Home Novel Cinta JUJUR SAJA SAYANG
TANGIS

Hanna terbuai di dalam lamunannya. Jauh dalam hati, dia masih berperang dengan seribu rasa yang sebenarnya berbelah bahagi antara perasaan dan keegoaan yang mendalam. Bohong jika dia tidak mempunyai rasa pada Cairil. Sungguh rasa itu mulai berputik sejak dahulu lagi. Tetapi hati Hanna sukar diduga, perasaannya terkadang sukar diramal. Kenangan dahulu yang pernah bersarang telah menjadikan hatinya seperti batu.

Hanna tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya dia memberhentikan kereta yang dipandu itu ke sisi jalan. Kelihatan gerak lakunya sedikit gusar. Fikirannya seolah bercelaru.

"Apakah ini yang dinamakan rindu?" getusnya.

Sesekali bibirnya diketap sambil melemparkan pandangan jauh ke tepi lereng Ringlet itu. Tanpa disedari matanya mulai berkaca. Dia teringatkan Cairil. Sungguh sebenarnya dia merasa bersalah terhadap Cairil. Dia pernah melakukan kesilapan yang sangat besar tanpa pengetahuan Cairil. Dia juga membuat Cairil merana sehingga terlupakan kenangan lalu antara mereka berdua.

"Apa yang harus aku lakukan lagi untuk menebus semuanya? Perlukah aku berterus terang pada Cairil?"

Hanna tertunduk, menangis dengan sepuas-puasnya. Dia sudah penat memendam rasa. Dia sudah letih berpura-pura sebegini.

"Jika bukan sekarang, harus bila lagi untuk aku bongkarkan segala-galanya?" teka-teki yang masih belum berjawapan.

Hanna menoleh ke sisi jalan kerana dikejutkan dengan sebuah kereta yang di parkir di belakangnya. Lalu muncul seseorang yang cukup dikenalinya dengan muka yang mencuka. 

"Well, kat sini rupanya kau," Hanna dikejutkan dengan sapaan Datin Karmila.

Hanna mengesat air matanya. Seolah-olah cuba untuk menyembunyikan apa yang terpendam selama ini. 

"Ya, mama."

"Tak payah nak panggil aku mama! aku jijik."

Datin Karmila cuba mendekat. Ditenungnya wajah Hanna dengan perasaan benci. Entah kenapa sejak dahulu lagi Datin Karmila membencinya walaupun dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan.

"Aku nak kau berambus dari Cameron Highland! Aku cukup tak faham, kenapa orang macam kau masih tak serik-serik," herdik Datin Karmila.

Kipas tangan yang dipegangnya dihentak-hentak ke kepala Hanna. Datin Karmila mengelilingi Hanna lalu bertukar posisi. Hanna membiarkan sahaja diperlakukan sebegitu oleh mama tirinya itu.

"Aku dengar... kau dah bertukar ke hospital tu?" tambahnya lagi.

"Err... ya saya sengaja minta tukar sebab nak merawat Cairil. Maafkan saya kalau... ." Hanna bersuara.

"Kalau apa! Kau ni kan, memang jenis tak habis-habis nak menyusahkan hidup Cairil." 

Hanna terkedu. Sememangnya dia tidak mampu untuk melawan kata-kata yang dilemparkan kerana dia masih menghormati Datin Karmila. Lebih baik dia berdiam dari berterusan bertekak pada sesuatu yang tidak pasti.

"Kenapa kau diam?" 

"Saya... ," balas Hanna dengan nada yang tersekat-sekat.

"Saya apa!" jerit Datin Karmila betul-betul memekakkan gegendang telinga Hanna.

Dia tersentak.

"Saya tak nak keruhkan keadaan. Saya balik dulu... ," pinta Hanna. 

Dia berlari laju ke arah keretanya. Hanna meninggalkan Datin Karmila di situ keseorangan. 

Datin Karmila hanya memerhatikan Hanna pergi lalu mencapai beg Versace nya. Dia mengambil telefon bimbit dan cuba menghubungi seseorang.

"Hmm... you ada di mana? Kita jumpa sekejap. Ada hal penting I nak cakap," Datin Karmila bertegas.

Telefon bimbitnya disimpan kembali.

"Kau tak akan selamat Hanna! kau belum kenal siapa aku yang sebenarnya."

Datin Karmila bergegas meninggalkan Ringlet. Kereta BMW merah miliknya dipandu laju. Mungkin ke satu arah yang telah dijanjikan sebentar tadi.

Setelah tiba di Tanah Rata yang letaknya hanya lebih kurang 1.5 kilometer, Datin Karmila memperlahankan BMW nya lalu berhenti di hadapan sebuah bank. Seorang wanita yang berusia 50-an telah pun menunggunya di situ lantas memasuki ke dalam kereta itu.

"Ada apa you nak sangat jumpa I ni?" tanya wanita itu.

"I nak you jalankan apa yang pernah kita rancangkan dahulu," balas Datin Karmila.

"Maksud you Cairil dan Hanna?" wanita itu bertanya lagi.

Agak sedikit tegang wajahnya jelas terpapar.

"Yes! You know what, Cairil dah balik. Hanna hantar bangsat tu tadi," jelas Datin Karmila.

"What? Dah balik? I tak tahu pula. I sebenarnya belum balik ke rumah lagi ni"  wanita itu menambah.

"So now, you perhatikan gerak geri Cairil di rumah. I pula akan intip Hanna," jelas Datin Karmila lagi.

"Kalau rancangan kita berjaya, senang sikit kerja I nanti," wanita itu menjeling sinis.

Kali ini Datin Karmila hanya mendiamkan diri.



----------

HAI! BERMINAT DENGAN PENULISAN SAYA? BERILAH SOKONGAN ANDA DENGAN MENINGGALKAN KOMEN DI BAWAH. TERIMA KASIH!

----------

Previous: SENDIRI
Next: SUNYI

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.