Home Novel Cinta JUJUR SAJA SAYANG
SUNYI

Dengan bantuan Wak Karjo, akhirnya sampai juga aku di depan rumah. Aku memandang kesekeliling rumah agam itu namun ternyata sunyi.

"Wak, siapa yang tinggal di rumah ni? Sunyi je," aku bertanya.

"Errr... Wak tak tau Tuan Cairil... ," balas Wak Karjo yang jelas menimbulkan sangsi padaku.

"Wak dah lama kerja di sinikan?" soalku lagi.

"Iya tuan... sudah lama tapi," jawapan Wak Karjo terhenti di situ.

"Tapi apa wak? Tak kan soalan semudah itu susah sangat wak nak jawab!" kali ini aku agak meninggikan suara.

"Iya tuan, maafkan wak. Mohon wak untuk buka pintunya dulu, tuan." Wak Karjo meninggalkan aku di situ lantas membuka pintu rumah agam itu.

"Tolong hantarkan saya ke bilik. Saya nak berehat," pintaku.

"Oh ya lagi satu, siapa Mak Som ya?" aku membuka mulut lagi.

Kelihatan Wak Karjo kurang selesa dengan pertanyaanku itu. Matanya melilau kekiri dan kekanan seperti mencari sesuatu. Setelah agak lama, barulah dia menjawab dengan nada yang sedikit perlahan.
"Mak Som itu ibu tiri tuan, nama penuhnya Datin Khalsom.

Jika begitu benarlah apa yang pernah diberitahu Hanna tadi. Kusangka Hanna hanya bergurau tapi ternyata tidak sama sekali. Aku mulai percayakan Hanna. Aku mulai rindukan Hanna.

Wak Karjo memohon diri setelah menghantar aku di tingkat tiga rumah ini. Aku betul-betul berada di depan pintu bilikku tapi hati terasa begitu berat untuk aku masuk ke dalam. Seperti ada sesuatu terbayang-bayang dipeluput mata ini.

Deruman enjin kereta menaiki kaki gunung sayup-sayup kedengaran telah mengejutkan aku untuk meninjau ke jendela. Kelihatan kereta itu berhenti seketika di pertengahan jalan. Nissan Fairlady putih itu kemudiannya berhenti betul-betul di hadapan Wak Karjo yang kebetulan menggunakan jalan yang sama.

Seperti ada sesuatu yang serius sedang dibualkan antara mereka. Aku hanya memerhatikan dari kejauhan di sebalik tirai, supaya tiada sesiapa menyedari apa yang sedang aku lakukan.

Selang beberapa minit kemudian, kereta itu bergerak meninggalkan Wak Karjo di situ dan menuju ke rumah agam ini.

Tombol pintu utama dikuak perlahan. Tiada sebarang ucapan salam aku dengari. Hanya batuk kecil sesekali membelah kesunyian rumah agam ini. Bunyi gelang loceng yang dipakainya semakin dekat, sedang menaiki tangga menuju ke arah bilikku. Tidak lama kemudian, bunyi tersebut terhenti seketika. Aku kehairanan.

Pintu bilikku diketuk berulangkali. Sengaja aku melengah-lengahkan masa, kerana aku berasa sangsi untuk bertentang mata dengannya. Bukan aku membenci tetapi aku terasa begitu asing. Terlalu banyak perkara yang perlu aku hadam dan terima bulat-bulat semua yang berlaku di depan mata adalah sesuatu yang nyata.

Namaku dipanggil perlahan. Lembut sekali suaranya. "Ya... sebentar, give me 2 minutes please," Aku menyahut juga akhirnya. Dengan perasaan sedikit berat, aku memaksa rasa ini untuk membuka pintu itu.

"Cairil anak Mama dah balik ya... so, how are you now?" pertanyaan Datin Khalsom sedikit memualkan aku. Dia berjalan ke arahku dengan tangannya bersilang.

"I'm okay Ma... ma... ," balasku ringkas. Lidahku terasa kelu untuk memanggilnya mama.

"Maafkan mama sayang, mama tak pergi melawat Cairil. Err... bukan apa, mama tak sanggup nak tengok Cairil macam ni," tambah Datin Khalsom lagi sambil berpura-pura menangis di sisi aku. Diambilnya tisu sambil dilap-lap di kedua-dua hujung matanya.

"It's okay lah mama. Cairil faham... ," aku mencelah. Sengaja aku menjawab ringkas sedemikian. Aku malas untuk memanjangkan drama airmata sinetron yang meleret-leret tanpa berpenghujung.

Datin Khalsom mengusap kepala aku bagi menzahirkan rasa simpatinya. Direnungnya pula dari atas sampai ke bawah, seorang 'aku' yang berkerusi roda.

"Jom turun bawah, dah lama kita tak minum petang sama-sama. Mama rindu Cairil."

"Mama turunlah dulu, nanti Cairil turun selepas solat Zohor," balas aku pula.

"Kejap lagi Mama panggilkan Wak Karjo untuk bantu Cairil," cadang Datin Khalsom kepadaku.

Aku hanya mengangguk dan tersenyum sambil memerhatikannya berlalu pergi meninggalkan aku sendirian di situ.



----------

HAI! BERMINAT DENGAN PENULISAN SAYA? BERILAH SOKONGAN ANDA DENGAN MENINGGALKAN KOMEN DI BAWAH. TERIMA KASIH!

----------

Previous: TANGIS
Next: DHYA

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.