Bab
14
Seminggu
berada di Jaya Idaman bagaikan setahun bagi Zyra. Kepalanya cukup sakit dengan
karenah Azura selaku majikannya yang mengarahnya melakukan kerja yang bukan
dibawah tanggungjawabnya. Adakah patut gadis itu menyuruhnya membersih lantai
dan membersihkan tingkap yang ada dengan alasan tidak mempercayai cleaner yang
bekerja di situ.
Zyra cukup pening apalagi
kerja-kerja tersebut cukup membebankan dirinya. Sebagai Setiausaha yang
mempunyai kerja yang bertimbun di atas meja, Zyra tidak mahu diberatkan dengan
kerja-kerja lain yang boleh menghilangkan fokusnya ketika bekerja. Dia tidak
ingin kualiti kerjanya merosot hanya kerana sikap Azura yang diibaratkan
mementingkan diri sendiri.
Zyra memulakan kerjanya dengan
kepala yang sakit. Entah kenapa badannya terasa lemah. Mungkin terlalu banyak
berfikir tentang kerja! Dia juga tidak lena tidur apabila memikirkan kerjanya
yang masih tertunggak di pejabat. Sudahnya dia bangun dan menyelesaikan pula
kerja itu di rumah. Ah! Cukup rumit rupanya menjadi seorang Setiauasaha.
“ Zyra, kerja semalam dah siap?”
tiba-tiba Azura tercegat di situ tanpa disedari oleh Zyra. Pantas dia memandang
wajah gadis itu yang tiada langsung sebaris senyuman.
“ Yang mana Cik Azura? Saya tak
pasti kerja yang mana cik Azura maksudkan,” soal Zyra berterus terang. Banyak
benar kerja yang diberi. Entah kertas kerja apa yang dimaksudkan.
“ Tentang perjanjian Landskap untuk
Masjid Ar-Rahimah yang berada di Bangsar tu! Awak dah siapkan? Azura bersuara
keras.
“ Dah cik Azura. Hari rabu nanti kita ada meeting dengan ustaz
Baharuddin tentang lakar rajah landskap yang sesuai. Saya rasa kita boleh ambil
corak dan contoh dari Negara-negara islam yang lain. Apa yang penting, landskap
itu mestilah bercirikan keislaman,” ujar Zyra memberi pendapat tanpa diminta.
“ Yang tu kita rujuk kepada Encik
Zaidi selaku arkitek syarikat kita!” balas Azura tanpa menimbangkan kata-kata
gadis di hadapannya. Bagi Zyra, sebagai graduan di bahagian rekaan dalaman,
sikit sebanyak dia juga berminat dengan bidang landskap yang mencabar kebolehan
seseorang dalam kemahiran menilai dan mencipta konsep rajah yang boleh menarik
perhatian ramai. Contohnya, landskap yang telah banyak dilaksanakan di kawasan
perumahan, semuanya kelihatan menarik dengan kehebatan arkitek landskap yang
berpengalaman dan mempunyai kesabaran yang tinggi.
“ Apa cik Azura tu nak?” soal Kak
Mona yang entah bila berada di hadapan Zyra.
“ Tentang projek landskap Masjid
Ar-Rahimah di Bangsar!” ujar Zyra pendek.
“ Aku tengok serius je!” Linda pula
menyampuk. Zyra dan kak Mona yang mendengar memandang Linda yang mula
terkulat-kulat. Aku salah cakap ke? Getus Linda sendiri.
“ Eh, kau siapkan kerja ni!”
tiba-tiba Zariff datang dengan meletakkan fail yang tertutup. Kak Mona dan
Linda hanya mampu melihat sikap kurang ajar lelaki itu. Zyra yang melihat
pantas membuka fail dan melihat kertas kerja yang di suruh.Sakit hatinya
melihat gelagat Zariff yang membuat muka seposen.
“ Eh! Ni kerja kau kan! Mencari
maklumat tentang siapa yang inginkan pembinaan landskap adalah tugas kau! Dan
aku hanya menerima kerja kau yang dah siap! Takkan kau nak makan gaji buta?”
keras Zyra bersuara. Linda yang terkejut melihat perubahan Zyra kembali duduk di
tempatnya. Begitu juga kak Mona yang tidak tahu hujung pangkalnya.
“ Aku rasa tangan kau dah ok kan?
Takkan tak boleh balas budi kut!” Zariff sengaja menguji kesabaran Zyra.
