Home Novel Cinta Dia, Jodohku Rupanya
Dia, Jodohku Rupanya
Amylieyhaizani
9/3/2014 02:03:54
74,438
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Bab 5

Hari pertama Zyra bekerja cukup menyeronokkan. Dia sendiri tidak kekok untuk menjalankan kerja yang diamanahkan. Staf AZURA’S FAMILY juga begitu ramah menegurnya. Banyak soalan yang ditanya sehingga penat Zyra untuk menjawab. Apa yang mencuit hati Zyra, mereka semua akan menjadi kelam kabut apabila wajah Azura tersembul di situ. Takut benar mereka dengan wanita cantik itu. Kata mereka, Azura perempuan harimau yang belum pernah membaham manusia. Namun jelingannya mampu membuatkan mereka terdiam seribu bahasa. Malah tertunduk tanpa berani mengangkat muka.
Zyra menyiapkan kerja yang masih banyak di atas mejanya. Kerja-kerja kerani yang sepatutnya telah selesai sebelum ini dilambakkan ke atas mejanya. Mujurlah Zyra cekap menaip. Tidaklah dia termengah-mengah mengejar masa.

“ Zyra, kau tahu tak kenapa semua orang takut dengan cik Azura?” Linda yang berada di sebelah mejanya bersuara perlahan. Sempat juga beberapa mata menjeling sambil tersenyum sinis. Masak benar mereka dengan Linda yang suka menjaja cerita. Tidak hairanlah mereka memanggil Linda dengan gelaran mulut ayam. Tidak sayang mulut!

“ Kenapa?” Zyra sekadar bertanya. Linda yang melihat respon daripada Zyra tersenyum lebar. Ada juga yang ingin melayan ceritanya. Jika tidak, penat dia menahan mulut lantaran teman yang lain asyik menutup telinga apabila dia membuka mulut untuk bercerita.

“ Cik Azura tu garang tak bertempat. Sebab tu lah semua orang takut. Yang paling penting, kau tahu kenapa cik Azura tak kahwin lagi?” soal Linda dengan mata yang bersinar. Zyra tergelak kecil melihat gelagat Linda yang begitu teruja untuk menceritakan tentang bos mereka.

“ Kenapa?” Zyra berhenti ketawa. Takut juga Linda akan berkecil hati.

“ Entah! Memilih sangat kut! Nak kata tak ada rupa, cantiklah daripada aku ni,” luah Linda sendiri tidak pasti. Kemudian dia duduk ke tempatnya apabila terdengar pintu bilik Azura dibuka dari dalam. Wanita yang bergaya dengan skirt separas lutut itu melalui meja Zyra sambil menjeling Linda yang berpura-pura sibuk.

“ Ok kerja Zyra?” Azura bertanya tanpa senyuman. Zyra mengangguk sambil melempar senyuman ikhlas. Jika diikutkan hati, ingin dia bergolek di situ mengenangkan Linda yang begitu serius membuat kerja. Staf yang lain juga kelihatan turut menahan tawa.

“ Saya tak nak dengar sebarang gossip dalam pejabat ni! Kalau terdengar di telinga saya, tahulah apa yang saya nak buat!” Azura seakan memberi amaran. Linda yang mendengar terasa tercekik sesuatu di lehernya. Bosnya itu seolah dapat menghidu kegiatannya yang suka menjaja cerita. Semua yang mendengar hanya menganggukkan kepala. Ada juga yang menjeling kepada Linda yang berpura-pura sibuk menghabiskan kerja.

“ Baik cik Azura,” Zyra menjawab perlahan. Takut juga matanya bertentang dengan majikannya itu. Wajah Azura yang kelihatan serius melunturkan sedikit kecantikan wajahnya. Namun Zyra akui bahawa Azura mempunyai tarikannya yang sendiri.

