Home Novel Cinta JUJUR SAJA SAYANG
TERBANG

KLIA - 11 November 2010, 2.30 pagi

Teristimewa buatmu, Hanna.

Mungkin ini adalah coretan terakhir dariku. Entah, di mana dirimu kini, tidak dapat kupastikan. Puas sudah diriku mencarimu. Puas sudah diriku menantimu. Puas sudah diriku cuba menghubungimu. Namun, dirimu hilang jauh dari pandangan. Pergi tanpa sebarang kabar berita. Sepi meruntun sekeping hati ini, tangis menjadi peneman sehari-hari. 

Sayangku Hanna,

Maafkan kekilafan yang pernah diriku lakukan padamu. Sungguh bukan niatku untuk melakukannya. Kita berdua adalah mangsa keadaan. Ya, mungkin juga diriku terlalu bacul kerana tidak mampu mempertahankanmu. Setelah kusedar bahawa dirimu adalah sebahagian hidupku, terasa luluh meresap ke segenap jantungku.

Sayangku Hanna,

Kutuliskan coretan hina ini kerana diriku masih tetap mencintai dirimu, sayang. Hampir dua bulan lamanya, diriku berulang alik di rumah itu. Ya, diriku terlalu merindukan dirimu. Tetapi kuhampa! Tidak kutemukan cinta yang kucari. Mungkin... dirimu telah bisa melupakanku dalam sekelip mata. 

Sayangku Hanna, 

Ketika ini, kusedang menantikan burung besi membawaku pergi. Ya, pergi jauh dari sini. Mungkin ini sahaja jalan yang terbaik untuk membiarkanmu merawat luka yang terdalam. Bukan diriku tidak memujuk, tetapi kutidak berupaya melakukannya lagi. 

Sayangku Hanna,

Andai esok tiada lagi sinar mentari yang menerangi pagi, andai esok tiada lagi kelam yang menyelimuti malam, ketahuilah sayang... bahawa diriku terlalu mencintai dirimu. Tidak pernah hilang rasa itu walaupun sedikit. Apa lagi yang perlu kubuktikan padamu, sayang?

Sayangku Hanna,

Andai dirimu membenci diriku kini, maafkanlah dari lubuk hati yang paling dalam. Diriku akan pergi jauh, mencari sinar baharu untuk merawat kedukaan ini. Kudoakan dirimu akan menemui cinta yang lebih bahagia. Tetapi, diriku masih Cairil yang sama. Tetap mencintai dirimu seadanya. Maafkan diri ini sekali lagi... semoga kita dipertemukan andai jodoh itu masih ada. I Love You, Hanna Nadia.


Tuan Cairil Bin Tuan Haiqal

...

Aku menghabiskan masa awal pagi itu di kafe Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang terletak di aras tiga. Coretan yang telah siap aku tulis itu adalah luahan dari hati kecilku. Ya, aku membawa diri. Jauh dari sesiapa pun yang berada di bumi Malaysia. Hatiku teramat kecewa. Sepantasnya bagai dirobek yang tiada berdarah, tetapi sakitnya menusuk meninggalkan parut yang kian membusuk.

Airmataku berguguran lalu mengenai coretan itu tatkala mengenangkan Hanna yang bakal kutinggalkan buat selama-lamanya. Tidak kuhiraukan mereka di sekeliling kerana kisah hidup aku adalah perjalanan diriku yang masih panjang. Tiada siapa yang tahu! Mereka hanya mudah mempersenda tetapi tidak pernah untuk memperdulikan.

Sehelai kertas biru itu kulipat lalu kumasukkan ke dalam envelop. Manakala sejambak mawar merah yang kuletakkan di sisi diangkat lalu kucium berkali-kali. Aku hanya mampu berserah semoga kirimanku ini akan sampai ke tangan penerimanya nanti. Itu sahaja yang kuharapkan, tidak lebih dari itu. Sekurang-kurangnya, Hanna telah mengetahui isihati aku melalui coretan itu.

Aku memandang jam tangan yang dipakai. Hampir ke pukul 3.30 pagi. Penerbangan ke Paris dengan pesawat Emirates yang sepatutnya berlepas pada pukul 1.10 pagi itu telah mengalami kelewatan selama empat jam. Nasib juga ada Pak Ayub yang sudi menemani aku ketika itu.

"Nanti tolong hantarkan jambangan bunga dan surat ni ke rumah hari tu ya... . Kalau Pak Ayub dapat beri pada Hanna terus lagi baik," aku berpesan. 

Namun aku tidak yakin yang dia akan ketemu Hanna. 

"Oh ya... kalau Hanna tiada, Pak Ayub tinggalkan saja dalam peti surat, boleh?" aku menambah.

"Baik Tuan Cairil, boleh... tuan jangan risau. Saya akan pegang amanah ini," balas Pak Ayub. 

Jelas, jujur orangnya.

"Penerbangan saya nanti mengambil masa selama tujuh jam 20 minit sebab akan transit di Dubai dulu, apa-apa hal saya akan call Pak Ayub setibanya di sana," aku menerangkan kepadanya.

Pak Ayub tersenyum. "Habis bila Tuan Cairil akan sampai ke Paris?" soalnya.

"Err... sampai di Charles De Gaulle, Paris kira-kira pukul empat petang macam tu," balasku.

"Saya doakan tuan selamat sampai ke sana. Kalau tuan ada apa-apa bantuan nak saya uruskan... maklum saja, Insya-Allah saya akan usahakan," Pak Ayub menghulurkan tangannya untuk bersalaman denganku.

Aku menyambut salamnya. Kafe yang menjadi tempat persinggahan kami berdua, ditinggalkan. Sebelum berpisah, dia sempat mengiringi aku sampai ke pintu utama perlepasan antarabangsa itu.

"Ingat Pak Ayub, tolong rahsiakan ke mana saya pergi dari mereka kecuali Hanna. Kalau terdesak sekalipun, cakap saja saya menjalani fisioterapi di Australia," aku berpesan, hampir terlupa sebenarnya.

"Ya tuan, jangan risau... saya akan simpan rahsia ini," sahut Pak Ayub.

Setelah melepasi pemeriksaan keselamatan, aku tinggalkan Pak Ayub dari kejauhan. Dia pula tidak melepaskan pandangannya memerhatikan aku sejak dari mula. Sebelum memasuki lif itu, aku sempat melambaikan tangan tanda ucapan selamat tinggal. Entah bila aku akan dapat berjumpanya lagi. Pak Ayub membalas sambil mengesat-ngesat matanya. 

----------

HAI! BERMINAT DENGAN PENULISAN SAYA? BERILAH SOKONGAN ANDA DENGAN MENINGGALKAN KOMEN DI BAWAH. TERIMA KASIH!

----------

Previous: HALAU
Next: DUBAI

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.