Home Novel Cinta JUJUR SAJA SAYANG
VANILLA

Dia melabuhkan punggungnya ke atas kerusi batu itu. Aku pula yang berada di sebelahnya, hanya mencuri pandang. Lalu aiskrim Vanilla yang baru dibelinya tadi, dihulurkan satu kepadaku. 

"Eh, aiskrim! hmm, sedapnya," pujiku.

"Perisa Vanilla... saya tahu awak suka Vanilla," jelas Hanna.

Aku kehairanan. Sedangkan ini merupakan kali pertama aku keluar dengannya tetapi bagaimana Hanna mengetahui perisa aiskrim kegemaranku itu. 

"Err... awak pun tahukan yang saya ni hilang ingatan, jadi macamana awak tahu saya suka Vanilla?"

"Hahaha! cepat teka," Hanna berseloroh.

"Alamak, manalah saya tahu."

Aku memandang tepat ke anak matanya. Aku lihat, ada sesuatu yang tersimpan di sebalik renungannya itu. Gelak ketawa antara kami berdua lalu bertukar sepi. Dia pula terdiam seribu bahasa. Aku juga begitu. 

"Tu, comot!" Hanna bersuara.

Dia membuka beg tangannya lalu mengeluarkan sehelai tisu. Perlahan-lahan tisu itu menyentuh ke pipiku. Hanna tersenyum tanpa sebarang kata, sedangkan aku seakan kaku kerana tindakannya itu.

"Err... Hanna, terima kasih sebab sudi bawa saya jalan-jalan ke sini. Dah lama rasanya saya tak hirup udara segar macam ni," aku bersuara.

Dia bingkas bangun, lalu membelakangkan aku seperti bermenung jauh. Mungkin ada sesuatu yang terlintas difikirkannya namun masih menjadi persoalan. Tidak lama kemudian, Hanna menoleh kearahku.

"Cairil, tak perlu berterima kasih... apa yang saya buat sekarang ni, sebab... hmm... sebab... ," kata-kata Hanna terhenti di situ. 

"Sebab apa Hanna?" aku mencelah laju.

"Err... tak ada apa-apalah Cairil, saya tersasul tadi. Saya nak tanya sikit boleh tak Cairil?" balas Hanna.

"Tanyalah," jawabku ringkas. 

Aku malas mengusutkan keadaan itu. Dan aku juga tidak mahu hari ini bakal bertukar menjadi yang terakhir kami keluar bersama. Biarlah aku mengalah dan pendamkan sahaja apa yang terbuku dalam sanubariku.

"Cairil senang ke, keluar dengan saya seperti sekarang ni?" tanya Hanna lalu mematikan segenap rasa itu.

"Ya... sudah tentu saya senang sekali dengan awak, Hanna. Apatah lagi sekarang ni dapat berdua dengan awak."

Sengaja aku meluahkan apa yang aku rasa selama ini. Sudah lelah aku memendamkan perasaanku. Sebenarnya, aku telah pun mula jatuh cinta padanya.

"Dah lewat ni, jom balik?" Hanna menukar perbualan.

Aku hanya menurutkannya. 

"Hanna, bila lagi nak keluar bersama macam ni?"

"Nanti."

...

          Semenjak kehadirannya, semangat aku untuk meneruskan hidup ini bagaikan tunas yang tumbuh dari tanah yang subur. Perasaan disayangi merendang bagai pohon hijau di tengah terik mentari. Sungguh, aku merasa terlalu bahagia.

Tanpa disedari, waktu yang berlalu itu juga terlalu pantas sehingga aku tidak menyedarinya. Hampir enam minggu aku begini, jika ditakdirkan sekalipun aku harus menjadi penghuni tetap di sini, aku rela. Asalkan Hanna dapat kutatap senantiasa.

Pagi itu, Hanna memasuki ke bilikku seperti biasa. Menjalankan tugas rutinnya memeriksa kesihatan aku dan sebagainya. Aku pula semakin selesa apabila bersamanya. Malah dia juga begitu. Aku dapat rasakan yang Hanna dan aku ada satu persamaan yang sangat kuat. Cuma sehingga ke hari ini, Hanna tidak pernah sekalipun meluahkan rasanya itu terhadapku.

"Cairil, setelah perbincangan bersama pakar yang lain semalam, kami telah sebulat suara memutuskan untuk membenarkan awak pulang," jelas Hanna.

Aku sedikit tersentak. Namun begitu, bohong jika aku tidak merasa gembira. 

"Bila tu Hanna?" kubertanya dengan suara yang tersekat-sekat. 

"Esok."

"Esok?"

"Ya, awak okay ke?"

"Mahu atau tidak, saya kena pulang juga kan?"  

"Cairil... sini hospital. Nanti, ada masa kita jumpa lagilah," pujuk Hanna.

Aku bermenung.

"Siapa yang ambil awak nanti?" soalnya. 

"Saya tiada sesiapa di sini, Hanna. Saya cuma kenal awak saja." 

"Tak apa, saya faham. Kebetulan saya offday, esokNanti saya datang ambil awak selepas lunch hour."

Aku tidak menyangka, Hanna begitu baik sehingga sanggup membantu menghantar kupulang. Timbul satu persoalan di kotak fikiran iaitu sejauh manakah sebenarnya dia telah mengenaliku?

"Lepas ni, mesti saya rindukan aiskrim Vanilla awak tu," aku berseloroh.

"Ada-ada sajalah awak ni, Cairil!"



----------

HAI! BERMINAT DENGAN PENULISAN SAYA? BERILAH SOKONGAN ANDA DENGAN MENINGGALKAN KOMEN DI BAWAH. TERIMA KASIH!

----------

Previous: BERDUA
Next: PULANG

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.