“ Kau yang buat aku sakit, sekarang
nak berbalas-balas budi pulak! Banyak cantik!” Zyra malas melayan. Dibiarkan
sahaja fail tersebut di tepi. Sudahnya Zariff mengambil semula dengan wajah
yang mencuka.
“ Benarlah kau ni pentingkan diri
sendiri! Mata duitan!” sergah Zariff dengan kasar.
“ Bila masa aku minta duit dengan
kau? Ada? Malas aku nak layan lelaki macam kau ni!” balas Zyra dan bangun untuk
ke tandas. Sakit hatinya bukan sedikit. Sudahlah Azura membuat jiwanya tidak
tenang, ditambah pula dengan Zariff yang seringkali menduga hatinya. Kenapa
pula dia dituduh pentingkan duit sedangkan dia tidak pernah meminta, jauh
sekali untuk mengemis daripada orang. Daripada Zariff, sungguh dia tidak pernah
mengenali lelaki itu sebelum ini. Segala pertengkaran yang berlaku sebenarnya
amat menghairankan dirinya.
Sepuluh minit berada di tandas
Zyra kembali ke mejanya. Zariff yang memandang dibiarkan sahaja tanpa sebarang
reaksi. Malas dia melayan! Pantas dia menyiapkan kembali kerjanya yang masih
terbelangkai.
“ Zyra, kau okey?” lelaki yang
dikenali sebagai Zahari menyapanya tiba-tiba. Sepanjang seminggu dia berada di
situ, lelaki itu tidak pernah menegurnya. Mungkin belum biasa dengan staf baru
yang berada di situ.
“ Aku okey! Kau dah berapa lama
kerja kat sini?” soal Zyra berbasi-basi.
“ Hampir 5 tahun. Masa Dato’ Azman
jadi bos, aku rasa enjoy jugak! Tapi dah ada cik Azura, aku rasa semacam je!
Takut pun ada!” Zahari berterus terang. Rasa sayu di hati Zyra secara
tiba-tiba. Perubahan majikan rupanya boleh mengubah sikap dan perasaan
seseorang. Cukup menyedihkan!
“ Lama juga ya! Tapi cik Azura tak
adalah garang sangat. Kalau kau dah terbiasa nanti, happylah kau!” ulas Zyra seakan
memujuk.
“ Awak okey bekerjasama dengan dia?
Aku tengok nak senyum pun susah! Jangan cakap kau tak pening kepala!” Zahari
membalas lagi.
“ Kat pejabat ni, tempat orang
bekerja, bukan memadu kasih!” tiba-tiba Zariff bersuara apabila melalui meja Zyra.
“ Sakit jiwa agaknya mamat sekor
ni!” getus Zyra sambil memandang Zahari yang terkebil-kebil. Tidak faham!
****
Selepas
lunch, Zyra ralit melihat Azura yang berada di meja Zariff dengan senyuman
manis. Entah apa yang dibualkan sedangkan Zariff hanya beriak selamba tanpa
senyuman. Murah pula melempar senyum kalau dengan lelaki! Kalau dengan peremuan
entah apa-apa! Getus Zyra sendiri. Dia memandang lagi seraut wajah Zariff yang semakin tampan dari hari ke hari.
Entah kenapa cemburu juga di
hatinya melihat majikannya yang cantik berada seinci di hadapan lelaki itu.
Mengapa dikatakan benci, sedangkan di hatinya ada rasa rindu! Mengapa ada marah
jika ada sayang entah bila tiba? Ah! Zyra menahan dirinya dari terus
memerhatikan Zariff. Senyuman Azura bisa
membuatkan hatinya menjadi sakit.Cemburunya saat itu mungkin setinggi gunung
Everest. Atau tidakpun setinggi gunung Kinabalu!
Zyra memandang jam dinding.
Hampir jam 3.30 petang. Tinggal satu jam lagi untuk dia bertahan di situ. Ingin
dia berlari pulang dan berada di bawah pancuran air selama mungkin untuk
menghilangkan penat minda dan fizikalnya. Setelah menghabiskan kerja dan masa
pejabat telah habis waktunya, Zyra pantas bangun tanpa menoleh lagi. Namun
sempat pula Zariff mendahuluinya dengan
senyuman yang sinis.
“ Waktu pejabat bukan untuk bercinta!
Orang datang sini nak bekerja! Bukan jual minyak urat!” sindir Zyra tanpa
memandang Zariff yang mula berubah wajah.
“ Eh, kau cemburu ya? Takkan nak ejas
aku balik!” balas Zariff kasar. Zyra
yang mendengar membutangkan mata.
