Home Novel Cinta JUJUR SAJA SAYANG
DENDAM

"Terkejut?"

Dhya ketawa terbahak-bahak. Jelas tergambar rasa bencinya itu pada aku dan Hanna.

Aku buntu untuk memulakan perbualan. Ditambah lagi, timbul persoalan bagaimana Dhya mengetahui aku kini berada di Kota Paris.

"Adakah Pak Ayub diugut olehnya?" getusku.

Lalu kuteringat peristiwa yang berlaku di Restoren Taman Abang, Tanah Rata pada beberapa bulan yang lepas. Dhya tiba-tiba muncul dan menganggu makan malam aku dan Hanna ketika itu.

"Kau buat apa di sini, Dhya?" Hanna bersuara.

"Aku nak ke mana-mana pun, itu urusan aku! kau tak perlu masuk campurlah, Hanna," perli Dhya.

"Macamana awak tahu saya berada di Paris?" aku menyampuk.

"Tanya Pak Ayub," Dhya menjawab ringkas.

"Aku tanya kau sekali lagi, kenapa kau cari Cairil hah?" soal Hanna.

"Aku datang sebab nak bawa Cairil balik," jawab Dhya dengan angkuh.

"Apa maksud awak, Dhya?" kupersoal.

Aku memegang tangan Hanna. Lalu aku menariknya supaya berada lebih rapat denganku. Peristiwa satu ketika dahulu mengajar aku untuk melindungi Hanna dari menjadi mangsa kepada Dhya.

"Cairil, ikut saya balik, pleaseMama dalam kesusahan sekarang."

Aku memandang Hanna, dia pun sama dengan perasaan yang penuh curiga.

"Kenapa dengan mama? err, Datin Karmila maksud aku," Hanna bertanyakan kepada Dhya.

"Polis dah berkas mama dua hari lepas. Datin Khalsom babitkan mama," jawab Dhya dengan nada yang penuh kesal.

"Jadi, apa kena mengena dengan saya? Walau apa jadi sekalipun, saya tak nak masuk campur," aku membantah.

"Tolonglah, Cairil. Kasihanlah pada mama!" rayu Dhya.

"Apa Datin Karmila dah buat?" soalku.

"Mama... err, mama dituduh membunuh Wak Karjo. Tapi waktu kejadian, mama sebenarnya di rumah," jelas Dhya.

"Apa! atau... Datin Karmila yang mengupah pembantu peribadinya untuk membunuh Wak Karjo? cakap Dhya," aku mahukan kepastian.

Dhya menangis.

"Jadi betullah sangkaan saya selama ni. Tak sangka, Datin Karmila tergamak berbuat begitu," aku menambah.

"Tak! Cairil. Mama tak beri arahan untuk bunuh Wak Karjo pun," laju Dhya memotong.

"Ya, tapi Datin Karmila beri arahan supaya membunuh aku! kan?" soal Hanna.
"Abang... abang tau tak, sebenarnya pada malam kejadian Wak Karjo telah menculik sayang! tapi arwah telah melepaskan sayang. Dan tak lama selepas itu, sayang terdengar satu das tembakan dari rumah ladang tu," sampuk Hanna.

Aku bertambah terkejut. Baru kutahu cerita yang sebenarnya yang lahir dari mulut Hanna.

Dhya kelihatan gelisah.

"Jika tidak, pada malam tu sayang tentu dah mati. Semuanya telah dirancang oleh... Datin Karmila!" tambah Hanna.

"Kau jangan menuduh mama aku macam-macam ya, keparat!" tengking Dhya.

"Kalau kau nak tahu sangat, mama kau dan pembantunya culik aku di rumah! Aku diikat, dikurung dan dibiarkan mati dalam dusun Cairil," Hanna membuka rahsia.

Dhya menahan rasa marahnya.

"Kau bohong!" berulangkali Dhya mengherdik Hanna.

"Kalau tak kerana belas ikhsan Wak Karjo, dah lama aku mati, Dhya," tambah Hanna lagi.

"Kau sengaja mereka-reka cerita!" bentak Dhya.

"Jangan ingat aku tak tahu yang kau berdua telah perangkap Datin Khalsom!" tengking Hanna.

"Apa maksud sayang?" aku kehairanan.

"Sebenarnya, Pak Ayub dah maklumkan pada sayang. Dia tu pakcik sayang sebelah ibu. Dah lama sayang tahu. Dan, sayang sendiri dah memberi keterangan kepada Inspektor Rashid."

