Home Novel Cinta JUJUR SAJA SAYANG
KHIANAT

Deruman enjin kereta menaiki bukit ke perkarangan rumah agam itu mengejutkan Datin Khalsom. Dia menjengah ke jendela, lalu tersenyum. Manakan tidak, anak buah kesayangannya Dhya datang bersama Datin Karmila. 

"Masuk! pintu tak berkunci tu," jerit Datin Khalsom.

Mereka berdua tersenyum. 

"Tak pernah you nak jejak kaki ke rumah ni, Karmila?" sapa Datin Khalsom sedikit pedas.

Datin Karmila tidak menjawab pertanyaannya itu. Sebaliknya mengambil gelas yang berada di atas meja makan lalu dituangnya sedikit air kosong. Dhya pula menarik kerusi itu lalu duduk sambil bermain-main dengan telefon bimbitnya.

"Saja datang, nak tahu pasal Cairil. Keparat tu ke mana sebenarnya?" tanya Datin Karmila.

"Entahlah! I tanya tadi, sepatah pun tak berjawab. Lantak dialah nak berambus ke mana sekalipun, peduli apa," jawab Datin Khalsom.

"You dah lupa ke janji kita dulu? Kalau Cairil tak balik-balik, Dhya ni macamana? Bukan kita dah setuju nak menjodohkan mereka berdua?" bentak Datin Karmila.

Dhya hanya menjeling tajam ke arah Datin Khalsom.

"Duduklah, I nak naik atas kejap... salin baju. Baik kita bincang hal ni di luar saja." 

Datin Khalsom meninggalkan mereka berdua di situ.

"Dhya! cepat," Datin Karmila memanggil nama anaknya itu. 

Dhya tersentak. 

"Apa mama?" soalnya.

"Keluarkan benda tu sekarang, cepat!" arah Datin Karmila. 

Dalam masa yang sama, dia mencuri pandang ke arah anak tangga itu. Risau jikalau kakaknya itu menyedari perbuatan mereka. 

"Orait, done... ," tersenyum Dhya sambil mengelap-ngelap tangannya sendiri. 

"Dah, jom balik, cepat!" ajak Datin Karmila. 

Mereka berdua tergesa-gesa meninggalkan rumah agam itu tanpa memberitahu Datin Khalsom. 

"Eh, nak kemana pulak?" getus Datin Khalsom.

Dia yang masih berada di biliknya terkejut apabila mendengar deruman enjin kereta sport merah itu. Dia berlari ke arah balkoni, lalu melihat sayup-sayup kelibat mereka berdua hilang dari pandangan. Dia kebingungan. 

Telefon bimbit dicapainya.

"Hello, kenapa nak balik tak bagitahu pun!" 

"Err... I ada hal, sorry tak sempat nak cakap tadi. Dhya ni hah, ada date dengan kawan katanya," Datin Karmila cuba berdalih.

Belum sempat Datin Khalsom membalasnya, talian itu terus dimatikan oleh Datin Karmila. 

"Ayub! kereta dah siap? sekejap lagi aku nak pakai," jerit Datin Khalsom dari balkoni itu.

"Bila Datin?" balasnya.

"Sekarang, lekas!" Datin Khalsom meninggikan suaranya. 

"Lagi 15 minit aku datang balik," tambahnya lagi.

Pak Ayub mempercepatkan cuciannya.

Sementara itu, Datin Khalsom bergegas ke dapur untuk mencari beg tangannya. 

"Kat sini rupanya, puas aku cari. Ingatkan dah kena curi... cuai betul aku ni," sambungnya lagi.

"Datin... ," Pak Ayub menegur.

Datin Khalsom memandang Pak Ayub, meliar matanya. 

"Nanti tak payah hantar, hari ni aku nak drive sendiri."

"Kalau macam tu, saya balik ke rumah pekerja dulu ya." 

Pak Ayub meminta izin lalu meninggalkan Datin Khalsom di situ. Sewaktu melangkah meninggalkan rumah agam itu, telefon bimbitnya berdering. Bimbang didengari oleh Datin Khalsom, cepat-cepatnya berlari ke halaman.

"Assalamualaikum, Tuan Cairil... , dah sampai Dubai ke?"