“ Aku cemburu?”
“
Ya! Cemburu aku dan Azura kan?” Zariff melepas kata. Wajah masam Zyra dipandang
lama. Entah kenapa hatinya berbunga melihat gadis itu.
“ Memang! Dah tu kenapa?” Zyra malas
mengelak-ngelak. Jika dia menafikan sekalipun, pasti lelaki itu akan terus
menyakitinya.
“ Aku dah agak dah! Lain kali, jangan
sesuka hati nak ludah, sekarang takkan nak jilat balik!” Zariff berlalu. Puas
hatinya melihat Zyra yang tercegat di situ secara tiba-tiba.
“ Agaknya mental balak ni! Aku tak kenal
dia, dia buat aku macam pesalah! Ah! Bingung!” Zyra berlalu dari situ.
Tiba-tiba terlintas di hatinya untuk pulang ke rumah orang tuanya malam nanti.
“ Ajak kak Lia lah!” getus Zyra sendiri.
****
Amelia
menjenguk kepalanya beberapa kali di One Utama Damansara sambil mencari kelibat
Idayu yang tidak muncul-muncul. Puas sudah dia dan Hana mencuci mata dengan
melihat pelbagai ragam manusia yang membeli belah di situ. Namun kawannya yang
seorang itu masih tidak menampakkan wajah. Sewaktu keluar sebentar tadi,
Iskandar berada di rumah dan sanggup menghantar Amelia dan Hana ke situ. Kadang
kala Amelia sendiri tidak faham dengan sikap suaminya yang berubah-rubah
wataknya. Kadang-kadang Iskandar memaki hamun dan bertindak kasar. Ada masanya
dia bersikap romantik dan memanjakannya. Apa yang paling tidak dapat diterima
dek akal, Iskandar kadang kala menangis menahan sifat cemburu yang entah datang
dari mana. Semua itu membuatkan Amelia menjadi bingung.
Seingat Amelia, sepanjang dia
bergelar isteri Iskandar, semua kenangan silamnya dibuang terus dari ingatan.
Jika ada sekalipun, semua itu kerana Iskandar yang tidak habis-habis
mengungkit. Ah! Entahlah! Manusia tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada.
Amelia tahu, apa yang berlaku
adalah hukum karma. Dia menyakiti hati Zariff, dia pula disakiti oleh Iskandar.
Dan sakitnya mungkin berlebih lagi daripada Zariff yang hanya memegang status
kekasih ketika itu. Semuanya suratan takdir! Amelia mengucap di dalam hati agar
dia tidak terus menyalahkan takdir yang tertulis untuknya. Dia ikhlas berkorban
walaupun pengorbanan itu merobek hatinya sendiri.
“ Termenung jauh nampak!” Idayu
tiba-tiba menyapa tanpa salam. Pantas dia mencubit lembut pipi anak kecil
Amelia yang berada di dalam kerusi baby. Hana hanya merengek kecil sebelum
terkebil-kebil memandang wajah Idayu yang membulatkan matanya.
“ Kenapa lambat? Dah lenguh tangan aku
tolak kerusi Hana ni,” ujar Amelia sambil beriringan dengan Idayu ke ruang
jualan buku.
“ Sorrylah..aku datang naik bas. Jalan
jem!” jawab Idayu sambil mengambil Hana dan mendukungnya. Amelia yang mendengar
hanya menganggukkan kepalanya. Kemudian dia membelek beberapa buah novel yang
tersusun rapi di atas rak. Novel yang berjudul Aku Bukan Perampas! pemilik
nama Amylie Haizani menarik minatnya.
Pantas buku itu diambil dan dibaca bahagian belakang buku. Dia belum pernah
lagi mendengar nama penulis novel tersebut. Mungkin penulis baru yang baru nak
berkongsi karyanya dengan pembaca! Getus Amelia sendiri.
“ Tengok buku ni Dayu! Menarik tak
tajuk ceritanya?” soal Amelia sambil menghulurkan buku tersebut kepada
temannya. Sememangnya, Idayu adalah sahabat baiknya ketika belajar di UIA dan
memang dikenali sebagai ulat buku.
“ Tajuknya menarik! Panas lagi! Tapi
aku pasti ceritanya bermain dengan emosi dan air mata!” ujar Idayu serkap
jarang. Amelia tersengih menampakkan giginya yang putih. Kelakar juga dia dengan
jawapan Idayu. Pandai meneka!
“ Kenapa kau cakap macam tu?” soal
Amelia ingin tahu.