“ Saya nak keluar sekejap. Apa-apahal bagitahu Adilla,” Azura memberi arahan. Adilla selaku setiausahanya hanya mengangguk tanpa senyuman. Zyra melihat kepada Adilla yang jelas kelihatan serius mengalahkan Azura. Agaknya siapa yang bekerja di sini tak boleh senyum kut! Zyra beranggapan sendiri. Azura berlalu tanpa berpaling lagi. Linda yang menahan suara mengurut dada tanda lega.

“ Penat aku tahan nafas!” Linda bersuara sambil menarik nafas kuat. Zyra hanya tergelak kecil dengan karenah gadis itu.

“ Jangan bergosip di pejabat Linda. Awak tak dengar arahan puan Azura tadi?” Adilla bersuara tegas. Linda menjeling kepadanya sekilas. Wajahnya masam mencuka. Hilang sikap kebudakannya sebentar tadi.

“ Adilla, kau tu jangan nak tunjuk baik sangat! Dah kena buli dengan cik Azura pun nak tunjuk bagus. Kalau aku jadi kau lah, aku dah letak jawatan!” Linda pantas menjawab.

“ Sudahlah tu Linda. Kita buat kerja ya. Betul kata Adilla tu,” Zyra pula terasa serba salah. Kasihan pula dia melihat Adilla yang mendiamkan diri dengan kata-kata Linda. Mulut Linda boleh tahan juga! Zyra meneruskan kerjanya. Jam di tangan menunjukkan jam 4.00 petang. Masih ada setengah jam lagi untuk dia menyiapkan kerja yang terbelangkai.
Zyra menarik nafas lega apabila kerjanya siap sebelum berakhirnya waktu pejabat. Pantas dia menghubungi Mila namun wajahnya beriak hampa selepas Mila mengatakan dia terpaksa menemani Datin Umaira untuk promosi skirt baru keluaran butik mereka dan semestinya Mila perlu menjadi model pakaian itu. Zyra menarik nafas lagi. Kali ini berat sekali nafas yang dilepaskan. Terpaksalah dia berbas atau berteksi untuk pulang ke rumah.
Tiba-tiba wajah Zyra bercahaya. Wajah pemuda di CM terbayang di matanya. Kemudian dia mengigit bibir. Lelaki itu membencinya tanpa sebab. Zyra mula menukar fikiran. Balik rumah lagi baik! Getusnya sendiri.

“ Zyra, kau tak nak balik ke?” Linda menegur Zyra yang termenung panjang. Pantas jam di tangan dilihatnya. Waktu pejabat telah berakhir. Zyra tersenyum kepada Linda yang mula mengorak langkah untuk pulang. Selepas menyusun fail di atas mejanya, Zyra pantas berlalu meninggalkan pejabat. Di dalam kepalanya saat itu adalah menaiki teksi untuk pulang ke rumah.

****

Zyra yang menjenguk mencari kelibat teksi sedikit hampa. Kebanyakan teksi yang lalu di situ mempunyai customer di dalamnya. Zyra terjenguk-jenguk lagi. Penat juga kakinya berdiri di situ. Sudahlah jalan yang sesak dengan kenderaan itu memeningkan kepalanya. Tiba-tiba Zyra terpelanting jatuh untuk mengelak sebuah motosikal yang datang laju dengan tiba-tiba. Dia mengaduh kesakitan. Terasa berpijar tapak tangannya apabila terkena batu jalan.

“ Nak mati ke?” suara kasar seorang lelaki mengherdik Zyra yang cuba bangun. Pantas Zyra berpaling. Wajah lelaki itu kelihatan sedikit berubah namun riak marah mula bertukar benci.

“ Awak tu yang buta!” Zyra membalas kata apabila bersusah payah berdiri. Bukannya nak tolong aku jatuh! Desis Zyra tidak berpuas hati. Wajah pemuda yang bermain di fikirannya sejak akhir-akhir ini berada di hadapan mata. Namun seperti biasa tiada senyuman.

