Home Novel Cinta JUJUR SAJA SAYANG
PARIS

Paris! 

Setelah menempuh 18 jam perjalanan, akhirnya aku tiba juga di Paris yang mendapat jolokan kota cinta ini. Kali terakhir aku meninggalkan kota ini, ketika berusia 12 tahun kerana mengikuti keluargaku berpindah ke Cameron Highland. Bapaku dan ibu sama-sama penuntut di Universite Pierre et Marie Curie, Paris pada ketika itu. Mereka dipertemukan dalam satu majlis pelajar dan membawa kepada bibit-bibit percintaan. Setelah tamat pengajian masing-masing pada tahun 1979, mereka bercadang untuk berkahwin. Dan pada tahun 1981, aku dilahirkan. 

Setelah agak lama berkhidmat disalah sebuah syarikat pengiklanan terkenal di Kota Paris, ibu menyatakan hasratnya untuk pulang ke Malaysia pada tahun 1996. Bapaku hanya menuruti sahaja kehendak ibu. Mereka kemudiannya membeli tanah ladang teh yang terletak di Palas, Cameron Highlands dan meneruskan bisnes yang sedia ada. 

Dan, hari ini aku kembali lagi ke sini untuk melepaskan rindu yang terlalu dalam pada kenangan-kenangan lalu yang hampir dilupakan. Bukan itu sahaja, aku juga sebenarnya membawa hati yang sedang berduka lara. Mungkin, di sini sahaja tempat yang terbaik untuk aku mencari sesuatu yang telah lama hilang iaitu sebuah ketenangan. Ya, nilai sentimental kota ini sangat kuat mempengaruhiku. Memori lalu itu silih berganti, saat menjadi kanak-kanak yang langsung tidak memikirkan hal orang lain dan sekeliling. Dunia kanak-kanak adalah bermain dan sentiasa dipenuhi apa sahaja keinginannya. 

Terlalu banyak pembangunan di kota tua ini. Segalanya telah berubah sama sekali sehinggakan sukar untuk aku mengecamnya lagi. Dari lapangan terbang itu tadi, aku meminta teksi untuk menghantarkanku ke  Apartment n°7, Bourse - Grands Boulevards. Aku sebenarnya telah menempah apartment ini sejak awal-awal lagi sebelum bertolak ke Paris dengan kadar sewa 5700€ sebulan. Dalam masa yang sama, aku akan mencari rumah yang sesuai untuk dibeli nanti. Lokasi Apartment n°7 yang terletak di tengah-tengah Kota Paris akan memudahkan pergerakan aku dengan menggunakan pengangkutan awam. Tambahan lagi, dengan keadaan aku yang berkerusi roda begini. 

Setelah menerima kunci apartment mewah itu, aku segera ke bilik tidur utama lalu menghempaskan diri ke atas tilam yang cukup empuk. Aku keletihan.  

...

Nada dering dari telefon bimbitku yang mengalunkan lagu Donde Estas, Yolanda dendangan Pink Martini itu telah mengejutkan aku dari tidur. Agak lama deringannya, sehinggakan termasuk ke dalam mimpiku sambil berdansa di kaki Eiffel Tower.

"Ahh! mimpi rupa-rupanya."

Telefon bimbit yang diletakkan di sisi katil itu kuambil.

"Siapa pulak yang call?" aku menggosok-gosokkan mata yang terlalu layu untuk dibuka sepenuhnya. Pandangan pula masih kabur.

Butang hijau itu kutekan.

"Hello, siapa ni?" sapaku dengan suara yang masih serak-serak.

"Hanna lah... ," balasnya lalu ketawa kecil.

Mataku membutang apabila mendengar suara Hanna sehinggakan aku terlupa, dia bukanlah Hanna yang aku rindukan. Luluh perasaan aku apabila Joanna yang berada di hujung talian ketika itu.

"Oh, Joanna... ada apa?"

"Joanna nak bagitahu yang flight Dubai ke Paris minggu hadapan, hari Selasa."

"Oh, okay... sorry Joanna, saya mengantuk sangat-sangat ni," aku harap dia memahami keadaanku.

Setelah talian ditamatkan, telefon yang masih dalam genggaman tanganku kembali berdering. Aku tidak melihat ke arah skrin itu tetapi sebaliknya terus menekan butang hijau.

"Ya, Hanna... ada apa lagi ya?"

"Hanna?"

Kedengaran suara Inspektor Rashid agak terkejut. Aku meminta maaf kepadanya kerana beranggapan Joanna yang menghubungiku untuk kali kedua. Aku tersangat malu. Inspektor Rashid pula tidak mengetahui Hanna yang dimaksudkan aku itu adalah Joanna.

"Tuan Cairil, saya call ni berkenaan kes Datin Khalsom."

"Teruskan Tuan Rashid," balasku ringkas.

"Datin Khalsom, kami terpaksa tahan reman selama empat hari untuk melancarkan siasatan. Tuan Cairil ada apa-apa nak beri keterangan pada pihak polis ke?"

"Err... begini tuan, saya sebenarnya di oversea. Saya serahkan bulat-bulat semuanya kepada tuan untuk jalankan siasatan."

"Baiklah, Tuan Cairil. Nanti saya hubungi lagi untuk maklumat terkini."

Aku bingkas bangun dari katil itu.

Rasaku pula bercampur baur. Sedangkan aku melarikan diri sejauh ini, masih belum merasakan ketenangan yang kucari. Sebaliknya pelbagai masalah pula kutemui. Seakan menghambatku untuk pulang kembali ke tanahair.

"Apakah yang harus aku lakukan?"

Aku melemparkan pandangan malam dengan menyaksikan bulan dan bintang bergemerlapan menghiasi angkasa raya dari balkoni yang cukup luas itu. Puasku merenung dan akhirnya aku bertekad untuk terus berada di Kota Paris seperti yang telah dirancangkan. Aku tidak akan berganjak dengan keputusanku. Biarkan mereka mengatakan aku kejam. Atau apa sahaja panggilan yang terpacul dari mulut mereka, aku tetap dengan pendirianku.

Aku tidak akan melupakan kata-kata hina yang dilemparkan olehnya sewaktu aku mahu melangkah pergi. Lagi menyakitkan apabila mengetahui dialah yang menyebabkan Hanna meninggalkan rumah agam itu. Dan kerana fitnahnya, aku dan Hanna berkelahi besar pada malam itu sehingga menyebabkan aku kemalangan semata-mata mencari Hanna supaya dapat pulang ke pangkuanku kembali.

Selagi kedua kaki aku masih begini, selama itulah aku akan tetap berada di bumi Perancis ini. Aku tidak akan kemana-mana. Ya, biarkan Perancis menjadi saksi jatuh bangun aku untuk kembali seperti dahulu; berdiri atas kaki sendiri, berjalan dan berlari. Aku akan pastikan, kaki aku tidak cacat seperti yang dihinakan oleh mama tiriku itu.

Dan, Hanna Nadia. Aku berjanji akan mencarimu kembali setelah aku kembali pulih. Aku yakin, dia masih menyayangiku. Cuma masa dan keadaan yang telah memisahkan hati kami berdua menjadi rapuh.

"Hanna, abang berjanji... abang akan mencarimu di sana nanti sehingga ketemu. Abang tidak akan mempersiakanmu lagi. Kita akan bina kembali istana cinta ini."

----------

HAI! BERMINAT DENGAN PENULISAN SAYA? BERILAH SOKONGAN ANDA DENGAN MENINGGALKAN KOMEN DI BAWAH. TERIMA KASIH!

----------


Previous: JOANNA
Next: FITNAH

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.