Home Novel Cinta Dia, Jodohku Rupanya
Dia, Jodohku Rupanya
Amylieyhaizani
9/3/2014 02:03:54
74,542
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

Bab 14

Seminggu berada di Jaya Idaman bagaikan setahun bagi Zyra. Kepalanya cukup sakit dengan karenah Azura selaku majikannya yang mengarahnya melakukan kerja yang bukan dibawah tanggungjawabnya. Adakah patut gadis itu menyuruhnya membersih lantai dan membersihkan tingkap yang ada dengan alasan tidak mempercayai cleaner yang bekerja di situ.
Zyra cukup pening apalagi kerja-kerja tersebut cukup membebankan dirinya. Sebagai Setiausaha yang mempunyai kerja yang bertimbun di atas meja, Zyra tidak mahu diberatkan dengan kerja-kerja lain yang boleh menghilangkan fokusnya ketika bekerja. Dia tidak ingin kualiti kerjanya merosot hanya kerana sikap Azura yang diibaratkan mementingkan diri sendiri.
Zyra memulakan kerjanya dengan kepala yang sakit. Entah kenapa badannya terasa lemah. Mungkin terlalu banyak berfikir tentang kerja! Dia juga tidak lena tidur apabila memikirkan kerjanya yang masih tertunggak di pejabat. Sudahnya dia bangun dan menyelesaikan pula kerja itu di rumah. Ah! Cukup rumit rupanya menjadi seorang Setiauasaha.

“ Zyra, kerja semalam dah siap?” tiba-tiba Azura tercegat di situ tanpa disedari oleh Zyra. Pantas dia memandang wajah gadis itu yang tiada langsung sebaris senyuman.

“ Yang mana Cik Azura? Saya tak pasti kerja yang mana cik Azura maksudkan,” soal Zyra berterus terang. Banyak benar kerja yang diberi. Entah kertas kerja apa yang dimaksudkan.

“ Tentang perjanjian Landskap untuk Masjid Ar-Rahimah yang berada di Bangsar tu! Awak dah siapkan? Azura bersuara keras.

“ Dah cik Azura. Hari rabu nanti kita ada meeting dengan ustaz Baharuddin tentang lakar rajah landskap yang sesuai. Saya rasa kita boleh ambil corak dan contoh dari Negara-negara islam yang lain. Apa yang penting, landskap itu mestilah bercirikan keislaman,” ujar Zyra memberi pendapat tanpa diminta.

“ Yang tu kita rujuk kepada Encik Zaidi selaku arkitek syarikat kita!” balas Azura tanpa menimbangkan kata-kata gadis di hadapannya. Bagi Zyra, sebagai graduan di bahagian rekaan dalaman, sikit sebanyak dia juga berminat dengan bidang landskap yang mencabar kebolehan seseorang dalam kemahiran menilai dan mencipta konsep rajah yang boleh menarik perhatian ramai. Contohnya, landskap yang telah banyak dilaksanakan di kawasan perumahan, semuanya kelihatan menarik dengan kehebatan arkitek landskap yang berpengalaman dan mempunyai kesabaran yang tinggi.

“ Apa cik Azura tu nak?” soal Kak Mona yang entah bila berada di hadapan Zyra.

“ Tentang projek landskap Masjid Ar-Rahimah di Bangsar!” ujar Zyra pendek.

“ Aku tengok serius je!” Linda pula menyampuk. Zyra dan kak Mona yang mendengar memandang Linda yang mula terkulat-kulat. Aku salah cakap ke? Getus Linda sendiri.

“ Eh, kau siapkan kerja ni!” tiba-tiba Zariff datang dengan meletakkan fail yang tertutup. Kak Mona dan Linda hanya mampu melihat sikap kurang ajar lelaki itu. Zyra yang melihat pantas membuka fail dan melihat kertas kerja yang di suruh.Sakit hatinya melihat gelagat Zariff yang membuat muka seposen.

“ Eh! Ni kerja kau kan! Mencari maklumat tentang siapa yang inginkan pembinaan landskap adalah tugas kau! Dan aku hanya menerima kerja kau yang dah siap! Takkan kau nak makan gaji buta?” keras Zyra bersuara. Linda yang terkejut melihat perubahan Zyra kembali duduk di tempatnya. Begitu juga kak Mona yang tidak tahu hujung pangkalnya.

“ Aku rasa tangan kau dah ok kan? Takkan tak boleh balas budi kut!” Zariff sengaja menguji kesabaran Zyra.