“ Kau memang perempuan ego dan berlagak!” jerit pemuda itu dan berlalu dari situ. Zyra hanya mampu mengucap di dalam hatinya. Pandangan orang yang lalu lalang dibiarkan begitu saja. Fikirannya tertumpu kepada kata-kata lelaki itu. Ego dan berlagak? Bila pulak aku berlagak? Aku bukannya orang senang? Zyra menyoal dirinya sendiri. Kemudian dia melihat sebuah teksi berada di sebelahnya.

“ Cheras boleh pak cik? Zyra bersuara ramah. Lelaki separuh abad itu menganggukkan kepala dengan senyuman. Di dalam kereta, Zyra hanya mampu menahan sakit di tangannya. Selebihnya, hatinya juga merasa sakit secara tiba-tiba.

****

Zariff turun dari motosikalnya dan menghampiri Danial yang asyik menyedut air limau ais di hadapannya. Kelibat Zariff disambut dengan sengihan lebar.

“ Kau ajak aku minum, kau dah bedal awal-awal. Kalau macam ni, baik aku minum kat CM tu je. Tak habis minyak motor,” Zariff membidas tanpa sempat Danial bersuara. Dia melabuh punggung di atas kerusi dan meminta Milo ais daripada pelayan kedai.

“ Relaklah Zariff..Bosanlah aku minum sorang-sorang. Kau tak nak balik lagi ke?”

“ Aku bukannya kerja macam kau. Kerja ofis! Habis kerja kau bolehlah balik. Aku main gitar ni pun berapa sen sangatlah dapat,” Zariff berterus-terang. Ingatannya masih kepada Mily yang jatuh sebentar tadi. Timbul rasa kesal kerana tidak membantu. Kejam betul apa yang dia buat kepada Mily. Ah! Dia lagi kejam buat aku merana! Zariff membuang rasa bersalah. Wajahnya berubah tegang secara tiba-tiba

“ Tu lah, aku suruh kau cari kerja lain tak nak! Tu siapa si cantik yang goda kau tu? Azura ek? Tanyalah ada kerja kosong tak kat syarikat bapak dia. Kau tu, semua nak berkira,” Danial seakan membebel. Zariff yang mengurutkan dahinya dipandang lama.

“ Tadi aku terlanggar Mily,” Zariff memberitahu Danial dengan suara sedikit kesal.

“ Kau langgar dia? Kau langgar dengan apa? Berlanggar bahu ek?” Danial cuba meneka.

“ Dengan motor. Baru je! Nak jumpa kau lah! Aku tak tolong pun bila dia jatuh,” Zariff bersuara dengan wajah yang suram. Danial yang mendengar membutangkan matanya. Biar betul? Kejamnya!

“ Macam mana dengan dia? Teruk tak?” Danial menyoal lagi. Zariff melihat sekeliling, kemudian memandang Danial yang sabar menunggu jawapannya.

“ Memang aku kejam! Aku tak tahu macam mana keadaan dia. Yang aku tahu dia jatuh atas jalan. Masa tu aku tak tahu tu Mily. Bila dia berpaling, hati aku terasa sakit sangat. Entahlah Danial, aku sendiri tidak tahu kenapa aku dipertemukan dengan dia semula,” Zariff seolah-olah boleh membaca anggapan Danial kepadanya. Kemudian dia mengambil minuman yang telah terhidang di hadapan mata.

“ Agak-agak teruk tak?” Danial masih bertanya.

“ Aku taklah langgar dia. Tapi hampir je. Dia yang mengelak tak betul, jatuhlah!” Zariff pula yang risau melihat Danial beria-ria.

“ Kau jumpalah dia minta maaf. Tak baik berdendam Zariff. Yang lepas tu kau relakan jelah!” pandai pula Danial memberi nasihat. Zariff mencebik dengan nasihat Danial. Bukan Zariff tidak ingat kata-kata Danial tempoh hari yang menyuruh dirinya mempermainkan Mily kembali. Cakap tak serupa bikin! Zariff pantas menyedutnya airnya dengan rakus.

