Bab 22
Dua hari Zyra tidak masuk kerja bagaikan
setahun lamanya dirasakan oleh Zariff. Sesekali dia mengendap ke tempat duduk
Zyra. Pontengkan ke apa minah ni? Zariff menggaru-garu kepalanya yang tidak
gatal. Dia bangun dan berjalan menuju ke pintu pejabat. Matanya melilau-lilau
mencari kelibat gadis itu. Namun semuanya seakan sia-sia. Orang yang ditunggu
tidak kunjung tiba.
“ Awak cari siapa Encik Zariff?”
Linda yang sakit mata dengan gelagat Zariff yang ke hulu ke hilir bagaikan
ingin melahirkan anak merasa terganggu. Apa tidaknya, berapa kali lelaki itu melalui
mejanya. Sesekali lelaki itu berdiri di tepi meja Zyra bagaikan menunggu
sesuatu yang tidak juga muncul.
“ Minah ni kenapa tak datang kerja? Awak tahu?” soal Zariff tanpa berselindung. Dia tidak menghiraukan
mata-mata yang memandang.
“ Zyra? Dia tak sihat! Dia minta cuti dengan cik Azura dua hari!” ujar
Linda sambil tersengih sendiri. Pasti lelaki itu sukakan Zyra! Zariff yang
mendengar kembali ke mejanya. Dia tidak dapat memberi tumpuan pada kerjanya
yang masih belum diselesaikan. Wajah Zyra bermain di matanya.
“ Zariff, nanti waktu lunch, kita makan sama-sama ya!” entah bila Azura
tercegat di hadapannya, Zariff sendiri tidak pasti. Azura kini semakin berani
mengganggunya. Gadis itu langsung tidak menghiraukan bisikan staf-stafnya yang
mengatakan mereka berdua dilamun cinta.
“ Tengoklah! Erm..Zyra tu tak datang kerja ke?” soal Zariff tiba-tiba.
Azura mengerutkan dahinya. Kenapa pula Zyra disebut-sebut?
“ Dia tak sihat! Kenapa? Awak ada hal dengan dia?” soal Azura mula
was-was.
“ Tak adalah! Ingat susah nak dapat cuti kerja kat sini!” Zariff
berdolak dalih.
“ Okey, sekarang awak siapkan kerja. Kalau ada apa-apa soalan, bolehlah
tanya saya,” Azura bersuara dan berlalu ke biliknya. Zariff yang mendengar
mencebik sendiri. Ingatannya masih kepada Zyra. Angau agaknya aku ni! Mungkin
benar aku ni poyo macam dia cakap! Ah! Tension..
****
Zyra yang terlena di atas sofa menggagahkan
dirinya apabila kedengaran seseorang memanggilnya dari luar pagar. Dia
menjenguk melalui tingkap dan ternampak seorang budak lelaki memegang sejambak
bunga mawar. Dengan susah payah dia bangun untuk berdiri. Demam
panas yang dialaminya cukup membuatkan seluruh tubuhnya sakit-sakit. Baru
semalam dia berjumpa doktor dan mengambil ubat demam seperti yang disarankan.
“ Siapa
bagi dik?” soal Zyra sambil mengambil bunga tersebut. Dia melilau mencari
seseorang. Mana tahu pemberi bunga masih ada di situ.
“ Tak
tahu kak! Tadi ada abang tu suruh bagi. Agaknya boyfriend akak kut!” sambung
budak lelaki itu sambil tersengih. Setelah Zyra mengucapkan terima kasih, budak
itu berlalu dari situ.
“
Siapalah bagi bunga ni? Bagi ubat boleh tahan! Aku ni sakit!” Zyra bercakap
sendiri. Dia masuk semula ke dalam rumah dan meletakkan bunga di atas sofa.
Kemudian dia bergegas ke dapur untuk mengambil air mineral di dalam peti.
Tiba-tiba telefonnya berbunyi kuat. Pantas dia kembali ke ruang tamu dan
menjawab panggilan.
“
Assalamualikumm…Zyra, kau dah okey belum?” suara Mila di corong telefon.
“ Waalaikumussalam..aku sihat! Kau balik pukul berapa ni? Aku sunyilah!”
Zyra seakan mengadu.
“ Kejap lagi baliklah! Aku ada kerja ni! Kau tu jaga diri,” Mila memberi
nasihat.
“ Yalah! Tadi ada orang bagi aku bunga!” ujar Zyra tanpa berselindung.
Mila yang mendengar tersenyum lama.
“ Agaknya Azrol! Dia tak call kau?”
“ Belum! Mungkin betul dia. Tak apalah Mila, aku nak berehat. Kau jangan
balik lambat sangat. Boring aku!” Zyra menutur kata sebelum memutuskan
talian. Dia mencampakkan telefonnya ke
atas sofa. Ingatannya kuat terhadap Zariff. Adakah lelaki itu juga merinduinya?
