Bab 21
Yusuff yang terlena di dalam biliknya selepas pulang dari
kerja, tiba-tiba terlompat bangun. Matanya digosok kasar. Pantas jam dinding
dilihatnya. Hampir jam 7.00 petang. Dia menepuk dahinya kerana terlupa untuk
menunaikan janjinya berjumpa Adilla
selepas pulang dari kerja. Pasti gadis itu tertunggu-tunggu panggilan daripadanya.
Mungkin juga dianggap penipu!
Yusuff bangun dan menuju ke
bilik air untuk membersihkan diri. Selesai semuanya, dia mengambil wuduk untuk
menunaikan solat maghrib. Selepas solat, pantas dia mencapai telefonnya dan
menghubungi Adlilla untuk berjumpa di Restoran yang berada di Kuala Lumpur.
“ Assalamualikum..lama encik
Yusuff tunggu?” soal Adilla dengan senyuman manis. Pantas Yusuff mempelawanya
duduk selepas menjawab salam gadis tersebut.
“ Tak adalah
lama sangat! Pasal hari ni saya minta maaf! Janji petang tapi jumpa cik Adilla
waktu malam. Harap tak mengganggu cik Adilla lah!” Yusuff kelihatan serba
salah.
“
Yang tu tak ada masalah Encik Yusuff, yang masalah sekarang ni, ada kerja kosong
tak untuk saya?” soal Adilla dengan penuh harapan. Matanya meninjau skrin besar
di hadapan mereka. Seketika, Yusuff memanggil pelayan dan meminta menu untuk
makan malam mereka. Setelah meminta apa yang diinginkan, dia kembali memberi
tumpuan kepada gadis di hadapannya.
“ Sebelum
ni awak ada kerja tak? Maksud saya pengalaman kerja?” soal Yusuff. Adilla
termenung buat seketika. Teringat kenangan pahit ketika bekerja bersama AZURA’S
FAMILY. Dirinya langsung tidak bermakna di mata majikan syarikat itu. Sakitnya
masih terasa!
“ Ada! Saya
bekerja sebagai Setiusaha di salah sebuah syarikat kecil di Jalan Ipoh. Tapi,
ada hal sikit, sebab tu saya letak jawatan!” Adilla berterus terang.
“ Oh ye ke?
Masalah gaji ke?” Yusuff tersenyum menutur
kata. Adilla yang mendengar terasa tersindir. Bukan duit yang menjadi ukuran.
Cukuplah kerjanya dihargai dan dibayar setimpal dengan kerjanya. Itu sudah
cukup!
“ Bukan
soal gaji! Cuma mungkin rezeki saya ada di tempat lain..kalau Encik Yusuff tak dapat beri peluang kepada saya, saya tak
kisah!” ujar Adilla perlahan. Dia mendiamkan diri sebaik sahaja makan malam
mereka diletakkan di atas meja dengan senyuman oleh pelayan.
Jauh di sudut hati kecil Adilla, dia amat
mengharapka kerja tersebut. Bukannya cara dia menanam anggur lama-lama.
Sedangkan hasilnya tidak ada langsung! Kosong.
“ Macam
nilah! Awak bernasib baik sebab Setiausaha syarikat Damai Suria telah meletak jawatan. Jadi,
kekosongan itu bolehlah dipenuhi oleh awak! Lagipun, mungkin itu cara untuk
saya menebus kesalahan saya tempoh hari!” Yusuff bersuara ikhlas. Kemudian dia
menjemput Adilla menjamu selera sambil menceritakan tentang perjalanan
syarikat.
“ Jadi, bila
saya boleh mula kerja Encik Yusuff?” soal Adilla dengan wajah yang ceria.
“ Bulan
depan awak boleh masuk kerja. Alamatnya ada pada kad yang saya beri pada awak.
Apapun..tahniah!” Yusuff tersenyum lagi. Selesai menjamu selera, mereka berlalu
meninggalkan restoran tersebut. Dan Adilla mengucap syukur di dalam hati.