“ Pandailah kau tu! Sekejap jadi dajal, sekejap jadi ustaz! Cepatlah minum. Aku nak pergi dah ni. Nanti balik, pandai-pandailah kau masak! Aku nak makan!” Zariff bersuara kasar. Danial hanya tersengih lebar. Ada juga bakat terpendam yang dia sendiri tidak tahu. Pasti sejuk perut ibunya jika dia bergelar ustaz!

“ Ialah aku masak. Kau tu jangan balik lambat sangat. Malam nanti aku nak ajak kau pergi KLCC. Nak tengok wayang. Kau jangan risau, aku belanja!” Danial memberi kata putus. Zariff hanya mendengar tanpa sebarang jawapan. Kemudian dia meletakkan RM5.00 sebelum bangun dari kerusi.

“ Malam nanti kau belanja. Sekarang aku belanja, kau tolong bayarkan! Aku sibuk ni!” ujar Zariff dan berlalu menghampiri motosikalnya. Seketika dia teringatkan Mily yang jatuh sebentar tadi. Entah macam manalah!

****

Selepas mandi, Zyra menilik tangannya yang tercalar kesan dari kemalangan sebentar tadi. Dia mencari ubat gamat di atas televisyen dan mengambil kapas putih yang turut berada di situ. Pantas dia menyapukan lukanya dengan perlahan. Terasa pedih menular ke dalam lukanya yang kelihatan agak dalam. Dia mengaduh sendiri menahan kesakitan yang berdenyut-denyut.
Zyra membebel sendiri mengenangkan lelaki yang menyebabkan dia terjatuh bagai nangka busuk. Sudahlah ramai orang yang melihat apa yang berlaku antara mereka berdua. Apa yang Zyra terkilan, lelaki itu hanya membiarkan dirinya terkial-kial untuk berdiri. Kejam betul! Tiada perasaan! Getus Zyra lagi. Teringat pula kata-kata lelaki itu yang menuduh dirinya ego dan berlagak. Zyra sebenarnya tidak faham apa maksud lelaki itu.
Sejak bila pula mamat sekor tu ambil tahu pasal aku? Bila masa lah pulak aku berlagak? Zyra bersoal jawab sendiri. Wajah marah dan benci lelaki itu seakan-akan menarik perhatian Zyra. Betulkah itu tektik seperti yang dikatakan oleh Mila? Tektik macam tu mana pernah diguna pakai! Tektik cari nahas tu! Zyra malas melayan persoalan yang datang tanpa henti. Dia menuju ke dapur untuk mencari sesuatu untuk dimakan. Sudahnya Zyra menarik nafas berat dan melepaskannya dengan keluhan apabila tiada makanan untuk mengalas perutnya.
Zyra berkira-kira untuk membuat mee goreng apabila tiada apa-apa yang boleh menghilangkan perutnya yang berlagu ketika itu. Dia mengeluarkan stok ayam yang masih bersisa bersama sebatang sawi yang masih setia di dalam peti sejuk. Baru saja Zyra mengupas bawang, kedengaran suara Mila memberi salam. Pantas salam dijawab sebelum wajah Mila tersembul di dapur.

“ Kau nak masak apa cik kak? Ni aku dah beli bihun tomyam! Siapa nak makan?” soal Mila sambil meletakkannya di atas meja. Zyra yang mendengar tersengih lebar. Memang tomyam salah satu makanan kegemarannya. Rasanya yang enak cukup membuatkan sesiapa yang merasainya akan menoleh dua kali! Mungkin berkali-kali. Zyra menyimpan semula stok ayam dan sayur sawi ke dalam peti sejuk.

“ Kerja okey tak?” Mila duduk setelah mengambil air masak di dalam peti. Dia meneguk dengan sekali nafas. Hilang rasa dahaga yang mencucuk-cucuk lehernya. Zyra yang mengambil mangkuk dan sudu turut melabuhkan punggungnya di atas kerusi.

