Home Novel Cinta Dia, Jodohku Rupanya
Dia, Jodohku Rupanya
Amylieyhaizani
9/3/2014 02:03:54
74,496
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Bab 6

Zariff beriringan dengan Danial untuk membeli tiket wayang. Jika diikutkan hatinya, ingin sekali dia melelapkan mata di rumah dan menenangkan fikiran. Jika tidak pun, bolehlah dia memetik gitarnya atau mengubah lagu. Zariff sempat berkira-kira sendiri.
Danial beratur untuk membeli tiket. Zariff pula menyandar tubuhnya ke dinding sambil membaca senarai cerita yang sedang hangat di pawagam. Kemudian dia ternampak seorang gadis menghala kepadanya dengan seorang lelaki. Gaya lagak gadis itu cukup dikenali oleh Zariff. Pantas dia memandang ke tempat lain. Malas dia bertegur sapa dengan Azura yang akan menambah sakit kepalanya.

“ Zariff, you buat apa kat sini?” Azura bersuara dengan mata yang bersinar. Lelaki di sebelahnya melempar senyuman mesra. Zariff menarik nafas dan menunding jarinya ke arah Danial.

“ Hai, saya Yusuff. Azura ada cerita kepada saya tentang awak,” Yusuff menghulurkan tangan. Pantas Zariff menyambut dengan senyuman hambar.

“ Buat apa kat sini?” Zariff bertanya Yusuff. Pantas Azura menghalang Yusuff dari menjawab.

“ Saja jalan-jalan! Zariff, esok you free tak? I nak ajak you keluar. Boleh?” Azura begitu mengharap. Yusuff hanya mendengar kata-kata gadis yang dicintainya itu. Marah? Dia tidak layak untuk marah setelah ditolak berkali-kali oleh Azura.

“ Erm..tak apalah Yusuff. Gembira jumpa awak! Sekarang aku nak masuk dulu,” Zariff bersuara tanpa menjawab soalan Azura. Dia bergegas kepada Danial yang mengangkat tangan memanggilnya. Leganya hatinya dapat menghindari diri dari gadis tersebut.
Azura mencebik tidak berpuas hati. Malu dia kepada Yusuff bukan sedikit. Pantas dia berlalu meninggalkan Yusuff yang masih memandang langkah Zariff.

“ Azura, you nak pergi mana?” pantas tangan Azura diraih. Pantas juga Azura merentapnya dengan kasar.

“ Tak habis-habis nak malukan aku! Tak habis-habis berlagak!” jerit Azura kuat. Dia tidak peduli pada pandangan orang. Yusuff yang mendengar mengucap panjang. Masak benar dengan sikap baran Azura. Gadis itu memang pantang apabila kehendaknya ditolak mentah-mentah. Apalagi membabitkan soal hati.

“ Sudah-sudahlah tu!” pantas tangan Azura dipegang erat. Azura cuba melepaskannya namun tidak berjaya. Air matanya mengalir ke pipi. Yusuff melonggarkan pegangannya dan membiarkan Azura duduk di atas bangku yang berada di situ.

“ Azura, cinta tidak boleh dipaksa! Seperti mana kau tidak boleh memaksa diri kau untuk terima aku!” Yusuff sedikit bengang. Gadis itu nyata hanya mementingkan dirinya sendiri. Dari kecil dia dan Azura berkawan rapat seolah-olah tidak boleh dipisahkan. Dato’ Azman dan Datin Shafiqah selaku ibu bapa Azura juga begitu rapat dengan orang tuanya. Yusuff yang bekerja di Syarikat Damai Suria milik daddynya iatu Dato’ Rahim juga satu bangunan dengan syarikat papa Azura. Keakhraban mereka seperti satu kelurga yang bahagia. Namun apabila meningkat dewasa, keakhraban Yusuff dan Azura pula yang hilang entah ke mana.

“ Ah persetankanlah dengan cinta!” Azura bersuara keras. Dia cuba menahan sakit di dalam hatinya. Yusuff hanya mampu mengelengkan kepala. Niat hati untuk menonton wayang hanya tinggal impian yang tidak kesampaian. Semuanya gara-gara Azura yang tidak matang! Getus Yusuff sendiri.

“ Sekarang nak buat apa?” soal Yusuff sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Azura.

“ Aku nak balik!” Azura memberi kata putus. Belum sempat dia bangun, tangannya dipegang erat oleh Yusuff. Pantas mata mereka bertentang agak lama. Air mata Azura yang masih menghiasi pipi disapu lembut oleh lelaki itu. Azura menarik tangannya dan bangun. Wajah Yusuff dipandang lama. Tiada sekelumit cintanya untuk teman akhrabnya itu. Sudah berbuih mulutnya memberitahu, namun Yusuff masih enggan berundur. Sudahnya Azura malas melayan.

“ Teman aku makan. Aku lapar sangat! Boleh tak?” Yusuff meraih simpati.

“ Okey!” singkat jawapan Azura. Yusuff tersenyum sendiri dan bangun mengekori Azura yang masih berwajah muram. Kasihan! Bisik Yusuff sendiri.