"Apa betul cerita ni, sayang?" aku seakan tidak mempercayai apa yang kudengarkan tadi.

"Buat apa sayang nak tipu. Dhya ni yang masukkan pistol tu dalam beg tangan Datin Khalsom atas arahan mamanya. Pak Ayub saksinya. Kebetulan masa tu dia di belakang rumah. Jangan risau, abang. Datin Khalsom tak bersalah. Forensik pun dah mengenalpasti yang cap jari di pistol tu bukan miliknya."

Beberapa orang yang lalu lalang di situ mencuri pandang ke arah kami bertiga. 
Ada di antaranya mengeluarkan telefon bimbit lalu merakamkan kejadian itu. Mungkin, tanggapan awal mereka tentu kes pergaduhan akibat cinta tiga segi yang diketahui akhirnya.

"Cairil, jangan percayakan tuduhan Hanna please... . Jom ikut Dhya balik Malaysia. Kita sama-sama menjamin mama keluar dari lokap," rayu Dhya.

"Abang nak tau lagi tak? selepas sayang diselamatkan oleh pemuda Orang Asli, sekali lagi Datin Karmila menjadi dalang penculikan sayang. Wak Karjo terpaksa, sebab anak dan isterinya diugut bunuh jika dia tidak memberi sayang racun untuk diminum!" jelas Hanna lagi yang membuatkan mataku membutang.

"Betul ke ni, sayang?" aku seakan tidak mempercayai kata-kata Hanna.

"Sayang tak bohong, abang."

Dhya berlari ke arah Hanna lalu dicekiknya dengan kuat. Hanna cuba melawan tetapi tenaganya tidak setanding Dhya. Aku tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menarik Dhya supaya tidak berterusan melakukan hal itu terhadap Hanna.

Mereka yang menyaksikan kejadian itu enggan membantu. Mungkin kerana takut untuk mencampuri urusan kami bertiga. Aku sempat menjerit supaya dipanggilkan polis.

Dhya mengeluarkan sebilah pisau. Hanna yang dicekiknya tadi, lalu dihunuskan pisau yang tajam itu ke lehernya.

"Cairil, tolong ikut Dhya balik!" ugut Dhya.

Hanna terpaksa berdiamkan diri. Kelihatan wajahnya cukup cemas kerana hujung mata pisau itu hampir mengenai ke lehernya.

"Dhya! apa awak buat ni? letakkan pisau tu. Jangan cari penyakit di sini," aku memujuk.

"Tidak! selagi awak tak nak balik Malaysia dan menjamin mama, saya tak akan lepaskan," ugutnya lagi.

"Lepaskan akulah! kau nak jadi pembunuh ke hah?" jerit Hanna.

Dhya menyinga. Wajahnya penuh dengan dendam yang membara.

"Ya! kalau kau mati, aku pun akan mati," balas Dhya pula.

"Dhya... sabar! kalau awak mati, mama awak macamana? please, lepaskan Hanna sekarang," aku cuba memujuknya lagi.

Dhya menuruti arahanku. Ditolaknya Hanna ke pagar jambatan itu dengan kuat. Lantas, kepala Hanna terkena gantungan mangga yang terdapat di situ. Hanna rebah. Ada darah yang mengalir di dahinya. Dia cuba menekup luka itu dengan tapak tangannya. Aku pula segera mendapatkannya tetapi belum sempat kuberbuat demikian, Hanna telah tidak sedarkan diri.

Dhya ketakutan.

"Dhya! apa yang awak dah buat ni hah?" aku menjerit sekuat hati.

Dhya yang kebingungan bertindak untuk meloloskan diri.

"Jangan lari, Dhya!" aku memberi amaran.

Pisau yang masih ditangannya itu diangkat tinggi, seakan mahu menikam Hanna yang terbaring lemah.

Aku terjatuh dari kerusi roda kerana mahu menyelamatkan Hanna. Dengan tenaga yang ada, aku mengesot mendapatkannya. Aku mahu menghalang Dhya dari menikam Hanna.

Pang!

Bunyi satu das tembakan amaran yang dilepaskan ke udara itu telah menyelamatkan keadaan. Pihak polis telah sampai tepat pada masanya. Dhya telah diberkas kerana cubaan ugutan dan membunuh.