“ Kau yang buat aku sakit, sekarang nak berbalas-balas budi pulak! Banyak cantik!” Zyra malas melayan. Dibiarkan sahaja fail tersebut di tepi. Sudahnya Zariff mengambil semula dengan wajah yang mencuka.

“ Benarlah kau ni pentingkan diri sendiri! Mata duitan!” sergah Zariff dengan kasar.

“ Bila masa aku minta duit dengan kau? Ada? Malas aku nak layan lelaki macam kau ni!” balas Zyra dan bangun untuk ke tandas. Sakit hatinya bukan sedikit. Sudahlah Azura membuat jiwanya tidak tenang, ditambah pula dengan Zariff yang seringkali menduga hatinya. Kenapa pula dia dituduh pentingkan duit sedangkan dia tidak pernah meminta, jauh sekali untuk mengemis daripada orang. Daripada Zariff, sungguh dia tidak pernah mengenali lelaki itu sebelum ini. Segala pertengkaran yang berlaku sebenarnya amat menghairankan dirinya.
Sepuluh minit berada di tandas Zyra kembali ke mejanya. Zariff yang memandang dibiarkan sahaja tanpa sebarang reaksi. Malas dia melayan! Pantas dia menyiapkan kembali kerjanya yang masih terbelangkai.

“ Zyra, kau okey?” lelaki yang dikenali sebagai Zahari menyapanya tiba-tiba. Sepanjang seminggu dia berada di situ, lelaki itu tidak pernah menegurnya. Mungkin belum biasa dengan staf baru yang berada di situ.

“ Aku okey! Kau dah berapa lama kerja kat sini?” soal Zyra berbasi-basi.

“ Hampir 5 tahun. Masa Dato’ Azman jadi bos, aku rasa enjoy jugak! Tapi dah ada cik Azura, aku rasa semacam je! Takut pun ada!” Zahari berterus terang. Rasa sayu di hati Zyra secara tiba-tiba. Perubahan majikan rupanya boleh mengubah sikap dan perasaan seseorang. Cukup menyedihkan!

“ Lama juga ya! Tapi cik Azura tak adalah garang sangat. Kalau kau dah terbiasa nanti, happylah kau!” ulas Zyra seakan memujuk.

“ Awak okey bekerjasama dengan dia? Aku tengok nak senyum pun susah! Jangan cakap kau tak pening kepala!” Zahari membalas lagi.

“ Kat pejabat ni, tempat orang bekerja, bukan memadu kasih!” tiba-tiba Zariff bersuara apabila melalui meja Zyra.

“ Sakit jiwa agaknya mamat sekor ni!” getus Zyra sambil memandang Zahari yang terkebil-kebil. Tidak faham!

****

Selepas lunch, Zyra ralit melihat Azura yang berada di meja Zariff dengan senyuman manis. Entah apa yang dibualkan sedangkan Zariff hanya beriak selamba tanpa senyuman. Murah pula melempar senyum kalau dengan lelaki! Kalau dengan peremuan entah apa-apa! Getus Zyra sendiri. Dia memandang lagi seraut wajah Zariff yang semakin tampan dari hari ke hari.
Entah kenapa cemburu juga di hatinya melihat majikannya yang cantik berada seinci di hadapan lelaki itu. Mengapa dikatakan benci, sedangkan di hatinya ada rasa rindu! Mengapa ada marah jika ada sayang entah bila tiba? Ah! Zyra menahan dirinya dari terus memerhatikan Zariff. Senyuman Azura bisa membuatkan hatinya menjadi sakit.Cemburunya saat itu mungkin setinggi gunung Everest. Atau tidakpun setinggi gunung Kinabalu!
Zyra memandang jam dinding. Hampir jam 3.30 petang. Tinggal satu jam lagi untuk dia bertahan di situ. Ingin dia berlari pulang dan berada di bawah pancuran air selama mungkin untuk menghilangkan penat minda dan fizikalnya. Setelah menghabiskan kerja dan masa pejabat telah habis waktunya, Zyra pantas bangun tanpa menoleh lagi. Namun sempat pula Zariff mendahuluinya dengan senyuman yang sinis.

“ Waktu pejabat bukan untuk bercinta! Orang datang sini nak bekerja! Bukan jual minyak urat!” sindir Zyra tanpa memandang Zariff yang mula berubah wajah.