****

Selepas menonton wayang, Zariff dan Danial bergegas untuk pulang. Wajah Zariff hanya bersahaja melainkan wajah Danial yang berseri-seri dengan senyuman tidak lekang di bibirnya. Seronok pula dia menonton cerita berkisarkan cinta itu. Terasa dengupan jantungnya saat mendengar ucapan cinta yang diluahkan oleh sang teruna kepada si dara. Hi! Danial terkekeh pula. Bilalah sang Bidadari akan datang meluahkan cinta dan sayang kepadanya.
Zariff hanya memandang tanpa bersuara. Malas dia melayan angau Danial yang terlebih sudu dari kuah. Nak kata ada girlfriend, kawan perempuan pun tak ada! Berangan je lebih! Zariff tiba-tiba teringatkan Mily. Rindunya kepada Mily bukan sedikit. Biarlah hatinya mengatakan beribu kali benci, namun hatinya juga yang dilanda rindu terhadap gadis itu.
Zariff dan Danial membonceng motorsikal untuk pulang. Angin lewat malam seakan menggigit-gigit kulit tangan mereka yang terdedah. Namun warga kota masih tidak peduli dengan kehadiran pagi yang mula menjelma. Itulah ragam warga kota!

****

Azura melangkah masuk ke dalam banglo mewah milik keluarganya di Bukit Antarabangsa. Dia menghempas tubuhnya ke atas sofa empuk di ruang tamu. Matanya ditutup rapat bagi menghalau bayangan Zariff. Namun lelaki itu seakan begitu dekat dengannya.
Azura sendiri bingung dengan perasaannya. Mengapa lelaki seperti Zariff yang dikejar, sedangkan Yusuff mempunyai pakej lelaki yang sempurna. Apa yang tidak ada pada Yusuff? Lelaki itu mempunyai kerjaya yang mantap, rumah yang besar dan kereta mewah yang bersepah. Mungkin juga harta kekayaannya tidak akan habis walaupun tujuh keturunan berlalu.
Ah! Mungkin inilah cinta yang dikatakan tidak bermata. Mungkin juga yang biasa melihat boleh menjadi buta. Dan cinta ini juga tidak dapat dijual beli. Azura menarik nafas berat. Air mata mula bertakung di kelopak mata. Pantas dia menyapu manik jernih itu apabila kedengaran tapak kaki seseorang menuruni anak tangga menuju kepadanya.

“ Zura baru balik? Papa nak cakap sikit dengan Zura,” Dato’ Azman bersuara lembut. Dia duduk di sebelah anak gadisnya yang bangun dari pembaringan.

“ Ada apa papa?” Azura bersuara lemah. Dia tiada mood untuk bersuara.

“ Papa nak Zura ambil alih syarikat Jaya Idaman yang berada PJ. Papa dah tak larat nak handle semua tu. Lagipun, hanya Zura satu-satunya anak mama dan papa. Sepatutnya tanggungjawab tu Zura pikul dari sekarang,” Dato’ Azman seakan memberi arahan. Jaya Idaman adalah salah satu syarikat yang menjalankan bisnes landskap. Bidang itu amat terkenal di masa kini dan mendapat permintaan tinggi dari dalam dan luar Negara. Dia cukup yakin dengan kebolehan anak gadisnya dalam menangani bidang tersebut kerana mempunyai ijazah dalam Arkitek Landskap.

“ So macam mana dengan AZURA’S FAMILY papa? Tak kan nak lingkup macam tu je! Zura tak sukalah kalau macam ni!” Azura menarik muka. Dato’ Azman tersenyum dengan respon Azura yang telah dijangka dari awal lagi.

“ AZURA’S FAMILY tu juga kan bawah naungan Jaya Idaman? Zura yang beria-ria nak buka syarikat sendiri dan handle sendirikan? Sekarang, Zura bawa semua staf AZURA’S FAMILY ke Jaya Idaman. Kan senang,” Dato’ Azman memberi kata putus.

“ Masalahnya papa, syarikat papa tu sayrikat besar. Projek landskap pun yang juta-juta. Kalau AZURA’S FAMILY tu, biasa-biasa je. Paling tidak pun untuk halaman rumah persendirian. Tapi yang papa punya melibatkan semua. Peninglah Azura nanti!”

“ Azura boleh rujuk dengan papa nanti. Papa bukannya melepaskan syarikat itu seratus peratus kepada Azura. Jika pembinaan landskap itu melibatkan perbelajaan yang besar, papa akan uruskan! Okey?”

“ Siapa PA papa?” soal Azura pantas.

“ PA? Erm..hari tu ada tapi sekarang dah tak ada. Dah berhenti. So, Zura bawalah staf Zura untuk mengisi jawatan tersebut!” Ujar Dato’ Azman dengan dahi berkerut. Kenapa PA pula yang ditanya anak gadisnya.

“ Jawatan kerani?” soal Azura lagi.

“ Yang tu dah ada. Okeylah! Papa dah mengantuk. Esok, papa bawa Zura ke Jaya Idaman. Okey?” Azura menganggukkan kepalanya. Malas dia membantah-bantah arahan orang tuanya itu. Jika dibantah sekalipun, kata putus telah dibuat. Tiada sebarang alasan!
Azura bangun menuju ke bilik selepas kelibat papanya tidak kelihatan lagi. Mamanya pula pasti sudah lama diulit mimpi. Azura membalikkan tubuhnya di atas katil. Kesepian benar-benar menghimpit jiwanya. Begitulah nasib apabila menjadi anak tunggal. Tiada siapa untuk dibawa bersembang. Jauh sekali bergaduh untuk berebut sesuatu yang didingini.
Azura benar-benar bosan. Dia mencapai telefon bimbitnya dan membaca satu mesej yang dihantar oleh Yusuff kepadanya. Pantas Azura memadam kata-kata cinta lelaki itu. Kemudian dia teringat kata-kata Yusuff. Cinta tidak boleh dipaksa! Tetapi kenapa Yusuff seolah-olah memaksa Azura menyintai dirinya? Cakap tak serupa bikin! Luah Azura dengan nada sinis sebelum terlena di atas tilam empuk itu.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.