****
Amelia menatap lama ke dada langit. Air matanya jatuh
persatu. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi. Iskandar seakan jauh
daripadanya kini. Alasannya, cinta Amelia bukan untuknya.
Amelia mengesat air matanya.
Mungkin benar dulu dia menyintai lelaki lain. Namun kini cinta itu hanya milik
Iskandar. Milik suaminya seorang. Kenapa Iskandar seolah-olah sengaja membuka
kembali kenangan lampau. Cinta itu telah tiada! Untuk apa lagi diungkit Pasti
rahsia itu akan terbongkar! Pasti juga Zyra akan memarahi dirinya. Amelia
meraup mukanya.
Tiba-tiba pintu ditolak dari
luar. Wajah Iskandar tersembul di situ. Cepat-cepat Amelia menyapu air matanya
yang masih bersisa. Dia menuju ke dapur dan membancuh air untuk suaminya.
“ Minum air bang..” Amelia bersuara
lembut seolah-olah tiada apa yang berlaku. Iskandar yang melihat isterinya
pantas duduk di kaki Amelia. Air mata lelakinya jatuh satu persatu.
“ Maafkan
abang! Abang dah tak sanggup melukai hati Lia! Pada masa yang sama, abang
perlukan cinta untuk hidup!” Iskandar menangis teresak-esak. Amelia hanya
membeku seperti ais. Kata-kata itu sudah lali ditelinganya. Ucapan itu juga
seringkali dia dengar. Semuanya untuk apa sebenarnya.
“ Cinta?
Cinta yang ada di hadapan mata, abang biarkan! Abang tahu atau tidak maksud
cinta? Kalau abang terseksa dengan Lia, baik abang lepaskan! Mungkin cinta kita
jauh lebih murah dari wang 25,000 yang abang bagi untuk pembedahan Zyra hari
tu!” Amelia mula bersuara kasar. Penat dia bertahan dan bersabar, namun
Iskandar tetap tidak mengerti hatinya.
Iskandar bangun dan duduk di
sebelah Amelia. Jari jemari isterinya dipegang erat. Terasa kelu lidahnya untuk
berkata. Dia tahu, apa yang dinampak oleh isterinya pada petang tadi amat
menyakitkan bagi seorang isteri. Perempuan itu bukan siapa-siapa dengannya.
Namun hanya sebagai teman untuk menghilangkan rasa gelisahnya.
“ Apa
yang Lia nak abang lakukan?” soal Iskandar perlahan.
“
Carilah cinta lain yang boleh buat abang bahagia! Hidup ni bukan untuk merasa
sakit setiap masa. Terus terang Lia bagi tahu abang, Lia dah tak sanggup!”
Amelia menitiskan air matanya lagi. Terasa begitu sukar untuk meluahkan apa
yang terbuku di hatinya.
“ Tiada
peluang untuk abang?” soal Iskandar kedengaran lemah.
“ Peluang apa yang abang cakap? Peluang
untuk Zyra tahu penyebab kita kahwin? Abang nak Zyra berada dalam kesedihan
kerana rumah tangga kita tak bahagia? Pengorbanan apa yang abang nak
sebenarnya? Jangan sampai Lia katakan, Lia tersilap menyintai orang yang
salah!” Amelia bersuara keras. Iskandar pantas memeluk isterinya. Betapa
zalimnya dia kerana menyeksa wanita cantik itu.
“ Berilah
abang masa..Semuanya akan baik-baik belaka! Lia doakan untuk abang! Abang tak
kuat nak hadapi semua ni! Mungkin hati abang kotor kerana fikir bukan-bukan!”
“ Banyakkan
ingatkan Allah bang! Lia tak mampu hilangkan syak wasangka di hati abang. Lia
juga tidak kuat! Jika Lia cakap, Lia cintakan abang seorang, kenapa abang susah
nak percaya?” Amelia bangun menuju ke bilik. Biarlah Iskandar berfikir sendiri
ke mana hala hubungan mereka. Dia telah penat untuk meminta dan merayu. Andai
satu masa jodoh itu bukan milik mereka, dia pasrah!