“ Dah kata tajuknya Aku Bukan
Perampas! Mungkin watak utama tu, dituduh perampas oleh seseorang sedangkan dia
bukanlah orang sebegitu.” Amelia menganggukkan kepalanya. Terbayang wajah
Zariff di ruangan mata. Bukan Iskandar yang merampasnya dari lelaki itu. Tetapi
dia yang rela walaupun dalam terpaksa. Ah! Kenapa Zariff pula yang diingatkan.
Tiba-tiba telefon Amelia berdering
kuat. Pantas dia mengambilnya dari beg bimbitnya. Nama Zyra tertera di kaca
telefon.
“ Assalamualaikum..kenapa Zyra call
kak Lia ni?” soal Amelia pantas. Wajah kembarnya terbayang di mata.
“ Malam ni kita pergi rumah mak, nak
tak kak Lia?” suara Zyra kedengaran jelas selepas menjawab salamnya. Amelia
yang memandang Idayu yang asyik melayan anaknya mendiamkan diri buat seketika.
“ Nanti kak Lia confirmkan dengan
abang Is. Kak Lia ada dekat One Utama ni. Jumpa kawan! Tengoklah kalau abang Is
izinkan!” Amelia tidak dapat memberi jawapan yang pasti. Risau juga jika
dihalang oleh Iskandar jika dia mengatakan persetujuannya.
“ Ok! Apa-apahal, kak Lia call Zyra!
Bye!” talian diputuskan. Amelia mengambil semula novel tersebut dari tangan
Idayu.
“ Yang ni aku nak! Kau tak nak beli
novel?” soal Amelia kepada Idayu.
“ Tak apalah. Nanti aku pinjam kau punya.
Ok!” Idayu memberi kata putus sebelum mengekori Amelia yang membayarnya di
kaunter. Sesekali Hana merengek lagi sebelum mendiamkan diri apabila botol susu
disumbat ke mulut comelnya.
****
Iskandar
yang berada di rumah termenung di
jendela. Entah kenapa hatinya tidak senang
walaupun hartanya melimpah ruah. Jiwanya juga seakan sakit. Setiap kali
teringatkan apa yang dilakukan kepada Amelia, dia sering dilanda curiga.
Bagaimana perasaan wanita itu kepadanya?
Dia tahu tentang hati Amelia
kepunyaan orang lain ketika dia melamar gadis itu. Namun kerana terlalu
menyintai Amelia, dia mengambil kesempatan melihat keadaan Zyra yang terlantar
di hospital. Jika tidak disebabkan itu, mungkin Amelia tidak sudi bersamanya.
Ketika belajar di UIA lagi,
Iskandar sering mengambil hati gadis itu. Namun semuanya sia-sia belaka. Amelia
langsung tidak memberi ruang untuknya walaupun sedikit.
“
Iskandar, saya dah ada yang punya! Tolong jangan ganggu saya. Sudahlah
saya banyak masalah! Kenapa awak tak faham?” soal Amelia sedikit berang.
“ Pasal adik awak yang ada di hospital
tu, saya boleh tolong bayarkan Lia! Saya ikhlas sukakan awak! Berilah peluang
kepada saya..lagipun, saya tiada sesiapa di dalam dunia ni Lia..orang tua saya
dah lama meninggal dunia!” Iskandar merayu lagi tanpa rasa malu.
“ Tolonglah Iskandar! Jangan awak
ambil kesempatan atas penderitaan keluarga kami! Pasal duit, kami boleh
usahakan sendiri,” ujar Amelia sambil berlalu. Ketika itu hilang sudah harapan
yang menggunung di dada Iskandar. Namun beberapa hari kemudian..
“ Iskandar, saya sudi terima awak.
Namun tolong bantu Zyra!” Amelia menangis teresak-esak. “ Doktor kata, Zyra
perlu dibedah segera. Jadi, tolonglah saya Is..” sambung Amelia sambil mengesat
air matanya.
“ Saya akan tolong awak Lia. Janji
awak sudi terima saya sebagai teman hidup!” Iskandar tersenyum penuh makna. Dia
yakin gadis itu akan menjadi miliknya juga.
Tiba-tiba telefonnya yang berada
di atas sofa, berbunyi kuat melenyapkan kenangan lama. Pantas dijawabnya
panggilan yang tertera nama Amelia. Isterinya itu meminta mengambilnya di One
Utama. Sudahnya, Iskandar haanya mampu menarik nafas panjang dan melepaskannya
dengan keluhan yang berat.