"Waalaikumussalam... ya, Pak Ayub. Dah, setengah jam yang lalu. Err... Pak Ayub dah hantarkan bunga dan surat tu?" 

Aku tidak sabar untuk mendengarkan jawapan balas dari Pak Ayub.

"Su... sudah Tuan Cairil," ringkas jawapannya tetapi ada sedikit gagap.

Aku tidak menaruh sebarang syak wasangka. Dan aku beranggapan, Pak Ayub telah melaksanakan tugas yang telah aku amanahkan itu. 

"Ada jumpa Hanna, Pak Ayub?" aku bertanya lagi. 

Ya, aku memang mengharapkan jika dia dapat bersua muka dengan Hanna. Sekurang-kurangnya rasa yang bersarang sejak sekian lama itu, akan menjadi sedikit tenteram.

"Tak ada pulak... puas saya bagi salam, tapi tak bersahut. Jadi, saya masukkan saja ke dalam peti surat."

"Okay, tak apa Pak Ayub. Harap-harap nanti, Hanna bacalah... saya pun tak boleh lama sangat ni, nanti ada masa saya akan telefon lagi."

Talian ditamatkan.

Tanpa membuang masa, Pak Ayub berlari ke arah kereta itu. Dia sebenarnya terlupa untuk menghantar jambangan bunga dan surat seperti yang dijanjikan. Kerana terlalu letih dalam perjalanan tadi, dia nekad untuk terus pulang.

"Mana bunga tadi?" Pak Ayub tercari-cari, cukup gelabah dibuatnya.

"Kau cari ni kan?" tegur Datin Khalsom yang tiba-tiba muncul entah dari mana. 

Dia mendekati Pak Ayub lalu bunga itu dihempas-hempas ke atas kepalanya. 

"Aku nak tahu sekarang, bunga ni untuk Hanna, kan?"

Pak Ayub tidak melawan, sebaliknya bertindak mendiamkan diri. Jika diturutkan rasa amarahnya, pasti Datin Khalsom dicekik-cekiknya sampai mati. Tetapi mengenangkan Tuan Cairil dan amanah yang ditinggalkan, dia terpaksa juga bertahan.

"Aku tanya, cakaplah bodoh!" herdik Datin Khalsom.

"Bu... bukan, Datin... bunga tu untuk isteri saya sempena ulangtahun perkahwinan kami esok," Pak Ayub terpaksa berbohong.

"Oh isteri... banyak pulak duit kau nak beli bunga banyak-banyak macam ni?!" tengkingnya lagi.

"Setahun sekali, apa salahnya datin... ," Pak Ayub mempertahankan jawapannya tadi.

"Baik, kali ni kau selamat! Kalau aku tahu kau ada jumpa Hanna, nahas kau!" 

Jari telunjuk Datin Khalsom ditunjal-tunjal ke dahi Pak Ayub. Kelopak-kelopak bunga mawar merah itu bertaburan ke tanah lalu jambangan yang masih dipegangnya dicampakkan begitu sahaja.

"Astagfirullah... maafkan Pak Ayub, Tuan Cairil," bisiknya sendirian.

Pak Ayub hanya melihat Datin Khalsom berjalan ke dalam rumah semula. Tanpa berlengah, dia segera membuka pintu penumpang belakang lalu mencari surat untuk Hanna. Mujur surat itu sedikit terselit di antara majalah-majalah lantas disembunyikannya ke dalam baju yang dipakai.

"Ayub!"

Jeritan Datin Khalsom mendebarkannya. Langkah kaki Pak Ayub terhenti saat hendak pulang ke rumah pekerja. Dia menggigil.

"Ayub! kunci kereta mana? bodoh! Kau ingat kereta ni harta kau?" herdik Datin Khalsom lagi.

"Er... dalam kereta, datin... , saya balik dulu." 

Pak Ayub melajukan langkahnya.

----------

HAI! BERMINAT DENGAN PENULISAN SAYA? BERILAH SOKONGAN ANDA DENGAN MENINGGALKAN KOMEN DI BAWAH. TERIMA KASIH!

----------


Previous: DUBAI
Next: JOANNA

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.