“ Eh, kau cemburu ya? Takkan nak ejas aku balik!” balas Zariff kasar. Zyra yang mendengar membutangkan mata.

“ Aku cemburu?”

“ Ya! Cemburu aku dan Azura kan?” Zariff melepas kata. Wajah masam Zyra dipandang lama. Entah kenapa hatinya berbunga melihat gadis itu.

“ Memang! Dah tu kenapa?” Zyra malas mengelak-ngelak. Jika dia menafikan sekalipun, pasti lelaki itu akan terus menyakitinya.

“ Aku dah agak dah! Lain kali, jangan sesuka hati nak ludah, sekarang takkan nak jilat balik!” Zariff berlalu. Puas hatinya melihat Zyra yang tercegat di situ secara tiba-tiba.

“ Agaknya mental balak ni! Aku tak kenal dia, dia buat aku macam pesalah! Ah! Bingung!” Zyra berlalu dari situ. Tiba-tiba terlintas di hatinya untuk pulang ke rumah orang tuanya malam nanti. “ Ajak kak Lia lah!” getus Zyra sendiri.

****

Amelia menjenguk kepalanya beberapa kali di One Utama Damansara sambil mencari kelibat Idayu yang tidak muncul-muncul. Puas sudah dia dan Hana mencuci mata dengan melihat pelbagai ragam manusia yang membeli belah di situ. Namun kawannya yang seorang itu masih tidak menampakkan wajah. Sewaktu keluar sebentar tadi, Iskandar berada di rumah dan sanggup menghantar Amelia dan Hana ke situ. Kadang kala Amelia sendiri tidak faham dengan sikap suaminya yang berubah-rubah wataknya. Kadang-kadang Iskandar memaki hamun dan bertindak kasar. Ada masanya dia bersikap romantik dan memanjakannya. Apa yang paling tidak dapat diterima dek akal, Iskandar kadang kala menangis menahan sifat cemburu yang entah datang dari mana. Semua itu membuatkan Amelia menjadi bingung.
Seingat Amelia, sepanjang dia bergelar isteri Iskandar, semua kenangan silamnya dibuang terus dari ingatan. Jika ada sekalipun, semua itu kerana Iskandar yang tidak habis-habis mengungkit. Ah! Entahlah! Manusia tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada.
Amelia tahu, apa yang berlaku adalah hukum karma. Dia menyakiti hati Zariff, dia pula disakiti oleh Iskandar. Dan sakitnya mungkin berlebih lagi daripada Zariff yang hanya memegang status kekasih ketika itu. Semuanya suratan takdir! Amelia mengucap di dalam hati agar dia tidak terus menyalahkan takdir yang tertulis untuknya. Dia ikhlas berkorban walaupun pengorbanan itu merobek hatinya sendiri.

“ Termenung jauh nampak!” Idayu tiba-tiba menyapa tanpa salam. Pantas dia mencubit lembut pipi anak kecil Amelia yang berada di dalam kerusi baby. Hana hanya merengek kecil sebelum terkebil-kebil memandang wajah Idayu yang membulatkan matanya.

“ Kenapa lambat? Dah lenguh tangan aku tolak kerusi Hana ni,” ujar Amelia sambil beriringan dengan Idayu ke ruang jualan buku.

“ Sorrylah..aku datang naik bas. Jalan jem!” jawab Idayu sambil mengambil Hana dan mendukungnya. Amelia yang mendengar hanya menganggukkan kepalanya. Kemudian dia membelek beberapa buah novel yang tersusun rapi di atas rak. Novel yang berjudul Aku Bukan Perampas! pemilik nama Amylie Haizani menarik minatnya. Pantas buku itu diambil dan dibaca bahagian belakang buku. Dia belum pernah lagi mendengar nama penulis novel tersebut. Mungkin penulis baru yang baru nak berkongsi karyanya dengan pembaca! Getus Amelia sendiri.

“ Tengok buku ni Dayu! Menarik tak tajuk ceritanya?” soal Amelia sambil menghulurkan buku tersebut kepada temannya. Sememangnya, Idayu adalah sahabat baiknya ketika belajar di UIA dan memang dikenali sebagai ulat buku.

“ Tajuknya menarik! Panas lagi! Tapi aku pasti ceritanya bermain dengan emosi dan air mata!” ujar Idayu serkap jarang. Amelia tersengih menampakkan giginya yang putih. Kelakar juga dia dengan jawapan Idayu. Pandai meneka!