Hanna pula diberi bantuan awal sementara menunggu kedatangan ambulans. Aku yang terjatuh dari kerusi roda, dipapah ke kerusi roda.

Aku hanya mampu melihat Hanna dibawa ke atas ambulans yang tiba manakala Dhya disumbat ke dalam kereta peronda polis.

...

Telefon bimbit kuperiksa. Lalu kuhubungi Inspektor Rashid di Malaysia untuk menyampaikan berita tentang Dhya. Menurutnya, Dhya memang dikehendaki oleh pihak Polis DiRaja Malaysia untuk membantu beberapa kes yang masih dalam siasatan. Tapi belum sempat pihak polis menahannya, Dhya telah melarikan diri ke Paris. Dan, tidak disangka Dhya membuat olah di sini pula. Melalui bantuan INTERPOL, Dhya akan dibawa pulang ke Malaysia tidak lama lagi.

Setelah berbual panjang, aku dimaklumkan oleh Inspektor Rashid yang Datin Karmila telah ditahan kerana merancang pembunuhan Hanna. Setelah pembantu peribadinya diberkas, rahsia Datin Karmila mula diketahui oleh pihak berkuasa. Satu persatu tembelangnya mulai pecah. Manakala Datin Khalsom pula telah dibebaskan dengan jaminan polis kerana dia tidak bersubahat dalam rancangan pembunuhan itu.

Talian itu ditamatkan dengan perasaan yang cukup menyedihkan hatiku. Dan dalam masa yang sama, aku bersyukur kerana Tuhan masih memberi mama tiriku peluang kedua. Sekurang-kurangnya untuk dia berubah menjadi seorang mama yang terbaik walaupun aku ini hanyalah anak tirinya.

"Pak Ayub, apa khabar ya? dah lama tak terima whatsapp darinya," bisikku.

Aku cuba menghubungi Pak Ayub pula. Agak lama deringan itu untuk dijawab. Suaranya kedengaran begitu lemah.

"Ya, Tuan Cairil."

"Kenapa ni, Pak Ayub? macam tak bermaya saja saya dengar."

"Kurang sihat sikit, tuan. Saya baru lepas terlibat dalam kemalangan," jelasnya.

"Kemalangan? maksud Pak Ayub?"

"Dhya cuba melanggar Pak Ayub. Masa tu, dia kata nak jumpa saya di Ringlet, jadi saya pun pergilah. Kemudian, dia ugut akan mengapa-apakan isteri saya jika enggan memberitahu Tuan Cairil ada di mana. Lagipun, dia juga tahu saya ni bapa saudara Hanna. Selepas dia tahu tuan berada di Paris, cepat-cepat dia pulang. Saya yang baru menuju ke kereta telah dilanggarnya. Lalu menyebabkan saya terjatuh ke dalam gaung. Dan maafkan saya tuan, sebab cuba berahsia dari tuan tempoh hari. Hanna yang minta dirahsiakan hal status saya itu."

"Tak apa, Pak Ayub. Saya maafkan. Patutlah Dhya ada di sini. Saya baru saja jumpa dia tadi, tapi dah kena tangkap dah dengan polis di sini."

Aku menceritakan apa yang telah berlaku sebentar tadi kepadanya. Pak Ayub bertambah risau tentang keadaan anak saudaranya itu. Aku pula cuba menenangkan keadaannya.

"Tapi kenapa Dhya mahu melanggar Pak Ayub?"

"Sebab saya ada beri keterangan tempoh hari tentang pistol yang dijumpai dalam beg tangan datin. Saya saksi utama kes itu, tuan," jelas Pak Ayub lagi.

"Tapi haritu sewaktu saya hubungi Pak Ayub, kenapa tak cerita apa-apa pun?"

"Bukan saya tak mahu cerita, tetapi pihak polis minta rahsiakan dulu hal ini, tuan."

"Kenapa semasa kejadian, Pak Ayub tak beritahu mama saja hal pistol tu?"

"Saya takut sangat-sangat, tuan. Maafkan saya sekali lagi."

Aku meminta Pak Ayub bersabar dan bercuti panjang sehingga kesihatannya pulih. Aku berjanji dengannya akan pulang ke tanahair untuk melawatnya nanti, cuma tarikh sahaja belum pasti. Pak Ayub ternyata gembira dengan jawapanku itu.

...

Telefon bimbitku berdering. 

"Joanna?"


Previous: KUNCI?
Next: LAMARAN

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.