Home Novel Cinta JUJUR SAJA SAYANG
GAUNG

          Enjin kereta itu dihidupkan, derumannya seakan menggambarkan perasaanku ketika itu. Aku yang baru memandu beberapa meter lalu memberhentikan kereta di sisi jalan.

Aku kembali bermenung. Entah dari mana harus aku memulakan untuk mencarinya. Bibirku ketap. Fikiran pula terus melayang jauh terawang-awangan. Lalu kusandarkan kepala ke kerusi, memikirkan jalan yang harus aku pilih. 

"Aku tak boleh buang masa macam ni, Cameron Highlands bukan besar mana... pasti aku dapat cari dia nanti."

Terasa pemanduan kali ini begitu jauh, seakan-akan masa kerap berhenti dan melengahkannya seketika. Jiwaku pula semakin meronta supaya dapat menghambat waktu itu agar deras laju meluru ke hadapan tanpa melecehkan setiap detik yang tersisa.

"Tolonglah, Ya Allah... berikanlah aku sedikit ruang dan peluang walaupun ini untuk kali terakhir."

Lereng-lereng Ladang Teh Palas yang penuh dengan kehijauan, kuselusuri. Kabus pula semakin menebal. Hujan pula masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti. Penglihatanku terbatas. Sesekali, aku tergelincir di sisi jalan yang agak licin. Namun sedikit pun tidak menggentarkan aku apatah lagi mematahkan semangat untuk mencarinya.

"Entah apa nasibnya sekarang, berhujan atau menumpang teduh di mana-mana? Tuhan, tolonglah aku, Kau satukanlah hatiku dan hatinya kembali." 

Tanpa aku sedari, dalam kegusaran mencari cinta hati yang telah hilang pergi, aku telah terbabas ke kiri jalan. Tanah yang licin membuatkan aku tidak dapat mengawal stereng kereta itu lalu terjunam ke dalam gaung.

"Gaung!"

Sebaik aku tersedar, pendengaran menjadi terlalu bingit. Aku cuba menekap-nekap telingaku berulangkali. Ada darah yang mengalir. Kepala terasa berat dan tidak mampu untuk berfikir apa-apa lagi. Mataku bermain dengan darah yang memenuhi di tapak tangan sendiri. Dalam kesamaran pandangan mata yang semakin layu, aku hanya nampak samar-samar kerlipan cahaya dari ambulans yang tiba. Dan tiba-tiba dunia terlalu gelap!

...

"Ya, aku hanya ingat gaung," balasku setelah disoal oleh seorang doktor pakar yang merawatku.

"Kamu tak ingat sesiapa pun? Kamu kenal dengan mereka ini," tanya doktor itu lagi sambil menunjukkan beberapa keping gambar kepadaku.

"Tidak," jawabku ringkas.

Doktor tersebut menulis sesuatu di failnya dan meninggalkan aku bersendirian. Aku seperti kebingungan, entah apa yang telah berlaku dan mengapa aku disini benar-benar merentap otakku untuk berfikir dengan lebih lagi. 

"Ingin rasanya aku menjerit, tetapi untuk apa? Ingin juga rasanya aku melawan semua ini, tapi kenapa? Sedangkan aku sendiri masih bingung!"

Perlahan-lahan aku menggerakkan kerusi roda itu. Berpusing 360 darjah tetapi ternyata masih kosong. Sudah puas rasanya hari ini aku melepaskan pandanganku hanya memandang ke luar jendela. Aku jemu.

"Err... aku kat mana ni?" tanyaku pada seorang jururawat yang kebetulan melimpasi di hadapanku.

"Tuan Cairil sekarang di hospital." 

"Tuan Cairil? hospital!" 

"Ya, Tuan Cairil. Dah hampir seminggu Tuan Cairil di sini."

"Seminggu?"

"Tuan Cairil jangan khuatir. Hari tu, Tuan Cairil kemalangan lalu kereta yang dipandu telah termasuk ke dalam gaung."

"Rumah aku mana? aku tak nak duduk di sini!"

Aku meronta-ronta dari atas kerusi roda itu. Emosi menjadi tidak stabil. Bagai dirasuk, aku melepaskan rasa amarah itu dengan membuang apa sahaja yang berada di hadapanku. Jururawat bergegas mendapatkan doktor pakar lalu tanganku diikat dan disuntik dengan ubat penenang. Aku semakin layu dan lemah dalam tubuhku sendiri.



----------

HAI! BERMINAT DENGAN PENULISAN SAYA? BERILAH SOKONGAN ANDA DENGAN MENINGGALKAN KOMEN DI BAWAH. TERIMA KASIH!

----------

Previous: PROLOG
Next: HANNA

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.