“ Kenapa kau cakap macam tu?” soal Amelia ingin tahu.

“ Dah kata tajuknya Aku Bukan Perampas! Mungkin watak utama tu, dituduh perampas oleh seseorang sedangkan dia bukanlah orang sebegitu.” Amelia menganggukkan kepalanya. Terbayang wajah Zariff di ruangan mata. Bukan Iskandar yang merampasnya dari lelaki itu. Tetapi dia yang rela walaupun dalam terpaksa. Ah! Kenapa Zariff pula yang diingatkan.
Tiba-tiba telefon Amelia berdering kuat. Pantas dia mengambilnya dari beg bimbitnya. Nama Zyra tertera di kaca telefon.

“ Assalamualaikum..kenapa Zyra call kak Lia ni?” soal Amelia pantas. Wajah kembarnya terbayang di mata.

“ Malam ni kita pergi rumah mak, nak tak kak Lia?” suara Zyra kedengaran jelas selepas menjawab salamnya. Amelia yang memandang Idayu yang asyik melayan anaknya mendiamkan diri buat seketika.

“ Nanti kak Lia confirmkan dengan abang Is. Kak Lia ada dekat One Utama ni. Jumpa kawan! Tengoklah kalau abang Is izinkan!” Amelia tidak dapat memberi jawapan yang pasti. Risau juga jika dihalang oleh Iskandar jika dia mengatakan persetujuannya.

“ Ok! Apa-apahal, kak Lia call Zyra! Bye!” talian diputuskan. Amelia mengambil semula novel tersebut dari tangan Idayu.

“ Yang ni aku nak! Kau tak nak beli novel?” soal Amelia kepada Idayu.

“ Tak apalah. Nanti aku pinjam kau punya. Ok!” Idayu memberi kata putus sebelum mengekori Amelia yang membayarnya di kaunter. Sesekali Hana merengek lagi sebelum mendiamkan diri apabila botol susu disumbat ke mulut comelnya.

****

Iskandar yang berada di rumah termenung di jendela. Entah kenapa hatinya tidak senang walaupun hartanya melimpah ruah. Jiwanya juga seakan sakit. Setiap kali teringatkan apa yang dilakukan kepada Amelia, dia sering dilanda curiga. Bagaimana perasaan wanita itu kepadanya?
Dia tahu tentang hati Amelia kepunyaan orang lain ketika dia melamar gadis itu. Namun kerana terlalu menyintai Amelia, dia mengambil kesempatan melihat keadaan Zyra yang terlantar di hospital. Jika tidak disebabkan itu, mungkin Amelia tidak sudi bersamanya.
Ketika belajar di UIA lagi, Iskandar sering mengambil hati gadis itu. Namun semuanya sia-sia belaka. Amelia langsung tidak memberi ruang untuknya walaupun sedikit.

“ Iskandar, saya dah ada yang punya! Tolong jangan ganggu saya. Sudahlah saya banyak masalah! Kenapa awak tak faham?” soal Amelia sedikit berang.

“ Pasal adik awak yang ada di hospital tu, saya boleh tolong bayarkan Lia! Saya ikhlas sukakan awak! Berilah peluang kepada saya..lagipun, saya tiada sesiapa di dalam dunia ni Lia..orang tua saya dah lama meninggal dunia!” Iskandar merayu lagi tanpa rasa malu.

“ Tolonglah Iskandar! Jangan awak ambil kesempatan atas penderitaan keluarga kami! Pasal duit, kami boleh usahakan sendiri,” ujar Amelia sambil berlalu. Ketika itu hilang sudah harapan yang menggunung di dada Iskandar. Namun beberapa hari kemudian..

“ Iskandar, saya sudi terima awak. Namun tolong bantu Zyra!” Amelia menangis teresak-esak. “ Doktor kata, Zyra perlu dibedah segera. Jadi, tolonglah saya Is..” sambung Amelia sambil mengesat air matanya.

“ Saya akan tolong awak Lia. Janji awak sudi terima saya sebagai teman hidup!” Iskandar tersenyum penuh makna. Dia yakin gadis itu akan menjadi miliknya juga.
Tiba-tiba telefonnya yang berada di atas sofa, berbunyi kuat melenyapkan kenangan lama. Pantas dijawabnya panggilan yang tertera nama Amelia. Isterinya itu meminta mengambilnya di One Utama. Sudahnya, Iskandar haanya mampu menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan keluhan yang berat.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.