Uh! Mengarut! Pasti dia seronok dengan cik Azura. Kalau aku ada, asyik nak
bertekak je! Zyra merebahkan diri di atas sofa. Kemudian satu pesanan masuk ke
dalam telefon bimbitnya.
-
Bunga tu untuk Zyra yang manis –
Zyra mengeluh perlahan. Rupanya, betullah Azrol
yang bagi sejambak bunga mawar itu. Bilalah Zariff nak bagi bunga kat aku? Zyra
menarik nafas dan melepaskannya dengan keluhan yang berat. Dia menutup matanya
dan cuba menghalau bayangan Zariff. Kemudian wajah Amelia terbayang pula di
matanya. Apa yang tengah kak Lia buat sekarang? Bagaimana dengan abang Is? Ya
Allah..Kau selamatkanlah rumah tangga mereka. Kuatkanlah hati kak Lia untuk
menghadapi semua dugaanMu ini ya Allah..Jauhkanlah kak Lia dari kesengsaraan..Zyra
meraup wajahnya. Air matanya entah bila menitis lagi membasahi pipi. Dan tanpa
dipinta, seraut wajah Zariff pula muncul dalam ingatannya. Bukan sedikit, tapi
berbukit-bukit!
****
Di Kafe, Azura asyik memandang wajah Zariff
yang begitu berselera menjamu makan tengaharinya. Sesekali dia menyedut air
minumannya yang berada di hadapan mata. Rasa bahagia mengulitnya apabila orang
yang dicintai sentiasa berada di hadapan mata.
“ Awak tak nak makan ke? Kenyang
tengok muka saya ni?” soal Zariff selamba. Azura yang mendengar sedikit
tersentak. Tidak disangka renungannya disedari oleh lelaki itu.
“ Awak okey kerja kat sini? Tak ada masalah?” soal Azura menukar topik
cerita. Dia memandang sekeliling Kafe. Kelihatan beberapa orang stafnya turut
berada di situ.
“ Selagi orang tak kacau saya, saya tak akan rasa terganggu. Saya okey
je! Seronok juga kerja kat sini!” Zariff ikhlas menutur kata. Apa tidaknya,
Zyra turut berada di situ. Mily ke, Zyra ke , yang penting hatinya bahagia.
“ Betul awak seronok?” Azura kelihatan teruja. Wajahnya berseri-seri
secara tiba-tiba. Belum sempat Zariff menjawab, kelihatan Yusuff datang ke meja
mereka dengan senyuman. Azura yang melihat, merasa terganggu dengan kehadiran
lelaki itu.
“ Boleh join?” soal Yusuff masih
tersenyum. Azura menarik muka, sedangkan Zariff dengan senang hati
mempersilakan lelaki berkarisma itu duduk. Pantas Yusuff melabuh punggungnya di
sebelah Azura.
“ Nampaknya saya tak boleh lama. Rasanya, lebih sesuai kalau cik Azura
temankan Encik Yusuff..Saya minta diri dulu..” Zariff tersenyum dan bangun dari
kerusi. Azura yang melihat seakan ingin menghalang. Namun terbantut apabila
melihat Yusuff menjeling kepadanya.
Setelah Zariff hilang dari
pandangan, pantas Azura bangun untuk berlalu namun dihalang oleh Yusuff yang
bersuara secara tiba-tiba.
“ Jatuh cinta, bukan bermakna seorang sahabat perlu dibuang!” keras
kata-kata Yusuff pada pendengaran Azura. Dia kembali duduk dengan wajah yang
mencuka. Matanya lama memandang seraut wajah Yusuff yang kelihatan suram.
“ Seorang sahabat tidak patut menyakiti hati sahabatnya!” balas Azura
juga serius. Yusuff menentang pandangan Azura. Gadis itu terlalu jauh berubah
sehingga membencinya sedemikian rupa.
“ Apa yang menyebabkan awak sakit hati Zura?” soal Yusuff ingin tahu.
“ Sebab You ambil kesempatan atas persahabatan kita? Kenapa You boleh
jatuh cinta dengan I ? Itu namanya khianat Yusuff!” Azura bersuara kuat. Dia
tidak menghiraukan mata yang memandang kepada mereka. Apa yang dia tahu, Yusuff
perlu tahu apa yang dia rasa. Dia tidak suka persahabatn mereka berubah menjadi
cinta.
“ Bukan I yang nak macam tu Zura! Cinta mana boleh
paksa-paksa! Seperti mana You sukakan Zariff , begitu juga I , I
benar-benar sukakan You!” balas Yusuff
sedikit terkilan dengan kata-kata Azura.
“ Jangan awak nak babitkan Zariff pulak dalam soal ni! Dahlah! saya nak
masuk ofis. Tolong jangan kacau saya dan Zariff lagi..pleaselah..” Azura bangun
dan berlalu dari situ. Yusuff menarik
nafas panjang dan melepaskannya dengan keluhan yan berat. Semuanya semakin
sukar dan menyakitkan! Getus Yusuff sendiri sambil bangun dan meninggalkan
Kafe.