“ Kerja okey. Tak susahpun. Diaorang semua pun ramah-ramah! Yang terlebih ramah pun ada,” Zyra tersenyum sendiri apabila teringat karenah Linda yang mencuit hatinya.

“ Yang terlebih ramah tu kau kena jaga-jaga. Biasa mulut diorang ni kadang kala terlepas juga!” Mila seolah-olah dapat membaca sikap dan perilaku Linda yang ada pasang surutnya.

“ Kau macam mana? Okey tak hari ni? Datin Umaira kesayangan kau tu apa khabar?” Zyra bersuara memasukkan bihun tomyam yang dibuka kepada dua mangkuk. Satu dihulurkan kepada Mila yang tiba-tiba tersenyum lebar.

“ Okey! Datin Umaira kata, diorang suka skirt terbaru keluaran butiknya. Apa yang penting skirt tu digayakan oleh aku! Meletup tu!” Mila mengangkat bakul sendiri. Zyra yang mendengar tergelak kecil. Masak benar dengan perangai Mila yang suka memuji kecantikan diri.
Zyra mula menikmati makan petangnya atau mungkin juga makan malamnya. Dia meletakkan tangan kirinya di atas meja. Pantas mata Mila terbutang luas melihat luka di tangan Zyra.

“ Apa hal ni? Kau jatuh?” Mila membelek-belek tapak tangan Zyra yang agak dalam lukanya.

“ Sikit je. Tadi ada motor nak langgar aku. Aku cuba elak. Entah macam mana boleh jatuh pulak,” Zyra bersuara sedikit geram. Mila yang mendengar terlopong pula.

“ Berat betul lah budak-budak motor sekarang ni! Bawak moto tak tengok orang. Kalau ya pun nak merempit, tengoklah keadaan. Ni tidak!” Mila membebel sendiri.

“ Cik adik sayang, yang nak langgar aku tu, bukan mat rempit, bukan budak yang suka berpeleseran! Mr Gitaris tu yang nak langgar aku masa aku tunggu teksi!” Zyra membetulkan tanggapan Mila yang beria-ria menghukum orang sesuka hati. Sekali lagi wajah Mila terkejut beruk. Dia memandang Zyra meminta kepastian.

“ Iya..kau ingat aku main-main! Dahlah, makanlah bihun tu, dah kembang pun!” Zyra bersuara mematikan wajah terkejut Mila. Pantas Mila menyuap bihun tomyam ke mulutnya. Pelik juga Mr Gitaris asyik terjumpa Zyra. Dengan aku tak ada pulak! Atau tu juga tektik untuk mencuri hati Zyra? Mana tahu! Orang sekarang ni macam-macam. Banyak cara untuk memikat hati perempuan. Ada yang bagi bunga, bagi surat, bagi kad dan sekarang pura-pura tidak suka dan menyampah! Kemudian hulur salam perkenalan dan bercinta! So sweet…
Zyra yang menghabiskan makanannya bangun dan membasuh mangkuknya di dalam singki. Mila pula membuang bihun tomyam yang masih bersisa ke dalam tong sampah dan menghulurkan kepada Zyra untuk dibasuh. Kemudian mereka bergegas ke ruang tamu sebelum Mila membuat keputusan ke biliknya untuk membersihkan diri. Melekit katanya
Zyra yang duduk mengadap tv tiba-tiba mengucap panjang. Dia belum lagi menunaikan solat asar sedangkan jam di dinding hamper menunjukkan jam 6.30 petang. Pantas Zyra bangun menuju ke bilik air dan mengambil wuduk. Tangan kirinya yang sedikit pedih dibiar begitu sahaja. Pantas dia memasuki bilik dan menunaikan solat asar dengan khusyuk. Selesai solat, Zyra mengangkat tangan memohon doa dari yang Maha Kuasa untuk kebahagiaan mereka sekelurga, teman-temannya dan juga orang islam keseluruhannya. Amin..

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.