi, Zariff pantas memandang Azura yang merenungnya dengan senyuman. Rimas juga dia dengan gadis itu yang selalu menduga hatinya. Kalau hatinya mengatakan tidak, mengapa pula Azura memaksa-maksa!

“ Terima kasih kerana sudi datang Zariff. Tapi tak tahulah saya kalau awak terpaksa!” Azura berwajah ceria. Kemudian dia meminta pesanan dari pelayan. Zariff hanya mengikut menu yang diminta oleh Azura tanpa banyak karenah.

“ Saya bukan lelaki yang mudah dipaksa. Tapi, apa urusan awak nak jumpa saya sangat?” Zariff berterus terang. Azura yang mendengar menganggukkan kepalanya. Itu jawapan dan soalan yang telah terjangka dek akalnya.

“ Tentang..”

“ Sekejap! Kalau nak cakap tentang hati dan perasaan, saya tak nak dengar!” Zariff melontar kata sebelum Azura sempat menghabiskan ayatnya. Azura tergelak kecil mendengar kata-kata Zariff. Jika diikutkan hati, memang topik itu yang ingin dia bincangkan. Namun bukan malam itu!

“ Tak Zariff..bukan pasal tu. I nak tawarkan kerja pada you! You berminat atau tidak?” Azura bersuara serius.

“ Ofis awak yang berada kat jalan Ipoh tu?” Zariff menyoal sambil mengucapkan terima kasih kepada pelayan yang datang membawa minuman mereka.

“ You mana tahu?” Azura seakan terkejut. Sejak bila mamat tu tahu pejabatnya.

“ Waktu awak kena ragut kat Pasar Seni, awak ada bagi kad kan! Bukan saya main agak je!” Zariff pula tidak suka melihat Azura beria-ria. Dia menyedut air fresh orange di hadapannya bagi menghilangkan dahaga.

“ Bukan ofis tu. Ofis tu start minggu depan akan ditutup sebab I dah ambil alih syarikat papa I yang berada di PJ. So, staf I juga turut bertugas kat sana.”

“ Kat PJ? Apa nama syarikat tu?” Zariff mula berminat.

“ Jaya Idaman. Jadi kalau you nak jadi salah seorang staf kat situ, I boleh aturkan?” Azura pula beria-ria.

“ Jika saya terima tawaran ni, apa jaminan awak tidak akan ganggu saya?” soal Zariff tanpa berselindung. Air muka Azura sedikit berubah. Terasa sebu juga di dalam dadanya.

“ I tak akan campurkan urusan kerja dan cinta ketika berada di pejabat! Jadi you jangan risau!” Azura bersuara keras. Zariff hanya mencebik dengan kata-kata Azura. Wait and see!

“ Kalau macam tu, saya terima bekerja di situ. Harap awak dapat bantu saya sebagai orang baru dalam syarikat Jaya Idaman,” Zariff mula tersenyum. Azura menanggukkan kepalanya dan menyedut minuman di hadapan mata. Dalam hati dia merasa lega.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.